Selepas kepulangan keluarga mertuanya, Hans Ilham menghampiri Yasmin yang sedang menyusukan anak mereka. Wajah Iz Hayath yang sudah redup itu dilirik sekilas oleh Hans sebelum dia melabuhkan punggungnya bersebelahan Yasmin.
Pasti si kecil itu masih mamai kerana sewaktu ibu dan bapa mertuanya datang melawat pagi tadi, anak itu sedang nyenyak tertidur. Kasihan kerana lenanya terganggu lantaran bunyi bising yang terhasil daripada suara-suara orang di situ.
Hans turut perasan di mana Yasmin hanya mendiamkan diri saat semua ahli keluarga mereka rancak berbual dengan mesra. Wanita itu juga kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu dan berada dalam dunia sendiri.
Sejak balik dari hospital tempoh hari lagi, Yasmin sudah jarang berkomunikasi dengan Hans seperti selalunya. Wanita itu malah sering tidur di bilik Harsha dengan alasan, Harsha mahu bermain bersama Iz. Hans terpaksa akur dan benarkan sahaja.
Mungkin Yasmin perlukan waktu dan sedikit ruang untuk menenangkan diri. Orang yang baru bersalin ini, kadang-kadang emosi dan mental masih belum stabil sepenuhnya. Jadi, para suami, seeloknya, menghormati dan memberikan masa dan ruang kepada mereka untuk memulihkan keadaan.
"Kuatnya anak papa minum susu...sedap ek susu ibu?" Pipi gebu itu dicuit lembut. Yasmin masih seperti tadi. Tertunduk sambil termenung sehingga tidak menyedari bayi Iz mula menolak tubuhnya menjauh.
Mungkin dia sudah kenyang namun Yasmin berterus-terusan memasukkan putingnya ke dalam mulut Iz kerana fikirannya terhala ke arah lain. Hans memegang bahu Yasmin dengan lembut sebelum dia menoleh dengan pandangan hairan.
"Iz dah kenyang agaknya. Dia tolak tu..." Katanya dengan perlahan. Lantas Yasmin mengangguk lalu meletakkan Iz ke dalam katil bayi lalu membutangkan baju dalam menyusunya.
"Sayang ada apa-apa nak share dengan abang?" Hans menyoal sambil merapikan baju tidur Yasmin yang sedikit berkedut dengan tangannya. Yasmin mengemam mulut sekaligus melarikan anak matanya. Sukar untuk diungkapkan apa yang sedang dia rasakan pada ketika ini.
"Kalau saya mintak sesuatu, awak akan tunaikan?" Hans terpana dengan gaya Yasmin mengelar dirinya. Dia marah dekat aku ke? Tapi sebab apa?
"Sayang nak apa? Cakap je dekat abang... abang akan cuba tunaikan." Berdebar memikirkan apa yang bakal isterinya minta. Ada rasa tidak enak dalam sanubarinya. Jangan dia minta yang bukan-bukan sudahlah...
"Boleh awak ceraikan saya?" Bagai ada batu yang menghempap jantung Hans setelah ayat itu terpacul dari mulut Yasmin. Dia terkedu. Terkejut sehingga dia tidak tahu hendak membalas apa.
"Saya...saya taknak teruskan perkahwinan kita. Saya tak bahagia." Tambah Yasmin. Raut wajah yang serius itu menjelaskan segalanya bahawa wanita itu terlalu nekad dengan kata-katanya dan bukannya sedang bermain.
Fikiran Yasmin masih dikuasai dengan peristiwa di hospital tempoh hari. Dia yakin, suaminya mempunyai hubungan dengan bekas kekasihnya. Dan Yasmin, tidak mahu menjadi mangsa keadaan lagi. Biarlah dia berundur demi ketenangannya sendiri.
"Sayang...apa lagi yang tak kena dengan abang? Cuba sayang beritahu...mungkin abang boleh perbaiki...please dont do this to me again. Abang sayangkan Yas dengan anak kita." Hans memujuk dengan lembut. Dia penat dengan drama yang sama. Baru sahaja ingin mengecapi rasa bahagia bersama isteri dan anak tercinta, malah ada masalah baru pula yang timbul. Sungguh dia penat.
"Pasal Iz, awak tak perlu bimbang. Saya takkan pisahkan dia daripada awak. Awak boleh datang jumpa dia bila-bila masa je awak nak. Cuma, tolong lepaskan saya." Yasmin lantas mencabut cincin pernikahan mereka, lalu cincin itu diletakkan di atas riba Hans. Hans terkedu dengan perbuatan itu.
"Sebab apa Yas nak cerai ni? Ada fikir tak pasal masa depan Iz? Boleh tak jangan buat keputusan bodoh macam ni?!" Hans mula hilang sabar.
"Sebab saya cintakan Azam. Saya nak Azam jadi suami saya dan bukannya awak." Lancar sekali ayat itu diungkapkan oleh Yasmin. Biar kau tahu rasa diduakan.
Hans kaku. Jiwanya kembali kacau dengan pengakuan Yasmin. Tidak mungkin! Adakah dia terlepas pandang mengenai hal ini? Mengapa baru sekarang dia berterus terang? Hans menatap tajam wajah kendur Yasmin.
Kaum wanita memang sudah tiada rasa kesetiaan dalam diri mereka lagi ke? Mengapa perlu mempermainkan hati dan perasaan pihak tidak bersalah jika dari awal lagi sudah terlanjur mencintai orang lain! Emosi Hans mula menjadi tidak menentu.
"Sejak bila? Since when korang bercinta?" Terhinjut bahu Yasmin saat dirinya dilengking kasar oleh Hans. Dia tidak suka berhadapan dengan kemarahan Hans. Lelaki itu boleh berubah 360 darjah jika sedang dikuasai kemarahan.
"Dah...dah lama." Jawabnya dengan tergagap-gagap. Gugup dengan pandangan mata Hans yang begitu mengerunkan terhadapnya.
"Sanggup kau tikam belakang aku?" Yasmin menundukkan kepala. Tiada siapa yang tikam belakang kau Hans. Jangan pura-pura baik. Aku sendiri dengar semua pengakuan kau pada perempuan tu semasa di hospital. Kau masih sayangkan kekasih lama kau kan...pergilah. Aku lepaskan kau untuk dia. Semoga kau berbahagia dengan dia.
"Tak perlu perbesarkan masalah ni lagi Hans. Saya nak berpisah secara baik. Lepas Azam balik nanti, kami akan uruskan perkahwinan kami. Lagipun, saya rasa, awak pun mesti taknak hidup dengan perempuan curang macam saya ni kan? Jadi, kita berpisah je." Dengan berani Yasmin bersuara walaupun pada dasarnya dia bimbang, kemarahan Hans akan meletus.
"Seronok tipu suami selama ni?" Soal Hans dengan sinis. Namun masih terdapat getaran pada suaranya. Mungkin sedang menahan diri daripada menangis di situ.
"Lepas aku lafazkan cerai, tiada lagi tempat buat kau dalam hati aku, dan aku taknak tengok lagi muka kau kat sini." Yasmin memejamkan mata. Dengan sukar, dia menahan air mata daripada mengalir tika itu. Inikah yang dia mahu? Hati terlanjur mencintai lelaki itu, sehingga terasa perit dan pedih jiwanya mahu menelan kata-kata Hans Ilham yang menusuk kalbunya. Apakah, Hans bakal membenci dirinya selepas ini? Ah, biarkan! Sedangkan dia sendiri tidak bersikap setia terhadap aku, kenapa aku pula kena tetap berdiri teguh disampingnya?
"I wont disturb you ever again." Yasmin menoleh ke arah Hans. Langsung Hans bangun dari birai katil lalu menuju ke arah muka pintu.
"Yasmin Zahirah, aku ceraikan kau dengan talak satu." Sejurus melafazkan lafaz cerai, Hans keluar dari bilik mereka. Memberi ruang kepada dirinya, dan juga Yasmin, untuk mengemas apa yang patut sebelum keluar dari rumah itu. Perempuan curang, tidak patut ada dalam hidupnya lagi. Kini, hidup aku hanya untuk Iz Hayath semata-mata.
Yasmin terus menghamburkan tangisnya di atas lantai. Kali ini, dia pasrahkan sahaja hubungan mereka retak angkara orang ketiga. Biar aku yang berundur. Cukuplah kalau kau bahagia.
Tersedu sedan sambil menyeka air mata. Tubuh yang terasa lemah itu digagahkan untuk berdiri dan segala barang-barangnya dikemas lalu dibawa keluar bersama Iz Hayath dalam gendongannya.
"Eh, Yas...nak ke mana tu?" Harsha sedikit terkejut. Dia yang sedang tersandar pada bahu sofa, lantas menoleh ke arah Yasmin. Wajah sugul Yasmin juga mencetuskan tanda tanya.
"Kak chik, mak, abah. Yas, mohon maaf jika selama Yas tinggal kat rumah ni, Yas ada terkasar bahasa atau pernah mengecilkan hati mana-mana pihak. Halalkan makan minum Yas selama ni. Yas...Yas...minta maaf. Yas dah tak mampu nak teruskan hidup bersama Hans. Kami dah bercerai. Iz akan Yas jaga. Tapi, Yas benarkan kalau mak atau abah nak jaga Iz sehari dua. Yas minta diri dulu. Assalammualaikum." Bagasi beroda ditarik sayu menyelusuri ruang tamu sambil disaksikan oleh kedua ibu dan bapa mertuanya bersama Harsha.
"Yas! Tunggu dulu. Apa yang dah jadi sebenarnya ni? Cerai? Tapi...tapi kenapa? Cuba terangkan dekat mak dengan abah..." Fauziah mencelah sambil mengenggam lengan Yasmin.
"Kami dah bercerai mak. Tak elok Yas tinggal kat sini lagi. Yas harap mak dengan abah faham. Antara Yas dengan Hans, tiada jodoh lagi. Maafkan Yas mak...maafkan Yas." Tangan tua itu ditarik lalu dicium lama bersama linangan air mata yang tidak henti-henti mengalir.
"Ya Allah...apa yang dah jadi dengan kamu berdua ni Yas..." Fauziah teresak sambil mendakap erat tubuh Yasmin. Harsha membisu seribu bahasa, tidak mampu menerima semua kata-kata Yasmin. Apa yang telah terjadi sebenarnya? Bukankah sebelum ini, segalanya kelihatan baik-baik sahaja? Apa punca mereka memilih jalan ini? Pelbagai persoalan bermain dalam fikiran Harsha.
maaf lambat update ye...Author baru sembuh dari demam...kalau ada kesalahan tatabahasa, harap maaf ye. Nanti saya betulkan semula. Happy reading ^^
Share this novel