35

Romance Completed 60794

Azam mengeluh lalu memulas tombol pintu bilik yang menempatkan Yasmin dengan kecewa. Daun pintu ditutup rapat dari luar.

Dulang berisi nasi dan sedikit lauk pauk itu ditenung sekilas, lalu diletakkan di atas kerusi pelawat, di samping Harun, yang sedari tadi hanya menekur lantai koridor ruangan hospital berkenaan.

Lantas Azam melabuhkan punggungnya bersebelahan Harun sambil menepuk lembut bahu lelaki separuh abad yang menyepi tanpa kata itu.

"Dia tak makan lagi?" Soal Harun tanpa mengangkat kepala. Dia sudah tahu jawapannya. Azam hanya mampu mengangguk lemah.

"Azam baliklah dulu. Biar pakcik jaga Yas. Kamu pun mesti penat..." Terdapat getaran pada suaranya. Azam memalingkan wajah, memandang Harun yang masih tertunduk ke bawah.

"Takpe pakcik. Saya okay je. Pagi tadi Yas ada makan?" Harun menggeleng perlahan. Lantas Azam melarikan wajah, menatap muka pintu bilik yang diduduki oleh teman baiknya itu.

Sebagai seorang kawan, Azam berasa dirinya seakan tidak berguna sama sekali kerana tidak mampu membantu menyelesaikan masalah Yasmin. Apa gunanya kawan, kalau tak dapat nak tolong.

"Kita kena buat sesuatu. Sampai bila nak biarkan Yas jadi macam tu...Kesian Iz dekat rumah." Ujar Azam sambil menyerahkan dulang tadi kepada seorang jururawat yang barusan menghampiri mereka.

Wajah jururawat wanita tersebut kelihatan berkerut, mungkin hairan kerana makanan tidak terusik sama sekali, sama seperti hari-hari sebelumnya. Sudah tiga minggu Yasmin ditahan di wad kerana faktor emosi yang masih belum stabil.

"Dia tak makan lagi nurse. Takpe, nanti kitaorang cuba belikan makanan lain...kalau dia nak makan..." Jururawat berkenaan mengangguk perlahan sambil tersenyum tipis lalu melangkah meninggalkan mereka berdua di situ.

"Kamu nak pakcik buat apa lagi Zam? Minggu lepas kita ada tanya dekat dia, nak jumpa Hans ke tidak...Dia cakap taknak." Azam terdiam. Sudah dipujuk, malah dirayu supaya menerima ketentuan takdir dengan hati yang ikhlas.

Namun, Azam faham, sekadar berkata itu mudah, jika dibandingkan dengan kesakitan yang sedang dilalui oleh Yasmin. Fasa "move on" bukanlah semudah yang disangka. Lagi-lagi setelah memiliki anak. Rasa kehilangan itu makin terasa.

"Saya pun sebenarnya dah tak tahu nak buat apa dah pakcik. Saya buntu." Sudah 3 minggu Yasmin terkurung di dalam bilik rawatan. Langsung tidak mahu berjumpa dengan mana-mana orang, apatah lagi menjamah apa-apa. Seakan sedang menghukum dirinya sahaja.

Azam juga tidak menyampaikan perihal ini kepada Hans atas permintaan Yasmin. Nampaknya, dia terlalu membenci bekas suaminya. Mendengar namanya sahaja, Yasmin sudah melenting tidak tentu pasal. Namun, Azam tahu, jauh di dalam hati, Yasmin masih menyimpan rasa cinta terhadap Hans Ilham.

"Saya cuba slowtalk dengan..." Prang! Harun dan Azam berpandangan sesama sendiri, sebelum meluru masuk ke dalam bilik Yasmin.

"Ya Allah Yas! Kenapa tak panggil abah tadi. Kejap abah ambilkan air." Kepingan gelas kaca yang bersepai di bawah katil Yasmin dikutip satu persatu, sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

Sebotol air mineral dihulurkan kepada Yasmin. Wanita itu meneguk rakus air di dalam botol berkenaan sehingga tidak tersisa. Azam berasa lega.

Akhirnya, Yasmin mengisi perutnya walaupun sekadar air. Wajahnya yang semakin cengkung ditenung lama oleh Azam. Tiada seri dan kelihatan tidak bermaya.

Apa lagi yang perlu dia lakukan supaya bibir kusam itu mampu melorekkan senyuman manisnya kembali. Dia ada menghubungi Hans beberapa hari yang lalu, namun panggilannya tidak dijawab. Mesejnya juga tidak dibalas.

"Err, Yas nak makan apa-apa tak?" Tanya Harun sambil memperbetulkan kedudukan selimut pada tubuh Yasmin. Yasmin menggeleng perlahan.

