"Kali ini, berapa lama kau kat laut Zam?" Soal Hans sambil mengunyah nasi goreng yang baru dimasak oleh Yasmin. Setelah dibenarkan keluar dari hospital petang semalam, Azam dibawa pulang ke rumah Hans Ilham. Yasmin hanya memerhati sambil memasang telinga mendengar perbualan dua lelaki itu tanpa mencelah.
Jarang sekali Hans Ilham mahu melayan atau berborak bersama Azam. Sebelum ini, Hans sering menganggap Azam sebagai seterunya kerana lelaki itu terlalu rapat dengan Yasmin walaupun Hans ialah suami Yasmin yang sah, dan bukannya Azam.
Setiap kali bertembung, pasti akan ada pertengkaran mulut yang terjadi di antara mereka. Kerana itu juga, Yasmin menjadi sedikit kekok dan panas punggung saat kedua lelaki yang amat dia sayangi ini dapat berbual mesra tanpa bertikam lidah seperti dahulu.
Untuk itu, Yasmin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, kerana perlahan-lahan, Hans berubah menjadi seorang suami yang lebih tenang dan matang ketika melontarkan kata.
Hans Ilham yang kini, lain berbanding dirinya yang sebelumnya. Seorang yang pantang mendengar pendapat dan pandangan orang lain. Pendek kata, jenis semua kena ikut kepala dia je. Dia jelah yang selalu betul!
Entah mengapa Azam berasa terkilan dengan soalan yang baru dilemparkan oleh Hans. Bukan tidak biasa, pergi berlabuh jauh-jauh untuk jangka masa yang panjang daripada Yasmin.
Namun, hari ini, dia berasa begitu sedih dan hiba untuk meninggalkan wanita itu keseorangan di sini, walaupun dia tahu, dan dia sedar bahawa Yasmin mempunyai seorang suami yang boleh menjaga dirinya jauh lebih baik daripada Azam.
Firasatnya menyimpulkan satu rasa yang tidak enak dalam hati bahawa Yasmin bakal menempuh satu dugaan yang cukup besar selepas ini. Dalam keadaan Yasmin yang sedang berbadan dua, hati Azam mula berbelah bahagi sama ada mahu berlayar ke Eropah selama 6 bulan mahupun tidak. Namun, tugas hakikinya perlu dilaksanakan dengan baik. Ada tanggungjawab yang perlu dipikul, ada amanah yang perlu dipelihara.
Dengan hati yang berat, Azam memaksa diri untuk menjawab soalan itu sambil mengoyak senyuman pahit. "6 bulan." Jawabnya sepatah. Tiada semangat dan tiada kekuatan sama sekali saat ayat itu terpacul keluar dari mulutnya. Lebihan nasi goreng di pinggan dikuis-kuiskan sahaja. Mati terus selera makannya.
"6 bulan? Alah...lamanya. Maknanya, kau takdelah masa aku beranak baby ni nanti..." Yasmin merungut lalu menarik muka masam. Manakan tidak, dia mahu Azam ada bersamanya ketika dia bertarung nyawa melahirkan zuriatnya yang pertama. Dia mahu Azam melihat rupa bayinya. Dia mahu Azam mendukung dan memuji rupa cahaya mata pertamanya.
Tempoh perpisahan selama 6 bulan, dirasakan begitu panjang dan lama, walhal sebelum ini, Azam, pernah meninggalkan Yasmin lebih setahun lamanya. Air mata Yasmin mulai bertakung. Dia masih menahan diri daripada menangis di situ. Emosinya benar-benar terganggu.
Azam mengangguk lemah, memberi jawapan kepada rungutan Yasmin. Jiwanya memaksa untuk terus tinggal di sini bersama Yasmin sehingga wanita itu melahirkan. Namun, kini dia seakan terperangkap di antara dua situasi yang memerlukan perkhidmatannya. Satu tugasnya sebagai anak kapal, dan amanahnya sebagai seorang sahabat baik kepada Yasmin Zahirah.
"Pejam celik dah terpacak kat depan mata kau Yas..." Azam cuba meredakan tangisan Yasmin. Bukan Yasmin sahaja yang sedang bersedih, namun dia juga sedang menahan rasa yang sama. Ya Allah, kau jaga dan lindungilah adik aku, Yasmin dari apa-apa masalah selama aku berjauhan dengan dia. Semoga adik aku dapat melahirkan anaknya dalam keadaan yang baik dan selamat.
"Betul tu Yas...Lagipun, abang kan ada. Azam tu nak kerja. Kalau tak kerja, macam mana nak belanja Yas beli itu ini." Tidak dinafikan, Azam sering membelikan apa sahaja yang diminta Yasmin.
Setiap keinginannya, pasti ditunaikan. Sejak mengandung, macam-macam aneka permintaan Yasmin. Dan separuh daripadanya, ialah berupa makanan. Pernah pada beberapa minggu yang lalu, Yasmin memaksa Azam untuk mencari telur burung helang.
Terkejut beruk Hans dan Azam dibuatnya. Dari celah mana nak cari telur yang sukar sekali untuk didapati seperti itu. Akhirnya, mereka berdua terpaksa membeli telur ayam kampung lalu mewarnakan kulitnya agar kelihatan serupa seperti telur helang yang sebenar.
Bukan untuk dibuat makan, sekadar melepaskan rindu kata si Yasmin. Nasib tak tercarut Azam waktu itu. Sempat juga wanita itu menanyakan cara mereka berdua berjaya mendapatkan telur helang.
Yelah, hairan juga. Takkan panjat gunung semata-mata untuk mencari sarang burung helang pulak kan...Cepat-cepat Hans mereka cerita sendiri, kononnya mereka beli melalui online. Akhirnya, Yasmin diam.
Percaya dan terharu kerana dapat mencium dan memeluk telur itu. Bahkan, dia mula berangan untuk menjadi ibu kepada anak helang sekiranya telur itu menetas kelak. Malangnya, pada malam yang sama, telur 'helang' itu selamat digoreng bersama hirisan cili dan sedikit daun bawang lalu dijamah penuh selera oleh Hans dan Azam.
"Jangan nangislah nyah. Aku pergi kejap je...lepas 6 bulan baliklah sini. Kau nak apa-apa tak?" Terus bersinar anak mata Yasmin. Langsung dianggukkan kepalanya berulang kali. Amboi, terus hilang sedih kau...
"Nak...nak. Aku teringin nak peluk ikan nemo." Tersembur keluar air minuman Hans Ilham. Dia dah mula dah...Bola mata diputar bersama ekspresi wajah yang jelas menampakkan riak menyampah dengan permintaan isterinya itu. Terus pandangan melekat pada wajah Azam. Menunggu jawapan yang bakal diberikan oleh lelaki itu. Naik turun halkum Hans menelam air liur yang mula melimpah-limpah di dalam rongga mulutnya. Gementar menunggu jawapan yang bakal keluar daripada mulut lelaki itu. Azam...kau jangan buat kerja gila!
"Yelah...nanti aku bawak." Terjatuh rahang Hans Ilham. Terbeliak tidak percaya dengan lelaki bermulut manis itu. Dijegilkan biji matanya dengan geram ke arah Azam. Bukan main senang kau tuturkan janji. Jangan cakap yang kali ni kau nak beli ikan kembung kat pasar, lepastu cat badan dia jadi macam ikan Nemo? Azam mengerdipkan matanya. Relaks brother. I know what am i saying. Alah, Yasmin tu mengidam aje. Lepas keluar anak tu, takde dah teringin-teringin semua ni. Ingat aku rajin sangat nak menyelam dalam dasar laut tangkapkan ikan nemo untuk dia. And takde masa aku nak cat badan mana-mana ikan lepasni...
"Err, Azam...tak boleh ke kau mintak balik awal sikit?" Yasmin menatap dalam wajah keruh Azam penuh harapan. Lelaki itu mula berasa serba salah kerana dia tidak ada jawapan untuk soalan Yasmin. Menyedari perubahan air muka Azam, Hans terus menyampuk bagi menceriakan keadaan yang semakin suram.
"Mana boleh macam tu sayang...Azam kan kerja. Nanti kalau bos dia marah, kena buang kerja, macam mana?" Kentang goreng disuakan ke arah mulut Yasmin. Yasmin menggigit sedikit hujung kentang goreng itu dan selebihnya disuapkan ke dalam mulut Hans. Azam masih tertunduk sambil merenungkan soalan yang diaju oleh sahabat baiknya. Perlukah dia minta pengecualian untuk pulang lebih awal untuk menemani Yasmin di sini?
"Woi, termenung pulak! Ingatkan Tiara lah tu..." Sindir Hans sambil terkekeh ketawa melihat wajah cemberut Azam. Fikiran Azam masih dikuasai oleh Yasmin, sehingga dia tidak sedar langsung apa yang sedang berlaku di sekelilingnya bahkan dia langsung tidak mendengar apa yang dikatakan oleh Hans Ilham sebentar tadi. Bagi menutup kegugupannya, Azam hanya tersenyum kelat dalam keadaan terpinga-pinga.
Malam sebelum Azam bertolak, dia sempat menitipkan pesanan kepada Yasmin yang sedang lena dibuai mimpi.
-Azam-
Yas, aku pergi dulu ye. Kau jaga diri kat sini. Jaga baby kau tu elok-elok. Apa-apa hal, jangan putus asa. Tunggu aku balik. Aku akan cuba pulang lebih awal. Assalammualaikum.
Pagi itu, Yasmin dilanda kegusaran setelah membaca pesanan ringkas yang dihantar oleh Azam menerusi aplikasi Whatsapp kepadanya pada malam semalam. Menyesal kerana tertidur awal dan tidak sempat berbual bersama lelaki itu sebelum dia bertolak ke Eropah. Kini, dia perlu menahan diri selama 6 bulan lamanya, berpisah daripada lelaki itu. Azam, tolong balik cepat ye...
Share this novel