Dari jauh, Hans merenung seorang gadis yang sedang rancak berbual sambil tersenyum manis bersama rakan-rakannya. Sudah menjadi kebiasaan gadis-gadis itu, meluangkan masa di kafe makanan ringan ini, sejurus selepas tamat kelas petang.
Suasana di kafe sedikit hiruk pikuk berbanding kebiasaannya, kerana kemasukan pelajar baharu yang berpusu-pusu mahu mengisi perut sebelum menghadiri kelas seterusnya. Namun, keadaan itu, sedikit pun tidak menganggu konsentrasi Hans dalam memerhatikan gadis yang berjaya mencuri hatinya beberapa hari yang lalu.
Perwatakan gadis yang mesra dan ramah itu membuatkan keinginan Hans membuak-buak untuk mengenalinya secara lebih rapat, atau dalam erti kata lain, ke tahap menjalinkan hubungan istimewa yang membawa kepada satu ikatan yang suci.
Perasaan aneh ini tidak pernah hadir dalam hidup Hans selama ini. Pertama kali bertentang mata dengan gadis polos itu, hatinya sudah benar-benar terpaut padanya.
Karakter dan gaya pembawakan dirinya yang menarik, betul-betul memikat Hans, sehingga tidak berkelip langsung kelopak matanya ketika itu.
Sudah lebih seminggu, dia mengekori dan memerhatikan setiap gerak geri gadis jelita itu. Ke mana dia pergi, di mana kelas harian dia diadakan, dengan siapa dia berkawan dan sehingga ke makanan yang sering dia pesan di kafe juga, Hans tahu.
Sebegitu cekap dan tangkas dia melakukan kerja intipannya tanpa pengetahuan sesiapapun, kecuali teman-teman rapatnya sahaja yang maklum mengenai hal ini.
Alisa Maisara, gadis secantik namanya. Sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Universiti Sumatera Utara Medan, Hans Ilham merupakan orang pertama yang bertembung dengannya, sehinggakan hatinya turut sama dicuri oleh tatapan tajam lelaki itu. Tatapan yang penuh dengan sifat ego dan kelelakian, namun cukup kuat menjalarkan satu rasa aneh yang indah dalam diri Alisa.
Pada mulanya, dia merancang untuk menyambung ijazah dalam bidang perguruan sebelum niat itu dihalang oleh ibunya secara bulat-bulat kerana terlalu mengharapkan anak bongsunya itu bergelar seorang doktor. Demi ibunya, Alisa memilih untuk mengorbankan cita-cita asal, iaitu menjadi seorang pendidik anak bangsa.
Bila difikirkan semula, kerjaya kedoktoran juga tidak jauh bezanya dengan perguruan, kerana bidang tugasnya mewajibkan Alisa untuk terus berurusan dan berbakti kepada masyarakat serta mengendali kebajikan seorang manusia yang merangkumi kesihatan serta nyawa mereka sendiri.
Oleh itu, Alisa tidak berasa kecewa mahupun kesal terhadap ibunya, kerana terpaksa memilih bidang ini malah, dia menerimanya, dengan hati yang terbuka.
Alisa sedar, dirinya sering menjadi perhatian Hans, senior tahun ketiga yang agak terkenal di fakulti mereka angkara sikap barannya. Pantang hak miliknya disentuh atau disakiti, pasti akan melenting dan berani melakukan apa sahaja demi menuntut bela ke atas perbuatan si pelaku.
Belasah, terajang, menumbuk sehingga retak tulang temulang, merupakan hukuman yang sering diberikan Hans kepada mana-mana pihak yang sengaja mencari masalah dengan dirinya atau teman-temannya. Pernah beberapa kali, pengetua fakulti memberikan peringatan kepada Hans, namun ianya langsung tidak diambil peduli oleh lelaki berhati kering itu.
Namun, dalam barannya, masih terselit sifat penyayang dalam diri Hans, yang hanya diketahui oleh orang terdekat sahaja. Hans sentiasa ada bersama teman-temannya di saat mereka membutuhkan pertolongan. Dia juga disegani oleh pelajar-pelajar perempuan di sana, kerana sifatnya yang sopan dan sering menghormati golongan wanita sama ada yang muda mahupun yang tua.
Alisa juga, secara diam, terjatuh hati terhadap Hans Ilham. Siapa sahaja tidak mahu lelaki seperti itu menjadi pasangan istimewa mereka. Hans juga bergelar seorang atlet dan pelajar cemerlang dalam universiti. Sering menjadi pujian para pensyarah perubatan sehinggakan ada yang menawarkan anak mereka untuk menjadi kekasih Hans Ilham.
"Wei, Hans! Kalau dah suka tu, gitau jelah. Kang kena kebas, baru kau tahu. Rata-rata budak perempuan kat sini, semua dah berpunya. Better you make a move a bit faster." Darwin menyuarakan pendapat. Hans masih berdiam diri. Mata masih melekat ke arah kumpulan pelajar perempuan yang sedang rancak berbual selang beberapa buah meja di belakang mereka. Hans melepaskan keluhan. Bukan dia tidak berani melafazkan isi hatinya kepada gadis itu, namun, dia bimbang, Alisa akan salah sangka. Macam mana kalau dia ingat aku ni pervert? atau playboy?
"Apa nama budak tu?" Soal Hans kepada Darwin. Darwin juga merupakan antara pelajar yang terkenal di universiti ini. Dia juga, bergelar senior dan junior yang paling berpengaruh. Jadi, mustahil jika dia tidak tahu nama-nama para pelajar tahun pertama yang baharu mendaftarkan diri ke sana pada 2 minggu lepas.
Namun begitu, Darwin sentiasa bersama kumpulannya yang diketuai oleh Hans, dan ahli-ahli yang lain iaitu, Farul, Raj, Li Een, Hairul, Azirul dan Hari.
"Alisa...Alisa Maisara. Orang loaded jugak tu. Sesuailah dengan kau. Kau pun loaded gak." Balas Darwin sambil terkekeh namun langsung terdiam saat menyedari jelingan tajam daripada Hans. Hans jenis pantang jika orang perempuan dijadikan bahan jenaka atau bahan bualan.
"Alisa...Lisa..." Tersenyum sendiri kala hati semakin mekar dengan bibit-bibit cinta yang semakin indah berbunga dalam hati.
**********
"Korang dah ready ke belum?" Hans menahan rasa gugup yang kian memuncak dalam jiwa. Apa tidaknya, dia mahu melamar kekasih hatinya setelah 3 minggu perkenalan mereka. Tidakkah jangka masa itu terlalu singkat untuk mengungkapkan rasa cinta terhadap seseorang? Namun, kerana ugutan Darwin dan yang lain, dia terpaksa akur dan merancang untuk menjelaskan tentang perasaan sebenarnya terhadap gadis itu pada malam ulang tahunnya yang ke-22. Harap sahaja, idea yang diberikan oleh teman-temannya menjadi.
"Semua settled. Tunggu kau je sekarang ni." Raj menjawab. Hans lantas mengangguk sambil memegang dadanya yang berdebar. Perasaannya persis menunggu keputusan peperiksaan akhir tahun.
"Cepatlah! Nanti dia masuk kolej, tak leh nak buat apa." Darwin menolak tubuh Hans untuk masuk ke dalam perkarangan asrama yang didiami oleh pelajar wanita. Hans hanya menurut seperti lembu yang dicucuk hidung. Telefon bimbit dikeluarkan, lalu dia menghantar pesanan ringkas kepada Alisa.
-Hans-
Hi, boleh keluar kejap? Ada hal sikit nak cerita.
Selang beberapa minit, Alisa keluar dari dalam biliknya lalu turun ke bawah.
"Hi, Hans. Ada apa awak nak jumpa saya?" Alisa bertanya sambil tersenyum. Hans pula membatu seakan patung. Ketika itu, lidahnya benar-benar tidak mahu bekerjasama dengan otaknya.
"Hans? Awak okay tak?" Alisa melambaikan tapak tangannya di hadapan wajah beku Hans. Belum sempat beberapa saat mereka dalam kedudukan itu, tiba-tiba seluruh penghuni asrama pelajar perempuan termasuk Hans dan Alisa tersentak dengan bunyi letupan yang begitu kuat dari luar asrama pelajar lelaki. Pelajar-pelajar perempuan mula meluru keluar ke koridor sambil melilau melihat sekeliling. Begitu juga dengan Alisa.
"Aa...apa semua ni Hans?" Kedengaran bunyi siulan dan sorakan dari asrama lelaki dan asrama perempuan silih ganti. Dia menunduk melihat Hans yang melutut di hadapannya bersama sebentuk cincin emas.
"Alisa, sa...saya sukakan awak. Will you marry me? Eh...tak, tak. Maksud saya, memang saya nak kahwin dengan awak pun, tapi bukan sekarang. Err...Alisa, will you be my other half? I cintakan you." Lantas Alisa menekup wajahnya yang sudah merona. Tanpa berfikir panjang, Alisa mengangguk setuju diikuti pula dengan suara sorakan dan bunyi tepukan tangan yang gemuruh dari para pelajar yang menyaksikan mereka.
"Yayy! Wei, Alisa dah terima Hans!" Sementara, kawan-kawan Hans sudah berpelukan sebelum masing-masing lari lintang pukang tidak cukup tanah apabila beberapa orang pengawal keselamatan menghampiri mereka. Mana taknya, dah mereka menghidupkan mercun bola di kawasan asrama. Sudah pasti perbuatan itu mampu mendatangkan bahaya kepada orang lain terutamanya para pelajar. Ikutkan, tiada siapa yang tahu tujuan mereka membakar mercun bola itu. Seperti tiada kegunaan langsung.
"I love you too, Hans." Ucap Alisa lalu membalas genggaman Hans. Hatinya berbunga-bunga saat itu walaupun, lamaran Hans didahului dengan kejutan yang hampir menggugurkan jantungnya. Nasib umurnya masih panjang. Hadiah ulang tahun yang terlalu istimewa sepanjang hidupnya.
"I love you too." Tersipu Hans sambil menunduk. Mengalahkan perempuan perangai. Sedangkan Alisa pun, tidak semalu itu.
Share this novel