Azam memberikan isyarat mata kepada Harun untuk meninggalkan mereka berdua buat seketika. Lelaki tua itu mengangguk lalu menuju ke arah daun pintu lalu beredar dari situ.

"Yas...jangan sedih lama-lama macam ni. Aku bosan takde kau." Kata Azam sebelum menghenyakkan punggung di atas kerusi pelawat, bersebelahan katil Yasmin.

"Iz rindu kau. Hari-hari dia tanya pasal mama dia. Dia cakap mama dia pandai masak." Entah apa-apa je yang dilalutnya. Bayi seusia beberapa bulan itu, mana boleh bercakap lagi.

Aduhaii...Namun, pancingnya mengena. Bibir Yasmin melorek senyuman halus. Mungkin tercuit dengan kata-kata Azam yang tidak masuk akal itu.

"Lepastu Iz cakap, dia teringin nak makan bihun sup air tangan mama dia...Kali ni, Iz nak sup dia sedikit pedas. Lepastu tambah lagi portion seafood dengan ayam dalam sup tu..." Hujung bibir Yasmin langsung terangkat. Namun, barisan giginya masih belum kelihatan. Argh, aku takkan menyerah. Aku akan pastikan kau senyum hari ni Yas! Tekad Azam.

"Iz jugak ada bagitau yang dia..."

"Dah-dahlah tu Zam. Tak payah nak merepek bagai. Budak tu baru berapa bulan." Azam terkedu. Akhirnya, Yasmin bersuara. Walaupun suara Yasmin kedengaran lemah dan sayu, namun sudah cukup memadai buat Azam. Janji dia bercakap!

"Hah, boleh pun bukak mulut." Perlian Azam dibalas dengan tamparan lembut pada bahunya. Yasmin menjeling sejenak sebelum mengalihkan pandangan ke arah tingkap. Suasana menjadi sunyi seketika. Masing-masing terdiam melayan perasaan sendiri.

"Zam, kahwin dengan aku. Aku sayang kau...cinta tu boleh dipupuk lepas kita kahwin. Dalam keadaan macam ni, aku tak yakin boleh besarkan Iz dengan baik. Hanya kau je tahu cara nak control mood aku. Aku perlukan seseorang untuk kawal aku dari terus hanyut dengan masalah lama. Aku nak move on Zam. Aku betul-betul nak move on..." Pandangan penuh harapan itu melekat pada wajah Azam yang sudah pucat lesi. Azam kehilangan kata. Pada masa yang sama, dirinya mula dilanda serba salah. Perlukah dia menolak dan menghancurkan lagi hati teman baiknya, atau terima walau hati sendiri akan terluka.

"Yas..."

"Kau je boleh tolong aku Zam... Kau jangan risau, aku takkan nakal-nakal macam dulu dah. Aku janji akan jadi isteri yang baik untuk kau, walaupun...walaupun aku dah pernah berkahwin sebelum ni..." Langsung tertunduk kepala Yasmin. Dia sedar tentang kekurangannya yang satu itu. Dia tidak sempurna. Namun, dia masih berharap Azam sudi membantunya demi Iz Hayath.

Yasmin mahukan seseorang untuk menemaninya semasa membesarkan Iz. Iz perlukan kasih sayang seorang ibu, namun dalam keadaan Yasmin yang tidak terurus ini, dia tidak percaya bahawa dirinya mampu memikul tanggungjawab yang satu itu dengan baik. Oleh itu, dia perlukan seorang pendamping untuk membimbingnya.

Dia akui, Azam memiliki ciri-ciri seorang suami yang baik dan bertanggungjawab, serta mampu membawanya keluar dari kemelut ini. Walaupun tiada sedikit pun rasa cinta terhadap lelaki berkenaan, namun Yasmin percaya, bahawa lambat laun rasa itu dapat dipupuk.

Azam masih membisu. Mengerah akal, berfikir baik dan buruk permintaan Yasmin. Dia simpati dengan nasib Iz, dia kasihan melihat Yasmin, lidahnya seakan tidak mampu mengatakan tidak kepada wanita itu. Apa yang patut dia lakukan?

Kalau aku terus terang, tentu keadaan Yas akan jadi makin teruk...apa yang patut aku buat ni? Atau patutkah aku terima sahaja? Dan setelah Yasmin sembuh, aku terus terang perihal aku dan si dia? Kusut! Terlalu sukar untuk membuat keputusan. Di sana dia, di sini Yasmin! Siapa yang patut dia pilih?

Agak2 korang, Azam terima tak?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience