13

Romance Completed 60794

"Kamu ni pun satu, kenapa pergi masuk dalam bilik orang tanpa mintak izin dulu?!" Meremang bulu roma Harsha angkara tempikan ibunya. Hanya mampu tertunduk merenung lantai dapur sambil mengira bilangan jubin yang terdapat di ruangan itu. Berdesing telinga mendengar ceramah percuma daripada Fauziah. Aduh...bila nak berhenti berleter ni? Rungut Harsha.

"Betul tu Sha. Lain kali cuba ketuk pintu tu dulu, kalau masih takde jawapan, panggil mak atau abah. Jangan sesuka hati je terjah masuk dalam bilik orang. Kalau orang tu bujang macam kamu ni, takpe lagi. Tapi kalau orang tu dah kahwin, jangan buat macam tu." Berbahang cuping telinga Harsha dibuatnya. Silih ganti menerima teguran pedas. Selepas ibunya, kini bapanya pula yang mengambil alih. Bola mata mula mencari kelibat abang bertuahnya yang langsung tidak menyelamatkan keadaan. Tak guna kau Hans!

20 minit yang lepas, Harsha menyerbu masuk tanpa izin ke dalam bilik tidur Hans Ilham. Hal ini terjadi akibat dia terdengar suara jeritan abangnya dari dalam bilik. Bukannya Harsha tidak berfikir tentang baik buruk menerjah masuk ke dalam bilik tidur orang lain, yang sudah semestinya menjadi kawasan persendirian buat individu tersebut, namun jeritan itu membuatkannya mula terbayang perkara yang bukan-bukan sehingga dia terpaksa mengambil keputusan terburu-buru sebegitu.

Sebaik sahaja menapak masuk ke dalam, Harsha dikejutkan dengan pemandangan yang kurang menyenangkan sehingga dia terkaku tanpa kata. Tubuhnya seakan terlekat di atas lantai bilik abangnya.

Dalam sejarah hidupnya, ini kali pertama dia melihat penampilan Hans yang cukup memalukan itu. Abangnya sedang terbaring di atas lantai sambil menekup celah kangkangnya. Di sampingnya pula, terdapat sehelai seluar joggers yang terdampar elok tanpa tujuan. Nasib sahaja, boxer milik Hans masih terletak elok pada punggung montoknya.

Sementara Yasmin, sedang terkebil-kebil menatap Harsha sambil membetulkan kedudukan tali gaun malamnya pada bahu. Angkara itu, fikiran Harsha mula tercemar dengan adegan-adegan panas 18+ yang berkemungkinan cuba dilakukan oleh abang dan Yasmin sebelum dia masuk ke dalam bilik itu.

Tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran Harsha, bahawa dia bakal disajikan dengan pemandangan sebegitu rumit sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik abangnya. Mana tak terkejut kau, 27 tahun tak pernah tengok kegiatan-kegiatan macam ni depan mata, tiba-tiba hari ini, boleh ternampak tanpa sengaja.

"Dengar tak apa yang abah kamu cakap tu?" Soal Fauziah dengan keras. Selepas ini, giliran Hans pula diceramahkan. Selalu bikin masalah!

"Haa, faham...faham." Balasnya acuh tidak acuh. Sempat memutar bola mata ke atas dengan sebal. Menyesal pulak gi masuk dalam bilik makhluk ni!

"Hans!" Bentak Fauziah tiba-tiba sehingga terhinjut bahu Hans akibat tersentak.

"Ya, mak?" Terkedip-kedip kelopak matanya melihat si ibu. Awat nama aku kena petik ni?

"Siapa bagi kamu kebenaran nak lempang muka Yasmin semalam?" Terlongo mulut Hans Ilham. Mula mengerah akal mencari alasan yang kukuh untuk membela diri. Menggeletar tulang kaki saat menyedari pandangan menikam daripada bapanya.

"Hans...Hans tak sengaja mak. Hans hilang sabar bila Yas tengking Hans." Jawabnya dengan perlahan. Tenggelam timbul nada suara Hans. Dari tepi, kelihatan Harsha sedang mengetawakan dirinya tanpa suara. Tak guna punya adik!

"Dahtu, kalau kena tengking, tak boleh ke kamu nasihat elok-elok? Kamu ingat isteri kamu tu anak patung? Takde perasaan? Dahlah duk mengada-ngada dengan si Tiara tu semalam. Sampai bini sendiri pun kamu tak nampak. Duk suap menyuap depan orang ramai. Ada kamu fikir pasal maruah isteri kamu? Apa perasaan dia masa tengok kamu bergelak ketawa dengan perempuan lain...Macam mana kalau Yas yang buat benda macam tu depan kamu...Maunyer tak melenting nanti." Sindir Fauziah. Khalid dan Harsha hanya menyaksikan sesi perbahasan itu.

"Mak!" Naik seoktaf nada Hans. Tidak suka melihat isterinya bermesra bersama lelaki lain, apatah lagi membayangkan Yasmin dalam pangkuan orang lain selain dirinya.

"Hah, tahu pun marah. Dahtu, buat gitu ke bini, tak ke sedih hati dia tu nanti. Dengan mengandung lagi. Mengandung bukan anak laki lain, anak kamu jugak. Ada kamu layan dia semalam? Macam ni jelah Hans. Mak dengan abah pun dah malas nak masuk campur. Lagi-lagi dengan perangai kamu yang terlalu menjunjungkan ego. Kamu kahwin jelah dengan si Tiara tu. Daripada ke hulu ke hilir dengan dia." Dengan tegas Fauziah menyuarakan pendapat sehingga Harsha dan Hans mula berpandangan sesama sendiri dengan hairan. Harsha lantas menggeleng laju tanda tidak bersetuju dengan cadangan ibunya. Gila nak suruh abang kahwin dengan anak si Rafidah mulut puaka tu...

"Mak merepek apa ni? Mak abah sendiri tahukan, Hans anggap Tiara macam adik Hans. Tak pernah terlintaslah dalam fikiran nak kahwin dengan dia. Hans kenal Tiara sejak bayi mak. Mak sendiri kan yang jaga dia dulu. Hans yang tolong mandikan, pakaikan baju untuk dia. Dia...Ya Allah, Tiara adik Hans mak!" Marah Hans. Kenapa susah sangat dia orang semua ni nak faham, yang aku layan Tiara macam adik aku, tak lebih dari itu.

"Kalau macam tu, kurangkan bergaul dengan dia. Dia bukan budak kecil lagi Hans. Dah 22 tahun. Lepasni bakal jadi isteri orang lain. Kamu angkut dia ke hulu ke hilir, kamu rasa orang luar tahu ke pasal hubungan kamu dengan dia? Boleh jatuh fitnah Hans. Tiara tu lagilah, kena cop sebagai penyondol pulak nanti. Kamu nak macam tu? Ada kamu fikir pasal semua ni Hans? Tiara tu perempuan. Kalau ye pun nak jumpa Tiara, bawak sekali Yas." Pesan Fauziah lagi.

"Yelah. Hans faham." Jawab Hans dengan lemah. Aku jugak yang kena mengalah.

"Lagi satu, untuk apa kamu belikan si Tiara tu handphone?" Terkedu Hans Ilham dengan soalan yang satu itu.

"Lah...sebab birthday Tiara hari tu. So Hans bagilah hadiah." Jujur. Sememangnya setiap kali ulang tahun gadis itu menjelma, pasti Hans akan membelikan sesuatu buat Tiara.

"Ada dia mintak?" Sinis intonasi Fauziah ketika itu. Ditilik reaksi anaknya atas bawah dengan geram.

"Err, takde." Hans melarikan pandangan. Sudah boleh bau soalan seterusnya yang bakal diajukan oleh Fauziah.

"Kenapa tak belikan Ipad untuk Yas?" Hans terdiam sebelum menarik nafas dalam.

"Mak! Mak fikir logik. Tiara tu student lagi. Bukan orang berada. Dorang dapat duduk kat rumah besar macam tu pun, sebab abang dia. Si Hisyam tu yang beli rumah tu. Lambat laun, dorang kena keluar jugak dari sana lepas Hisyam berpindah ke sini dengan isteri dia. Nanti dorang satu keluarga, pindah balik ke rumah lama tu. Perumahan kos rendah. Si Hisyam tu suruh dorang jagakan rumah tu je. Nak harapkan duit ptptn si Tiara, susah dia nak beli itu ini. Somemore, handphone lama dia rosak." Terang Hans. Niat yang baik diburuk-burukkan oleh ahli keluarganya. Sebelum takde pun isu-isu macam ni...kenapa baru sekarang?

"Habis tu Yas?" Fauziah masih tidak mengalah.

"She is a working lady. Ada gaji. Boleh je beli sendiri. Lagipun, Hans tak rasa dia perlukan sangat Ipad tu. As she still can do her work via PC syarikat. Sekadar lagged tu, she still can make a request from her company for a new PC lah mak." Ujar Hans dengan yakin.

"Abang, abang rasa, permintaan untuk PC baru tu senang ke? Ambik masa berbulan. Lagi-lagi syarikat macam Yas tu..." Harsha pula bersuara setelah lama menyepikan diri. Agak berang dengan penjelasan abangnya yang berat sebelah.

"Kalau dia nak Ipad, dia boleh je mintak dengan Hans, mak. Tapi dia tak mintak. Dia just cerita pasal masalah kat company dia. Manalah Hans tahu yang dia nak Ipad." Langsung tidak mengendahkan kata-kata adiknya.

"Apa ke bebal kamu ni Hans? Dah terang-terang kamu tahu pasal perbelanjaan Yas. Dia kena tanggung adik dan keluarga dia. Tinggal berapa ketul je baki gaji dia tu nanti...Mana cukup nak beli Ipad Hans...Kalau dia cerita tu, maksudnya dia perlukan benda tu. Takkan kamu nak dia buat borang permohonan pulak untuk mintak kamu belikan dia Ipad. Berfikirlah Hans...Jangan sampai mak mencarut. Tak bernafas kamu nanti." Fauziah mencerlung tajam anak mata Hans.

***********

Yasmin melangkah keluar dari bilik air lalu menyikat rambutnya yang masih basah. Saat dia menunduk untuk mengambil botol serumnya di atas meja solek, kornea mata Yasmin langsung terlekat pada sebuah kotak bersaiz sederhana besar yang terletak elok di atas meja itu.

"Aik, kotak apa ni?" Yasmin terus mencapai kotak tersebut lalu membuka balutannya. Terlopong mulut saat melihat gambar yang terpapar pada permukaan kotak berkenaan.

"Ipad!" Terjerit kecil akibat kejutan yang tidak disangka itu. Dia mula mencari sosok Hans di dalam bilik mereka, namun tiada siapa di situ. Siapa yang bagi Ipad ni? Untuk aku ke? Atau, untuk Tiara? Teringat sahaja mengenai Tiara, terus hilang mood Yasmin. Kotak itu diletakkan semula di atas meja. Botol serum dicapai lalu cecair likat itu disapukan ke seluruh wajahnya. Entah mengapa, Yasmin berasa agak terkilan sekali saat itu. Nalurinya kuat mengatakan bahawa Ipad itu adalah untuk dirinya, namun akalnya kuat menyangkal kenyataan itu. Kerana, jarang sekali Hans memberinya hadiah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience