Langkah mereka kini menyusuri lorong kecil Daerim-gil 42 sebuah lorong tenang yang seakan terasing dari hiruk-pikuk Seoul. Deretan kedai-kedai lama dan lampu neon kecil yang menggantung rendah mencipta suasana nostalgia yang meresap perlahan ke dada. Bau kopi dari sebuah kafe kecil mencuri perhatian, diiringi hembusan angin petang yang menyejukkan wajah.
Adriani berjalan perlahan di sisi Zayyan, yang kini kembali mengenakan topi dan mask untuk menyembunyikan identitinya. Sama ada dari pandangan orang ramai, atau dari lensa media yang selalu lapar mencari cerita sensasi tak siapa tahu. Tapi dari luar, mereka kelihatan seperti dua orang asing seorang lelaki misteri dan seorang wanita biasa, berkongsi senyap dalam langkah yang sejajar.
"Kau nak ke aku bawa kau tempat best kat sini?" soal Zayyan, memecah diam yang mula terasa panjang. Suaranya kedengaran ceria, macam budak baru dapat basikal.
"Eh, tak payah lah. Malam ni aku dah nak balik Malaysia," balas Adriani selamba, bahunya diangkat kecil. Dia memang tak berminat nak berjalan jauh takut nanti esok kerja, kaki pula buat hal.
Zayyan mengeluh nipis. "Awal juga. Tak nak cuti lama sikit?"
"Datang sini pun sebab kerja. Kau bila nak balik Malaysia? Dah lupa daratan ke?" Adriani melirik ke arahnya, senyum mengejek bermain di bibir. Suaranya bersahaja, seperti biasa. Dia tahu Zayyan pun dah lali dengan perangainya sindiran bersalut jujur, selalu tepat kena sasaran.
"Maybe bulan depan…" Zayyan menyengih. "Apa nombor kau? Nanti boleh bawa aku pusing-pusing Malaysia. Aku pun macam dah lupa jalan kat sana."
Adriani tidak menjawab, sebaliknya menghulurkan tangan. "Bagi telefon," katanya ringkas.
Zayyan menyerahkan telefonnya. Adriani memasukkan nombor telefon tanpa banyak bicara, kemudian menghulurkannya semula.
"Kau jangan ngorat aku pula. Aku ni dah tak layan drama-drama cinta tak cukup skrip," katanya sebelum meletakkan telefon ke tangan Zayyan kembali.
"Haha. Memang plan macam tu pun," usik Zayyan, sengaja mahu mencabar reaksi.
"Uih, niat tak menghalalkan cara, ya." balas Adriani, matanya tetap ke depan. Langsung tak menoleh. Dia masih jaga jarak.
"Niat baik tak apa kan?" Zayyan sengih lagi, berani cuba nasib.
Namun wajah Adriani kekal tenang, tanpa riak apa-apa. Seolah-olah dia ni bukan manusia biasa, tapi firewall perasaan jenis hati yang tak goyang walau digoda seribu kali. Minah ni kebal betul… bisik Zayyan dalam hati.
"Aku sebenarnya ada benda nak bagi tahu kau…" tiba-tiba Adriani ubah topik, nadanya kembali serius.
Zayyan mengangkat sedikit kening. "Apa dia?"
"Ayat yang kau tulis kat album aku tu… cringe gila. Meremang satu badan aku weh," ujar Adriani sambil buat gaya seram, tangan menggosok lengan sendiri macam betul-betul terkena goosebumps. Ekspresinya bersungguh, macam tengah audition watak drama hantu.
Zayyan berkerut. Dahi berlipat tiga.
"Eh… sejak bila kau datang fansign malam tu? Kenapa aku langsung tak perasan kau?" soalnya, kelihatan benar-benar keliru. Memori malam itu kabur hanya diwarnai ratusan peminat, lampu kamera, dan jeritan nama mereka.
Adriani menjulingkan mata malas. "Yang tanya kau pasal coklat cheese tu… kau tak ingat ke?"
Zayyan ternganga sedikit sebelum menepuk dahi. "Oh, kau ke minah coklat cheese tu?! Kenapa tak bagitahu awal-awal itu kau?" Ketawanya meledak kecil. "Patutlah… malam tu aku rasa lain macam. Macam… feel something tapi tak tahu nak rasa apa."
Adriani geleng perlahan, senyum nipis terselit. "Tapi ayat cringe kau tu tetap segar dalam ingatan. Aku boleh trauma tau. Siap termimpi buruk dua malam berturut-turut."
Zayyan buat muka terkebil. Rasa macam hati dia kena hiris pakai pembaris plastik. "Serius lah kau kata macam tu…? Ayat macam tu pun cringe? Tu ayat-ayat pikat tau. Romantik gila tu!"
Adriani hanya mengangkat kening, sengaja nak cabar egonya.
"Romantik kepala hotak kau. Rasa macam baca status Fac tahun 2010," selar Adriani, ketawa kecil menyusul di hujung ayat.
Zayyan mengeluh panjang. Minah ni memang tak reti hargai seni puitis lelaki...
"Kau tak nak tanya ke aku kenapa boleh suka coklat cheese?" soal Zayyan cuba ubah topik. Mahu kembali ke fasa yang lebih tenang.
"Selera orang kan kadang tukar-tukar. Hari ni nak western, esok makanan kampung, lusa suka benda pelik. Biasa lah tu," jawab Adriani sepantas kilat, tak bagi ruang.
"Bukan lah. Kau boleh tak biar aku habis cakap dulu? Ni kau jawab ikut anak tekak sendiri je!" rungut Zayyan, sedikit cemberut.
"Hah, jawab la ikut anak tekak kau pula," balas Adriani, datar. Ada nada main-main di sebalik suaranya.
"Sebab aku suka lah," jawab Zayyan sambil tergelak kuat. Tak tahan nak tahan. Adriani menjeling pelik, Apa benda yang lawak sangat tu…
"Dengar gelak kau pun aku tahu, ada terselit kurang kasih sayang dalamnya. Kesian." balas Adriani dengan muka simpati palsu.
"Apa kau cakap?" Zayyan buat muka terkebil-kebil. Tapi Adriani dah melangkah ke depan, tak tunggu respon. Macam biasa... tinggal je macam dalam drama TV pukul 7:00 malam.
Mereka tiba di perhentian bas. Suasana senja makin menebal. Cahaya oren dari langit petang menyimbah pada bangunan-bangunan lama yang berbaris sunyi.
"Aku nak balik dah ni. Kau nak pergi mana lepas ni?" soal Adriani sambil melabuhkan duduk di bangku panjang.
"Awalnya. Tak nak teman aku makan dulu ke?" Zayyan bertanya, berdiri di sisi, tangan dalam poket.
"Tak payah lah. Makanan hotel lagi sedap. Kau makan sorang-sorang je." balas Adriani, membayangkan buffet hotel yang melambai-lambai dalam ingatan.
Zayyan ketawa kecil.
"Aku.. rindu gila kat kau. Macam mimpi je jumpa kau balik," katanya perlahan.
Adriani diam sejenak sebelum menjawab, "Hoi, sedar sikit diri tu. Kau idol kegilaan ramai. Apa hal rindu rakyat jelata yang tak perlu pun wujud dalam lipatan hidup kau."
“Aku manusia biasa je. Ada perasaan. Bukan robot mainan dan tontonan semata-mata." balas Zayyan. Kali ini, suaranya serius.
Adriani bangkit, berdiri tegak.
"Aku balik dulu. Nak kemas barang. Kau jaga diri elok-elok. Solat jangan tinggal, makan makanan halal, dan jangan bersentuhan yang bukan mahram," pesan Adriani, nadanya tiba-tiba seperti ustazah part-time.
Zayyan terkedu. Terdiam. Pesanan itu, walau ringkas, menyentuh satu sudut hatinya yang jarang disentuh. Dia angguk perlahan, seakan menyimpan satu janji dalam diam.
"Kau pun jaga diri. Tunggu aku balik Malaysia." kata Zayyan akhirnya, senyum di sebalik mask.
"Dah kenapa pula aku nak tunggu kau. Balik je la sendiri." Adriani mengangkat bahu. Bas yang dinanti akhirnya tiba, perlahan berhenti di depan mereka.
"Bye." katanya ringkas. Tiada lambaian. Tiada drama. Hanya satu patah perkataan sebelum tubuhnya menghilang ke dalam perut bas.
"Bye…" balas Zayyan, mengangkat tangan perlahan, sekadar mengiringi perginya bayang yang tak berpaling. Dari celah tingkap bas, dia nampak Adriani duduk tapi langsung tidak menoleh ke belakang. Tak beri walau sekelumit isyarat perpisahan.
Dia berdiri memandang bas yang makin menjauh.
Masa bergerak terlalu cepat, kan?
Tapi dalam diam, Zayyan tahu bukan setiap hari seseorang yang kau rindukan muncul kembali dalam hidupmu. Dan bukan semua orang diberi peluang kedua untuk memahami perasaan yang pernah dibiar menggantung dulu.
Dan mungkin… inilah titik mula untuk sesuatu yang baharu.
EPILOG
Enam tahun yang lalu.
Adriani baru sahaja melangkah keluar dari kafe kolej, membawa sekali beg sandangnya yang disilang malas ke bahu. Kelas sesi petang akan bermula tak lama lagi, jadi langkahnya laju, menyusuri laluan pejalan kaki berbata merah menuju bangunan akademik. Namun, derapan kakinya terhenti tatkala matanya tertancap pada satu pemandangan yang agak... janggal.
Seorang lelaki berkaca mata, lengkap dengan tongkat, sedang terjongket-jongket seperti kucing patah kaki cuba mencapai sesuatu di atas dahan pokok. Matanya tajam, fokus, sambil hujung tongkatnya digunakan untuk menjolok satu lagi tongkat ya, tongkat lain yang tersangkut di celah dahan pokok.
Adriani berkerut. Macam mana tongkat boleh terbang naik atas pokok ni?
Tanpa sebarang niat untuk membantu, Adriani hanya mencebik perlahan dan menyambung semula langkah. Bukan sebab dia kejam. Tapi... dia bukan jenis yang mudah campur urusan orang lebih-lebih lagi kalau melibatkan lelaki pelik yang asyik jadi bahan buli dekat kolej tu.
Beberapa minit kemudian, lelaki itu akhirnya terduduk lelah di bawah pokok, mengalah setelah gagal dalam misi ‘mencungkil tongkat’ itu. Nafasnya turun naik, bahagian kakinya yang berbalut simen kelihatan sedikit merah di tepinya. Luka lama barangkali terbuka semula.
Ketika dia sedang termenung menilai nasib malangnya, muncul sesusuk tubuh dari arah belakang membawa tangga lipat di bahu kiri. Lelaki itu mendongak, silau dek pantulan cahaya matahari pada wajah wanita bertudung itu.
Adriani.
Tanpa sebarang kata manis mahupun drama K-Drama, Adriani terus mendirikan tangga dan memanjat ke atas, mencapai tongkat yang terdampar sepi di atas dahan. Beberapa saat kemudian, dia turun dengan penuh gaya, lalu menghulurkan tongkat tersebut ke arah lelaki itu.
"Nah," katanya pendek. Suaranya datar, tak ada perasaan.
Lelaki itu yang kini dikenali sebagai Zayyan teragak-agak menerima, namun tangannya lebih pantas menyambar tongkat itu secara automatik. Macam refleks budak yang kena baling bola dekat kepala.
Adriani hanya memandang sekilas sebelum mula melipat semula tangganya. Tanpa niat untuk berlama-lama, dia terus beredar dari tempat kejadian.
"Eh... tunggu," panggil Zayyan tiba-tiba.
Adriani berhenti, lalu menoleh dengan wajah tiada ekspresi.
Zayyan menggagau mencari ayat, cuba jelaskan situasi.
"Eh kau jangan salah faham. Ni lecturer yang minta aku tolong kau," katanya, suara datar, seolah menjelaskan kenapa dia datang bukan sebab simpati.
Zayyan terkebil-kebil, masih cuba proses ayat Adriani.
"Better kau balik. Kaki kau dah berdarah tu," sambung Adriani, matanya melirik ke arah simen yang sudah bertompok merah. "Kalau jahitan terbuka, aku tak nak disumpah sebab tak tolong."
Zayyan menunduk melihat balutan kakinya. Dia tak sedar darahnya sudah tembus keluar.
Adriani menarik nafas, rasa simpati walau tak banyak. Dia menghampiri lelaki itu semula.
"Kau kena ubah diri kau. Tak ada sesiapa yang boleh tolong ubah melainkan diri kau sendiri," ucap Adriani, masih dengan nada dingin. Pandangannya menembus wajah Zayyan yang kelihatan terpinga-pinga. Mata lelaki itu sedikit besar, bibirnya macam nak tanya sesuatu, tapi lidah terikat.
Sebelum Zayyan sempat mencelah, Adriani menambah, "Jangan menonjol sangat bodoh tu. Itu kegemaran manusia-manusia bangsat."
Zayyan terkedu. Rasanya baru lima minit kenal, tapi wanita depan dia dah bagi ceramah motivasi tahap nasional dan maki dalam satu nafas.
Adriani terus melangkah pergi, tangga lipat kembali tersandang di bahunya. Tak ada drama. Tak ada senyuman. Hanya seorang wanita yang bercakap ikut anak tekak dan lelaki yang baru sedar hidupnya perlu diubah.
Zayyan masih duduk di situ, memegang tongkat di tangan kirinya, dan hati yang mula... terasa pelik.
Share this novel