Adriani melangkah longlai menuju ke tempat letak kereta di tingkat basement. Bunyi tumit sneakersnya bergema perlahan di ruang sunyi yang hanya disinari lampu kekuningan malap. Tangannya sempat meraba ke dalam beg, mencari kunci kereta. Saat jari menyentuh pemegang pintu, satu suara dari arah bertentangan memanggil namanya.
"Adriani!"
Suara itu datang dari seorang wanita yang berjalan pantas menghampirinya. Adriani enggan menoleh terus, lebih selesa dengan keretanya daripada drama tambahan malam ini. Namun langkah wanita itu semakin dekat.
"Adriani, kan?"
Kali ini baru dia menoleh. Wajahnya dibiarkan kosong tanpa reaksi, seperti papan tanda jalan datar, tidak mesra.
"Siapa?" soalnya pendek. Dia memang begitu. Orang yang tidak penting dalam hidupnya, biasanya terus diletakkan dalam kategori auto-delete.
"Aku lah, Liana! Kita satu sekolah dulu... Sekolah Menengah Tunas Murni? Ingat tak?" ujar wanita itu teruja, seolah-olah momen itu begitu manis untuk dikenang.
Adriani sempat meneliti pakaian wanita itu dari atas ke bawah beg berjenama mewah, kasut tumit tinggi yang bersinar macam baru lepas keluar butik, dan haruman mahal yang berterbangan di udara seperti nak tunjuk 'I’m rich and I know it.'
"Sejak bila aku ada kawan orang kaya macam ni?" gumamnya dalam hati. Dia tahu dia memang pernah sekolah di situ, tapi terlalu ramai muka yang tidak penting untuk diingati.
"Aku tak ingatlah. Sorry ya," jawab Adriani selamba, mengangkat sedikit bahunya tanpa rasa bersalah. Liana terdiam seketika, jelas terguris sedikit, namun masih mengekalkan senyum palsunya.
"Tak apa... nanti kau ingatlah tu. Tapi aku nak tahu juga, kenapa kau tiba-tiba pindah?" soal Liana, masih cuba berhubung walau tembok kaca antara mereka tak nampak akan retak.
Adriani hanya diam. Nak cerita buat apa? Dia pun tak pasti siapa Liana dalam memorinya.
"Oh, baru aku ingat!" Liana tiba-tiba bersuara lebih kuat, matanya bersinar nakal. “Kalau kau tak kenal aku, mesti kau kenal budak Yan. Lelaki poyo perasan bagus tu?”
Adriani terhenti sejenak. Dah lama dia kuburkan nama itu dalam lubuk ingatan yang paling dalam. Tapi sebutan ‘Yan’ membuatkan satu fail mental terbuka perlahan. Ya... budak lelaki itu. Wajah lelaki itu sedikit samar dalam kotak ingatannya. Raut wajah maskulin yang sentiasa menang sorakan gadis sekolah, dan peluh yang menitis di dahi setiap kali tamat latihan sukan, seolah dia saja yang bekerja keras dalam dunia ini. Semua orang gilakan dia.
Yan si atlet sekolah berlagak seolah-olah setiap peluhnya bernilai emas. Langkahnya penuh yakin, suaranya pun sarat dengan keyakinan. Ya, sikap ‘perasan bagus’ itu memang tak pernah lekang darinya. Lebih-lebih lagi sejak insiden yang menyebabkan dia tidak hadir ke sekolah selama beberapa hari gara-gara tindakan lelaki itu sendiri.
"Hmm... nama tu macam pernah ada dalam sejarah hitam aku," bisiknya perlahan.
Dia mengangkat kening. Separuh dirinya mahu melontar makian, separuh lagi hanya mahu menampar kenangan itu sejauh mungkin dari ingatan.
"Dia ada lagi ke? Jangan cakap dia jadi motivator sekarang," Adriani berseloroh sinis.
Liana tergelak kecil. "Taklah, last aku dengar dia buat bisnes jual madu lebah… tapi yang pelik, aku tak nampak pun dia sweet mana."Nada suaranya bersahaja, namun sinisnya jelas. Sebenarnya, dia hanya mengarang cerita bukan untuk menyampaikan kebenaran, tapi untuk menunjukkan rasa muaknya terhadap lelaki yang pernah mewarnai hidup mereka suatu masa dahulu.
Adriani sekadar mencebik kecil, bibirnya mengukir senyuman nipis yang lebih kepada sindiran berbanding minat. Dia tidak berminat untuk melanjutkan cerita tentang lelaki itu. Hatinya sudah terlalu kenyang dengan kisah lalu, dan dia lebih suka mengosongkan ruang fikirannya dari nama-nama yang tidak perlu.
Sedang Liana terus asyik menyimbau masa lalu mereka, Adriani tiba-tiba terhenti. Pandangannya jatuh ke skrin telefon yang bergetar dalam genggamannya.
"Aku dah sampai Malaysia, tak nak ambil aku kat airport keh?"
Mesej dari Zayyan itu buat dahinya berkerut. Cepat sangat lelaki itu membuat keputusan untuk pulang? Baru beberapa minggu mereka bertemu semula, belum pun sempat apa-apa terjelaskan. Rasa tak selesa menyapa dadanya, tetapi dia sendiri tidak tahu dari mana puncanya.
Liana yang perasan Adriani sudah tidak memberi perhatian, mengalih pandangan ke arah telefon Adriani, seakan ada sesuatu yang bermain pada raut wajah Adriani tatkala itu.
"Kenapa Adriani? Kau ada nak jumpa orang keh lepas ni?" soal Liana, suaranya tenang tapi penuh minat. Dia benar-benar ingin berbual panjang, mungkin di tempat yang lebih nyaman.
"Tak lah. Aku nak terus balik. Esok kerja, banyak benda nak buat," jawab Adriani malas, tanpa mengalihkan pandangan dari telefonnya.
Tanpa sedar, satu lagi pesanan masuk dan secara tidak sengaja telah dibaca. Skrin telefon ditekan 'off', kemudian dimasukkan ke dalam beg tangan tanpa sebarang niat untuk membalas.
"Oh… baru nak reunion dengan kau, lepak tempat best sikit. Tak apa lah kalau kau busy. Minta nombor kau, bila-bila kalau kau free boleh metime kan." Liana tersengih sebelum meminta Adriani memasukkan nombor telefonnya, cuba menyembunyikan rasa kecewa di sebalik senyumannya yang tetap manis.
Adriani hanya mengangguk lalu memberikan kembali telefon Liana sebelum meminta diri. Liana melambai dengan senyuman yang masih terukir di wajah, seakan pertemuan itu punya makna tersendiri untuknya.
Entah apa yang istimewa sangat pada Adriani di matanya, hingga wanita itu begitu teruja hanya dengan pertemuan ringkas tadi. Adriani sendiri tidak mengerti. Dia punya satu sifat, tidak peduli pada sekeliling. Bukan kerana sombong, tapi dia sudah terlalu biasa untuk tidak melibatkan diri dalam emosi orang lain.
Baginya, kalau seseorang itu baik, dia hanya perlu membalas dengan baik tidak lebih, tidak kurang. Kerana untuk menjadi lebih baik dari sekadar ‘baik’, itu memerlukan rasa yang dia belum bersedia untuk beri. Kalau orang baik, ya dia hanya perlu baik saja bukan jadi yang lebih baik kan?
"Esok jumpa, kat cafe. Jom!"
"Ha-CHOO!"
Edward terbersin kuat, tangan laju mencapai tisu dari konsol tengah kereta mewah itu.
"Bless me," gumamnya sendiri sambil menjeling keluar tingkap. Hujan renyai-renyai di luar kaca, namun dalam kereta, suhu tetap dingin. Mungkin lebih dingin dengan kehadiran seseorang di tempat duduk penumpang hadapan ayahnya sendiri.
"Mungkin ada orang sedang kutuk saya sekarang," seloroh Edward perlahan, cuba meredakan senyap yang sudah terlalu menyesakkan.
Datuk Fariz tak balas. Sebaliknya, dia menyelak beg hitam di pangkuannya, lalu menghulurkan naskhah skrip tebal ke arah anaknya.
"Baca ni. Ini cerita untuk drama bersiri yang kau akan jayakan. Judulnya Lelaki Kimchi Itu Suamiku. Mula penggambaran Januari nanti."
Edward menyambut naskhah itu dengan anggukan malas. Matanya melirik tajuk di kulit depan.
"Tak sangka ‘ini’ jadi permulaan semula untuk saya," ujarnya hambar.
"Ini bukan permulaan, Edward," balas Datuk Fariz, suaranya rendah namun jelas. "Ini hidup kau yang sebenar. Yang dulu… itu cuma mimpi kau yang terlalu jauh dari kami semua."
Edward senyap. Jemarinya mengetuk-ngetuk skrip di riba.
"Jadi sekarang saya kena jadi pelakon sebab saya balik Malaysia?" soalnya tenang, tapi sinis terselit dalam nadanya. "Sebab saya dah tak jadi ‘idol’, jadi inilah pelan kecemasan papa?"
Datuk Fariz berpaling sedikit, wajahnya tajam.
"Bukan sebab kau balik Malaysia. Tapi sebab bakat kau. Dan ini peluang kau untuk tunjukkan siapa Edward yang sebenar tanpa pentas, tanpa lampu limpah, tanpa jeritan peminat. Cuma kau dan kamera."
Edward ketawa kecil, namun nadanya kosong.
"Dan tanpa keluarga juga dulu, kan?" katanya lirih.
Suasana kembali sunyi. Bunyi pengelap cermin berdetik perlahan.
"Kau yang pilih untuk pergi, Edward. Kami tak pernah halau kau," balas Datuk Fariz perlahan, namun tegas. "Dan sekarang kau balik. Jadi buat pilihan yang betul."
Edward mendongak, matanya memandang cermin sisi. Wajahnya refleksi yang samar, namun cukup untuk menyedarkan dia lelaki dalam cermin itu sudah bukan anak muda yang sama.
Dia kini di sini. Di Malaysia. Dalam dunia yang jauh dari glamor Korea dan kini, dia perlu jadi watak utama dalam hidupnya sendiri.
Share this novel