Langkah mereka melintasi pintu kaca automatik bangunan itu disambut udara sejuk penghawa dingin yang menyerbu ke kulit wajah. Adriani segera melilaukan pandangannya ke sekeliling. Rasa macam masuk galeri seni, tapi bunyi tak berhenti dari piano, gitar, hingga suara-suara latihan vokal yang kedengaran samar dari bilik-bilik kecil sepanjang koridor.
Bangunan itu moden, bersih dan teratur. Setiap bilik latihan muzik kedap bunyi, berdinding kaca lut sinar yang menampakkan aktiviti di dalamnya. Ada pelajar sedang menyanyi, ada yang memetik gitar, malah ada yang sedang berdepan dengan guru vokal muka tegang macam tengah jawab SPM.
Di hadapan, Zayyan berjalan santai, beg gitarnya bergoyang perlahan mengikut rentak langkah. Adriani mengekor di belakang, sudah rasa macam kena hiking waktu petang.
Jauh gila kelas mamat ni. Kalau tahu tadi aku bawa roller blade…
Tiba-tiba suara Zayyan kedengaran, memecah sunyi mereka. "Kau memang dari dulu kuat ke?"
Soalan itu datang tanpa amaran, membuatkan Adriani berkerut dahi sedikit. Langkahnya tak terhenti, tapi mata tertumpu ke belakang kepala Zayyan.
"Macam mana kau boleh lawan dua orang tu sekali gus hari tu?" soal Zayyan lagi, nadanya seperti benar-benar ingin tahu, bukan sekadar borak kosong.
Adriani sengih kecil sebelum bersuara, "Aku belajar kat YouTube je. Aku memang suka tengok filem fighting."
Sambil berkata, dia mengangkat kedua-dua tangan, menyilang ke atas kepala sebagai bantal sementara kepalanya bersandar ke belakang, tudungnya sedikit tertarik. Gaya relaks habis, macam tengah bercakap pasal resipi kek.
"Tak sangka jadi pulak masa lawan hari tu. Aku rasa dorang tu jenis yang tahu nak gertak je, bukan jenis yang betul-betul fight. Orang kata... lelaki tak ada biji macam tu."
Zayyan yang sedang melangkah di hadapan serta-merta toleh ke belakang, wajahnya berkerut dan sedikit merona. "Uhhiss… kau ni! Mulut main lepas je eh?" Dia cuba tahan senyum, tapi tak berjaya.
Adriani, seperti biasa, menjawab dengan muka tak bersalah, "Iyalah. Lelaki yang angkat tangan pukul perempuan, memang tak ada biji."
Zayyan terkedu sekejap, tapi akhirnya senyum kecil terukir di wajahnya. Anggukan kecil diberikan, seolah mengiyakan kenyataan pedas itu.
Betul jugak, bisik hati kecil Zayyan. Pedas, tapi real.
Langkah mereka terhenti di depan salah satu bilik yang lebih besar dan tampak eksklusif berbanding bilik lain. Pintu studio ditolak perlahan oleh Zayyan, menguak ruang eksklusif yang kedap bunyi, dihias dengan gaya klasik dan kemewahan yang nyata. Bau kulit sintetik dari kerusi studio bercampur aroma kayu mahal memberi kesan seperti masuk ke ruang latihan orkestra peribadi.
Guru vokalnya masih belum tiba. Zayyan memberi isyarat agar Adriani duduk di mana-mana tempat yang dia suka. Tapi Adriani hanya berdiri seketika, memerhati seluruh ruangan dengan mata sedikit terbeliak.
Di satu sudut yang menonjol, berdiri megah sebuah piano hitam berkilat berjenama Bösendorfer jenama elit yang seringkali hanya muncul dalam konsert atau rumah bangsawan Austria.
Adriani terdiam seketika.
Macam ni hidup anak orang kaya? Main muzik dalam bilik ada piano harga motor besar. Gila ah...
"Kalau kau nak aku nyanyi, kau nak aku nyanyi lagu apa?" Suara Zayyan memecah lamunannya. Lelaki itu berdiri tak jauh, senyum kecil masih terselit di bibir, namun anak matanya cuba menangkap reaksi wanita yang nampak terlalu terpukau dengan perabot.
"Err… apa-apa lah. Lagi... Cina-cina pandai ke?" jawab Adriani selamba. Tangannya menyilangkan lengan, mata masih tak lekang dari piano yang seolah memanggil untuk disentuh. Wow! Ni bukan calang-calang barang ni...
