BAB 5 | SEPERTI DIA

Drama Series 1053

Cahaya mentari pagi menyusup perlahan di celah-celah langsir putih krim yang tertiup lembut ditiup angin pagi. Tingkap dibiarkan terbuka sejak subuh tadi oleh Adriani kononnya mahu menyambung bacaan halamannya selepas solat. Namun entah bagaimana, mata yang pada mulanya segar tiba-tiba menjadi berat, dan akhirnya dia tertidur semula tanpa sedar.

Tiga bantal peluk dan selimut yang berselerak di atas sofa menjadi saksi bahawa tempat itulah sebenarnya ranjang tetapnya sejak akhir-akhir ini. Wajahnya tenang, dibuai mimpi yang entah bagaimana bentuknya. Kaca mata bulat masih tergantung di hidung mancungnya, dan senaskhah al-Quran kecil berada erat di dadanya bukti niatnya yang baik namun tertewas oleh lena. Rambut coklat tua miliknya yang sedikit beralun menjuntai menuruni sisi sofa, seperti helaian kenangan yang tergantung di antara jaga dan tidur.

Mentari pagi memancar lembut, menyapa wajahnya perlahan. Adriani berkerut kecil, sebelum mata itu dibuka separuh dengan gerakan perlahan dan malas. Dia tidak terus bangun. Sebaliknya, hanya berbaring sejenak sambil merenung siling rumah yang warnanya sudah tidak putih seperti dahulu. Pandangannya kosong, tenang, tapi hatinya jauh melayang. Setelah beberapa minit, tubuhnya digerakkan ke posisi duduk. Al-Quran yang masih berada di dadanya diletakkan perlahan di atas rak buku kecil di sisi sofa. Kaca matanya dibuka dan diletakkan di atas meja kaca berhampiran.

Dia menarik nafas panjang. Kipas angin siling yang berputar perlahan-lahan, ditambah angin sejuk yang masuk dari luar jendela, mencipta suasana damai yang menggigit tenang ke hatinya. Udara itu dihirup dalam-dalam dan dihembuskan perlahan, seperti melepaskan beban yang tertinggal di dada.

Adriani bangun dari sofa, melangkah perlahan ke arah cermin besar di sudut ruang. Langsir diselak sedikit dengan jari, dan pandangannya dilemparkan ke luar. Pemandangan dari pangsapuri tingkat tinggi itu terbentang luas pohon-pohon tinggi melambai lembut, tasik di kejauhan memantulkan cahaya pagi yang membiru, dan deretan gunung yang berdiri gagah menambah rasa syukur dalam hatinya. Damai. Indah. Tapi sunyi.

Langkahnya diteruskan menuju ke ruang kecil yang mempunyai tiga pintu. Dia berhenti di hadapan salah satu pintu pintu utama, bilik ibu dan ayah yang sudah lama tidak dibuka. Tangannya teragak-agak sebelum perlahan-lahan memulas tombol pintu. Bunyi pintu berkeriuk sedikit, lalu terbuka perlahan. Pandangannya tertumpu pada ruang itu bilik yang suatu masa dahulu penuh dengan suara tawa, nasihat, dan doa. Kini hanya tinggal sunyi dan sisa kenangan.

Adriani berdiri tegak, menatap segenap inci ruang itu. Tiada perubahan besar, segalanya masih sama seperti kali terakhir bilik itu digunakan. Setiap kali hari bekerja, dia akan upah orang bersihkan dan uruskan semuanya. Tanaman tinggalan ibunya itu bukan bidangnya. Baginya, itu lebih baik daripada melihat sesuatu yang tak mampu dijaga perlahan-lahan mati di tangannya sendiri. Hatinya kosong, wajahnya juga. Tapi jauh di dalam dada, ada raungan sunyi yang berat ditanggung. Rindu yang tidak mampu dibahagikan dengan sesiapa.

Langsir tipis berwarna krim menari perlahan ditiup bayu pagi yang menyusup masuk dari jendela yang terbuka separuh. Cahaya matahari yang tumpah lembut melalui celahan kain itu melukis jalur-jalur emas di atas lantai konkrit yang kemas, memantulkan sinar ke dinding, mencipta suasana syahdu yang hampir mustahil untuk digambarkan dengan kata-kata. Di penjuru bilik, sebuah meja kayu ringkas menampung pasu seramik hitam berisi bunga kuning yang tampak segar, seolah baru dipetik dari taman. Ia menjadi tumpuan ruang, memberikan warna pada atmosfera yang tenang dan membuai rasa damai.

Bersebelahan jendela, tersandar kemas sebuah cermin besar berbingkai kayu gelap di atas kaki kanvas seolah satu lukisan belum siap, menunggu untuk disudahi oleh pelukisnya. Di situ, segala cahaya pagi berkumpul, memantul perlahan di permukaan cermin, membentuk pantulan samar langsir yang menari dan bayang-bayang bunga. Tempat itu bukan hanya ruang tidur, tapi seperti galeri peribadi yang mengabadikan waktu dan keheningan.

Beberapa langkah dari situ, suasana berubah sedikit hangat dan hidup. Sebuah kerusi malas berbalut kain tenun tebal terletak berhampiran jendela besar lain, diapit pasu-pasu tanaman dalam pelbagai bentuk dan saiz. Tirai langsir keemasan dibiarkan separa terbuka, membenarkan cahaya senja mencium dedaunan yang hijau subur. Bau tanah basah dan daun-daun herba seperti rosemary dan pudina memenuhi ruang, menyuntikkan aroma segar yang menenangkan. Di sebelah kerusi, meja kecil dihiasi buku-buku lama dan mug tanah liat, seolah baru ditinggalkan oleh seseorang yang suka membaca sambil menikmati ketenangan pagi.

Dan di hujung ruang itu, pintu kaca yang terbuka membawa terus ke balkoni peribadi bilik tersebut. Balkoni kecil itu seperti oasis tersembunyi yang dibina khusus untuk jiwa yang menghargai sunyi. Lantai kayu yang hangat disentuh matahari dihiasi karpet rotan bulat, kerusi rotan yang empuk, dan pasu-pasu kecil yang digantung dari siling dipenuhi pokok menjalar, mencipta bumbung hijau semula jadi. Di situlah tempat sang pemilik bilik menyeduh kopi pagi atau sekadar duduk diam, mendengar bisikan angin yang bertiup dari celah-celah dedaunan.

Ruang itu bukan sekadar bilik tidur. Ia adalah tempat perlindungan. Sebuah dunia kecil di mana waktu bergerak perlahan, dan setiap perincian dari cahaya, aroma, hingga tekstur kayu yang usang berbicara tentang ketenangan, keindahan yang sederhana, dan kisah yang hanya difahami oleh mereka yang benar-benar tinggal di dalamnya.

Dia berdiri lama di ambang pintu.

"Selamat pagi, mak… abah…" bisiknya perlahan, hampir tak kedengaran. Tapi dia tahu, mereka dengar. Dari tempat yang lebih tinggi, lebih damai.

Dulu aku sangka paling berat itu bangun awal pagi untuk study sebab nak exam. Tapi rupanya yang paling berat… adalah bangun pagi dan sedar kau tak boleh lagi ucap salam pada orang yang kau sayang. Sebab dia dah tak ada... dan yang tinggal cuma rindu yang tak sempat dihantar.

Adriani menarik nafas perlahan, memejam mata sejenak, sebelum menutup pintu itu semula perlahan, seperti menutup sebuah dunia yang masih hidup dalam hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience