BAB 21 | DIA PILIHAN

Drama Series 1053

Dewan utama Hotel Grand Mira, Kuala Lumpur megah dan bercahaya malam itu, bersedia menjadi saksi kepada Festival Filem Malaysia yang dinanti-nanti setiap tahun.

Sebagai wakil rasmi syarikat produksi tempatnya bekerja, Adriani sebenarnya tidak pernah menyangka akan berada di sini malam ini melangkah ke dalam ruang penuh glamor bersama nama-nama besar dunia perfileman tanah air. Jemputan khas itu asalnya hanya milik Pengarah Unit Penulisan, namun atas pertimbangan sokongan moral dan reputasi karya yang semakin menonjol, Adriani turut disarankan hadir sebagai wakil tenaga kreatif muda.

Sayangnya, lalu lintas Kuala Lumpur tidak pernah bersahabat. Deretan kereta menjalar sabar menuju hotel lima bintang itu. Adriani yang tiba sedikit lewat, berlari anak dari tempat parkir bawah tanah, menahan nafas dan menyelak sedikit hujung skirt labuhnya agar langkahnya tak terbelit.

Di dalam dewan, Pengarah sudah mengambil tempat duduk di barisan undangan produksi. Kepalanya melilau, sesekali menjenguk ke pintu masuk dengan harapan kelibat stafnya itu akan segera muncul.

Beberapa tingkat bawahnya, Adriani menghala ke perut lif. Namun langkahnya terhenti serta-merta.

Di hadapannya berdiri tiga wanita artis kelas atas dengan wajah yang begitu dikenali, disolek sempurna, berbalut busana rekaan eksklusif, lengkap dengan beg tangan mahal dan bauan eksotik yang memenuhi ruang sempit itu.

Mata mereka sekilas naik-turun menilai, seolah melirik sinis helaian busana Adriani yang sederhana rona krim lembut yang menenangkan pandangan. Potongan longgar beralun dari bahu hingga ke pergelangan, disempurnakan dengan skirt A-cut labuh yang menggambarkan lenggok ayu seorang wanita. Sneakers putih di kaki dan tas hitam polos yang disangkut di sisi, barangkali terlalu ringkas buat acara segah ini.

Dan tatapan mereka… seakan menolak kehadirannya tanpa sepatah pun kata.

Adriani hanya berdiri diam. Wajahnya tenang, namun matanya menyimpan sesuatu. Dan saat pintu lif tertutup perlahan, dia tidak berganjak.

Menghela nafas dalam, dia menekan butang lif sekali lagi.

"Baru jadi manusia dah sombong. Tunggu lah aku jadi mak tiri korang..." gumamnya perlahan, sinis, sambil merendang jengkel di lantai marmar.

Beberapa detik kemudian, lif terbuka kembali. Kosong. Adriani melangkah masuk, menegakkan bahu.

"Pada aku beli barang berjenama hanya untuk tunjuk siapa kau pada dunia, lebih baik beri makanan pada yang lapar. Dunia ni bukan pentas fesyen selamanya." bisiknya dalam hati.

Dan saat dia melangkah keluar dari lif, wajahnya kembali teguh. Dia tahu, tempatnya di sini bukan untuk bersaing dengan glamor. Tapi untuk menjadi saksi kepada usaha dan untuk berdiri sebagai dirinya sendiri.

Malam terus memekar dalam gemerlap lampu dan sorotan kamera. Barisan anugerah demi anugerah diumumkan dan filem Jericho 09 tidak pernah tersisih dari sebutan. Dari Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Skrip Terbaik, hingga ke Sinematografi Terbaik, satu demi satu trofi dibawa pulang ke tangan pasukan produksi yang mengangkat kisah itu ke layar perak. Penonton bersorak tanpa henti. Bagi mereka, ini bukan sekadar malam penghargaan, tapi malam keadilan untuk sebuah naskhah yang menampar emosi dan membuka mata industri.

Ketika Datuk Fariz berdiri di pentas untuk ucapan kemenangannya sebagai Pengarah Terbaik, skrin LED gergasi di belakang pentas berubah menayangkan wajah seorang lelaki muda yang duduk di antara barisan hadapan. Sorotan kamera menangkapnya jelas Edward, bekas ahli BoyLand yang kini memilih haluan baru dalam dunia lakonan dan pengarahan.

Senyumannya tenang, namun penuh rasa bangga. Bukan sahaja sebagai seorang anak kepada Datuk Fariz, tetapi sebagai individu yang pernah berdiri sendiri di bawah pancaran spotlight dan kini menjejak tapak baru dalam industri seni yang sama, namun dengan peranan berbeza.

Jeritan dan sorakan mula menggila apabila wajah tampannya terpampang besar di skrin, mengundang pelbagai reaksi. Ada yang menjerit namanya, ada juga yang tidak berhenti merakam video.

Di barisan tengah, Adriani sempat mengalihkan pandangan ke skrin matanya bertaut tepat pada wajah Edward yang kini seolah menjadi 'penaja rasmi' malam itu. Muka dia muncul lama benar, macam baru buat debut semula selepas hiatus lima tahun.

Adriani mengetap bibir nipis, sebelum memalingkan wajah ke sisi. Sorakan tak berhenti, dan dia tak berniat pun untuk menyertai kegilaan itu. Di sebalik semua itu, dia tahu apa yang terpamer di skrin itu hanya secebis dari kisah penuh yang disembunyikan Edward di balik senyumannya.

"Lama benar muka dia kat situ. Silap-silap, aku pun kena bayar royalti tengok." Adriani sempat berbisik sendiri, menyindir dengan nada malas ambil peduli.

Jericho 09 kini sah sebagai filem pecah panggung terbesar tahun itu, mencecah 110 juta tontonan dalam negara. Sebuah naskhah yang bukan sahaja memecah rekod, tetapi juga membentuk sejarah baru dalam sinema tempatan.

Dan di tengah sorakan itu… Adriani diam. Ada sesuatu dalam dadanya yang tak mampu dijelaskan dengan kata.

Majlis anugerah telah pun melabuhkan tirainya. Sorotan lampu pentas sudah suram, dan kerlip kilau kamera mula mengendur. Namun, di sebalik keramaian yang masih sibuk dengan ucapan media dan bergambar kenangan, seorang lelaki kemas berkot hitam menghampiri Adriani dan pengurusnya, Encik Arman.

Lelaki itu, dikenali sebagai pembantu peribadi Datuk Fariz, tunduk sedikit sopan.

"Encik Arman, Datuk Fariz ingin berbincang sekejap… kalau tak keberatan," katanya perlahan tapi jelas, suaranya tenggelam sedikit dalam kesibukan luar dewan utama.

Encik Arman hanya mengangguk. "Baik. Kami tunggu di sini."

Beberapa minit kemudian, kelihatan Datuk Fariz berjalan tenang diapit oleh pembantunya dan seseorang yang tidak asing lagi Edward. Lelaki itu tampak berkarisma dalam sut rona arang, wajahnya tenang, tapi sorot matanya terpaku sejenak ke arah Adriani. Namun gadis itu sedikit pun tidak menunjukkan reaksi, hanya membetulkan tudung dan berdiri lebih tegak.

"Encik Arman." Datuk Fariz bersuara ramah, berjabat tangan erat. "Saya tak mahu buang masa tuan lama. Sebenarnya saya mahu bincangkan kerjasama kita untuk projek drama hujung tahun nanti. Kami setuju untuk ambil Edward sebagai watak utama."

Encik Arman tersenyum kecil. "Alhamdulillah, ini berita baik, Datuk. Projek yang kami rancang tu memang perlukan nama besar untuk menguatkan momentum naskhah tu."

Datuk Fariz mengangguk. "Kami dah teliti skripnya. Ia matang, realistik, dan ada kekuatan emosi. Dan saya difahamkan... penulis skripnya adalah cik adik manis di sebelah Encik Arman ni?"

Pandangan lelaki berwibawa itu kini beralih kepada Adriani.

Adriani hanya mengangguk sopan. "Ya, saya, Datuk."

Lelaki itu melirik Adriani dengan wajah datar, seolah-olah tertarik ingin tahu apa sebenarnya kerja wanita itu hingga mampu menarik perhatian ayahnya.

Datuk Fariz tersenyum. "Bagus. Sangat bagus. Saya boleh nampak pengalaman hidup dalam susunan kata-kata tu. Tak ramai penulis muda yang berani tulis dengan jujur. Teruskan gaya tu… jangan ubah hanya untuk pasaran."

Adriani senyum kecil, menunduk sedikit. "Terima kasih, Datuk. Saya cuma tulis apa yang saya rasa… orang perlukan untuk difahami."

Edward di sisi ayahnya memerhati diam. Riak Adriani tenang terlalu tenang untuk seseorang yang sedang menulis skrip dengan dia sebagai teraju utama. Tapi Edward tahu, diam itu bukan kosong.

Datuk Fariz melanjutkan, "Kalau tiada apa-apa, saya akan minta pembantu saya hantar salinan kontrak awal minggu depan. Kita bincang lanjut selepas tu."

Encik Arman mengangguk setuju. "Insya-Allah, kami akan bersedia. Terima kasih atas kepercayaan Datuk."

Mereka berjabat tangan sebelum Datuk Fariz melangkah pergi, diikuti Edward yang hanya sempat melirik sekilas pada Adriani sebelum terus menghilang di balik pintu kaca dewan.

Adriani menarik nafas dalam. Dia sedar, ini bukan sekadar skrip yang perlu ditulis tapi ujian yang akan menyentuh jiwanya sendiri. Lelaki tadi? Nasib dia tak tahu siapa aku. Kejadian tuala tu? Biarlah. Yang penting, aku akan kerja dengan orang-orang besar, dan aku akan buktikan diri aku bukan bayang-bayang sesiapa. Ini karya aku. Mereka akan ikut rentak aku, bukan sebaliknya.

Kelibat sosok berpengaruh dalam dunia hiburan itu akhirnya menghilang di balik laluan VIP yang tertutup. Tinggal hanya Adriani dan Encik Arman di sisi luar dewan gala, yang mulai lengang setelah majlis anugerah berakhir. Bau karpet mewah yang menyerap debu malam itu, digabung dengan cahaya kekuningan chandelier yang masih menyala megah di siling, membuat suasana terasa perlahan dan berat.

Encik Arman menepuk ringan lengan bajunya yang berhabuk sedikit. "Penat pun ya, lega pun ya."

Adriani hanya tersenyum kecil, melurut lengan bajunya yang jatuh longgar.

"Semuanya dah siap untuk esok?" soal lelaki itu sambil memandang jam tangannya.

"Untuk pelancaran drama Bukan Dia, tinggal final check sound system je, tu pun teknikal tengah urus. Video tayangan pembukaan saya dah susun ikut rundown," jawab Adriani sambil mengangkat sedikit kertas lipat di tangannya. "Lepas ni saya terus balik, nak semak sekali lalu voice-over terakhir tu."

Encik Arman mengangguk puas hati. "Nasib baik korang semua menginap hotel. Esok taklah kalut sangat nak gerak dari luar."

Adriani sekadar mengangguk. Beg kecilnya disangkut ke bahu.

"Kita satu arah ni. Kalau nak, saya tumpangkan awak balik," pelawa Encik Arman ikhlas.

Adriani tersenyum sopan, menggeleng perlahan.

Adriani menggeleng perlahan, senyumnya tenang. "Tak apa, Encik Arman. Saya drive sendiri. Kereta dah parking dekat basement. Lagipun saya suka dengar playlist sendiri bila memandu. Tenang sikit kepala."

Encik Arman tergelak kecil. "Baiklah. Tapi hati-hati ya. Jangan langgar lampu merah semata-mata nak habiskan babak dalam kepala."

Adriani tersenyum sambil menunduk sedikit. "Insya-Allah. Terima kasih, Encik Arman."

Mereka berbalas angguk sebelum melangkah ke arah lif masing-masing, membawa pulang keletihan dan harapan besar untuk esok yang menjanjikan lebih banyak kisah dan mungkin juga pertemuan yang tak dijangka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience