30

Romance Completed 60794

Penampilan diri yang sudah lengkap berbaju melayu serta bersampin itu ditenung lama pada pantulan cermin. Semakin terasa debarannya angkara jiwa yang sudah berkecamuk dengan pelbagai rasa tidak enak.

Ditarik nafas lalu dihembusnya perlahan. Sempat menitip pesan dalam hati, untuk kekal tenang sewaktu berada di hadapan para tetamu sebentar lagi.

Entahlah, Azam berasa janggal untuk mengahwini teman baiknya sendiri. Mahu membatalkan majlis yang bakal berlangsung selang beberapa minit sahaja dari sekarang, rasanya sudah terlambat. Mahu melarikan diri, tiada tempat untuk ditujunya pada ketika itu. Dia terperangkap dalam kebuntuan.

Tok! Tok! Tok! Bunyi ketukan pada pintu semakin merancakkan degupan jantung Azam. Dia tidak menoleh ke arah sumber bunyi itu, tetapi memilih untuk terus tercegat di hadapan cermin wajah sambil memandang ke arah pintu biliknya yang sedang dibuka oleh seseorang melalui pantulan cermin.

Daun pintu terkuak perlahan dari luar. Terjegul wajah seorang pemuda yang cukup asing, di muka pintu.

"Dah siap? Semua orang dah ready tu...jom." Mata dipejam, nafas ditarik dan dihembus perlahan, cuba mengumpul kekuatan buat mengatasi kegugupan yang kian menyerbu ke dalam jiwa. Tenang Zam...mungkin Yas jodoh kau. Terimalah ketentuan ni dengan reda.

Tanpa membalas apa-apa kepada jejaka yang masih memerhatikannya dari muka pintu, Azam lantas mencapai songkok yang sudah siap tersedia di atas meja, lalu menyarungkannya ke atas kepala.

Sekali lagi dia menilik dirinya pada pantulan cermin sebelum melepaskan keluhan panjang. Reda Zam...reda. Mungkin ini yang terbaik. Jauh sekali dirinya hendak reda dengan apa yang sedang berlaku. Buat masa ini, dia hanya mampu pasrah.

Tiada secalit pun senyuman yang menghiasi wajah beku dan dingin itu. Maafkan abang, sebab tak dapat tunaikan janji abang pada sayang. Air mata yang menitik ke pipi diseka pantas sebelum disedari oleh gerangan di belakang.

Dengan lafaz bismillah, Azam mengorak langkah menuju ke arah ruang tamu. Satu persatu anak tangga dijejak diiringi bersama keluhan di mulut.

Kaki terasa berat dan lemah untuk terus melangkah saat anak matanya tertumpu ke arah beberapa orang tetamu yang sedang memandang dirinya atas bawah. Bertambah resah dan gementar Azam pada saat itu.

Masih cuba mengawal riak wajahnya dengan mengukir senyuman palsu yang kelihatan begitu hambar dan tidak ikhlas. Sakit di hati, hanya dia sahaja yang tahu.

Tanpa mengendahkan pandangan orang-orang di sekeliling, dia menyelusuri ruangan itu menuju ke arah tok kadi sebelum melabuhkan punggungnya di atas bantal khas buat pengantin lelaki.

Kepala langsung tertunduk ke bawah. Masih berperang dengan hati dan akal, agar menerima ketentuan ini dengan tabah dan ikhlas. Namun, semakin lama dia memaksa dirinya untuk mengharungi situasi itu, semakin dia hanyut dalam lautan kebencian dan amarah.

Dia melihat huluran tangan dari arah hadapan dengan pandangan redup. Selang beberapa saat, Azam menyambut huluran itu. Kepala masih tertunduk menekur lantai di bawah.

"Aku nikahkan dikau dengan..." Azam tidak mendengar kata-kata selanjutnya. Roh seakan sudah meninggalkan jasad. Lama dia berada dalam keadaan itu sebelum hawa pendengarannya menangkap laungan sah daripada beberapa orang. Langsung, lamunannya terhenti. Entah bila masa dia melafazkan akad pun, dia tidak tahu.

"Pengantin lelaki, sila sarungkan cincin pada jari pengantin perempuan." Azam masih berada dalam dunia sendiri. Diam tidak berkutik di tempat duduknya. Sekalipun dia tidak mendongakkan kepala.

"Azam...pergi sarungkan cincin." Tepukan halus pada bahu mengejutkan Azam dari leka. Dengan lemah, dia bangun lalu menapak ke arah pelamin yang terhias cantik dengan barisan jambangan mawar putih.

Azam bersimpuh di hadapan pengantin perempuan yang tertunduk. Wajahnya ditutupi dengan selendang putih. Azam buat tidak endah sahaja. Dia tahu benar rupa isterinya. Tidak perlulah ditatap lagi wajah yang sama itu berulang kali.

Kedengaran rengusan kasar dari mulut Azam tika pengantin perempuan terkekek halus seakan sedang mentertawakan dirinya di sebalik selendang yang menutupi seluruh wajahnya itu.

"Sarungkan cincin tu, cepat." Azam menggigit bibir bawah, cuba bersabar sambil menahan galau di hati. Tersangat geram dengan si pemberi arahan yang menyibuk mengatakan itu ini sejak tadi. Sabarlah bodoh! Ingat aku beria inginkan perkahwinan ni? Kalau kau nak cepat sangat, kau jelah sarungkan cincin! Lantas kepalanya menoleh mencari gerangan manusia tersebut.

Mata melilau dari satu sudut ke satu sudut yang lain. Hairannya, rata-rata yang berada di situ hanya senyap, dan mata mereka terarah tepat pada Azam yang sedang duduk di atas pentas pelamin.

Cepat-cepat dia berpusing kembali, menghadap ke arah pengantin perempuan. Dasar penyibuk! Kau bukak lagi mulut longkang tu, aku sumbat dengan stokin nanti! Grr... Berbakul-bakul sumpahan dilepaskan ke atas gerangan tersebut. Pada saat itu, tangan pengantin perempuan terhulur lurus ke arah Azam.

Haih...dia ni pun satu. Tak boleh ke tunggu kejap?! Kotak cincin dibuka kasar lalu sebentuk cincin emas dibawa keluar. Jemari pengantin wanita disentuh lembut sebelum...

Eh, awat berkedut tangan si Yas ni? Tangan itu diusap lembut, dan sekali lagi Azam terpana. Kasar pulak tu...Mak aii, lain macam tangan si Yas ni sekarang! Takkan sejak cerai, dah tak pakai losyen kot. Betul-betul depressed minah ni! Habis bergerutu kulit tangan dia ni...Dah macam tangan pakcik-pakcik. Sempat hatinya mengutuk.

Cincin itu kemudiannya disarungkan pada jari pengantin perempuan, lalu diikuti pula ke jari pengantin lelaki. Kemudian, Azam memberanikan dirinya untuk menyelak selendang yang menutupi wajah pengantin perempuan itu ke belakang. Punyalah duk upah photographer untuk ambil gambar, last-last hang tutup muka dengan selendang...Apa kes kau nyah! Selendang itu diangkat serta diselak ke belakang dan...

"Arghhhhhh!!!!!" Habis terpelanting segala barangan hantaran yang berada di sisi Azam dek kerana tempias sepakan kaki dan tolakan tangannya yang begitu kuat lantaran daripada rasa terkejut yang teramat sangat. Mata terbeliak, mulut terlopong luas.

Dia benar-benar memerlukan terapi mental pada saat itu. Bergerak-gerak rahangnya menahan geram. Nafas pula naik turun dengan kencang. Terkejut bukan kepalang saat ada wajah lain yang menghuni di sebalik selendang itu dan orang itu, tak lain tak bukan, ialah Harun!

"Terima kasih sebab terima pakcik, Azam. Pakcik sayang Azam..." Tanpa segan silu Harun memuncungkan bibir keringnya itu lalu mendekati wajah Azam untuk mengucupnya. Azam, apa lagi! Menjerit terlolong-lolong meminta bantuan dan belas kasihan daripada manusia-manusia yang berada di situ.

Dia cuba bangun, namun tubuhnya seakan terlekat di atas pentas. Tidak mampu bergerak sama sekali! Wajah lelaki tua tak tahu malu itu pula semakin mendekat. Mual Azam rasakan tika melihat bibir kering pucat yang merekah itu. Takde seri langsung!

Ya Allah, macam mana Yas boleh berubah jadi Harun ni?! Jangan! Jangan sentuh aku. Taknak...aku taknak! Tolong...tolong...Dirinya meronta-ronta supaya bibir Harun tidak menyentuh pipinya. Namun, apakah daya...Tenaga lelaki tua itu, nampaknya jauh lebih kuat berbanding dia yang masih muda ini. Jangan!!!!!!

"Jangan!!!" Tubuh terus disandar di kepala katil sambil beristighfar berulang kali. Tangan mengurut dada yang sedang berombak kencang. Peluh di dahi dilap dengan belakang tapak tangan.

"Astaghfirullah al azim...mimpi rupanya." Dicapai botol air dari atas meja, lalu diteguk air itu dengan rakus. Lega rasanya. Nasib baik mimpi...dan bukannya kenyataan! Azam langsung terduduk di atas birai katil sambil mengatur rentak nafasnya yang tidak teratur. Terus fikirannya beralih kepada perbualan antaranya dengan Yasmin, pada petang lalu.

happy reading guys...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience