Suasana pagi yang hening tanpa cahaya matahari itu ditatap Azam dari beranda rumahnya. Kesunyian yang dirasai sedikit sebanyak menenangkan diri yang sedang bergelojak hebat dengan pelbagai rasa.
Udara yang masih sejuk itu dinikmati bersama secawan kopi hangat. Air tersebut disisip sedikit demi sedikit, menyalurkan haba ke seluruh badan.
Cuaca mendung dan redup itu juga semakin menguatkan ingatannya tentang peristiwa tempoh hari. Selepas bertemu dengan Yasmin, jiwanya mula dilanda pelbagai rasa tidak enak, sehingga mrngalami kesukaran untuk melelapkan mata dengan tenang pada dinihari. Lagi-lagi setelah wanita itu mengusulkan cadangan untuk berkahwin.
Petang yang sama, Azam memutuskan untuk berjumpa dengan sang kekasih hati di sebuah kafe yang terletak di tengah kota. Sambil belanja makan, berbincang sekali mengenai tujuan utamanya. Dia sudah mempunyai keputusan.
"Rindu abang Azam..." Suara lunak dan manja itu tidak lepas daripada menyebut barisan ayat tersebut sejak mereka bertemu di hadapan rumahnya lagi. Sememangnya dia merindui Azam. Terlalu rindu sehingga sanggup tidak menemani ibu sendiri ke majlis perkahwinan rakan baiknya di Johor.
"Rindu kat abang tau...dah lama tak ajak baby keluar..." Muncung bibir ditarik sedepa. Naik geram Azam melihatnya. Nasib masih belum halal, kalau tidak, sudah lama digigit-gigit dua ulas delima merah ranum yang semakin menggoncang imannya itu.
"Abang pun rindu baby jugak." Tersipu malu keduanya sambil saling bertatapan buat beberapa ketika. Amboi, bukan main ber'baby' abang! Sebelum ini bukan main lagi ganas. Orang baru jeling sikit, dah dihamburkan segala macam tazkirah serta ceramah keagamaan percuma kepada para gadis.
"Alololo. Sayang sangat-sangat abang baby ni." Kek coklat yang baru sampai itu, disuapkan ke mulut Azam. Masing-masing menikmati makanan yang terhidang, dengan penuh selera sambil tersenyum bahagia.
"Ada apa abang nak jumpa baby hari ni? Kata nak beritahu something." Terus hilang rasa bahagia yang baru sahaja menjalar di dalam jiwa, dibawa arus kekecewaan.
Azam melarikan pandangan. Cawan berisi kopi hangat itu ditenung lama sambil telunjuknya dimainkan pada bibir cawan berkenaan. Sedang berfikir sambil mengumpul keberanian untuk membuka mulut.
Gulp! Air liur kesat ditelan paksa. Rasa bimbang mula merobek kalbu, saat melihat mangkuk sup di hadapan yang mungkin bakal terbang ke arahnya pada bila-bila masa sahaja dari sekarang, setelah dia menceritakan hal sebenar. Tidak berani Azam mahu menatap wajah sang kekasih hatinya itu.
"Abang?! Kenapa ni? Abang ada masalah ke? Nak baby tolong apa-apa? Baby sanggup buat apa je demi abang..." Serta merta kepala yang sedang tertunduk itu terangkat. Langsung dicari anak mata sang kekasih hati, lalu dicari keikhlasan pada sepasang mata bundar itu. Azam lantas mengangguk.
"Baby...sebelum abang mula...abang nak baby tahu, yang abang sayang sangat dengan baby, abang terlalu cintakan baby. Dan abang nak baby janji, walau apa sahaja berlaku antara kita, tolong tunggu abang." Berkerut wajah si penerang hatinya itu dengan kata-kata Azam. Apa pulak maksud mamat seketul ni...
"Ish...abang ni! Kenapa cakap sampai macam tu sekali. Baby janji baby takkan tinggalkan abang walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Baby janji!" Tapak tangan kanan terus diangkat sehingga ke paras telinga. Lagak seperti sedang mengangkat lafaz ikrar sahaja gayanya.
"Baby, janji dengan abang, jangan marah tau...sebab apa yang abang nak cakap ni, ada kaitan dengan kisah cinta kita." Si kekasih mengangguk sambil menggenggam erat jemari Azam.
"Sebenarnya baby...sebenarnya...abang...abang nak kena kahwin dengan Kak Yas." Langsung terpejam rapat kelopak mata Azam. Bimbang pipinya bakal menjadi mangsa tamparan padu.
Gadis itu terkedu. Tidak tahu reaksi apa yang sesuai untuk dipamerkan pada situasi sebegini. Air mata mula berkumpul di tubir matanya.
Dengan perlahan, Azam membuka matanya. Melihat wajah sang kekasih yang sudah berubah pucat. Ada rasa bersalah yang menghentam sanubari pada saat itu.
Terasa seperti seorang lelaki tidak berguna kerana mempermainkan hati gadis yang dicintai. Namun, dia terpaksa. Kata-kata doktor yang merawat Yasmin pada tempoh hari, masih segar dalam ingatan Azam.
"Kami terpaksa bagi ubat penenang lagi sebab pesakit masih mengalami kesukaran untuk mengawal emosi. Kalau berterusan macam ni, nampaknya, kami takde pilihan lain selain daripada menahan Puan Yasmin agar terus tinggal di wad ini. Dalam keadaan dia yang macam tu, apa-apa pun boleh terjadi. Kalau encik masih nak bawak dia pulang, kena ada seseorang yang sentiasa pantau dan bagi kata-kata semangat pada dia." Ujar doktor berkenaan sambil memandang silih ganti wajah Azam dan Harun.
"Takpe doktor, kami bawak dia balik rumah je. Lagipun, dia taknak duduk kat sini lama-lama." Doktor itu lantas mengangguk faham.
"Tapi, saya sarankan agar ada nurse atau penjaga yang boleh handle Puan Yasmin sekiranya dia mengamuk lagi." Harun dan Wahida lantas berpandangan sebelum menunduk sayu. Mereka juga tidak mampu sebenarnya mengawal apatah lagi menghalang Yasmin jika dia mengamuk dan cuba melakukan perbuatan yang berbahaya. Kudrat orang tua seperti mereka, membataskan perkara-perkara yang melibatkan tenaga. Selama ini, hanya pihak hospital atau Azam sahaja yang mampu menenangkan Yasmin, jika dia mengamuk.
"Kalau takde apa-apa, saya mintak diri dulu." Harun dan Wahida melihat pemergian doktor tersebut melalui ekor mata. Dibelenggu kebuntuan saat memikirkan keadaan Yasmin. Masing-masing diam seribu bahasa.
Genggaman pada tangan Azam mulai longgar. Air mata yang membasahi pipinya, diseka dengan hujung jari. Sakit pula hati ini!
"Baby...please jangan nangis. Abang tak boleh tengok baby macam ni. Abang sayang baby. Abang...abang terpaksa baby. Abang terpaksa. Akak Yas...sebenarnya ada depresi. Dia perlukan someone untuk bimbing dia, jaga dia. Abang dah call Hans banyak kali, tapi dia langsung tak angkat. Abang ada pergi ke rumah dia jugak, tapi family dia pun, tak tahu ke mana dia menghilang. Abang...abang buntu. Abang terpaksa baby...bukan niat abang nak menduakan baby dengan orang lain. Please faham keadaan abang..." Rayunya, selain cuba memujuk sang kekasih yang sudah merajuk.
"Baby faham. Kak Yas pun banyak tolong baby masa baby study dulu. Ke mana sajalah Abang Hans ni pergi...habistu baby Iz? Macam mana? Kan kena bagi nafkah?" Soal Tiara dengan suara yang sedikit serak.
"Iz...Hans masih bagi nafkah. Setiap minggu, Hans suruh orang hantarkan barang keperluan Iz dan duit dimasukkan ke akuan Yas. Mak Yas cakap, duit belanja yg Hans bagi, lebih daripada cukup nak tampung baby Iz." Tiara mengangguk faham. Sudah hampir 10 bulan mereka menjalinkan hubungan istimewa. Tapi, bagaimana mereka berdua boleh sebulu sehati sejiwa seperti ini? Masih ingat hari di mana Azam mengalami alahan selepas makan karipap udang air tangan mak Hans, sehingga terpaksa masuk wad?
Ketika hari terakhir Azam berada di hospital, Hans serta Yasmin terpaksa meminta bantuan daripada Tiara bagi menjaga Azam, sehingga mereka pulang dari Pulau Pinang atas urusan peribadi. Waktu itulah, bibit-bibit cinta antara mereka mula berputik sehingga terjalinnya hubungan teragung ini. Dari suap menyuap bubur, sehinggakan ke tolong mengemas barang, tanpa sedar, hati mula bertaut, kasih mula bertandang, dan cinta mula berdendang dalam kalbu masing-masing.
Agak lama mereka berdua senyap. Mengumpul keberanian sebelum membuka mulut.
"Baby benarkan abang kahwin dengan Akak Yas. Cuma...abang janji tau, jangan tinggalkan baby lepas dah kahwin." Air matanya jatuh tanpa segan silu di hadapan Azam, saat menuturkan barisan terakhir. Sungguh tidak sanggup melepaskan lelaki yang amat dicintai dan disayangi sepenuh hatinya itu menjadi milik wanita lain.
Namun, Tiara terpaksa pasrah, agar Azam tidak berasa tertekan kerana tersekat dalam situasi sebegini, selain mahu membalas jasa baik Yasmin yang sudah terlalu banyak menolong dirinya sewaktu dia masih menuntut di universiti. Dia yakin, Yasmin akan bahagia serta akan beransur sihat jika berada di samping Azam.
"Abang sanggup kahwin dua. Abang janji...lepas Kak Yas dah sembuh, abang akan terus terang pasal kita. Tapi abang nak, baby berpegang teguh dengan cinta ni...kuatkan hati, jangan termakan hasutan syaitan atau kata-kata orang. Abang sayang baby sangat-sangat. Abang nak Kak Yas sembuh. Abang tak boleh tengok Yas menderita macam ni. Terima kasih sebab faham keadaan abang." Terharu sekali apabila sang kekasih sanggup berkorban demi dirinya. Walaupun masih muda, namun kematangan Tiara, makin menambat hati Azam untuk terus mencintainya dengan sepenuh hati.
Air mata yang menempel pada pipi mulusnya diseka sebelum mereka meneruskan perbualan yang tertangguh kerana topik tersebut. Akhirnya, Azam mampu menarik nafas lega.
Dalam diam, Tiara menyimpan rasa marah terhadap wanita itu. Wanita yang sudah menghancurkan hubungan ramai pihak. Kali ni, aku takkan berdiam diri. Aku akan pastikan, kau menyesal sebab memporak perandakan rumah tangga orang!
Share this novel