Dapur kecil itu kembali hidup dengan aroma dan kenangan. Adriani berdiri di tengah ruang, lengkap dengan apron warna biru laut, rambutnya diikat kemas ke belakang. Wajahnya serius, tapi ada sinar ketenangan yang terpancar. Di atas meja makan yang sederhana, segala bahan mentah dan barang dapur yang dibelinya semalam sudah pun tersusun rapi sayur lobak, ayam segar, beras wangi, agar-agar, dan roti untuk dijadikan pencuci mulut.
Dia menghembus nafas perlahan sambil mencekak pinggang, meninjau keseluruhan persiapan. "Okay… kita start," gumamnya, dan itu menandakan hari minggu miliknya sudah rasmi bermula.
Inilah rutin mingguannya. Setiap Ahad, dia akan memasak untuk Rumah Kebajikan Orang Tua Harmoni tempat yang pernah dijaga dan disokong penuh oleh arwah ibu dan ayahnya satu ketika dahulu. Mereka bukan orang berada. Tapi kasih sayang dan nilai kemanusiaan yang ditanam sejak kecil menjadikan Adriani celik tentang satu perkara, memberi bukan soal mampu, tapi soal mahu.
Tangannya lincah menyiapkan bahan satu demi satu, dari mengupas bawang hingga mereneh sup. Bunyi mendidih air dari periuk besar menjadi muzik latar yang menemani. Dapur itu sunyi dari suara, tapi penuh dengan ingatan seolah-olah kenangan hidup semula setiap kali dia mengacau lauk dalam periuk.
Jam baru menunjukkan 8:30 pagi, tapi Adriani sudah berada di tengah kerja. Bubur nasi ayam sedang merenih perlahan, ayam masak kicap berkilat dalam kuali, dan sup lobak beraroma nyaman memenuhi ruang dapur. Tiada bau masakan mewah, tapi keharuman itu mencuit hati seperti bau tangan mak setiap kali masak ketika dia kecil dulu.
Dia melirik pada buku nota kecil yang terbuka di sudut meja. Menu untuk hari ini, Bubur nasi ayam, Sup ayam sayur, Ayam masak kicap manis dan agar-agar susu atau puding roti. Empat menu yang menjadi kesukaan penghuni rumah kebajikan itu.
Tangannya terus bergerak, namun fikirannya sedikit terbang. Jiwanya ligat mengingat. Rindunya bukan biasa-biasa. Rasa itu datang dari tempat yang dalam, yang sukar digambarkan dengan perkataan. Mungkin sebab dapur itu. Mungkin sebab aroma sup. Atau mungkin sebab pagi ini terlalu sunyi, sampai suara mak boleh singgah kembali ke gegendang telinganya.
"Orang tua tak perlu mewah, Adik... mereka cuma nak rasa dihargai."
Ayat itu… suara itu… seolah-olah berdiri di sisinya. Adriani terkedu seketika, senduk kayu di tangan dipusing perlahan. Ada air mata yang hampir jatuh, tapi dia tahan. Dia mahu terus memasak seperti biasa, tapi kali ini lebih perlahan, lebih hati-hati… seolah-olah mak akan rasa dulu semua lauk yang dimasaknya.
Dua jam kemudian, seluruh dapur dipenuhi bekas makanan yang tersusun rapi. Bubur nasi ayam diasing dalam bekas besar, sup dimasukkan dalam termos tahan panas, ayam kicap dibungkus agar tak tumpah dan tak terlalu berminyak. Puding roti disusun dalam bekas lutsinar dengan sudu plastik kecil di tepinya.
Adriani senyum kecil. Bukan sebab dia letih, tapi sebab dia puas. Rasa yang tak semua orang faham. Tapi cukup untuk dia rasa… mak abah mesti bangga.
Kereta Myvi berwarna merah hati itu terparkir elok di perkarangan Rumah Orang Tua Harmoni, bonet belakang terbuka luas, penuh dengan bekas-bekas makanan besar yang dibawa sendiri oleh Adriani. Tangannya sibuk mengangkat satu per satu, disusun cermat ke dalam troli kecil yang disediakan pihak rumah kebajikan. Hari itu, seperti biasa, dia datang bukan sekadar membawa makanan dia membawa kenangan, cinta, dan jejak langkah orang tuanya yang suatu masa dulu pernah berbakti di sini.
Suasana di Rumah Orang Tua Harmoni sungguh mendamaikan. Matahari pagi menyapa dari balik langit biru cerah, membias cahaya keemasan yang menyirami halaman luas yang ditumbuhi rumput hijau segar. Bunga-bungaan liar mekar di setiap penjuru, seakan menyambut ketibaan hari baru. Pokok-pokok besar berdiri megah, daunnya melambai perlahan ditiup bayu yang sejuk dan tenang. Teduhan semula jadi itu menjadi tempat berlindung buat para penghuni yang bersantai, berbual mesra atau sekadar termenung ditemani bunyi alam.
Bangunan-bangunan kediaman di sekeliling taman itu dibina kemas dan teratur reka bentuk moden yang diinspirasikan daripada kabin kayu, menampilkan sisi hangat dan mesra. Warna kayunya kekal semula jadi, tidak berlebih-lebih, memberi aura tenang. Tingkap-tingkap besar dibiarkan terbuka luas, membenarkan cahaya matahari memeluk setiap ruang seolah-olah mengisi setiap kekosongan hati yang pernah sunyi.
Di tengah laman, kelihatan beberapa warga tua sedang berbual sambil bermain catur di bawah pokok. Ada yang tersenyum kecil, ada yang ketawa perlahan, dan ada juga yang hanya duduk diam menikmati hembusan angin dan bunyi dedaunan berdesir. Di anjung rumah, beberapa warga emas duduk di kerusi panjang, sebahagiannya berzikir perlahan, yang lain hanya membiarkan masa berlalu dengan tenang. Seorang jururawat muda menolak perlahan kerusi roda yang dinaiki seorang nenek bertudung selendang nipis wajahnya tenang, seperti tidak terbeban oleh apa-apa, hanya menikmati hari.
Di sinilah letaknya makna sebenar nama 'Harmoni'. Bukan sekadar tempat tinggal, tetapi sebuah komuniti satu ruang yang dibina dengan kasih, tempat di mana kenangan diraikan dan masa depan tidak lagi menakutkan. Di sini, usia tua tidak terasa menakutkan, malah seperti disambut dengan pelukan dunia yang penuh damai.
"Adriani, datang awal hari ni." sapa Puan Salmah, penjaga rumah itu yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Wajahnya ceria, dan matanya memandang Adriani dengan penuh pengertian.
Adriani tersenyum, mengangkat satu bekas berisi puding ke dalam pelukan. "Ya, ada semangat lama yang bekerja sekali hari ni." jawabnya perlahan, penuh makna.
Puan Salmah tidak membalas dengan kata. Senyumannya sahaja sudah cukup menyampaikan rasa faham yang mendalam. Dulu, mereka bertiga Adriani, ibu, dan ayahnya yang selalu datang bersama. Hari ini, hanya Adriani yang tinggal meneruskan amanah itu, tapi Puan Salmah tahu… dia membawa roh dan semangat kedua-dua orang tuanya dalam setiap langkah.
"Alhamdulillah, sihat. Kebelakangan ni, banyak bantuan yang disumbangkan ke sini. Syukur dengan rezeki Ilahi." luah Puan Salmah sambil mengambil satu bekas makanan yang masih tertinggal di bonet.
"Alhamdulillah. Saya senang mendengarnya." balas Adriani sambil melangkah seiringan menuju ke dalam ruang makan.
Ketika mereka sibuk mengangkat makanan, seorang nenek tua mendekat. Wajahnya berkedut halus, matanya redup tetapi bersinar lembut. Dia menghidu bau dari bekas makanan yang dipegang Adriani.
"Wangi… kamu masak sendiri ke, nak?" soalnya dengan suara yang sedikit getar, tapi penuh kagum.
Adriani angguk, bibirnya tersenyum manis. "Ya, nenek. Saya masak sendiri. Untuk nenek dan semua makan dengan tenang hari ni."
Nenek itu mendekat, tangannya yang tua dan berkedut membelai kepala Adriani yang berlapik tudung. Sentuhan itu lembut, penuh kasih seperti tangan seorang ibu yang pernah membelainya satu masa dulu.
Adriani terkedu seketika. Hatinya terusik, matanya sedikit berkaca. Dia tidak pernah menganggap dirinya istimewa. Apa yang dia beri hari ini hanyalah sedikit makanan, tapi layanan yang diterimanya di situ sentuhan lembut, senyuman tulus membuatkan dia terasa seperti pemberiannya itu adalah sesuatu yang sangat besar.
Dan dalam hati kecilnya, Adriani tahu… hari ini dia bukan sekadar menyuap nasi ke mulut-mulut yang menunggu. Dia sedang menyuap rasa dihargai, rasa disayangi, rasa masih penting di dunia yang kadang-kadang lupa pada mereka yang telah tua.
Share this novel