BAB 34 | JANGAN TUNDUK SALAH

Drama Series 1053

Dari tempat Adriani berdiri, matanya terarah kepada wajah-wajah tua yang kini tersenyum menikmati hidangan yang dia dan Mawar sediakan bersama tadi. Hatinya sedikit lapang melihat para penghuni rumah kebajikan itu menikmati makanan yang lebih selamat, meskipun fikirannya masih terikat pada kebimbangan tentang kesan daripada makanan basi yang diberikan sebelum itu. Pandangannya singgah pada seorang nenek berkerusi roda yang sedang menikmati hidangan perlahan-lahan. Adriani menghela nafas panjang, masih resah.

"Akak, tolong pastikan nenek tu diperiksa doktor nanti. Aku tak nak ada kes keracunan," arah Adriani perlahan tetapi tegas. Pekerja itu hanya mengangguk, mengerti kegusaran Adriani.

Belum sempat resahnya reda, satu kereta BMW mewah mula memasuki perkarangan rumah kebajikan. Adriani memandang dari jauh, tubuhnya berdiri tegak di kawasan penyediaan makanan, matanya tajam meneliti sosok yang keluar dari kereta berkilat itu. Wajahnya sedikit berkerut apabila melihat lelaki tua yang turun dari kenderaan tersebut.

"Oh, itu Haji Zainal. Penyumbang terbesar rumah kebajikan ni," ujar seorang wanita yang membantu mereka menolak troli tadi. Mawar turut menyelitkan kepala, ingin tahu apa yang sedang berlaku mereka tontonkan.

Adriani terkebil, sedikit terkejut. Bukan main selamba dia panggil orang ternama seperti itu 'atuk'. Wajah tua Haji Zainal kelihatan tenang dan bersahaja ketika melangkah perlahan menuju ke arah kawasan makan. Tatapan matanya penuh perhatian terhadap warga emas yang masih menikmati makanan mereka dengan tenang. Mawar sudah pun menjamah makanan bersama para staf, tetapi Adriani tidak punya selera walau sedikit pun.

Langkahnya dibawa keluar dari dewan makan, menuju ke tempat berehat yang terletak tidak jauh dari sana. Hatinya gusar, dadanya sesak, dan fikirannya berkecamuk. Dia menarik nafas dalam-dalam, mencuba menenangkan diri. Angin lembut bertiup menyapa pipinya dan mengayunkan hujung tudungnya perlahan-lahan. Dia duduk di bangku kayu yang disediakan, diam dan merenung ke hadapan.

Tanpa dia sedari, ada langkah perlahan menghampiri dari belakang. Tidak lama kemudian, satu suara menyapa lembut dari arah sisi.

"Assalamualaikum, Adriani."

Adriani menoleh. Dia membalas salam dengan nada rendah, hampir berbisik.

"Waalaikumussalam..."

Keningnya sedikit terangkat ketika melihat wajah tua yang tersenyum di hadapannya. Ya, lelaki itu Haji Zainal, kini duduk di bangku tidak jauh darinya, dengan wajah tenang dan senyuman yang mengundang rasa hormat.

"Atuk dengar ada kejadian berlaku tadi. Betulkah semua yang dikatakan tu?" soal Haji Zainal, tenang namun jelas ingin mengetahui kebenaran.

Adriani mengangkat wajah, memandang lelaki itu dengan harapan besar yang terpancar dari mata bundarnya. Dia hanya mengangguk sebagai jawapan.

"Sungguh lelaki keji..." ujar Haji Zainal, suaranya masih lembut tetapi nadanya membawa maksud yang jelas-ada kemarahan yang tersembunyi di sebalik wajah sabarnya.

Adriani tidak mampu menahan lagi, dia menatap Haji Zainal, kali ini dengan penuh rasa mengharap dan tekad yang tak mampu lagi dikunci.

"Atuk tolonglah... Saya tak tahu nak minta tolong pada siapa lagi. Saya sanggup buat apa saja, demi rumah kebajikan ni. Demi mereka..." suaranya bergetar, matanya mulai berkaca. Getarannya bukan dari lemah, tetapi dari kesungguhan yang terlalu lama terpendam.

Haji Zainal mengukir senyuman kecil, mengangguk. Ada sinar bangga di mata tua itu, melihat seorang anak muda yang punya jiwa sebesar itu.

"Kenapa kamu cakap seolah-olah semua beban atas bahu kamu sendiri, nak? Atuk nak tahu... adakah semua ini benar-benar berbaloi untuk kamu pertahankan?" soal Haji Zainal, tidak untuk melemahkan, tetapi untuk menguji sejauh mana Adriani memahami perjuangannya sendiri.

Adriani tunduk. Air matanya yang sejak tadi ditahan, kini menitis perlahan. Mungkin inilah kali pertama dia membenarkan dirinya lemah di hadapan seseorang. Di hadapan lelaki yang baginya bagaikan tiang harapan terakhir.

"Tak ada apa lagi yang saya perlu pertahankan di dunia ni... sejak saya kehilangan kedua ibu bapa saya," suaranya tenggelam, sebak menghimpit kerongkong.

"Tapi saya tahu, mereka tinggalkan sesuatu untuk saya. Mungkin juga... amanah. Rumah kebajikan ni, tempat ni, usaha mereka-semua ni satu peninggalan yang saya rasa perlu saya pikul. Saya tak nak berpura-pura tak tahu, sedangkan saya belum buat apa-apa untuk bantu."

Air matanya mengalir lagi, namun cepat-cepat dikesat dengan hujung lengan. Adriani menarik nafas dalam-dalam, cuba menahan air mata dari terus gugur.

Melihat luahan yang datang dari hati, Haji Zainal mengangguk perlahan. Ada rasa kagum dalam dirinya.

"Tak semua orang ada jiwa sebesar kamu, Adriani," ujarnya lembut, sambil menepuk lututnya sendiri perlahan.

"Jangan risau... Tak akan ada sesiapa yang boleh lakukan kemudaratan begini lagi. Itu janji atuk," katanya, yakin. Wajah tua itu kini seperti cahaya baru yang hadir setelah badai menggila.

Adriani hanya memandangnya lama-lega, bersyukur, dan dalam diam hatinya mengucap syukur atas kehadiran insan sekuat itu. Ya, Allah masih mengirimkan insan-insan yang akan memperjuangkan kebenaran bersamanya. Kini, dia tidak lagi bersendirian.

Beberapa hari kemudian, berita yang tersebar di media mula menarik perhatian ramai. Wajah lelaki dari rumah kebajikan itu terpampang jelas di dada akhbar, lelaki yang selama ini menyalahgunakan kuasanya demi kepentingan peribadi. Turut tersenarai, beberapa individu lain yang berkait rapat dengan kejadian yang berlaku tempoh hari. Kesemua mereka kini didapati bersalah atas jenayah yang dilakukan. Hukuman telah dijatuhkan, dan keadilan akhirnya berpihak kepada yang benar.

Namun begitu, rumah kebajikan itu tetap beroperasi seperti biasa. Malah, sejak kejadian tersebut mendapat liputan, lebih ramai yang tampil memberi sumbangan. Ada yang menyokong dalam bentuk kewangan, ada juga yang menyumbang masa dan tenaga. Seakan ada nafas baru yang mengalir dalam institusi kebajikan itu.

Adriani bersandar tenang di sofa ruang rehat produksi, sebuah akhbar digital di tangannya. Pandangannya terarah pada satu artikel yang memaparkan berita itu. Senyuman kelegaan mengukir tipis di bibirnya. Lega. Semua sudah selesai dengan cara yang sepatutnya.

Set penggambaran baru sahaja selesai, dan suasana pejabat produksi yang disewa untuk projek terbaru mereka mula lengang. Mawar datang duduk di sebelahnya, turut membaca artikel yang sama dari skrin telefonnya.

"Alhamdulillah... cepat pihak atasan ambil tindakan," ujar Mawar sambil menghela nafas. "Baguslah, semua dah selesai. Kita pun boleh fokus kerja dengan tenang."

Adriani hanya mengangguk perlahan.

Saat itu, seorang staf lelaki datang menghampiri mereka.

"Ash, ada orang penting nak jumpa kau, kat ruang produksi. Katanya penting." ujar lelaki itu sebelum berlalu, masih membimbit barang-barangnya.

Adriani sempat melirik jam di pergelangan tangan, enam petang. Dia bingkas bangun dan mengatur langkah perlahan ke ruang produksi. Matanya tertancap pada sosok yang tidak asing, Haji Zainal sedang duduk berbual bersama Encik Arman. Kedua-duanya tampak tenang, seolah-olah sudah lama menunggu.

Melihat Adriani muncul, Encik Arman segera bangkit, memberikan ruang kepada mereka berdua.

"Silakan," ucap Encik Arman ringkas sebelum berlalu pergi.

Adriani menunduk hormat kepada Haji Zainal.

"Assalamualaikum, atuk..."

"Waalaikumussalam, Adriani. Mari duduk," pelawa Haji Zainal sambil mengukir senyum lembut. Di belakangnya, berdiri tegak seorang lelaki bersut hitam, jelas seorang pengawal peribadi.

Adriani mengambil tempat perlahan. Dalam hatinya masih terpalit rasa bersalah kerana belum sempat mengucapkan terima kasih atas bantuan besar yang diberikan oleh lelaki itu.

"Adriani..." Haji Zainal membuka bicara, nadanya tenang dan penuh mesra. "Atuk nak jemput kamu makan malam bersama keluarga atuk, malam ni. Kalau kamu tak keberatan, tentu sekali."

Adriani terkebil, sedikit bingung.

"Eh? Dinner?" soalnya separuh terkejut. Wajahnya jelas menunjukkan kekeliruan. Bukan dia tidak sudi, tapi dia benar-benar tidak menjangka akan dijemput ke makan malam peribadi keluarga seorang tokoh ternama seperti itu.

"Ya," angguk Haji Zainal perlahan, senyumannya tidak lekang. Seakan ada maksud yang masih belum dizahirkan, namun sengaja disimpan buat masa ini.

"Adriani boleh datang, kan?" soalnya sekali lagi, kali ini ada nada berharap. Seolah-olah dia benar-benar tidak mahu Adriani menolak undangan itu.

Adriani memandang wajah lelaki tua itu sejenak, sebelum perlahan-lahan mengangguk. Dia akur, walaupun dalam hati masih terpingga-pingga dengan maksud sebenar di sebalik jemputan itu.

"Baiklah, saya datang."

Haji Zainal mengangguk gembira. Senyuman kecilnya cukup membuatkan Adriani terasa sedikit tenang.

"Bagus... atuk tunggu malam ni ya," katanya sebelum mula mengatur langkah untuk berlalu pergi.

Adriani menunduk sedikit memberi hormat, dan Haji Zainal membalas dengan anggukan perlahan sebelum bergerak meninggalkan kawasan itu, diiringi pengawal peribadinya.

Adriani kembali terduduk di sofa tadi. Dia menghela nafas panjang, termenung seketika.

"Kenapa aku dijemput makan malam... bersama keluarganya pula?" bisik hati kecilnya. Mungkin dia dialu-alukan, mungkin juga ada sesuatu yang ingin disampaikan. Namun fikir itu tidak mahu dia panjangkan.

Apa pun alasannya, Adriani tahu dia perlu hadir dengan sebaik mungkin. Dia harus bersedia. Mungkin kali ini dia perlu lebih berhati-hati dalam memilih pakaian, agar tidak kelihatan terlalu ringkas atau janggal seperti ketika hadir ke majlis anugerah tempoh hari.

"Balik ni kena cari baju sesuai sikit... jangan macam datang meeting produksi pulak," gumamnya perlahan, sebelum bangkit dan bersiap untuk pulang.

Langit senja mula berbalam jingga, dan satu lagi babak dalam hidup Adriani bakal menyusul.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience