"Boleh diam tak?! Jangan sampai aku sembur korang dua dengan spray pengawal binatang perosak ni!" Ugut Azam sambil menayangkan botol semburan pengawal haiwan perosak yang terdapat dalam genggamannya.
Hans Ilham dan Yasmin masih menghamburkan tawa tanpa menghiraukan orang-orang yang sedang lalu lalang di hadapan mereka. Selepas peristiwa pada tempoh hari, Azam langsung tidak menghubungi apatah lagi menjawab mesej mahupun panggilan daripada Hans dan Yasmin.
Selepas seminggu, baru lelaki bertuah ini mengajak mereka berjumpa. Itupun selepas Hans menyerbu ke rumahnya. Kini mereka bertiga sedang melepak di pantai sambil menikmati mi kari dan laksa Pinang yang dibawa oleh Yasmin dari rumah. Kedua menu itu dimasak khas oleh ibu mertua kesayangannya, Fauziah atas permintaan Yasmin sendiri. Makanan- makanan itu merupakan kegemaran Azam.
"Sorrylah Zam...Kami kan, setiap kali teringat pasal kisah tu, mesti tergelak." Ujar Hans sambil menghirup habis saki baki air di dalam bekas plastiknya. Azam mencebik dengan keletah dua orang manusia itu. Menyakitkan hati betul!
"Eh, dah...dah. Tak payah nak gelak sangat. Ni semua salah bini kau! Kalau tak sebab dia paksa aku naik roller coaster malam tu, mesti tak tercalar maruah diri aku ni." Marahnya sambil memutarkan bola mata dengan sebal. Hangin satu badan setiap kali teringatkan peristiwa itu.
"Janganlah marah Zam... Aku just nak kau atasi fobia kau tu je. Sampai bila kau nak takut tempat tinggi." Yasmin memujuk. Kuah kari dituangkan ke dalam bekas yang berisi mi kuning dan sedikit sayuran lalu dihulurkan kepada Azam.
"Oh ye, Zam. Sejak malam tu, Tiara asyik tanya pasal kau tau...Dia risau sangat pasal kau." Kata Hans Ilham lalu mencicip sedikit air di dalam cawan Yasmin. Entah mengapa, dia berasa terlalu dahaga sangat pada ketika itu. Yasmin mengangguk menyetujui kata-kata Hans. Tiara sering menghubungi mereka berdua dan bertanya tentang Azam. Pernah juga dia meminta nombor telefon Azam, namun Yasmin menyuruhnya untuk menunggu terlebih dahulu. Dia perlu mendapatkan izin daripada Azam sebelum memberikan nombor telefonnya kepada Tiara.
"Untuk apa dia tanya pasal aku?" Azam menyoal lalu menyuapkan mi kari ke dalam mulutnya. Haruman semerbak daripada kuah kari itu benar-benar membangkitkan seleranya.
"Dia suka kau kot." Buk! Tersembur keluar kunyahan Azam. Dia menatap tajam wajah kelat Hans Ilham. Orang tengah sedap-sedap nak makan...
"Yas, kau campak laki kau ni dalam laut. Biar kena tendang berjemaah dengan ikan paus kat dalam tu." Terketap-ketap giginya menahan geram angkara senyuman mengejek yang tersulam rapi pada bibir seorang Hans Ilham.
"Dah, dah. Jangan gaduh kat sini. Habiskan dulu makanan tu. Sejuk nanti tak sedap." Yasmin terpaksa mencelah demi menyelamatkan keadaan yang semakin tegang itu. Namun, dia mengiyakan serkap jarang Hans sebentar tadi. Tiara sepertinya ada hati terhadap Azam. Kalau benar tekaan mereka, Yasminlah antara orang yang paling gembira sekali. Pasti riuh satu rumah dengan kerenah Tiara dan Azam nanti. Tak boleh bayangkan anak-anak dua ketul ini nanti. Campuran antara dua genetik yang berbeza perangai. Pasti menghiburkan!
"Mimpi apa sengih-sengih macam tu?" Bentak Azam tiba-tiba. Cepat-cepat Yasmin menyembunyikan senyumannya. Mamat ni pun, sensitif sangatlah. Orang nak senyum pun tak boleh. Grr. Rungut Yasmin dalam hati.
Azam merenung tajam wajah Yasmin dan Hans Ilham silih ganti. Suapan terakhir mi kari dimasukkan ke dalam mulut lalu dikunyah lembut. Rasa macam tak cukup pulak sebekas. Kenapa tak bawak satu periuk terus? Boleh aku tambah-tambah. Sekadar berkata dalam hati sahajalah, mahu cakap depan-depan takut ditendang sehingga berguling masuk dalam air laut oleh Yasmin.
Dari jauh Yasmin melihat figura seseorang yang sedang menghampiri mereka bertiga sambil berlari anak. Hans juga perasan namun mendiamkan sahaja. Semakin lama, figura itu semakin mendekat lalu terus melabuhkan punggungnya di sebelah Yasmin iaitu betul-betul berhadapan dengan Azam.
"Hi abang Azam..." Lunak semacam suara Yasmin hari ni...siap panggil aku abang? Eh! Kepala yang tertunduk mengunyah ketulan karipap dengan nikmatnya didongakkan ke arah Yasmin sebelum bola mata terhenti mendadak kepada sosok yang sedang memerhatikannya sambil tersenyum manis. Terlopong terus mulut Azam dengan kejutan yang langsung tidak dijangka itu. Habis terkeluar segala sisa-sisa kunyahan dari mulutnya, sehingga jatuh berterabur di atas meja. Asyik tersembur je kerja kau Zam...
Tiara cepat-cepat mengeluarkan tisu dari pek tisu yang terdapat di atas meja yang sama, lalu mengelap sisa-sisa makanan yang terlekat pada bibir bawah dan dagu Azam. Dah besar macam ni pun, masih makan bersepah. Gerutu Tiara.
Hans Ilham dan Yasmin yang melihat adegan manis penuh gula itu cepat-cepat melarikan pandangan masing-masing. Uishh, merenyam kau Zam...kata tak sukalah apalah. Tu, yang tengah tersengih-sengih macam kerang busuk tu apa?
Agak segan dengan perbuatan Tiara tadi. Azam tersenyum hambar sambil menggaru belakang tengkuknya yang tidak gatal bagi menutup rasa janggal yang sempat bertandang sebentar tadi. Haishh, tak tahu ke yang aku ni lemah jantung. Kalau tercabut jantung ni nanti, siapa yang nak bertanggungjawab.
Timbul tompokan merah pada kedua belah pipi Tiara. Senpat berdehem beberapa kali bagi menghalau rasa malu kerana telah sesuka hati menyentuh kulit Azam. Sambil menggigit bibir bawah dia melarikan wajahnya dari terus menatap Azam yang sedang menguis-guis sisa-sisa kunyahannya yang berterabur di atas meja dengan jari telunjuk. Geli mat! Yasmin lantas menepuk lengan Azam sambil menjegilkan mata. Tak senonoh betul! Menyedari kepincangannya, Azam menarik helaian tisu baru lalu terus mengelap meja itu sehingga bersih. Hilang terus selera makannya akibat kehadiran Tiara. Entah mengapa dia berasa tidak keruan kerana terpaksa berada di hadapan gadis itu.
Selang beberapa minit, Hans Ilham mengajak mereka untuk berjalan-jalan di pinggir laut sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa yang gian menyentuh kulit mereka. Hans menggenggam erat jemari Yasmin. Pasangan dua sejoli itu berjalan beriringan sambil disaksikan oleh pasangan gandingan merpati dan enggang dari belakang.
Tiara terharu melihat kemesraan antara Hans dan Yasmin. Bersinar-sinar anak mata. Aww... Sementara Azam masih menggaru-garu belakang tengkuknya tanpa henti. Eh, apasal gatal semacam je ni? Dia mula resah.
Akibat tidak mampu menahan lagi rasa gatal yang terasa seakan menggigit dan mencarik isi kulitnya, Azam lantas berlari ke arah air laut lalu terjun ke dalam tanpa banyak fikir. Debush! Serentak ketiga mereka menoleh ke arah sumber bunyi itu.
"Ya Allah...Azam!" Tempik Hans sebelum berlari mendapatkan lelaki itu. Tubuh Azam ditarik ke atas pasir lalu dibaringkan. Nafas Azam yang tercungap-cungap membuatkan Yasmin menjadi tidak betah. Takkanlah?
"Yas..." Tergagap-gagap Azam menyebut nama Yasmin. Azam seakan sudah boleh meneka punca leher dan seluruh wajahnya mula merona merah. Bibirnya semakin membengkak. Mata pula semakin kuyu. Rasa tidak berdaya seluruh tubuhnya pada saat itu.
"Zam...kau termakan udang ke?" Soal Yasmin dengan kuat. Langsung ditarik keluar telefon bimbit dari dalam beg tangan lalu nombor Fauziah didail sebelum panggilan bersambung.
"Mak, Yas ni. Yas nak tanya...Mak ada letak udang tak dalam mana-mana makanan tadi?" Akibat kalut, salam pun tidak sempat diberi.
"Eh, ada Yas. Dalam karipap. Mak cincang kecil-kecil masak sekali dengan kentang tadi. Kenapa Yas?" Berkerut dahi Fauziah dengan soalan Yasmin. Aik, kenapa dengan udang? Tak cukup isi ayam tadi, aku letaklah isi udang. Barulah lebih manis dan terangkat rasa inti karipap tu nanti.
"Mak! Azam alergik udang!"
"Ya Allah! Mak...mak tak tahu Yas..."
Share this novel