"Eh... tak tahu. Kau ni pun…" Zayyan tergelak kecil sambil menggaru kepala padahal tak gatal pun. Pandangan Adriani masih belum bertemu dengan matanya.
"Kau tanya, aku jawab lah," balas Adriani selamba. Akhirnya dia menoleh juga ke arah lelaki itu. "Apa-apa lah, tapi yang penting… main sekali dengan piano tu. Baru berbaloi aku datang sini."
"Ohh, kau nak aku nyanyi dengan iringan piano lah ni?" soal Zayyan semula, minta kepastian sebelum meletakkan beg gitarnya di ruang khas bersebelahan.
"Hah. Barulah tak sia-sia aku panjat bangunan ni macam nak pergi temuduga CEO."
Zayyan ketawa perlahan sebelum mengambil tempat di bangku piano. Dia menepuk perlahan tempat kosong di sebelahnya. "Okay. Meh duduk sebelah aku."
Sunyi mengisi ruang studio yang hanya diterangi cahaya kekuningan dari lampu gantung berona hangat. Di hadapan, sebuah piano Bösendorfer hitam berdiri teguh, seolah menanti disentuh dengan rasa.
Adriani mengangkat kening. "Eh, aku jadi penonton je lah. Aku takut nanti suara aku tercicir keluar bila kau main," gurau Adriani, walau hakikatnya dia memang tak selesa duduk terlalu dekat.
Zayyan mencebik manja, gaya mengada-ngada yang dibuat-buat. Tapi sebelum sempat membalas, jarinya sudah mendarat perlahan di atas satu kekunci putih di tengah piano Middle C. Jari-jemari Zayyan menyapu perlahan ke atas kekuncinya bermain dengan hati-hati, seolah-olah setiap not adalah luka yang ingin dia rawat satu per satu.
Bunyi halus keluar, bergema lembut dalam ruang yang sunyi. Seperti bisikan pertama dari jiwa instrumen yang selama ini menunggu disentuh. Satu demi satu, dia tekan kekunci lain, mencipta skala ringkas seperti memberi salam perkenalan antara pemain dan alatnya.
Adriani teruja, senyuman lebar sudah terukir. "Wuuu… ini baru pembukaan. Kalau ada popcorn, dah macam duduk depan konsert."
Zayyan senyum nipis, tapi matanya tetap fokus pada kekunci. Jari-jarinya bergerak lagi, kini mencipta irama yang lebih panjang, lebih padu, seolah-olah piano itu sendiri sedang bercerita.
Adriani bersandar ke belakang, kedua-dua tangan silang sambil tersenyum.
Suara Zayyan mula bergema, lembut dan mendalam. Lirik yang pernah dilaungkan penuh kemarahan itu kini berubah menjadi keluhan sunyi yang mencengkam. "I've become so numb..." keluar dari bibirnya seperti rintihan seseorang yang telah lama hilang arah.
Adriani duduk di sofa baldu kelabu di tepi ruang kaca pengasing bunyi. Lagu Numb nyanyian Linkin Park mengisi ruang studio, bergema perlahan. Dia tak bersuara, hanya menatap matanya tak lepas dari sosok Zayyan yang tenggelam dalam dunia muziknya. Ada sesuatu yang menyentuh dalam cara lelaki itu menyanyi. Bukan kerana suara, tapi kerana luka yang tersembunyi di sebalik nyanyian itu.
Petikan piano terus bermain, menyelubungi ruang dengan duka yang tak mampu diterjemah dalam kata-kata. Adriani genggam jemarinya sendiri cuba menenangkan resah yang tiba-tiba hadir, mungkin kerana getar emosi yang dibawa Zayyan, terlalu dalam untuk diabaikan.
Petikan piano mengalun perlahan, seperti bisikan hujan yang menitis atas hati yang telah lama pecah. Di sebalik mikrofon, Zayyan menunduk sedikit, jemarinya masih setia menari di atas kekunci piano itu. Suaranyalunak, serak, basah mengalir perlahan dalam ruang studio yang tenang.
"All I want to do
Is be more like me and be less like you..."
Bait itu dihembuskan perlahan, seperti rahsia yang disimpan terlalu lama. Suara Zayyan tidak memaksa, tetapi setiap suku katanya penuh beban dan jujur bagai seorang lelaki yang akhirnya mengaku dia telah hilang dirinya sendiri.
Adriani masih di tempatnya, tapi tubuhnya sedikit condong ke depan. Ada debar aneh di dadanya. Wajahnya terpaku, matanya bersinar sedikit dalam suram cahaya studio. Lagu itu bukan hanya mengisi ruang, tapi ia meresap masuk ke dadanya mengisi tempat-tempat kosong yang selama ini sunyi.
Dia tak pernah benar-benar kenal siapa Zayyan, tetapi saat ini...
Dia rasakan lelaki itu sedang membukakan jendela hatinya yang tertutup.
Adriani menarik nafas perlahan, matanya berkelip. Ada sesuatu tentang Zayyan yang...
lembut. Tenang.
Dan entah sejak bila, Adriani sedar dia sedang tenggelam dalam suara yang seolah cuba menyembuhkan luka. Tapi dalam setiap bait itu, seakan lelaki itu sedang menceritakan kisah hidupnya sendiri.
EPILOG
Suasana studio masih diselubungi keheningan yang syahdu. Di hujung lagu, Zayyan menekan kekunci terakhir pada piano hitamnya dengan penuh rasa setiap not yang keluar seakan hela nafas terakhir sebuah luka yang dipendam terlalu lama.
Sebelum benar-benar tamat, matanya sempat dikerling ke arah Adriani. Dan pada saat itu, dunia seakan terhenti. Hanya mereka berdua yang wujud dalam ruang kecil itu, ditemani cahaya lampu yang seolah sengaja tertumpu pada mereka. Mata mereka bertentangan bukan dengan bicara, tetapi dengan rasa.
Zayyan menghadiahkan senyuman tipis, sederhana tapi sarat makna. Namun Adriani hanya diam. Tidak membalas, tidak juga berpaling. Dia membiarkan pandangan mereka bersambung, seperti tak mahu memutuskan detik yang tak terganti itu.
Petikan terakhir piano masih bergema, seakan enggan melepaskan melodinya pergi.
Setelah senyap mengisi udara, Adriani menepuk tangan perlahan sambil duduk di sofa dengan kaki tersilang. Senyuman mula terukir di bibirnya. Wajahnya bersinar, bukan hanya kerana pencahayaan, tapi kerana kepuasan yang nyata dari hati.
"Terima kasih... sebab nak dengar aku," ujar Zayyan perlahan, bangkit dari bangku piano, berdiri di hadapan Adriani dengan tubuh masih tenang tapi dada yang berdetak lebih laju daripada biasa.
Adriani turut berdiri. Tangannya kini bersilang di belakang badan. Senyumannya masih ada, tetapi matanya ia merenung Zayyan dengan cara yang istimewa. Cara yang membuatkan lelaki itu rasa dilihat… bukan sebagai seorang idol, bukan juga sebagai pelajar tapi sebagai dirinya sendiri.
"Kalau kau jadi penyanyi satu hari nanti, aku orang pertama jadi fan kau." katanya, sambil menyengih nakal.
Zayyan terkedu seketika. Pipi yang tadi tampak tenang kini mulai berona merah. Senyuman Adriani seperti cahaya yang menembus dinding-dinding yang dibina Zayyan bertahun-tahun lamanya. Dia gugup, tapi cuba kelihatan tenang.
"Baiklah. Aku tunggu sorak dan tepuk tangan kau… masa aku berdiri atas pentas sebenar nanti," balas Zayyan, senyum kecil penuh harapan terukir di hujung bibirnya.
Adriani hanya mengangguk perlahan, senyumannya membalas rasa yang tak pernah dilafazkan dengan kata. Lalu dia melangkah ke arah beg sandangnya, bersedia untuk pergi.
"Hm… sebagai hadiah, aku nak belanja kau coklat cheese," katanya, memandang Zayyan yang masih berada di sisi piano, menunggu guru pengajarnya masuk.
Zayyan tersengih, cuba menyembunyikan rasa segannya.
"Sorry… aku tak suka manis."
Adriani menjungkitkan kening, tidak berputus asa. "Kau try dulu. Kalau tak sedap… aku belikan lain."
Satu senyuman terakhir dia hadiahkan sebelum melangkah keluar dari studio, meninggalkan Zayyan yang hanya mampu mengangguk.
Dan kini, hanya Zayyan yang tinggal dalam ruangan itu. Suasana kembali senyap, tetapi hatinya tidak. Debaran di dada semakin laju, menghantar satu rasa asing yang belum pernah dia alami sebelum ini.
Tangannya mengusap pelan dada sendiri.
"Kenapa macam… berdebar lebih dari biasa?"
Wajahnya merona. Senyuman Adriani tadi… masih bermain dalam fikirannya. Dan suara itu "aku orang pertama jadi fan kau" masih bergema, lebih kuat daripada bait lagu yang baru dia nyanyikan sebentar tadi.
Linkin Park-Numb (Cover by Dave Winkler)
Share this novel