Adriani terjaga saat aplikasi azan di telefon pintarnya memecah sunyi subuh, menunjukkan jam 3.23 pagi. Telinganya masih berdegung samar, namun dia tetap membuka mata perlahan. Dalam mamai, tubuhnya bergerak ke posisi duduk. Walaupun kini sudah masuk musim bunga di Korea, kesejukan dinihari masih menebal hingga ke tulang.
Comforter tebal yang masih membalut separuh tubuhnya ditolak ke sisi. Dia menarik nafas perlahan, rasa lelah belum sempat hilang. Seolah baru sebentar tadi dia melelapkan mata padahal jam sudah menghampiri tengah malam sewaktu dia akhirnya masuk ke bilik ini setelah tamat sesi fansign dan makan malam bersama CikL.
Tangan kirinya menyapu rambut yang kusut, sebelum mula mengikatnya perlahan. Langkahnya membawa ke arah almari terbuka, mengambil tuala yang tersangkut kemas. Tubuhnya kemudian melangkah menuju ke tingkap kaca yang besar di hujung bilik. Langsir tebal diselak sedikit.
Pemandangan kota Gangnam tetap bernyawa walau waktu masih gelap. Cahaya neon di papan iklan masih berkelip, dan beberapa buah kereta kelihatan meluncur di atas jalan seolah bandar ini tak pernah tidur. Adriani memejam mata seketika, menarik semangat sebelum bersiap untuk mandi dan menyambut hari baharu.
Adriani duduk lama di atas sejadah, tepat di sisi katilnya yang masih berlekuk dengan kesan tidur. Selesai menunaikan solat sunat dan Subuh, bibirnya masih mengumam berzikir dalam nada perlahan. Suasana pagi itu sunyi terlalu sunyi, seolah seluruh dunia sedang tunduk mendengar hatinya yang resah.
Matanya mula berkaca-kaca. Nafas ditarik perlahan-lahan, cuba dikumpul kekuatan yang entah di mana letaknya kini. Enam tahun sudah berlalu, namun kehilangan itu masih terasa seperti semalam. Kehilangan yang tidak pernah benar-benar pulih. Dia tahu... dia belum sepenuhnya kuat. Masih rapuh di sudut hati yang terdalam.
"Allah lebih menyayangi mereka," bisiknya dalam hati. Mungkin… jika sudah tiba masanya, dia juga akan kembali ke pangkuan Sang Pencipta. Tapi untuk sekarang, dia tidak boleh terus larut. Dia tak boleh berputus asa… tak boleh menyalahkan takdir. Walau genggaman tangan dan pelukan itu telah lama pergi, kata-kata mereka masih hidup dalam ingatannya, masih mengalir dalam setiap langkah yang dia ambil.
Air mata yang sedari tadi ditahan akhirnya gugur juga. Mula-mula setitis, kemudian mengalir deras bersama esakan yang tidak mampu ditahan. Tangannya cuba mengesat, namun tangisan itu lebih jujur dari segala alasan. Dia terlalu rindukan mereka terlalu dalam hingga tak tertanggung.
Akhirnya, Adriani membaringkan tubuhnya di atas sejadah. Tubuh kecilnya meringkuk, memeluk dirinya sendiri seolah-olah cuba mencari kehangatan yang hilang. Kini hanya degup jantungnya yang menemani.
"Semua akan baik-baik saja…" bisiknya, bukan kepada sesiapa… tetapi kepada dirinya yang sedang rapuh.
Entah bila, dalam tangis dan rindu yang diam, Adriani akhirnya tertidur kembali. Dalam mimpinya, dia dapat merasakan pelukan yang pernah ada hangat, teduh… dan sangat damai.
Jam menunjukkan pukul 6.30 pagi, namun Adriani telah terjaga seawal jam 5.00 pagi tadi. Suasana ruang utama hotel bertaraf lima bintang itu sunyi, hanya ditemani alunan lembut bunyi instrumen hujan dan piano yang bergema dari fon kepalanya. Dia duduk bersila di atas sofa empuk berwarna kelabu arang, laptop tersandar elok di atas ribanya. Di sebelah, secawan kopi pekat yang masih berasap dan beberapa hidangan sarapan pagi yang dipesan awal tadi menghiasi meja kecil.
Wajah Adriani tenang, namun jelas terfokus. Kaca mata berbingkai nipis terletak kemas di batang hidung mancungnya, membingkai sepasang mata yang sedang tekun menatap skrin. Rambutnya yang panjang disanggul rapi, tidak sehelai pun terbiar menjalar ke wajah.
Pakaian Adriani ringkas tetapi selesa sweater hitam polos yang agak labuh, dipadankan dengan seluar kain lebar berjalur putih hitam yang menambah gaya santai namun kemas. Keselesaan jelas menjadi keutamaannya pagi itu.
Tangannya pantas menaip, menyusun semula beberapa dialog dalam skrip yang sedang diusahakan. Satu demi satu baris ayat diteliti, diperhalusi agar mengikut kehendak jalan cerita yang telah dipersetujui. Tugas sebagai penulis skrip bukanlah sesuatu yang mudah, namun Adriani sudah terbiasa bergelumang dengan naskhah dan babak.
Tiba-tiba, satu notifikasi muncul di skrin laptopnya pesanan WhatsApp masuk. Adriani membuka aplikasi tersebut, dan satu fail baharu muncul, dihantar oleh pengurusnya. Dengan satu klik, fail itu terbuka.
"Hmm…" gumamnya perlahan.
Tajuk drama bersiri yang bakal menjalani penggambaran hujung tahun itu terpampang jelas 'Lelaki Kimchi Itu Suamiku'
Adriani mengerutkan dahi. Tajuk itu cukup untuk membuatnya mengeluh. Sekilas, dia teringat kembali akan ucapan Laila beberapa hari lalu.
"BoyLand?" bibirnya bergerak sendiri, berkata tanpa suara.
Kaca mata yang sedikit melorot ditolak naik kembali dengan jari telunjuk. Dia mencebik.
"Kat BoyLand ada dua orang Malaysia? Tak mungkin mamat poyo ni yang dimaksudkan," ucapnya perlahan, penuh kesal dengan andaian yang bermain dalam fikiran.
Adriani cuba mencari maklumat lanjut tentang pelakon utama dalam drama adaptasi novel itu, namun setakat ini tiada satu pun informasi yang sahih ditemui. Dia menarik nafas dalam-dalam.
"Kenapa aku nak kisah sangat pasal pelakon tu…" keluhnya separuh hati. "Yang penting sekarang, kerja aku skrip."
Tumpuannya kembali kepada tugas. Jari jemarinya kembali menari di atas papan kekunci, menyiapkan kerja yang harus dihantar sebelum tengah hari.
Beberapa minit kemudian, satu lagi pesanan WhatsApp masuk, kali ini dari CikL.
"Bestfriend. Don't be late. Aku datang bilik kau jam 6.00 petang nanti. See you."
Pesanan itu terpapar di skrin, namun Adriani langsung tidak mengangkat muka. Fokusnya masih pada skrip, pada rentetan dialog yang harus disusun dengan sempurna. Headphone masih kemas di telinga, seolah memisahkan dirinya dari dunia luar. Suasana hujan tiruan dan melodi piano terus mengiringi pagi produktifnya, membalut segenap ruang dengan tenang dan tumpuan yang mendalam.
Share this novel