Hans membuka perlahan pintu biliknya lalu meloloskan diri ke dalam dengan senyap. Daun pintu ditutup tanpa menghasilkan sebarang bunyi kerana tidak mahu mengejutkan Yasmin dari lenanya.
Kelihatan sosok tubuh Yasmin yang sedang nyenyak di atas katil. Sambil mengukir senyuman manis, Hans menuju ke arah meja solek. Cebisan kertas balutan yang bersepah di atas lantai membuatkan dia menjadi semakin yakin, bahawa Yasmin sudah mengambil Ipad itu. Setelah puas beradu mulut bersama Fauziah pada pagi tadi, Hans terus memutuskan untuk membelikan Ipad buat kegunaan Yasmin di pejabatnya nanti.
Kertas balutan yang bertaburan di atas lantai dikutip satu persatu, lalu kotak itu diambil untuk dibuang ke dalam tong sampah. Namun, langkah kaki Hans langsung terhenti saat kotak dalam pegangannya, terasa berat. Seakan masih ada sisa di dalamnya.
Terus Hans membuka kotak berkenaan lalu melirik ke dalamnya. Terbuntang mata Hans. Dia tak ambil? But why? Terdapat peranti berbentuk segi empat tepat yang sedikit nipis dalam balutan plastik yang langsung tidak terusik sama sekali. Kecil hati Hans saat itu. Dia menoleh ke arah Yasmin yang kelihatan tenang dalam lenanya. Dia melepaskan keluhan. Kotak itu diletakkan semula di tempat yang sama. Rasa gemuruh tadi terus lenyap dibawa arus kekecewaan.
Tubuh lesunya dihenyakkan di atas sofa. Mata masih memerhatikan Yasmin yang sedang tertidur pulas. Kepala dibawa menghadap siling, lalu tangan direhatkan di atas dahi. Sedang berfikir cara memujuk Yasmin yang semakin hari, semakin degil. Sebelum ini, isterinya sering bertoleransi dalam semua perkara. Entahlah, Hans sendiri tidak tahu dengan sikap Yasmin yang terlalu beremosi dan sensitif untuk hal-hal yang remeh temeh. Mungkin kerana perubahan hormon. Semakin lama, kelopak mata Hans semakin berat lalu terpejam sendiri. Tanpa sedar, dia terlelap di situ.
***********
"Yas..." Panggil Hans. Dia masih duduk di atas sofa yang sama sambil menyaksikan Yasmin menyapu pelembap ke wajahnya. Sekalipun dia tidak menoleh ke arah Hans, sebaliknya Yasmin meneruskan rutin penjagaan kulitnya.
"Yas...tak suka ke dengan Ipad tu?" Soal Hans. Kotak itu masih terletak elok di tempat yang sama. Langsung tidak beralih dan tidak terusik. Yasmin melihat wajah cemberut suaminya menerusi pantulan cermin pada meja solek. Terbit senyuman pahit pada bibir Yasmin.
"Untuk saya ke?" Yasmin bertanya sambil mengurut leher dan bahunya dengan losyen. Hans mengangguk lemah.
"Yeah, its for you. Abang beli semalam. Kenapa Yas tak ambik?" Ada getaran pada suara lelaki itu. Sedikit kecewa kerana pemberiannya seolah-olah tidak dihargai Yasmin.
"Oh, ingatkan bukan untuk saya. Jadi saya tak ambik." Ujar Yasmin tanpa berdolak dalih. Memang itu yang dirasakannya semalam saat melihat peranti itu terbaring di atas meja soleknya.
"Yas...come on. Dah terang-terang abang letak atas meja solek Yas kan...how can you dont know that its for you?" Naik seoktaf nada Hans Ilham. Adakah Yasmin sengaja menguji kesabarannya lagi?
"Sebab saya tak yakin yang itu untuk saya. Saya jarang terima hadiah daripada awak." Hampir gugur jantung Hans ketika mendengar jawapan yang keluar daripada mulut Yasmin. Jadi, dia sedang melancarkan perang dingin semata-mata kerana aku tak pernah manjakan dia dengan harta benda. I thought you were different Yas, but you pun sama je macam perempuan-perempuan lain kat luar sana. Tak boleh ke buang prasangka buruk terhadap suami. Mengapa rasa cinta dan kasih sayang itu harus ditunjukkan melalui pemberian hadiah? Bukankah itu dinilai sebagai manusia yang materialistik?
"Yas...Dont say, its about Tiara again." Teka Hans. Diraup wajahnya berulang kali dengan geram. Masih tak mahu berganjak daripada topik itu. Asyik-asyik Tiara juga yang menjadi isu utama dalam setiap masalah.
"I dont say anything Hans. I tak perlukan Ipad tu. As you said before, i dah requested for a new PC from my manager. Lepas few months, i will get it. You simpanlah Ipad tu. Or jual balik ke...or bagi dekat orang lain." Tanpa menghiraukan Hans yang sedang memerhatikan dirinya, Yasmin terus merapikan rambut basahnya dengan hujung jari lalu melangkah keluar dari bilik itu. Terasa berbahang pula berada di tempat yang sama bersama lelaki itu. Nyaris-nyaris dia menyindir Hans Ilham tadi. Timbul senyuman sinis pada bibir Yasmin. Ceh, baru sekarang nak concern pasal aku? Sebelum ni, satu habuk pun takde.
"Yas! Come here." Laung Harsha dari ruang tamu. Dengan pantas Yasmin menghayunkan jejak kakinya menghampiri wanita itu bersama senyuman tipis. Punggung dihenyak di atas sofa bertentangan dengan Harsha.
