BAB 25 | KETENANGAN YANG MENIPU

Drama Series 1053

Patung beruang besar yang tadi menjadi hadiah kini sudah diletakkan di ruang khas penyimpanan barang, berteduh senyap di antara topi-topi dan beg pengunjung lain. Tiada siapa sangka ia lambang ego yang terselindung dan gurau yang tak terucap.

Langit petang kian gelap, namun taman tema tetap hidup dengan lampu-lampu yang menyala satu demi satu, menggantikan cahaya matahari yang mulai surut.

Kini mereka beralih ke permainan seterusnya Bumper Car. Tanpa banyak cakap, Zayyan terus memecut keretanya sebaik saja pedal ditekan. Habis satu lorong dia lenjan, macam budak lelaki yang baru lepas daripada kurungan zoo. Semua kereta yang sempat lalu dekat, pasti dilanggarnya.

Adriani yang memandu cermat di sisi sempat terjerit kecil apabila keretanya dihentam dari tepi.

"Wei! Kau ni memang nak mampus ke apa?" jeritnya geram, hampir sahaja tubuhnya terhumban keluar dari kereta mainan itu.

Namun, Zayyan langsung tidak peduli. Dia melanggar siapa sahaja yang ada di laluannya seolah dunia permainan itu hanya miliknya. Wajahnya penuh berseronok, tanpa rasa bersalah.

Adriani merengus. Kalau bukan sebab ramai orang, memang lelaki itu sudah dia luku kepala.

Permainan selepas itu lebih mencabar Roller Coaster. Dengan trek berpusing-pusing dan menjunam tajam, permainan itu menguji jantung. Saat coaster meluncur laju dari ketinggian, Adriani memegang erat tudung yang hampir tercabut dek angin.

Di sebelahnya, Zayyan langsung tak nampak takut. Siap naikkan tangan dan bersorak ringan macam tengah naik pelampung di sungai.

Sempat dikerling Zayyan yang duduk di sebelah,"Gila betul," desis Adriani. Wajahnya masam, melihat lelaki itu siap angkat tangan sambil bersorak kecil. Sah! Positif diabaikan. Bukan main seronok lagi muka dia tu.

Seterusnya mereka mencuba Drop Tower. Permainan itu membawa mereka naik tinggi ke langit sebelum menjunam turun dengan kelajuan mengejut. Adriani terasa jantungnya tertinggal di atas. Baru turun dari permainan itu, dia sudah rasa ingin muntah.

Zayyan pula? Langsung tak beriak. Lelaki itu sempat menarik beg sandang Adriani dari belakang.

"Eh, lagi satu!" katanya, penuh semangat.

Sky Swing. Buaian gergasi yang berpusing-pusing di udara. Adriani hanya mampu mengeluh. Langkahnya lemah, namun tetap mengikuti. Separuh nyawanya rasanya sudah hilang entah ke mana.

Belum sempat bertenang, mereka beralih pula ke Flying Coaster, permainan yang memerlukan mereka duduk dalam posisi seperti sedang terbang, terapung di udara, di bawa berpusing laju ke setiap penjuru langit malam.

Adriani sudah tidak mampu tahan lagi. Masa tu, memang Adriani rasa asid perut dia dah naik. Dia dah niat, ini kali terakhir dia main benda ni. Tapi bila tengok member sebelah yang bersorak keringan tu, Adriani hanya mampu mengeluh berat.

"Aku nak balik!!!" jeritnya kuat saat coaster itu membuat pusingan mengejut.

Zayyan di sebelah masih lagi dengan muka senyum. Tak padan.

Permainan terakhir dalam senarai Zayyan sebenarnya ialah Ferris Wheel roda gergasi perlahan yang sangat sesuai untuk melihat pemandangan malam penuh warna-warni dari atas. Lampu-lampu neon yang berkerlipan dari seluruh taman tema membuatkan suasananya jadi lebih romantik, lebih tenang.

Namun, Adriani menolak. Dia sudah letih.

"Kalau kau nak naik, naik lah sorang," ujarnya tanpa kompromi.

Zayyan diam seketika, tapi akhirnya hanya tersenyum. "Tak best naik sorang," katanya pendek.

Lalu mereka duduk di ruang rehat berbumbung yang disediakan. Sebuah taman kecil di kelilingi gerai-gerai makanan ringan bau lekor panas, popcorn mentega, gula kapas, dan aiskrim bergaul dalam udara malam.

Adriani berdiri di hadapan gerai lekor, mulutnya sudah mengunyah selamba sambil satu bungkus lagi lekor panas berada di tangannya. Dengan wajah tenang, dia menghampiri Zayyan yang sedang berdiri di hadapan kedai topeng dan aksesori kepala.

Tanpa kata, Adriani menghulurkan bungkusan lekor itu.

Zayyan menerimanya, senyum kecil terbit di hujung bibir. Sebagai balasan, dia menghulurkan satu penyangkut kepala sepasang telinga musang comel.

Adriani angkat kening, tapi tetap ambil tanpa soal. Dia letakkan di atas kepalanya, berlapik di atas tudung. Sempat matanya melirik ke arah Zayyan yang kini memakai telinga kucing pula di kepalanya sambil menyuap lekor dengan penuh selera.

"Kenapa kau telinga kucing pulak?" soal Adriani dengan nada datar.

"Ngam dengan perwatakan aku," balas Zayyan semberono, sengihan nakal terukir di wajah. Masker yang dipakai tadi kini tergantung di lengan tangannya.

"Kau tak ngam dengan tu," balas Adriani selamba, geleng kepala perlahan.

Zayyan kening terangkat. "Habis tu?"

Tanpa ragu, Adriani angkat tangan, menunjuk pada telinga anjing yang tergantung di sisi dinding.

Tatapan Zayyan serta-merta berubah tajam.

Adriani hanya senyum sinis sebelum berlalu, langsung tak tunggu reaksi lelaki itu. Wajah masam mencuka tu pun dia buat tak nampak, sengaja benar nak menyakat. Seronok betul tengok muka Zayyan yang tadi bukan main gembira bila naik permainan tu. Haha. Padan muka.

Jarum jam sudah melewati angka tujuh. Tepat tujuh lima belas malam. Langit gelap mulai menelan cahaya jingga petang, namun taman tema masih berkilauan dengan cahaya lampu warna-warni yang bersinar dari setiap sudut.

Adriani melirik ke sisi, memandang patung beruang besar yang duduk diam di sebelahnya patung yang tadi digendong oleh Zayyan, kini dipakaikan pula dengan jaket lelaki itu. Terjongol comel, seolah-olah sedang menikmati malam sama seperti mereka. Tanpa sedar, bibirnya terukir senyum kecil, dan satu gumaman halus tercetus dari bibirnya.

"Comel…" bisiknya perlahan, seperti hanya mahu didengari oleh dirinya sendiri.

Namun pandangannya segera beralih, kali ini jatuh ke arah Zayyan yang sedang duduk tidak jauh daripadanya di hujung bangku panjang yang sama. Lelaki itu sedang menikmati semangkuk mee goreng ayam dengan lahap, seakan baru sahaja lepas berpuasa sehari suntuk. Seronok bermain tadi jelas mengambil banyak tenaganya.

Adriani diam saja, tangannya masih memegang bungkusan makanan yang belum dibuka pun. Pandangannya kosong tertancap pada Ferris Wheel di hadapan roda gergasi itu perlahan-lahan berputar di langit malam, menampakkan siluet pasangan, keluarga, dan sahabat yang duduk di dalam kabinnya. Lagu taman tema berkumandang sayup, mengisi suasana dengan melodi nostalgia yang sayu-sayu manis.

Zayyan yang sedang mengunyah perlahan sempat mencuri pandang. Matanya singgah pada wajah Adriani yang kelihatan tenggelam dalam fikirannya sendiri.

"Awak pergi mana enam tahun lalu?" soalnya perlahan, suara serak-serak dingin. Nada itu seperti mahu meleraikan sesuatu yang sudah lama bersarang. "Tiba-tiba hilang tanpa khabar…"

Pertanyaan itu membuatkan Adriani tersentak sedikit. Dia menoleh, memandang Zayyan seketika. Tatapan mereka bersabung diam. Lalu pandangan Adriani beralih semula ke arah Ferris Wheel yang terus berpusing, perlahan tapi tetap bergerak.

"Hari tu… hari yang buat aku lupa semua orang," balas Adriani akhirnya. Suaranya perlahan, seperti angin yang hampir hilang kekuatan. "Aku tak nak bangun dari mimpi buruk tu… tak nak buat apa-apa. Semuanya terasa hampa… dan berat."

Nada suara Adriani kedengaran sedikit serak, menandakan ada sesuatu yang dipendam lama. Matanya tetap terpaku pada roda besar itu, tapi jiwanya entah di mana. Seakan sedang menggali kembali kenangan yang selama ini dikunci rapat.

Zayyan diam. Hanya keningnya sedikit berkerut, menunggu wanita itu menyambung.

"Apa maksud kau?" soalnya lembut. Kali ini nadanya lebih dekat, lebih dalam. Bukan sekadar ingin tahu, tapi ingin faham. Melihat riak wajah Adriani seakan ada sebak yang tersembunyi dalam nada suara wanita itu. Tatapannya kosong, hanya mendongak memandang Ferris Wheel yang berputar perlahan di langit malam.

Adriani tidak menjawab segera. Dia menghela nafas perlahan, matanya masih mendongak ke langit yang mulai diselubungi bintang. Lampu Ferris Wheel membiaskan cahaya lembut pada wajahnya yang tampak kelam oleh luka lama.

"I lost my parents," ujarnya akhirnya. Suara itu pecah perlahan, cukup untuk menggetarkan ruang yang selama ini hanya dipenuhi tawa dan suara riang. Kata-kata itu pendek, tapi mengandung duka yang tidak terkira.

Zayyan tidak berkata apa-apa. Matanya tetap pada Adriani, melihat bagaimana wanita itu cuba menahan gelora dalam dada. Ferris Wheel terus berpusing, tak tahu apa-apa. Lagu taman tema masih dimainkan, seolah tak pernah berhenti tak peduli pada luka manusia yang diam-diam berdarah dalam sunyi.

Enam tahun yang lalu.

Zayyan berdiri tegak di hadapan tingkap kaca studio muziknya, kedua-dua tangan disilangkan ke dada, merenung langit senja yang kini perlahan-lahan ditelan kelam malam. Sinar keemasan yang tadi menyimbah ruang kini menghilang, digantikan bayang-bayang suram yang membias dari cermin tingkap.

Sepatutnya Adriani sudah tiba. Bukan soal minuman coklat cheese yang dijanjikan itu yang dia nanti sangat. Bukan. Tapi kehadiran wanita itu sendiri yang penting. Janji yang dilafazkan dengan senyum wanita itu tadi masih segar di fikiran. "Hm… sebagai hadiah, aku nak belanja kau coklat cheese,"

Namun sekarang, waktu sudah melepasi apa yang dikatakan ‘janji’, dan Adriani masih tidak muncul. Hati Zayyan mula tidak tenang. Entah mengapa, rasa tak sedap menjalar perlahan ke dadanya. Pandangannya masih melekat pada langit luar, namun fikirannya jauh merayap, dihantui kemungkinan yang tidak ingin difikirkan.

Hospital Seri Mahkota Perdana.

Adriani berlari anak, langkahnya cemas dan tergesa-gesa memasuki ruang lobi hospital. Nafasnya turun naik, tangan kirinya menggenggam erat plastik lut sinar yang berisi minuman coklat cheese yang dibelikan untuk Zayyan, minuman yang kini sudah mula mencair, air manisnya menitis perlahan dari dasar plastik.

"Maaf… saya dapat panggilan tadi, saya… saya nak tahu keadaan ibu dan ayah saya. Nama mereka Nur Aisyah Zahira dan Razman Hakim Firdaus," ujarnya kepada petugas kaunter dengan nada tergesa dan suara yang sudah mula bergetar.

Petugas wanita itu memandangnya dengan wajah sayu, lalu bangun. "Cik Adriani, ikut saya ya…" ujarnya lembut, nada yang tidak mampu menyembunyikan simpati yang terselit.

Namun langkah yang dibawa bukan ke arah wad rawatan. Bukan ke ruang kecemasan yang biasa menempatkan mangsa kemalangan. Sebaliknya, Adriani dibawa ke lorong lain sebuah laluan sunyi dan dingin yang membelakangi hingar hospital. Suasana tiba-tiba jadi sepi, seolah-olah dinding lorong itu menelan semua bunyi dari dunia luar.

Langkah Adriani kian perlahan. Jantungnya berdetak kencang. Kaki yang tadi berlari deras kini seperti hilang daya. Nafasnya menyesak. Firasat dalam dadanya mula menjerit. Tidak… tolonglah jangan.

Jururawat itu berhenti di hadapan sebuah pintu bertulis Forensik. Tubuh Adriani kaku. Kakinya tidak melangkah lagi. Tangannya menggenggam plastik minuman yang sudah berembun.

"Cik Adriani… saya minta maaf. Mereka…" jururawat itu tidak mampu menghabiskan ayatnya, namun pandangan matanya cukup untuk menjelaskan segalanya.

Adriani menggeleng perlahan, matanya mula berkaca. "Tak… mereka okay kan? Mereka okey kan?" suaranya pecah, hampir tidak keluar. "Saya baru cakap dengan mak semalam… mak cakap nak masak asam pedas.."

Langkahnya terhenti di hadapan pintu yang belum terbuka. Seluruh tubuhnya rasa lumpuh. Lututnya seakan tidak mampu menampung tubuh sendiri. Jururawat itu cepat-cepat memegang bahunya, namun Adriani sudah terduduk di lantai terjelepok seperti boneka yang hilang roh.

Air matanya mengalir tanpa mampu ditahan. Bahunya bergegar, suara tangisannya tersekat di kerongkong.

"Kenapa… kenapa macam ni… kenapa sekarang…?" rintihnya, suara itu seperti anak kecil yang mencari pelukan. "Saya belum sempat… saya belum sempat tunjuk semua pada mereka…"

Dalam tangannya, plastik berisi minuman coklat cheese tadi terlepas dari genggaman. Gelas di dalamnya terjatuh, air manis mengalir di lantai putih hospital itu, bercampur dengan air mata yang tumpah dari pipinya. Ia mengalir perlahan tanpa henti seperti hatinya yang juga mengalir pergi, hilang bersama dua jiwa yang tidak akan kembali.

Tangisan Adriani akhirnya pecah dalam raungan tertahan, tubuhnya dipeluk erat oleh jururawat wanita itu. "Sabar sayang… sabar ya," pujuknya berulang-ulang, namun Adriani sudah tenggelam dalam kehilangan paling besar dalam hidupnya. Dunia terasa gelap. Langit di dalam dadanya runtuh.

Dan begitulah segalanya bermula dalam malam yang dingin, di lorong sunyi hospital, dengan tangan kosong dan hati yang hancur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience