Kereta Myvi milik Adriani terparkir kemas di perkarangan Rumah Kebajikan Harmoni yang sunyi dari hiruk-pikuk kota, hanya ditemani bayu pagi yang meniup lembut dedaunan di halaman. Mawar menarik tudungnya sedikit ke belakang, membetulkan kedudukan yang terasa sengal di tengkuk. Jam tangan di pergelangan dikerling sekilas-tepat jam sembilan pagi. Pandangannya kemudian jatuh pada Adriani yang berdiri tegak tanpa bersuara, matanya terpaku pada sebuah banner besar yang tergantung pada tiang bangunan utama rumah kebajikan itu.
Mawar melangkah mendekat, menepuk perlahan bahu kawannya. Adriani sekadar menoleh sebentar, sebelum kembali memandang banner yang tergantung megah di hadapan mereka.
"Ada kerja amal pula hari ni," ujar Adriani bersahaja, nadanya mendatar, hampir tanpa emosi.
Banner berwarna biru lembut itu menonjol dengan slogan penajaan dari syarikat makanan sejuk beku, Dapur Dingin. Tertulis dengan huruf tebal:
"Dari Dapur Kami ke Hati Mereka"
"Kerana Mereka Juga Berhak Merasa Enak"
Mawar mengerutkan kening, matanya mengecil sedikit saat membaca slogan tersebut. Kata-kata yang kelihatan manis itu tidak mengaburi nalurinya. Bagi Mawar, ayat-ayat tersebut terlalu 'tersusun rapi' terlalu sempurna untuk tidak mencurigakan.
"Perlu ke bagitahu sekali stok sampai dua bulan?" gumam Mawar perlahan, penuh sinis namun cukup untuk didengar oleh Adriani sahaja. Mereka sama-sama tahu, niat sebenar di sebalik penajaan seperti ini jarang benar-benar tulus.
Mereka kemudian mula memindahkan bekalan makanan yang disediakan sejak awal pagi tadi ke dalam troli yang diberikan oleh pekerja rumah kebajikan. Makanan-makanan itu disusun rapi, puding jagung lembut dalam bekas kecil, bubur nasi bersama ikan bilis kisar dan hirisan lobak halus, teh hijau suam, kopi oat, roti bakar gandum penuh, dan pelbagai jenis buah-buahan segar. Seperti kebiasaan, Adriani tidak pernah mengambil mudah dalam menyediakan makanan untuk penghuni rumah kebajikan ini. Setiap hidangan disediakan dengan rasa hormat, seolah-olah untuk keluarga sendiri.
"Hari ini ada artis sekali. Akak tak pasti sangat siapa mereka, tapi yang akak kenal sorang tu... Tasha Elvira. Korang berdua kenal?" soal seorang pekerja wanita sambil memegang troli tambahan.
Adriani dan Mawar saling berpandangan, tidak perlu kata-kata untuk menyatakan bahawa mereka berdua sememangnya mengenali nama itu. Tasha Elvira, nama yang sedang hangat dibualkan dalam media sosial kerana sikap kasarnya terhadap staf produksi dalam satu rakaman yang bocor baru-baru ini. Kini tiba-tiba muncul dalam kerja amal? Agaknya ini peluang 'pembersihan nama'.
Namun, tiada siapa antara mereka bersuara. Reaksi mereka hanya sebatas renungan sepi, renungan yang menyimpan seribu satu persoalan.
Pekerja wanita itu meneliti hidangan yang dibawa oleh Adriani dan Mawar. Semuanya kelihatan menyelerakan, disediakan penuh teliti dan kasih.
"Jenis makanan apa yang disediakan pihak penaja?" soal Adriani, suaranya tenang namun jelas menyembunyikan rasa ingin tahu yang mendalam. Tangannya masih sibuk menyusun makanan ke dalam troli, cekap dan kemas.
"Bubur ayam pek segera... dan lauk-lauk dalam pek plastik. Ada kari ayam, ada ikan masak lemak," jawab pekerja itu sambil mengimbas kembali senarai yang diumumkan pagi tadi.
Adriani diam. Hatinya berasa tidak sedap. Bukan tidak bersyukur dengan sumbangan, tapi dia tahu rumah kebajikan ini cukup teliti dalam soal pemakanan dan kebersihan untuk warga emas yang tinggal di sini. Pemberian walau percuma sekalipun, seharusnya tetap menjunjung nilai murni dan tanggungjawab.
Mereka mula menolak troli perlahan-lahan menuju ke dewan makan, menyusuri laluan yang dinaungi pepohon rimbun. Bayu pagi menyapa lagi. Namun yang berhembus dalam hati Adriani kini bukan lagi dingin pagi, tetapi firasat-bahawa mungkin niat di sebalik kebaikan ini tidak semuanya bersih.
Kamera berkelip tanpa henti, merakam setiap sudut senyuman manis yang dipamerkan oleh pelakon popular, Tasha Elvira. Wanita itu menyuap sejemput nasi goreng berkuahkan kari ayam ke mulut seorang nenek tua berkerusi roda sambil menoleh sedikit ke arah kamera, mengatur angle senyumannya agar tampak paling sempurna di lensa.
"Sedap, nenek?" soalnya lembut, seolah penuh kasih sayang.
Nenek itu membalas dengan senyuman yang hambar, bibirnya sedikit terketar-ketar, menahan rasa yang tidak menyenangkan. "Lauk ni... macam dah basi, nak," bisiknya perlahan, jelas memaksa diri menelan rasa yang menyinggung tekaknya.
Tasha Elvira buat-buat tidak mendengar. Senyumannya kekal terukir palsu dan hambar. Banyak songeh! Makanan percuma pun nak bising? omel hatinya dengan rasa menyampah yang tidak disorokkan sepenuhnya. Tatapannya membalas wajah si nenek, kali ini dengan renungan tajam yang hanya ditutupi senyum kelat yang semakin hambar.
Jurukamera tiba-tiba menghentikan rakaman.
"Cut! Nenek, boleh cakap macam semalam tu ya? Yang kata sedap sangat tu," arah lelaki itu dengan dahi berkerut, cuba mengawal keadaan.
Tasha segera berdiri, menepuk tangan sambil mengeluh kuat seolah keletihan, pipinya tegang kerana marah yang disorokkan.
"Okay guys, I'm done here. I need to rush another shoot. Make sure gambar I post dulu, ya?" katanya kasar, dengan nada yang dikawal cukup-cukup agar masih kedengaran 'profesional'.
Jurukamera yang belum puas hati meminta Tasha untuk duduk kembali. Mereka masih belum mendapatkan rakaman yang benar-benar sempurna untuk dipromosikan kepada pihak media. Terpaksa, Tasha duduk semula, menyambung semula lakonannya suapan dibuat-buat, senyuman pula tawar dan dibuat dari kepalsuan.
Di sudut dapur, dua orang pembantu wanita yang bertugas menyediakan makanan memerhati adegan itu dengan perasaan meluat yang tidak tersembunyi.
"Diorang datang bukan nak bantu. Nak promo makanan expired tu je," bisik salah seorang kepada rakannya. Rakannya mengangguk perlahan.
Tiba-tiba, satu suara tajam mengejutkan mereka.
"Apa yang expired?"
Kedua-dua wanita itu segera berpaling. Adriani berdiri tegak di belakang mereka, renungannya datar, namun cukup untuk membuat dada bergetar. Langkahnya perlahan namun menggentarkan, mendekat ke arah mereka tanpa sebarang senyuman. Mawar yang berada tidak jauh dari situ turut bingung melihat perubahan suasana.
"Kenapa tu?" soal Mawar kepada wanita yang bersama mereka tadi. Namun wanita itu hanya menggeleng, kelihatan tidak tahu apa-apa.
"Kau cakap apa tadi? Jangan cakap makanan tajaan yang korang siapkan sekarang ni... expired?!" Suara Adriani semakin tegas, membuatkan seluruh ruang penyediaan makanan terdiam.
Adriani menghampiri dulang makanan yang belum sempat diagihkan. Dia menyenduk sedikit kuah kari ayam dari salah satu dulang. Bau hangit yang menusuk hidung membuatkan urat di dahinya menegang. Matanya berkaca. Dulang itu dicampak ke lantai, isinya terhambur bersama emosinya yang meledak.
"Kau!! Kau bagi orang-orang tua makan benda menjijikkan ni?!!!" jeritnya lantang. Suaranya bergetar menahan marah dan kecewa yang bersarang di dada.
"Kami cuma siapkan saja, Adriani. Encik Kamal yang arahkan. Kami hanya pekerja. Kami tak ada kuasa untuk bantah..." rayu salah seorang pembantu, menggenggam lengan Adriani. Matanya penuh harap meminta belas.
Mawar segera mendekat, cuba menenangkan Adriani yang sudah hilang sabar.
Namun Adriani tidak tunggu lama. Dia terus keluar dari dapur, langkahnya deras. Matanya tertancap pada sosok Tasha Elvira yang masih dalam 'lakonan', memaksa nenek tua menyuap makanan basi ke mulut.
"Nenek makanlah," pujuk Tasha dengan senyuman kelat, tangannya menahan si nenek daripada menutup mulut.
"Aku banyak kerja lagi ni, bukan kau sorang aku nak urus," bisiknya tajam, bibir diketap, nada suara jelas jengkel walau hanya si nenek yang mendengarnya.
Tiba-tiba satu suara membelah ruang.
"Kau buat apa ni, bangsat?!"
Tasha terhenti. Adriani berdiri di hadapannya, tangan mengangkat telefon, merakam semua yang telah berlaku. Mata Adriani tajam, dingin, berbeza daripada sebelumnya. Jurukamera yang menyedari kehadiran Adriani meluru, cuba merampas telefon itu, namun belum sempat, Adriani dengan satu gerakan cekap menjatuhkan lelaki itu ke lantai. Kamera terlepas dari genggaman dan pecah berkecai di atas jubin.
Tasha terpaku. Semua mata kini tertumpu pada Adriani.
Adriani menyimpan telefonnya ke dalam poket seluar, lalu menghampiri Tasha yang kini berdiri kaku.
"Seorang selebriti berpura-pura menjadi insan prihatin dengan menyertai aktiviti amal... padahal niat sebenar hanyalah untuk tarik perhatian media dan promosikan imej 'baik' kepada orang awam. Bukan kerana keikhlasan. Wow... apakah ini juga salah satu 'kerja kotor' untuk bersihkan nama kau?" tutur Adriani dingin, namun kata-katanya menghentam tepat ke ego wanita itu.
"Kau delete video aku tu!! Aku boleh saman kau!!" pekik Tasha, wajahnya merah menahan malu dan marah.
Namun Adriani hanya merenungnya, penuh tenang, seperti seekor singa betina yang tak gentar di hadapan mangsanya. Hari ini, topeng kepura-puraan akhirnya jatuh, dan kebenaran... akhirnya bersuara.
Share this novel