"Kenapa kak chik? Is there anything wrong?" Soal Yasmin lalu melilau mencari kelibat ibu dan bapa mertuanya. Hilang ke mana dua orang itu? Selalunya waktu-waktu begini, pasti sibuk menonton drama. Berkerut dahi Yasmin memikirkan keberadaan Khalid dan Fauziah.
"Mak dengan abah keluar. Ke rumah aunty Fida, katanya ada hal yang perlu diuruskan." Makin bertambah kerutan pada dahi Yasmin. Untuk apa mereka pergi ke sana? Urusan? Urusan apa? Fikirnya.
"Ni hah, kak chik nak tanya. So far, ada apa-apa perubahan tak pada Hans?" Yasmin memicingkan mata. Kemudian, menggelengkan kepala.
"Lah...seriously?" Melongo mulut Harsha. Bedebah itu tiada hati perut ke? Kan baru je mak dengan abah kasi nasihat.
"Maksud kak chik, perubahan yang macam mana?" Kurang mengerti dengan soalan kakak iparnya.
"Alah, perubahan positif. Ada Hans belikan sesuatu or ajak Yas keluar ke mana-mana? Bersinar anak mata Harsha sambil menanti balasan daripada Yasmin. Kalau tak berubah juga, takde cara lain dah selain bawak Yas jumpa bomoh. Biar dikangkang abang tak guna aku tu. Ish, astaghfirullah al azim, Harsha, apa yang kau merepek ni! Berdosa!
Yasmin mengangguk perlahan sebelum menjawab. "So, kak chiklah yang suruh dia belikan Ipad tu?" Geram pula jadinya dengan Hans Ilham. Jadi, Ipad itu bukannya dibeli atas keinginannya sendiri, namun atas desakan orang lain? Yasmin mengepal penumbuknya.
"Eh, jadi dia ada belikan Yas Ipad?" Harsha terlopong tidak percaya. Wah, nampaknya ada kemajuan di situ setelah ditazkirahkan oleh ibu dan bapanya silih ganti. Harsha tersengih geli hati.
"Hurm, ada. Dia beli semalam. Letak kat meja solek." Yasmin jadi malas mahu bersoal jawab mengenai hal itu. Orang tu bukannya ikhlas pun belikan. Ugh...
"I see. Eloklah tu Yas... Ada sikit progress lepas mak dengan abah balun dia cukup-cukup semalam." Terang Harsha lalu mengekek ketawa.
"Mak dengan abah, cakap apa kat Hans?" Yasmin bertambah hairan. Apa sahaja yang dilakukan oleh ibu dan bapa mertuanya, sehingga Hans Ilham, si penyangak yang keras kepala itu sanggup membuang duit dan air liur, semata-mata untuk membeli sebuah Ipad buat dirinya.
"Mak berleter. Nonstop pulak tu. Yas patut tengok muka dia semalam. Macam buah tomato ranum. Merah je muka dia." Perli Harsha.
"Iya?" Kedua wanita itu mula berdekah saat membayangkan raut wajah Hans ketika menerima leteran daripada Fauziah. Mata yang berair itu dilap dengan hujung lengan baju. Harsha terus menutup mulut setelah ternampak kereta Khalid, masuk ke dalam perkarangan rumah. Yasmin langsung bangun lalu membukakan pintu grill yang bermangga.
"Assalammualaikum." Fauziah memberi salam lalu melabuhkan tubuhnya di atas kerusi sandar berhadapan Harsha. Tudung sarung atas kepala ditanggalkan lalu diletakkan di atas meja kopi.
"Hah, macam mana mak?" Harsha menjadi semakin penasaran. Yasmin pula mengambil tempat di sebelah adik iparnya. Dia juga sedang menanti jawapan daripada ibu mertuanya tentang tujuan mereka berkunjung ke rumah Rafidah, si mulut puaka itu.
"Macam tulah. Mak dah terus terang dengan Tiara, suruh dia kurangkan keluar dengan Hans. Dia tu perempuan. Tak lama lagi, bakal berkahwin. Bayangkan, ada pihak yang beritahu kat suami dia, yang Tiara ni, selalu keluar berdua dengan Hans, confirm laki tu naik angin dan mula fikir yang bukan-bukan." Harsha mengangguk. Dia setuju dengan kata-kata ibunya. Yasmin hanya membisu.
"Yas...lepasni, jangan simpan dalam hati. Tak perlu nak jadi isteri solehah sangat. Orang laki ni, bebal. Kadang tak faham perasaan orang perempuan. Lain kali, kamu nak apa-apa, mintak aje dengan si Hans tu. Kalau dia bising, bagitau mak atau abah. Tahulah kami nak uruskan anak bertuah sorang tu. Ish, geram pulak hati ni. Abang-abang dia, tak pulak perangai macam tu. Abang long kamu tu, bini mintak itu ini, ditunaikan terus." Fauziah mula panas hati dengan sikap Hans Ilham yang sering bikin masalah.
Yasmin hanya tersenyum tipis. Entah mengapa, dia berasa sedih saat keluarga mertuanya mula memarahi Hans. Sebab itu dia kurang gemar berkongsi masalah rumahtangganya dengan sesiapa kecuali Azam. Lelaki itu, walaupun menjengkelkan, namun dia tidak akan memburukkan mana-mana pihak, malah dia akan menyebelahi pihak yang benar sahaja. Fikir pasal Azam, entah di mana lelaki itu sedang berada sekarang...Sudah 3 minggu mereka tidak berjumpa. Aku rindu kau Zam, cepatlah balik. Banyak benda aku nak share dengan kau.
Share this novel