BAB 36 | BAKAL CUCU MENANTU

Drama Series 1053

Adriani masih menunduk. Tubuhnya membeku di tempat duduk, seolah-olah akar sudah mencengkam di bawah tapak kakinya. Dia hanya menjadi bayang-bayang di sisi Edward, lelaki itu sesekali menoleh padanya, namun tidak berkata sepatah pun. Seperti dia bukan seseorang yang perlu diwujudkan dalam suasana makan malam itu. Hanya diam yang menyelubungi, dan rasa janggal yang tidak terungkap.

Hidangan mewah sudah pun terhidang di atas meja panjang yang dihias eksklusif. Gelas kristal tersusun rapi, piring porselin berkilau, dan aroma makanan yang seharusnya membangkitkan selera namun tiada apa yang menyentuh hati Adriani pada saat itu. Bukan kerana dia tidak lapar, tetapi kerana hatinya terlalu penuh untuk menelan apa-apa pun.

Balqis turut berada di ruang itu, duduk anggun di sisi Datin Adelia. Wajahnya tenang tetapi penuh agenda. Dia tidak peduli sama ada kehadirannya direstui atau tidak. Selagi ada Datin Adelia di belakangnya, dia akan terus berada di situ dan akan terus mencuba menawan hati Edward, meskipun jalan itu sudah tertutup untuknya.

Ketika pintu ruang itu dibuka sekali lagi, semua kepala sedikit berpaling. Wajah Datuk Fariz muncul dengan langkah yakin. Beliau sedikit lewat, barangkali kerana urusan lain yang menuntut perhatian sebelum ini. Haji Zainal hanya menggeleng perlahan melihat kelibat anaknya itu, namun tidak berkata apa-apa saat Datuk Fariz mengambil tempat di sebelahnya.

"Adriani, apa khabar?" sapanya tiba-tiba dengan nada ramah. Suaranya tenang, namun cukup kuat untuk menarik perhatian Adriani yang sedari tadi menunduk diam.

Adriani mengangkat wajahnya perlahan. Matanya bertembung dengan wajah lelaki itu senyum yang terpamer cukup menyenangkan, dan sapaan itu benar-benar membuatnya terpinga. Apa? Hatinya menjerit kecil. Dia pun dalam keluarga ni?!

Seolah-olah dunia ini hanya berputar dalam satu lingkungan kecil saja. Dia tidak pernah menyangka bahawa dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dia sudah pun mengenali seluruh ahli keluarga lelaki yang kini duduk di sebelahnya. Tanpa sedar, dia telah memasuki ruang yang penuh dengan nama besar, dan kini… dia berada tepat di tengah-tengahnya. Suatu bentuk kejutan budaya yang begitu asing, menghentam fikirannya tanpa amaran.

Mungkin memori Adriani gagal memproses maklumat secara tiba-tiba, kerana dia seakan terlupa bahawa dia pernah tahu Datuk Faris ialah ayah kepada Edward, sesuatu yang telah pun didedahkan semasa majlis anugerah beberapa hari lalu.

"Seronoklah saya," ujar Datuk Fariz, masih tersenyum, "Dapat bakal menantu yang boleh bekerjasama dalam projek skrip filem nanti."

Ayat itu dilontarkan dengan nada mesra, namun Adriani dapat melihat dengan jelas bagaimana tatapan dari dua pasang mata di hujung meja berubah menjadi tajam. Ya, dari Datin Adelia dan bakal menantu tak jadinya, Balqis. Ucapan itu tidak menyenangkan mereka, walaupun ia disampaikan dengan hangat. Seperti ada simbol pengiktirafan awal terhadap kehadiran Adriani sebagai sebahagian daripada keluarga, dan itu cukup untuk membangkitkan api kecil dalam hati yang tidak merestui.

Adriani masih dengan wajah blur dan fikiran yang hilang arah. Namun gelagat Datuk Fariz yang tertawa kecil, menampakkan beliau terhibur melihat reaksi terkejut Adriani, menjadikan suasana sedikit ringan… walau hanya seketika.

Kembali senyap. Seolah semua sedang menilai peranan masing-masing dalam drama yang belum bermula.

Haji Zainal kemudian memecah kesunyian dengan nada tenang, namun penuh makna. "Mari kita makan."

Tiada ucapan panjang. Tiada penjelasan lanjut yang ditunggu Adriani. Segala yang berlaku malam itu seolah sudah dirancang. Dipersetujui di luar pengetahuannya. Dan dirinya? Hanya menjadi pelakon yang tidak tahu skrip.

Hatinya tenggelam dalam kecewa yang tidak sempat dituturkan. Ada yang ingin dia luahkan tentang perasaannya, tentang kekeliruan yang membelit namun segala-galanya terasa tidak punya ruang.

Dia hanya mampu mengunyah rasa dalam diam. Pandangannya jatuh pada makanan yang terhidang indah di hadapan mata, namun tiada satu pun yang menyentuh seleranya. Hati dan fikirannya terlalu sarat bergelut dengan kenyataan yang semakin lama semakin sukar untuk ditolak. Jiwa terasa memberat, seolah-olah setiap hela nafas yang ditarik turut mengandungi persoalan dan tekanan yang tidak tertanggung.

Edward yang duduk di sisi, kelihatan sudah mula menjamah makanan. Namun dari sudut mata, dia menyedari sesuatu, Adriani masih tidak menyentuh pinggannya. Mulanya dia cuba mengabaikan. Bukan urusannya. Namun apabila pandangannya bertembung dengan mata Haji Zainal di hujung meja, yang jelas memberi isyarat bisu agar dia memperlawa wanita itu, Edward menarik nafas perlahan. Telan liur yang terasa pahit. Rasa tanggungjawab atau paksaan, dia sendiri keliru.

"Makanlah," bisiknya perlahan, cukup hanya untuk didengar Adriani. "Aku tak nak baju pengantin nanti nampak longgar sebab kau terlalu kurus."

Kata-katanya kedengaran biasa, namun sarat dengan sindiran yang terbungkus dalam kepuraan santai. Sambil berkata begitu, tangannya bergerak mengambil sudu dan menyendukkan sedikit lauk ke pinggan Adriani, sebagai satu bentuk ‘pelawaan paksa’ yang tidak memerlukan jawapan.

Adriani menoleh, memandang Edward dengan wajah yang masih keliru dan kosong. Lelaki itu hanya menjongketkan sebelah kening, wajahnya tetap datar sambil mengunyah perlahan makanan di mulut. Tiada ekspresi tambahan, tiada emosi yang boleh digali dari raut wajahnya.

Adriani menghela nafas berat. Dalam hati dia ingin saja menolak pinggan itu jauh-jauh, namun untuk menjaga maruah yang masih berbaki, dia mula menyuap sedikit makanan ke dalam mulut. Rasanya entah ke mana. Tapi sekurang-kurangnya dia kini sedang ‘berpura-pura’ menjalankan peranan yang diminta daripadanya.

Di hujung meja, Balqis mengetap bibir rapat-rapat. Matanya mula berkaca, perasaan yang disimpan rapi mulai retak. Entah kenapa, saat melihat keakraban Edward dengan Adriani, wanita yang asal usulnya tidak pernah dikenali, dan tiba-tiba muncul menggantikan tempat yang sepatutnya menjadi miliknya, Balqis terasa seperti kehilangan sesuatu yang selama ini dia pertahankan dengan penuh harapan.

Datin Adelia yang perasan akan perubahan riak anak gadis itu segera mendekatkan tubuhnya. Tangan lembutnya menepuk perlahan paha Balqis di bawah meja, cuba memujuk dalam diam. Wajahnya dirapatkan sedikit, membisikkan sesuatu yang tidak jelas kedengaran, namun cukup untuk mengubah tatapan Balqis. Dari yang redup dan pasrah, kepada satu sinar yang perlahan-lahan menyala kembali sinar seorang wanita yang tidak akan berputus asa. Sinar seseorang yang telah menyusun strategi baru dalam diam.

Apabila makan malam itu mula menunjukkan babak-babak terakhir, Adriani sudah tidak mampu bertahan lebih lama. Dia tidak berminat untuk terus duduk mendengar perbualan yang jelas tidak melibatkan dirinya tentang urusan keluarga, perancangan masa depan, dan sejarah yang langsung tidak termasuk dalam naratif hidupnya sebelum ini.

Nafasnya dihela panjang. Terasa semuanya hanyalah mimpi yang dicipta orang lain, sebuah drama tanpa skrip yang dipaksa dia lakonkan dari awal hingga kini. Dan bila-bila masa sahaja dia berharap untuk tersedar bangun dari igauan pelik ini dan kembali menjadi Adriani yang sebenar, yang tidak terperangkap dalam keluarga elit dengan teka-teki emosi dan permainan status.

Suasana di meja makan masih rancak, bagaikan tiada penghujung. Dia sudah tidak sanggup berlakon lebih lama. Tanpa menunggu isyarat atau waktu yang sesuai, Adriani perlahan-lahan berdiri dari kerusinya. Niatnya hanya satu, ingin meminta diri dan pergi dari situ, meskipun dia dianggap kurang sopan. Biarlah. Dia sanggup menanggung itu daripada terus terperangkap dalam perbualan yang tidak menyisakan tempat untuknya.

Edward, yang duduk di sebelah, sekilas mengerling. Dan seperti domino yang jatuh satu demi satu, semua mata di meja turut beralih ke arahnya. Tatapan yang seakan-akan bertanya kenapa dia berdiri? Kenapa sekarang?

Adriani sedikit kaku. Dah kenapa pula mereka semua peduli sangat kalau aku nak pergi? Bukannya aku penting pun dalam perbualan tu.

"Nak pergi tandas?" soal Edward tenang, dengan suara rendah yang nyaris tidak beremosi. Seolah-olah cuba membantu, tetapi tetap dengan gaya sinisnya yang terselindung.

Adriani menoleh ke arahnya, mata mereka bertembung. Lelaki itu masih dengan wajah datar, namun ekor matanya sempat mengarah ke sisi ke arah Haji Zainal. Seolah-olah menyampaikan sesuatu yang tidak perlu disebut. Adriani turut berpaling sekilas. Pandangan Haji Zainal terpaku padanya, penuh makna, seperti menunggu sesuatu. Seakan-akan ada satu pesanan yang belum disampaikan, satu penjelasan yang belum sempat diluahkan.

Ucaplah. Jelaskan semua ini, sebelum aku betul-betul mengamuk dan melangkah keluar dari drama yang tak pernah aku pilih untuk sertai, bentak Adriani dalam hatinya.

"Ya…" Jawapan itu keluar dari bibirnya tanpa diproses. Spontan dan kosong.

Tanpa menunggu lebih lama, Adriani meletakkan beg sandangnya kembali ke atas kerusi tanda dia akan kembali? Atau harapan terakhir supaya dia masih dianggap tidak lari. Langkahnya terus melangkah keluar dari ruang makan mewah itu.

Ke tandas? Serius, Adriani? gumamnya sendiri dalam kepala.
Sungguh aku memang tak boleh keluar dengan mudah ya? Bahkan untuk melangkah keluar pun, masih perlu alasan dan lakonan. Haha! Hebat sangat ke skrip hidup aku ni?

Langkahnya semakin jauh dari meja makan, namun kekal dekat dengan rasa jenuh yang terus menghimpit.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience