Jatuh kasihan Yasmin melihat keadaan Azam yang sedang terlantar di atas katil hospital. Dirinya dihurung rasa bersalah kerana menjadi penyebab utama kepada kesakitan yang sedang dialami oleh lelaki itu.
Azam baru sahaja diberikan suntikan dan dipaksa menelan ubat bagi mengurangkan kesan alahan pada tubuhnya. Hah, bagi yang tertanya-tanya, sejak bila pulak si Azam ni alergik udang...Isu ini bermula pada hari Yasmin mengajaknya untuk mencuba makanan laut di salah sebuah restoran tepi pantai tempoh hari.
Sehari sebelum Yasmin pergi ke mahkamah untuk urusan penceraiannya dengan Hans. Ingat tak? Kalau tak ingat jugak, sila baca semula Bab 6.
Setelah 'menghantar' Yasmin bersama Hans dari mahkamah, Azam perasan bahawa tubuhnya mula berubah panas tiba-tiba. Pada malam yang sama, Azam mengalami kebengkakan pada bibir dan seluruh wajahnya berubah kemerahan.
Kerana tidak tahan, Azam terus menghubungi ambulans lalu bertolak ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Doktor mengatakan bahawa, kesan alahan itu baru bermula jadi ia mengambil masa beberapa hari sebelum menunjukkan kesannya terhadap Azam. Lalu Azam dinasihati untuk mengelakkan makan udang atau mengambil apa-apa produk makanan yang mengandungi makanan laut tersebut.
Sebentar tadi, Fauziah dan Khalid sempat melawat Azam. Wanita pertengahan abad itu, berulang kali memohon maaf atas kesilapannya. Azam tidak menyalahkan Fauziah sama sekali. Wanita itu tidak tahu tentang alahannya. Ini semua salah si Yasmin, kerana tidak memberi peringatan mahupun pesanan kepada Fauziah sebelum dia memasak.
Akibat bibir yang masih bengkak, segala butir bicara Azam menjadi tidak jelas pada pendengaran Hans mahupun Yasmin. Susah payah Azam mengangkat tangan dan menunjukkan barang-barang yang dia mahu, menggunakan jari telunjuknya.
Beberapa minit yang lepas, lelaki itu menuding jari ke arah jug air. Jadi, Yasmin segera menuangkan segelas air lalu memasukkan sebatang penyedut minuman ke dalamnya untuk memudahkan Azam semasa minum.
Cawan plastik itu digenggam erat oleh Yasmin sementara Azam menghirup air melalui lubang penyedut minuman dengan perlahan. Tekaknya masih perit dan bibirnya yang masih bengkak menyukarkan Azam untuk bercakap, makan dan minum seperti biasa.
Hans juga menemani Yasmin pada malam itu di bilik wad. Tiara sudah pulang bersama Fauziah dan Khalid petang tadi. Hans membentangkan sehelai toto di atas lantai wad setelah memastikan lantai berada dalam keadaan yang bersih.
Pada mulanya, Hans menegah permintaan Yasmin untuk tinggal di wad bersamanya, namun setelah dipujuk rayu oleh Yasmin, Hans akhirnya bersetuju dengan syarat, Yasmin harus sentiasa memakai pelitup muka dan kerap menyapu sanitiser pada tapak tangannya. Dia risau jika Yasmin dijangkiti sebarang kuman atau bakteria lagi-lagi dalam keadaannya yang sedang sarat mengandung.
Dua buah bantal empuk yang dibawa dari rumah diletakkan di atas toto. Yasmin diminta untuk baring di atasnya. Dari tadi, isterinya duduk di atas kerusi pelawat. Pasti lenguh badannya nanti.
Tiba-tiba Azam mengetuk permukaan besi katilnya. Hans dan Yasmin lantas menoleh sebelum Hans meluru menghampiri Azam. Lelaki itu seolah memberikan isyarat melalui mata kepada Yasmin dan kemudian anak matanya turun pula pada katilnya.
"Kau nak Yas tidur kat atas katil?" Soal Hans tidak percaya. Azam lantas mengangguk. Mana mungkin dia melihat wanita yang ditatangnya dengan penuh kasih selama ini, tidur di bawah lantai dalam keadaan yang sarat mengandung. Yasmin menolak cadangan itu lalu membaringkan tubuhnya di atas alas toto.
"Tak payahlah Azam. Kau tu tengah tak sihat. Rehat je kat atas tu. Aku tak de apa. Selesa je kat bawah ni." Balas Yasmin lalu mengukir senyuman tipis ke arah Azam yang terkebil-kebil memandangnya dengan mata yang semakin redup. Yasmin boleh mengagak ekspresi Azam yang pasti sedang menjelingnya dengan sebal kerana ingkar arahan.
"Takpelah Zam...kau rehat kat sini. Aku ada, boleh jaga Yas kat bawah." Kata Hans dengan lembut.
Yasmin degil mahu menemani Azam kerana dia masih ingat, sebagaimana Azam sanggup membantu dirinya sewaktu dia terlantar sakit beberapa tahun yang lalu.
3 tahun lepas, Yasmin datang ke Kuala Lumpur tanpa persetujuan keluarganya yang melarang dia untuk bekerja di sini. Kerana kerja dan gaji yang ditawarkan berpatutan dan selari dengan kursus pengajiannya, Yasmin nekad berpindah ke sini tanpa restu mereka.
Ketika itu, kedua ibubapanya masih merajuk dan langsung tidak mempedulikan Yasmin yang terkontang kanting seorang diri di tengah bandar ini.
Azamlah yang tampil membantunya tanpa mengharapkan sebarang balasan. Pada mulanya, Yasmin meragui kebaikan Azam, namun lama kelamaan, dia dapati bahawa Azam menjaga dan melindunginya sebagai seorang abang. Dan tidak lebih dari itu.
Ketika dia jatuh sakit dan ditahan di hospital, Azam malah sanggup berulang alik dari Melaka ke Kuala Lumpur demi menjaga Yasmin. Sepanjang malam dia akan berjaga supaya Yasmin tidak perlu bersusah payah bangun untuk ke tandas mahupun mengambil barang.
Lelaki itu sanggup tidur di atas lantai beralaskan helaian kotak demi Yasmin. Yasmin terharu kerana tuhan mengurniakan seorang kawan sebaik Azam. Lelaki itu tidak pernah walau sekalipun, menyentuh mahupun mengambil kesempatan terhadap Yasmin.
Dalam apa jua keadaan, Yasmin akan mendengar nasihat Azam. Kerana, hanya lelaki itu yang memahaminya dan juga mampu mengawal baran Yasmin. Pernah beberapa kali, Yasmin mengusulkan dirinya untuk memanggil Azam sebagai abang namun Azam melarang.
Katanya, dia tidak selesa dengan gelaran itu kerana mereka bukan adik beradik kandung malah kata abang itu juga boleh merujuk pada suami ataupun kekasih. Dia mahu tampil sebagai sosok seorang bapa kepada Yasmin.
Oleh itu, dia lebih suka, jika Yasmin menggelarnya dengan nama sahaja kerana mana mungkin Yasmin memanggilnya abah ataupun ayah. Dengan ini, Azam akan rasa lebih dekat sebagai seorang sahabat dengan Yasmin walaupun berbeza umur.
"Zam...sorrylah. Aku betul-betul tak tahu dalam karipap tu ada udang." Yasmin masih meminta maaf atas kecuaiannya. Azam hanya mengangguk perlahan dari atas katil. Dah-dahlah tu Yas oii, sakit kepala aku ni duk angguk-angguk nonstop!
"Kalau kau nak apa-apa, ketuk je besi katil kau tu...nanti aku bangun." Hans berpesan sebelum melabuhkan seluruh tubuhnya di atas toto yang sama bersebelahan Yasmin.
Azam yang masih belum mampu terlelap, merenung siling di atas sambil memikirkan mengenai Tiara. Gadis itu seakan mempunyai aura yang mampu meniupkan satu perasaan aneh dalam dirinya.
Setiap kali gadis itu mendekatinya, Azam mula menjadi tidak keruan. Jantungnya juga kerap berdegup laju jika dia teringatkan Tiara. Sama seperti sekarang. Tapak tangan dibawa ke atas dan dilekapkan ke atas dada lalu degupan jantung yang kian kencang itu dirasakan. Am i in love? Macam ni ke rasanya kalau dah jatuh cinta? Entahlah, Azam sendiri tidak pasti. Kerana seumur hidupnya, dia belum pernah mencintai mana-mana perempuan. Haih, susahnya kalau takde experience...
azam in lobbb
Share this novel