"Jangan ganggu aku Lisa. Aku perlukan ketenangan. Aku nak bersendirian. Nombor siapa yang kau guna ni?" Sedikit tinggi ton suara milik Hans, sehingga membuatkan Alisa kecut perut. Aduh, gawat. Mesti kena bebel lagi ni.
"Kalau takde apa-apa, aku nak letak dulu." Dingin sekali. Alisa menyeringai sebentar, sebelum teringat tujuan utama dia menghubungi lelaki berhati batu itu.
"Heiii...jap, jap. Hans, please. Jangan letak dulu. Dengar tak cakap aku tadi? Yas nak kahwin esok. Pergilah pujuk dia, masih ada masa, walaupun berbaki beberapa jam sahaja lagi. Kalau nak aku terus terang dengan Yas pun, aku sanggup. Sebabkan akulah semuanya jadi sulit seperti ini. Maafkan aku Hans." Alisa gigit bibir bawahnya. Menunggu balasan lanjut daripada lelaki yang berlidah tajam itu.
Alisa akui, kadang mulut Hans itu terlalu hebat dalam menyembur orang. Ini kalau ada masalah hipertensi, tentu sudah lama Alisa masuk wad. Satu minit, beransur ke dua minit. Jeda. Masih tiada jawapan yang diterimanya daripada Hans. Aik, takkan dia dah letak phone? Tetapi, hembusan nafas kasar lelaki itu masih lagi kedengaran melalui corong telefon bimbitnya. Sedang berfikir barang kali.
"Tiada apa yang boleh dilakukan Lisa. Semuanya dah terlambat. Masing-masing ada salah silap. Biarlah Yas bahagia bersama Azam. Mungkin kami berdua sudah tiada jodohnya lagi. Kalau dia hidup bersama aku, pasti dia akan terseksa. Cukuplah, selama ini dia menderita disebabkan perangai aku ini." Alisa terperangah. Jarang Hans mahu mengaku kesalahannya. Wah, ini memang ajaib. Jadi benarlah kata orang, yang kuasa cinta itu bisa mengatasi segalanya di dunia ini. Terherot sedikit bibir Alisa.
"Jangan macam tu Hans. Jom kita pergi sama-sama esok. Hentikan majlis itu. Aku sanggup kena terajang dengan tetamu di sana, daripada diterajang masuk ke dalam neraka kerana telah merosakkan rumah tangga korang dua." Masih mengharapkan lelaki itu untuk menyetujui cadangannya. Hans berdehem beberapa kali.
"No. Esok aku akan bertolak ke U.K. Aku bakal dipindahkan oleh syarikat untuk berkhidmat di sana. Mungkin aku akan tinggal selama 2 tahun, atau mungkin lebih daripada itu. Biar Yas kahwin dengan malaun tu je. Kau pulak, lepasni tumpukan perhatian dalam ubati orang sakit. Jangan buat part time merosakkan rumah tangga orang lain sudahlah. Dah, aku sedang sibuk ni, terlalu sibuk! Nak packing barang. Kau, jaga diri, dan jangan call aku lagi kalau tidak mahu dicemuh, dihina, dan dikeji. Goodbye." Berdesing telinga Alisa. Hampir cair tahi telinga dalam gegendang angkara kata-kata berbaur sindiran daripada Hans Ilham. Kan sudah aku kata, lelaki ini terkenal dalam memusnahkan sesiapa sahaja dengan kata-katanya. Tak guna kau Hans!
"Aku tahu kau masih cintakan Yas, Hans. Tak sangka kau akan berputus asa secepat ini. Sepatutnya..." Tut, tut, tut. Kurang ajar! Dia letak phone sebelum aku habis cakap. Ish...mamat sewel ni. Gerutunya. Benda pipih itu terus dilempar masuk ke dalam laci semula. Tak boleh jadi ni. Aku perlu turun padang dan beraksi!
Tubuh dibaringkan diatas katil lalu selimut ditarik sehingga menutupi dada. Dalam keadaan terpaksa, Alisa memaksa diri untuk melelapkan mata dan tidur. Esok dia perlu bangun awal kerana ada acara yang perlu dihadiri. Selang beberapa minit, bunyi dengkuran halus mula kedengaran. Cepat sungguh dia terlena.
Pagi itu, Alisa bersiap ala kadar sahaja. Bukan mahu menghadiri majlis kahwin itu demi merestui hubungan pasangan pengantin, tetapi untuk menghentikan majlis yang bakal berlangsung dalam masa beberapa jam sahaja lagi.
Sehelai selendang biru yang sudah tersedia di atas katil dicapai lalu dibelitkan di atas kepala. Ah, cukuplah ini. Nak pergi rosakkan majlis nikah orang aje pun, apa guna berdandan cantik-cantik.
Sementara itu, Tiara sedang bertikam lidah bersama Rafidah di dapur. Berminyak kulit kepala mendengar bebelan ibunya di pagi hari.
"Kamu jangan buat taik kat majlis orang Ara. Mana mama dengan papa nak letak muka nanti." Rafidah sedia tahu mengenai rancangan anaknya itu. Berani-beraninya dia mahu merosakkan mahligai yang bakal terbina sebentar lagi.
"Cover sahaja muka itu dengan mask mama. Apa susah. Kan papa?" Bertuah badan. Masih ada bapa yang menyokong tindakannya. Bapanya hanya mengangguk sambil menyungging senyuman penuh makna. Naik pening jadinya Rafidah dengan perangai dua beranak itu. Aduh, jangan dimalukan aku sudahlah. Rafidah dan suaminya turut dijemput ke majlis pernikahan Azam dan Yasmin oleh Wahida.
"Zam, dah siap ke belum? Tu, tok kadi pun dah sampai." Abang sulung Azam, Helmi menghampiri adiknya yang sudah berbalut kemas dengan baju Melayu berona putih dan lengkap bersampin itu.
Terpancar sinar gembira pada wajah Helmi. Akhirnya, adik bongsu dalam keluarga mereka, bakal menamatkan zaman bujang. Mereka sedia maklum mengenai status Yasmin yang sudah pernah bernikah sebelum ini. Namun, mereka menerima sahaja dengan hati yang ikhlas dan terbuka.
Lama Azam merenung dirinya pada pantulan cermin. Debaran kian memuncak memukul dinding dadanya bertalu-talu. Dia gementar dan pada masa yang sama, menyesali keputusan yang telah diambilnya ini.
Namun, apakah daya. Mahu membatal majlis, rasanya sudah terlambat. Karang, tak pasal-pasal kena balun dengan ibunya. Nafas sempat ditarik, sebelum dihembus perlahan. Menenangkan rentak degupan jantung yang sekejap laju dan sekejap perlahan itu.
Dengan langkah yang berat, dia menyusul di belakang abangnya, menuju ke arah tok kadi. Sempat dia melirik sekilas ke arah pelamin. Masih kosong. Pasti belum bersiap lagi.
Tapi, Azam masih berharap, pada detik terakhir, Yasmin akan menghentikan majlis mereka daripada berlangsung. Atau paling tidak pun, Hans mahupun Tiara muncul menyelamatkan keadaan.
Dia akui, kini dia sedang diserang dilema. Berkahwin dengan orang yang dia tidak pernah cinta itu masih lagi boleh diterima, berbanding bernikah dengan kawan baik sendiri yang sudah dianggapnya seperti adik itu.
Dia melabuhkan duduk di sebelah Helmi, bertentangan dengan tok kadi, dan Harun. Rasa gemuruh tidak boleh disembunyikan lagi. Peluh mula merenek keluar membasahi dahi dan sebahagian tubuh Azam. Dia melihat ke kiri dan kanannya yang sudah dipenuhi oleh tetamu itu. Bertambah kuat jantungnya mengepam darah ke seluruh badan.
"Yas...Yas sedar tak apa yang kamu tengah cakapkan ni? Kenapa baru sekarang kamu nak batalkan majlis?" Naik seoktaf nada Wahida. Ditatap tajam wajah keruh anaknya yang menunggu masa untuk menumpahkan air mata itu.
"Mak, Yas...Yas..." Wahida pantas menggeleng. Tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Dulu sudah dipujuk malah dirayu agar berfikir dua kali sebelum menerima lamaran Azam, tapi, ikutkan sangat kata hati itu untuk mengahwini teman baiknya sendiri. Sekarang, tinggal beberapa minit sebelum Si Azam itu melafazkan akad, baru teringin hendak membatalkan majlis tersebut. Wahida mengetap rahangnya. Ikutkan hati, mahu dicubit-cubit anak perempuannya itu. Selalu bertindak sesuka hati. Tengok sekarang, diri sendiri juga yang terseksa.
"Dah...cepat! Orang dah lama tunggu kat bawah." Lengan Yasmin ditarik kuat supaya mengikuti langkahnya dengan segera. Bimbang akan dimarahi oleh tok kadi jika mereka terlalu lambat tiba ke pelamin.
Share this novel