10

Romance Completed 60794

Setelah dipujuk rayu hampir setengah jam tanpa henti oleh ibu mertuanya, akhirnya Yasmin terpaksa bersetuju untuk mengikuti mereka sekeluarga ke majlis ulang tahun adik lelaki Tiara.

Dengan berat hati, Yasmin menyarungkan gaun pemberian Hans Ilham sebentar tadi. Lelaki itu siap berpesan kepadanya untuk memakai gaun itu kerana mahu kelihatan sedondon dengan tema majlis tersebut. Yasmin menilik penampilannya pada pantulan cermin. Gaun merah jambu separas lutut, berlengan panjang itu ditatap sayu. Lolos satu keluhan daripada mulutnya.

Tok! Tok! Tok!

"Yas...dah ready ke? Jom, dah lambat ni." Terjengul kepala Harsha di muka pintu. Dia juga mengenakan gaun yang sama. Tanpa menunggu lama, Yasmin terus mengangkat beg tangannya lalu beriringan turun ke tingkat bawah bersama Harsha.

Menggelegak satu badan saat melihat kemeja yang tersarung pada tubuh Hans. Seluruh keluarga mereka mengenakan tema berwarna merah jambu, sementara Hans Ilham pula, warna biru muda. Yasmin sudah mula membayangkan perkara yang bukan-bukan ketika itu.

"Hans kena jadi tukang sambut tetamu sekali dengan Tiara kan?" Mencanak naik kepala angin Yasmin ketika terdengar kata-kata bapa mertuanya. Hati yang sejuk, mula melonjak panas tiba-tiba. Ikutkan hati, mahu sahaja dia memijak-mijak Hans sehingga lumat, lalu dimasukkan ke dalam jar kaca dan diawet selama sebulan.

"Ha'ah. Tiara lah yang beria nak kami dua pakai warna biru ni. Sekali dengan birthday boy kita. Yusri tu, bukannya suka pakai merah jambu." Tergelak semua yang berada di situ tanpa menyedari ada hati yang sedang terbakar. Yasmin menarik muka masam.

"Yas...kamu naik sekali dengan Hans. Mak dengan abah naik sekali dengan abang ngah." Ujar Fauziah kepada menantunya. Eee, apasal kena ikut dengan dia pulak?! Menyesal aku gi setuju tadi! Gumam Yasmin.

Sepanjang perjalanan, tiada yang membuka mulut. Masing-masing sibuk melayan fikiran sendiri. Yasmin pula leka memerhatikan pemandangan luar dari tingkap kereta. Sakit hatinya masih belum reda sepenuhnya. Sementara Hans, menumpukan perhatian pada pemanduannya.

Selang beberapa minit berada dalam keadaan yang sunyi sepi, Hans mula mengalihkan pandangannya ke arah Yasmin yang sedari tadi senyap. Lah, syok sangat tengok hutan kat tepi tu buat apa? Dilirik sekilas ke arah perut Yasmin yang semakin memboyot.

Walaupun sedang mengandung, Yasmin tetap kelihatan cantik dan berseri-seri dengan gaun itu. Terdetik keinginan untuk menyentuh perut isterinya yang sedang didiami oleh permata hati mereka. Tangan memegang perut Yasmin sebelum Hans mengusapnya sambil tersenyum bahagia.

Senyuman itu terus sirna saat tangannya ditepis kasar oleh Yasmin. Hans membuang pandang ke luar tingkap sambil melepaskan keluhan. Berang dengan sikap Yasmin yang semakin kurang ajar dengannya. Sekali lagi, Hans mendaratkan tangannya pada paha Yasmin. Dan serta merta tangannya itu ditolak ke bawah.

"What is your problem?! Boleh tak jangan sentuh i? I rimaslah!" Bentak Yasmin. Hans meleretkan senyuman sinisnya.

"Suami nak pegang pun tak boleh? Yas dah tak sabar nak jadi isteri derhaka ke?" Sindir Hans sambil memberikan isyarat ke kanan sebelum mereka masuk ke sebuah lorong yang menempatkan taman perumahan golongan atasan.

Rata-rata deretan rumah di situ, kelihatan mewah dan bertingkat-tingkat, selain turut dilengkapi dengan beberapa orang pengawal yang ditugaskan untuk menjaga keselamatan kawasan perumahan tersebut.

Keluarga Hans disambut baik oleh seluruh kerabat Tiara. Sambil menyalam tangan beberapa orang wanita, Yasmin sempat mengerling pada Tiara yang mengenakan gaun labuh kembang berwarna biru. Sedondon dengan Hans Ilham. Yasmin mengetap giginya dengan geram. Namun, sehabis daya dia cuba menutup riak mukanya yang semakin mendung daripada disedari oleh orang-orang di situ.

Yasmin mengambil tempat di salah sebuah meja bersama keluarga mertuanya dengan hati yang membara. Dilirik dengan ekor mata, antara mahu tidak mahu figura yang sedang menghampiri mereka sambil tersenyum manis. Menyampah aku tengok! Bentak hati Yasmin.

"Eh, apa khabar Ziah, Khalid? Lama kita tak jumpa ye?" Suara lunak itu meloyakan tekak Yasmin. Terus dilarikan pandangannya daripada menatap wajah perempuan tua yang sering menyakiti hatinya. Sejenis mulut berpuaka.

"Khabar baik Idah. Alhamdulillah. Mana birthday boy?" Soal Fauziah sambil melorek senyuman tipis pada wanita pertengahan abad yang tampil mewah dengan busana jubah labuh dan turbannya. Tudung hilang entah ke mana. Desis hati Fauziah.

"Ada kat bilik dia. Tengah main game lah tu. Itulah, dah lama tak jumpa Ziah dengan Khalid. Selalunya Hans tu je yang datang jenguk kami." Ujar Rafidah lalu mengerling sekilas ke arah Yasmin yang sedang menggeser telefon bimbitnya.

"Yasmin, apa khabar? Dah lama aunty tak nampak kamu..." Cuba beramah mesra dengan gadis tersebut. Malas-malas Yasmin mengangkat wajahnya dan menatap perempuan itu.

"Baik aunty." Malas mahu berlebih-lebihan. Diberi betis, nanti mahu paha pulak, siapa yang susah nanti kalau bukan diri sendiri.

"Makin ramai ye tetamu..." Khalid cuba mengalihkan topik setelah perasan dengan ketegangan antara menantunya dan Rafidah.

"Ya, adalah dalam 200 orang kami ajak. Cantik pula Idah tengok Hans dengan Tiara kat sana. Dah macam pasangan suami isteri. Sedondon..." Kan dah kata, perempuan ni ada je modal nak sakitkan hati aku. Yasmin mengepal erat jemarinya dengan geram. Ikutkan hati, mahu ditumbuk mulut wanita tua itu sekarang juga. Namun, demi menjaga air muka ibu dan bapa mertuanya, dia cuba bersabar.

Fauziah dan Khalid cuba beriak biasa dengan kata-kata Rafidah. Bukannya mereka tak nampak, wajah Yasmin yang sudah berubah kelat. Masing-masing mula membisu. Ada hati yang perlu mereka jaga.

"Okaylah Ziah, Khalid. Idah nak ke belakang dulu. Nak tengok katering semua okay ke tidak..." Segan mahu berada lebih lama di situ setelah kesemua ahli keluarga Hans berdiam diri tanpa menghiraukannya.

Seusai acara memotong kek, Yasmin terus melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang sama. Malas dia mahu bermanja-manja seperti budak kecil seperti sekumpulan manusia yang tiada adab di hadapannya. Hans yang juga tergolong dalam kalangan tersebut, tekun menghidangkan kek ke atas pinggan Tiara. So sweet, macam pasangan suami isteri. Eloklah tu, layan perempuan lain, bini sendiri tak terjaga. Kutuk Yasmin. Matanya mula berkaca menahan tangis.

Fauziah yang menyedari perkara itu, segera mengusap belakang badan Yasmin sambil mengukir senyuman sumbing. Sesungguhnya, dia juga geram dengan Hans. Bini ada, langsung tak diendahkan.

"Yas...sabar ye. Kejap lagi kita balik." Kata Fauziah sambil menoleh ke arah suaminya. Khalid mengangguk faham. Harsha dan Haikal Idham, abang kedua Hans, juga sepertinya tidak berapa selesa dengan situasi di majlis itu yang semakin tegang. Riuh rendah suara Hans dan Tiara bergelak ketawa tanpa menghiraukan mata-mata yang sedang memandang mereka berdua.

Azam...i need you right now! Yasmin mula dilanda kegusaran. Dia memerlukan Azam di sampingnya. Hanya lelaki itu yang bijak mengawal keadaan.

"Okaylah, abang balik dulu. Kak Yas pun mesti penat." Hans mengatur langkah bersama Tiara ke arah meja yang diduduki oleh seluruh ahli keluarganya. Tiara mengangguk sambil mengukir senyuman manis.

"Hai Kak Yas..." Tegur Tiara sambil menghulurkan tangannya kepada Yasmin.

"Hai, Tiara sihat?" Sekadar berbasa basi. Disambut huluran itu dengan hati yang bengkak.

"Sihat. Err, dah berapa bulan?" Soal Tiara dengan teruja.

"Nak masuk 3 bulan." Yasmin masih menjawab sambil tersenyum pahit.

"Okaylah, kami mintak diri dulu. Bye..." Hans meminta diri sebelum membalas lambaian Tiara. Yasmin sudah lama mengangkat kaki meninggalkan Hans jauh di belakang. Terkocoh-kocoh lelaki itu mengejar langkah Yasmin yang sudah sampai ke kereta mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience