Azam menggali nafas sedalam yang boleh bagi mengimbangi rentak nafasnya yang kian sesak angkara Yasmin. Terasa air liurnya bergumpalan di sebalik kerongkong.
Hal itu terjadi, akibat kegelisahan yang semakin gian menghimpit dirinya kerana terpaksa memecutkan kenderaan demi mengejar Myvi Yasmin yang sudah jauh ke hadapan. Tidak pernah sepanjang hidupnya, Azam memandu dalam kelajuan sebegini. Rasa seperti sedang terbang di atas langit sahaja...
Telinganya dapat menangkap bunyi hon dari beberapa buah kenderaan, sehingga beberapa pengguna jalan raya yang lain mula melemparkan kata-kata kesat ke arah kereta yang sedang dipandu oleh Yasmin yang langsung tidak mahu memberhentikan keretanya.
"Ish, dia tak angkat lagi!" Getus Azam sambil membaling telefon bimbitnya ke arah tempat duduk penumpang di sebelah.
Dia sudah mengagak sejak berada di dalam kafe lagi, bahawa emosi Yasmin kelihatan tidak stabil. Pasti meroyan ni! Aku agak dah, mesti minah ni akan buat hal punyalah! Stereng dihentak sekuat hati bagi melampiaskan kemarahan.
Ishhh!!! Kau ni Yas, tak habis-habis buat masalah! Bebelnya lalu memberikan isyarat untuk menukar arah perjalanan.
Rembesan air mata yang tidak henti mengalir membasahi pipi dikesat dengan belakang tangan. Hatinya bagai disiat-siat dan diselongkar isinya tanpa izin, tiap kali teringatkan insiden di taman petang tadi.
Dia benci Hans Ilham. Dia benci Alisa! Dia benci kedua manusia yang tidak berhati perut itu. Gigi diketap sekuat hati sementara pedal minyak dipijak sepantas yang dia mahu keretanya bergerak.
Kewarasannya sudah hilang entah ke mana. Pekikan manusia serta jeritan hon dari kenderaan-kenderaan di jalan raya seakan tidak menyentuh deria pendengarannya pada saat ini.
Yasmin berhalusinasi. Rohnya seakan berlegar-legar di ruang angkasa. Dia betul-betul memerlukan ketenangan, atau paling tepatnya ketenangan mutlak di mana dia tidak perlu lagi meratapi keretakan rumah tangganya bersama Hans Ilham.
Esakan semakin nyaring kedengaran pada saat dia memotong sebuah lori di hadapan tanpa berfikir panjang. Lantas pemandu lori berkenaan membunyikan hon beberapa kali sebelum menyumpah seranahkan Yasmin.
Yasmin buat tidak endah sahaja. Orang tidak akan faham tentang perasaannya. Dunianya sudah kelam. Sudah tembus, sudah tenggelam dibawa arus pengkhianatan oleh manusia yang paling dia percayai dan cintai. Mengapa setega itu Hans memperlakukan dirinya?
"Ya Allah Yas!" Terpejam rapat kelopak mata Azam pada saat kereta yang dipandu oleh teman baiknya itu hilang kawalan lalu merempuh tembok penahan jalan.
Bunyi dentuman yang agak kuat itu memeranjatkan beberapa pemandu lain sebelum mereka menghentikan kenderaan masing-masing di bahu jalan.
Begitu juga dengan Azam. Dia terus meluru ke arah Myvi yang sudah tersadai di atas jalan. Pintu kereta yang sudah kemek akibat hentaman pada tembok itu ditarik sekuat hati sehingga terbuka.
Tubuh Yasmin yang terbaring kaku tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu segera dibawa keluar. Tanpa melengahkan masa, Azam terus membawa masuk Yasmin ke dalam tempat duduk penumpang belakang keretanya lalu bertolak ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.
Lebih 3 jam Yasmin berada di dalam bilik rawatan. Nasib sahaja dia tidak mengalami kecederaan parah.
Hanya sedikit hentakan pada kepala dan beberapa bahagian anggota badan sahaja. Azam menarik nafas lega saat mendengar pesanan daripada seorang pakar yang barusan keluar dari bilik rawatan Yasmin.
"How is she doctor?" Harun terus menghampiri pakar berkenaan dengan pandangan redup. Hampir sahaja mengalami serangan jantung ketika Azam menghubunginya beberapa jam yang lalu mengenai keadaan Yasmin.
"She is completely fine. As i said before, she just need to be examined. Sebab dia takde kecederaan pada luaran, but dalaman, who knows right? Your daughter can discharge petang esok." Doktor lelaki berbangsa India itu berlalu meninggalkan mereka bertiga di ruangan menunggu, bersama senyuman tipis.
"Alhamdulillah, Ya Allah...Yas takde apa-apa." Ujar Harun sambil memeluk Wahida yang sudah teresak dalam dakapannya. Azam hanya memerhati sambil melepaskan keluhan. Haih, Yas...
"Pakcik dengan makcik, baliklah dulu. Biar Azam jaga Yas kat sini." Kasihan juga melihat wajah kedua ibubapa Yasmin yang layu dan kelihatan tidak bermaya itu. Pasti merisaukan keadaan satu-satunya anak perempuan mereka.
"Takpe Zam. Biar makcik je jaga Yas malam ni. Tak elok kamu temankan dia. Nanti boleh jatuh fitnah." Balas Wahida. Dia mengerling ke arah suaminya. Harun turut mengangguk, menyetujui kata-kata isterinya.
"Kalau macam tu, saya minta izin dulu ye makcik, pakcik. Apa-apa hal, terus call saya. Assalammualaikum." Harun dan Wahida membalas serentak salam itu.
Prang! Arghh!!!
Belumpun selangkah Azam jejak ke bumi, tiba-tiba mereka bertiga dikejutkan dengan bunyi kaca pecah dan jeritan dari dalam bilik Yasmin. Langsung Harun dan Azam berlari ke arah bilik berkenaan lalu merempuh masuk ke dalamnya sebelum terlopong kekagetan. Masing-masing beku tanpa kata.
"Yas! Letak kaca tu kat bawah sekarang!" Arah Azam sambil melirik ke arah Harun. Wahida yang baru sahaja masuk terbeliak matanya melihat keadaan Yasmin di hadapan. Dia kehilangan diksi. Lidahnya kelu serta merta.
"Keluar! Keluar! Aku taknak dengar apa-apa! Laki aku sendiri dah taknak kat aku. Lelaki yang aku sayang, aku cinta, dah taknak kat aku! Apa gunanya aku hidup lagi kat dunia ni? Semua orang dah tak sayangkan aku!" Teriak Yasmin sambil mengacukan kepingan gelas kaca yang sudah pecah itu pada nadi lehernya.
"Yas, bawa bertenang. Buang kaca tu dulu. Boleh terluka nanti nak." Wahida mara selangkah ke hadapan sambil memandang sayu wajah Yasmin. Dia risau Yasmin akan mencederakan dirinya. Namun, Yasmin malah berundur ke belakang, tidak mahu sesiapa mendekatinya pada ketika itu.
"Taknak! Suami aku sendiri pun dah benci dengan aku! Aku taknak dengar cakap siapa-siapa dah! Aku benci Hans! Aku benci betina tu! Betina tu rampas Hans daripada aku!" Kata Yasmin dalam tangisan. Mereka bertiga terus terdiam. Rasa agak terpukul dengan butir kata Yasmin yang kedengaran memilukan.
"Yas...tak baik cakap macam tu. Jodoh tu kan rahsia tuhan..." Wahida cuba menenangkan Yasmin.
"Diam! Aku cakap diam, diamlah! Mak tak tahu apa-apa!" Berdesing telinga Azam tika itu. Dia terkejut melihat perubahan drastik sebegitu pada diri Yasmin. Semarah-marah Yasmin, jarang dia menengking ibu atau bapanya. Hal itu membuatkan Harun dan Wahida terkedu. Yasmin berundur setapak lagi ke arah penjuru biliknya.
"Abang...Yas rindu abang. Yas rindu...Kenapa buat Yas macam ni...Yas datang sana nak mintak maaf je. Kenapa abang peluk perempuan tu...Kenapa!" Tubuhnya disandarkan pada dinding. Perlahan tangannya jatuh ke bawah, dan genggaman pada kaca itu turut terlepas sama.
"Yas...Yas bawak bertenang. Kau masih ada aku, mak, abah...Iz perlukan kau Yas." Azam berteleku di hadapan Yasmin sambil mengusap rambutnya. Tubuh itu lalu didorong menuju ke arah katil. Beberapa orang jururawat dan dua orang pakar bergegas masuk ke dalam bilik mereka.
"What had happened?" Soal doktor berbangsa India yang bernama, Raj itu. Pandangannya jatuh pada kepingan kaca yang bersepai di atas lantai. Kini, tahulah dia apa yang sudah terjadi. Bukannya dia tidak biasa dengan keadaan sebegini. Bermacam-macam jenis pesakit yang dia temui setiap hari.
"Cik Yasmin, sebelum kamu bertindak melakukan apa-apa perkara yang boleh mendatangkan kecederaan kepada diri kamu, saya mohon, cik fikirlah buat kedua kalinya. Cik ada anak yang perlukan kasih sayang cik." Kata salah seorang jururawat. Yasmin lalu dibaringkan ke atas katil sebelum Doktor Raj dan Doktor Hilmi memeriksa keadaan dan bacaan nadi Yasmin.
"Kita bincang di luar. Biar pesakit berehat dulu." Kata Doktor Raj.
"Saya rasa, Cik Yasmin perlukan sokongan moral dan kata-kata semangat daripada ahli keluarga dan teman rapat. Dalam keadaan macam ni, she needs some help from people around her. Jangan buat dia stres atau rasa terbeban." Pesan Doktor Hilmi sebelum Harun mengangguk lemah. Begitu juga dengan Azam yang menjadi pendengar. Wahida pula terdiam sambil menekur lantai.
"Dan pihak hospital akan sentiasa memantau keadaan Cik Yasmin. Lepas apa yang dah jadi hari ni, rasanya kena ada orang yang selalu tengok-tengokkan. Tadi, jururawat dah bagi ubat penenang." Sambung Doktor Raj pula.
"Baik doktor. Terima kasih." Ucap Harun. Kedua doktor berkenaan berpamitan lalu meninggalkan ruangan koridor tersebut.
maaf ye...saya terpadam chap ni...huhu..saya reupload balik...sorryyyyyyy sekali lagi
Share this novel