Adriani tersentak kecil, sempat menoleh ke arah Haris yang turut buat muka mengiyakan, seperti sekadar ingin mengenakan dia. Adriani tidak menjawab, hanya menjeling tajam sambil menyandarkan badan pada kerusi.
"Korang tahu nombor telefon mama papa korang?" soalnya kemudian, nada suaranya sedikit serius. Malam sudah semakin larut, dan dia mula risau.
Hazim menggeleng perlahan.
Adriani mengalih pandangan pada Haris.
"Mama papa kami tak ada kat sini. Mereka dah balik Australia," jawab Haris selamba, sambil menghabiskan sisa makanan dalam pinggannya dan meneguk jus oren dengan tenang.
Adriani terkebil-kebil. Otaknya seperti terhenti seketika. "Jadi... akak nak hantar korang ke mana? Balai polis ke?"
"Nak lapor kami hilang ke?" balas Haris tenang. "Kan saya dah cakap, kami datang dengan abang kami. Tapi entah kemana dia..."
Hazim menyambung perlahan, "Abang kami tu sebenarnya datang bercuti dengan kami je. Tiba-tiba datang pulak perempuan gila nak join sekali. Abang kami tu lari daripada dia… tapi tak sangka abang kami yang hilang terus."
Adriani membantu Hazim mengangkat gelas jus untuk diminum.
"Kita yang menghilang, dik." sampuk Haris lagi tetap dengan nada selamba yang membuatkan Adriani sendiri rasa kelakar tapi penat dalam masa yang sama.
"Jadi sekarang macam mana?" Adriani menyoal semula. Wajahnya jelas berkerut. Dia tak boleh sewenang-wenangnya membawa anak orang.
Tanpa mereka sedari, seseorang muncul dari arah belakang tercungap-cungap dan kini tercegat di hadapan pintu kaca restoran itu dan pandangannya tajam menembus ke arah mereka bertiga. Nafasnya laju, dan wajahnya kelihatan berang.. Ketika itu, hanya enam pelanggan berada di dalam, termasuk mereka bertiga. Lelaki bertopi itu menarik topi ke bawah menutupi wajahnya, sebelum menarik pintu kaca dengan penuh amarah.
Serentak, pintu kaca ditolak kuat. Dia meluru ke arah wanita yang sedang duduk bersama dua budak lelaki sepupunya itu.
"Hoi, perempuan!" suaranya garau dan tajam, cukup tepat menghala hanya untuk wanita itu.
Terjongket kedua bahu Adriani sebaik sahaja terasa satu tangan kasar lelaki menyentuh bahunya tanpa izin. Spontan, tubuhnya menegang, refleks semula jadinya mengambil alih sebelum sempat akalnya berfikir panjang. Dalam satu gerakan tangkas, Adriani menggenggam pergelangan tangan lelaki itu dan menarik tubuhnya ke depan, membenamkan lelaki itu ke lantai dengan teknik yang barangkali hanya dipelajari daripada maraton filem aksi.
Suasana restoran yang sebelum itu damai serta-merta menjadi tumpuan. Beberapa pelanggan lain yang sedang menjamu selera menoleh tajam, terpinga-pinga melihat kejadian yang berlaku.
Adriani pula terkebil-kebil di situ. Jantungnya masih berdegup laju kerana reaksi spontan tadi. Topi yang terlucut daripada kepala lelaki yang kini terduduk kesakitan di lantai membuatkan segalanya lebih jelas.
Edward Raiyan.
Nama itu bergema dalam benaknya. Wajah yang mengerang sambil menahan sakit di lantai itu kini dipandangnya dengan riak tak percaya. Adriani menatap tepat ke wajah Edward, masih belum mampu mempercayai gerangan lelaki itu.
Sementara itu, Hazim dan Haris hanya memerhati selamba. Tiada rasa panik, tiada rasa bersalah. Reaksi mereka seolah-olah kejadian itu hanyalah satu babak hiburan yang memang patut terjadi lebih-lebih lagi kepada sepupu mereka yang dituduh ‘membuang’ mereka di tengah percutian ini.
Adriani menarik nafas dalam-dalam dan mengangkat kedua-dua tangannya ke hadapan tanda dia langsung tidak berniat mencederakan. "Tindakan refleks…" bisiknya separuh malu, dengan mata terkebil-kebil.
"Kau nak bunuh orang keh?" soalnya kepada Adriani, kening kanannya terjongket tinggi.
Edward memandang tajam ke arahnya. Wajah itu… dia seperti mengenalinya. Tapi dalam samar-samar ingatan, dia masih ragu. Segera dia mencapai topinya yang terpelanting ke tepi lalu memakainya semula, menyembunyikan sebahagian wajahnya. Malu. Malu kalau muka dia keluar dalam akhbar esok bertajuk "Edward dijatuhkan wanita hanya dengan satu tolakan."
Tanpa sepatah kata, Edward bangkit perlahan-lahan dan mengambil tempat di meja mereka. Haris dan Hazim hanya menjeling sepintas lalu, kemudian kembali pada posisi asal mereka, seolah-olah tiada apa-apa berlaku.
"Dah puas dating, Abang Yan?" soal Hazim selamba, menyilang kedua tangannya di dada. Haris menoleh memandang Edward, pandangannya lebih dingin daripada biasa.
"Eh, budak-budak kecil ni! Korang berdua merayau entah ke mana, dah kenapa? Penat abang cari, tau!" Edward bersuara geram, tatapannya tajam menikam ke arah mereka berdua bersilih ganti.
Adriani membeku di sisi Hazim. Hatinya baru nak pulih daripada kejutan tadi, kini berdepan pula dengan ragam budak yang seakan merajuk. Pandangan mereka bersilih ganti, tapi Adriani yakin satu perkara lelaki itu pasti abang yang mereka maksudkan.
Kalau macam tu… aku boleh blah lah sekarang, kan?
Tanpa banyak bicara, Adriani mencapai beg sandangnya dan bersedia untuk melangkah keluar. Tapi langkahnya terhenti apabila terdengar suara kecil dari belakangnya.
"Akak nak pergi mana?" panggil Hazim, nada suaranya kedengaran sayu. Adriani menoleh. Wajah Hazim sudah mencuka, mata kecilnya mula berkaca.
"Hoi Hazim, kau kenal ke orang tu?" soal Edward dengan kerutan di dahi, masih sambil menyapu-sapu belakangnya yang sengal.
"Akak… kaki Hazim masih sakit," rengek Hazim dengan suara serak-serak basah. Haris dan Edward berpandangan tahu sangat, tangisan tu bukan sebab sakit, tapi sebab nak bermanja.
"Nak gendong…" sambung Hazim lagi sambil membuka tangannya luas, meminta dipeluk.
Adriani mengerutkan dahi. Mukanya penuh hairan. Mata Edward dan Haris kini tertumpu padanya. Sekilas pandang itu cukup untuk menyampaikan maksud buatlah sesuatu, cepat, sebelum empangan pecah!
Tapi aku nak buat apa?! jerit hati kecil Adriani.
"Akak nak balik ni. Tu kan dah ada abang awak," jawab Adriani, cuba menyembunyikan senyuman kelatnya. Langkahnya hampir bersambung semula.
"Satu… dua… tiga…" Edward dan Haris mengira serentak.
Raungan Hazim akhirnya pecah. Tangisannya nyaring, menyentak seluruh ruang restoran. Adriani tersentak, matanya terkebil-kebil. Edward dan Haris sudah pun menutup telinga, tidak sanggup mendengar nada frekuensi tinggi dari si kecil itu.
"Anak awak mengantuk sangat dah tu," tegur seorang lelaki dewasa yang duduk tidak jauh dari mereka. Senyuman nipisnya seperti faham benar dengan ragam budak-budak kecil.
Adriani memandang lelaki itu dengan dahi berkerut. Anak?! Bila masa aku ada anak ni?
Dengan hati yang berat, Adriani kembali duduk. Hazim yang menangis teresak-esak segera didukung dan diletakkan di belakang tubuhnya. Tangan kecil itu memeluk erat, wajahnya ditekup pada belakang bahu Adriani, tangisnya perlahan-lahan reda.
Edward pula bangun dan mencapai patung besar yang diletakkan di kerusi tadi satu ‘arahan’ daripada Haris, katanya tak mahu bawa tapi suruh orang lain pikul.
Kini mereka berempat kelihatan seperti sebuah keluarga kecil yang lengkap. Edward memeluk patung beruang itu sambil berjalan di sisi Haris. Adriani pula berjalan di hadapan sambil mendukung Hazim yang tersedu-sedu di belakang badannya.
Langkah mereka perlahan meninggalkan restoran.
Wajah Adriani kekal datar.
Namun dalam hati, dia sudah pun menjerit.
“Aku nak pulang!!!”
Seperti enggan berpisah, tubuh kecil Hazim terus melekap pada Adriani, membuatkan mereka bertiga terpaksa keluar dari perut lif yang berhenti di tingkat bilik Adriani. Drama kecil Hazim yang enggan melepaskan ‘akak’ yang baru dikenalinya beberapa jam lalu ternyata masih belum berakhir. Kanak-kanak itu berdiri menundukkan kepala, bahunya sedikit terangkat menahan sendu, seolah-olah perpisahan ini terlalu berat untuk diterima.
Adriani hanya mampu berdiri memujuk, menyimpan rasa hairan di dalam hati. Baru kenal, tapi reaksi si kecil ini seakan mereka sudah lama bersama. Mungkin Hazim masih terkesan dengan kejadian nyaris dilanggar tadi. Mungkin juga dia sudah selesa dengan pelukan hangat yang diberikan sebentar tadi.
Dengan senyuman lembut, Adriani mengusap kepala Hazim perlahan-lahan, cuba menenangkan hati kecil itu.
"Esok Hazim nak buat apa?" soal Adriani akhirnya, walaupun dalam hatinya tahu soalan itu satu kesilapan besar, mungkin akan membuatkan budak itu berharap untuk berjumpa lagi.
Hazim perlahan-lahan mengangkat kepala. Wajahnya sembap, mata merah dan basah dek tangisan sejak tadi. Pandangannya tajam menatap Adriani, penuh pengharapan.
"Hazim… Hazim kat sini tiga hari dua malam. Esok… akak ikut Hazim jalan, nak?" pintanya dengan suara serak, seperti sedang menahan nafas dan esakan yang belum habis.
Adriani terdiam. Nafasnya tercungap pendek. Jalan? Perkataan itu sahaja sudah cukup membuatkan lututnya terasa longlai. Penat tubuhnya seperti tiba-tiba datang bertubi-tubi hanya mendengar ajakan itu.
"Esok akak kerja, Hazim. Hazim jalan dengan Haris dan Abang Hazim saja, ya..." balasnya dengan nada yang paling lembut boleh diusahakan, cuba menyampaikan penolakan tanpa melukakan hati.
Namun belum sempat ayat itu habis, Hazim kembali meraung, lebih kuat daripada sebelumnya. Adriani terkebil seketika, lalu memandang tajam ke arah Edward, berharap lelaki itu akan masuk campur memujuk adik kecilnya.
Namun Edward hanya berdiri diam di belakang, jelas tidak mahu terlibat.
Adriani menarik nafas panjang, kemudian tanpa ragu, dia merapatkan diri dan memeluk Hazim erat. Tangannya membalut tubuh kecil itu sambil menunduk, membiarkan Hazim menangis di bahunya. Edward dan Haris terkedu. Mereka tidak menyangka tindakan sebegitu spontan datang dari seorang gadis yang baru mereka kenali hari ini.
Hazim teresak-esak dalam pelukan itu, namun pelahan-lahan tangisannya mula reda. Tangannya kecilnya membalas pelukan Adriani, memeluk erat seolah tidak mahu dilepaskan.
"Akak janji… esok kita jumpa lagi, ya?" pujuk Adriani lembut, jari-jemarinya menyentuh kedua pipi Hazim yang masih lembap. Suaranya seperti menyelimuti Hazim dalam kehangatan yang memujuk.
Edward yang memerhati hanya mampu menjongket kening. Ajaib, budak itu terus senyap sebaik mendengar janji itu.
Adriani kemudian mengambil patung beruang besar dari tangan Edward dan meletakkannya ke sisi Hazim yang sudah terduduk semula berhampiran butang lif.
"Lepas akak habis kerja, dalam pukul empat petang macam tu… boleh?" ujarnya dengan nada separuh menyerah. Dia sudah tak punya tenaga untuk berdebat atau menolak. Dia hanya mahu budak itu berhenti menangis dan dia dapat kembali ke bilik untuk berehat.
Hazim mengangguk perlahan. Adriani menarik nafas lega lalu mengusap kepala budak itu sekali lagi sebelum bangkit berdiri.
"Haris, jaga adik kamu ya. Abang kamu tu bukan boleh harap… puii," katanya dengan nada geram bercampur sindiran sambil menjeling tajam ke arah Edward.
Edward mencebik sinis. Dia tahu sindiran itu memang ditujukan padanya. Malas hendak membalas.
Haris hanya mengangguk, lalu menyambut tangan Hazim dan membawanya masuk semula ke dalam lif. Sebelum pintu lif tertutup, sempat Haris mengarahkan, "Abang, patung tu angkatlah."
Edward diam. Patung itu disambar juga dengan pasrah. Mahu tak mahu, dia ikut masuk ke dalam lif bersama dua 'bos kecil' yang sudah masuk terlebih dahulu.
Adriani hanya berdiri memerhati seketika sebelum berpaling menuju ke koridor menuju ke biliknya.
Kini, tolonglah… jangan ada siapa-siapa cari aku lagi malam ni… detik hati Adriani sambil menolak beg sandangnya ke belakang, akhirnya dapat menarik nafas panjang buat pertama kali dalam beberapa jam yang mendebarkan.
Share this novel