Seperti roh yang direntap tanpa amaran, begitulah perasaan Adriani ketika itu wajahnya pucat tidak bermaya, tubuhnya kaku seolah tiada jiwa tinggal di dalamnya. Dia berdiri diam di tepi tanah perkuburan, menyaksikan dua pusara digali dan ditimbus serentak. Hari ini, sepatutnya tahun ini dia meraikan kejayaannya menamatkan pengajian, menerima segulung diploma dalam pelukan ibu dan ayahnya. Namun, sebaliknya… hari ini, dia melihat jasad dua insan paling dikasihinya diturunkan ke liang lahad.
Di sebelahnya, Puan Salmah memeluk bahunya erat wanita separuh umur itu turut mengesat air mata yang sejak tadi tidak berhenti mengalir. Namun Adriani… masih diam. Pandangannya kosong merenung pusara yang kini hanya berbumbungkan tanah merah.
Bacaan talqin mula kedengaran. Suara imam masjid bergema perlahan tetapi jelas, menyentuh hati setiap yang hadir. Bacaan itu mengingatkan si mati tentang keesaan Allah… tentang hari kebangkitan dan ujian di alam kubur. Tentang syahadah yang menjadi penyaksi terakhir di dunia. Doa-doa dititipkan, agar roh mereka diberi ketenangan dan keteguhan dalam menjawab soalan malaikat nanti.
Adriani masih berdiri kaku di sisi Puan Salmah, walau orang lain sudah mula melangkah perlahan meninggalkan kawasan perkuburan. Beberapa kenalan ibu dan ayahnya menghampiri, memberi ucapan takziah, menepuk belakangnya perlahan, ada juga yang memeluknya erat, membelai kepala yang berlapik tudung itu. Namun semua itu hanya berlalu seperti angin lalu. Dia tidak menjawab. Tidak memberi reaksi. Dia hanya diam… tenggelam dalam sunyi yang hanya dia sendiri mengerti.
Selepas selesai, Puan Salmah menyentuh tangannya perlahan. "Adriani, ikut mak balik ya. Tinggal dengan mak dulu. Jangan duduk sorang-sorang…"
Namun Adriani menggeleng perlahan. "Saya nak balik rumah." Suaranya serak, nyaris tidak kedengaran.
Puan Salmah ingin menahan, namun hanya mampu mengangguk pasrah. Dalam hati wanita itu, hanya mampu berdoa agar anak gadis itu kuat menghadapi takdir berat yang menimpanya.
Malam itu, Adriani berdiri di hadapan pintu rumah. Tangannya menekan pin kekunci automatik. Bunyi klik kedengaran, pintu terbuka perlahan. Langkahnya longlai, seolah-olah setiap inci lantai rumah menyedut seluruh tenaganya. Pintu tertutup kembali dengan bunyi mendap.
Dia memandang ke ruang tamu. Kosong. Terlalu sunyi. Suasana yang dulu hidup dengan suara ibu yang menegur dan abah yang bersiul perlahan kini tiada. Hanya diam. Diam yang menggigit jiwa.
"Kenapa... kenapa semua orang tinggalkan Adik?! Apa salah Adik?! Apa dosa Adik, sampai Tuhan ambil semuanya semuanya!!"
Seakan suara hatinya menjerit sekuat mungkin, namun bibirnya tetap diam. Hanya tatapan kosong yang menjawab segala gelora dalam jiwa.
Langkahnya goyah. Dadanya rasa sesak. Lututnya tiba-tiba lemah, lalu tubuhnya jatuh terduduk di tengah ruang tamu. Nafasnya tercungap-cungap, tangan menekup dada yang terasa seperti dirobek dari dalam. Tanpa sedar, dia mula memukul dadanya sendiri berulang kali, seperti mahu membebaskan segala hiba yang menyesakkan. Dia tidak peduli sakit yang menjalar dari dada ke tubuh dia hanya mahu kesakitan batin itu hilang. Air mata mengalir deras tanpa suara.
Tangannya menampar dadanya sendiri, bertalu-talu. Tangisan itu bukan lagi tangisan… ia adalah raungan dari jiwa yang reput.
Adriani gigil, suara serak dan meletup.
"Mak!!! Abah!!! Adik tak mampu hidup macam ni!!! Adik tak tahu nak bangun, tak tahu nak terus jalan!!"
Dia hempas kepalanya ke lutut, tubuhnya bergoncang hebat. Air mata membanjiri pipi, menitik ke lantai.
"Adik cuba kuat, Mak… tapi tiap kali Adik buka mata, dunia ni bisu. Kosong. Hitam. Adik tak jumpa jalan… Adik tak tahu kat mana ‘rumah’ tu lagi…" Adriani berbisik, separuh sedar.
Tiba-tiba... suasana yang gelap itu diterangi senyuman. Dua sosok berdiri di hadapannya. Wajah yang paling dirindui. Mak. Abah.
“Adik… sakit tu sayang. Jangan pukul,” suara lembut dan perlahan kedengaran menyapa cuping telinganya. "Sayang… jangan pukul hati sendiri. Sakit tu bukan musuh. Sakit tu… tanda Adik pernah mencintai kami sungguh-sungguh."
"Abah minta maaf tak sempat lindungi Adik sampai akhir. Tapi Adik tak boleh hancur macam ni. Jangan benarkan kehilangan kami, bunuh hidup Adik sekali."
Adriani mendongak. Pandangannya kabur dek air mata. Tapi jelas di hadapannya berdiri dua sosok yang amat dikenali. Mak… Abah… mereka tersenyum. Senyuman yang sayu tapi penuh kasih.
“Mak… mak… Abah…” panggil Adriani dalam esakan yang tersekat-sekat. Dia tidak tahu apakah ini realiti atau sekadar bayangan dari mindanya yang kacau. Tapi dia tidak peduli. Ilusi atau bukan, itu satu-satunya harapan yang tinggal.
"Tolong… tolong jangan pergi lagi. Peluk Adik… peluk Adik macam dulu. Sekali pun jadilah. Sekali pun cukup untuk Adik terus hidup esok…" Tangannya terketar, hulur untuk sentuh mereka
Tangisnya mula meninggi, suaranya bergetar seolah patah setiap kali menyebut. Tangannya dihulurkan, meminta pelukan… meminta rasa aman.
"Kami tak pernah jauh, Adik. Tapi sekarang… Adik kena lepaskan. Biar luka tu sembuh. Jangan simpan mayat kasih dalam dada sendiri. Ia akan busuk dalam diam…" Air mata ibunya mengalir, tapi senyum tetap ada. Dia menyambut pelukan anaknya itu.
Ayahnya tersenyum lalu melutut, memeluknya bersama ibu yang juga sudah merapatkan tubuh. "Menangislah, Adik… menangislah sampai habis. Biar malam ini jadi kali terakhir Adik simpan semuanya dalam diam. Biar malam ini jadi noktah sebelum Adik bangun semula..."
"Adik tak kuat! Adik tak tahu macam mana nak hidup tanpa Mak… tanpa Abah!! Tolong… jangan biar Adik tinggal sendiri dalam dunia yang tak faham rasa ni!!" Tolong Adik… ini terlalu sakit.." suara itu akhirnya tenggelam dalam tangis yang menggoncang tubuhnya. Meronta dalam pelukan ilusi, meraung.
Adriani meraung dalam pelukan, pelukan yang entah nyata atau cuma mimpi. Tapi malam itu, dalam rumah yang sepi, dalam ruang yang menjadi saksi luka paling dalam, Adriani akhirnya menjerit… membiarkan hatinya runtuh agar esok, mungkin dia boleh bangun semula.
Zayyan hanya memerhati dari sisi. Wajah Adriani yang tenang, namun penuh luka yang cuba disembunyikan di sebalik senyuman tawar. Perbualan itu tidak dirancang, namun terluah juga akhirnya sebahagian daripada kisah silam wanita itu yang selama ini hilang tanpa jejak.
"Enam tahun aku hilang... bukan sebab aku bencikan sesiapa. Tapi sebab aku dah kehilangan segalanya. Mereka pergi… buat selamanya. Dua dunia aku hilang," ujar Adriani perlahan, namun nada suaranya tetap tegar. Pandangannya masih menghala ke langit yang semakin kelam, seolah mencari makna di balik gugusan awan malam.
Zayyan terdiam. Nafasnya seperti tersekat di kerongkong, dadanya terasa berat seolah menanggung rasa bersalah yang dia sendiri tak tahu patutkah dia pikul.
Adriani senyum tawar. Kaki dihayun perlahan seperti melawan sunyi yang memeluk dirinya. Dia menarik nafas panjang.
"Aku tak tahu macam mana nak hidup lepas tu. Rumah jadi sunyi… aku pun rasa asing dalam diri sendiri. Jadi aku ambil keputusan untuk lari. Bina hidup baru, cari kekuatan yang baru. Aku fikir, kalau aku mula dari kosong… mungkin aku boleh sembuh," suaranya bergetar perlahan di hujung kata. Bibirnya dikemam, matanya memejam sejenak, seolah menahan perasaan yang tiba-tiba kembali mencengkam.
"And you carried all that... alone?" Zayyan akhirnya bersuara. Perlahan, namun penuh jiwa.
Adriani hanya angkat bahu, nafasnya seperti terputus-putus. "Siapa lagi yang aku ada waktu tu, Zayyan? Semua orang nampak aku senyum. Tapi dalam hati... aku cuma tinggal serpihan," ujar Adriani, senyuman kelat terukir di bibirnya. Bukan untuk menyenangkan sesiapa tetapi untuk menyedapkan luka yang dia sendiri tak tahu bagaimana harus diubati.
Zayyan menunduk. Bibirnya diketatkan. Dia tak pernah tahu luka Adriani sedalam itu, tak pernah sangka wanita di hadapannya itu bangkit seorang diri dari kejatuhan yang tak terbayangkan.
"Listen to me, Adriani. I’m sorry I wasn’t there when you needed someone. Tapi sekarang aku di sini. You don’t have to carry that pain alone anymore," ujar Zayyan, suaranya dalam dan bergetar sedikit. Ada ikhlas yang tak sempat disampaikan dulu, kini terluah perlahan.
Adriani menoleh ke arahnya. Wajah lelaki itu serius, penuh pengertian. Dia tahu Zayyan bukan cuba bersimpati. Dia hanya ingin memahami. Namun tatapan Adriani masih kosong.
"You’re not broken. You’re human. Kau kehilangan... dan itu bukan kelemahan. Itu kekuatan. Sebab kau masih mampu bangkit walau dunia kau runtuh," sambung Zayyan lagi, matanya berkaca, namun suaranya tetap tenang dan stabil.
"Aku hanya terus berjalan tanpa buku formula. Dan akhirnya aku sampai ke sini... walaupun berat. Selagi aku boleh sendiri, aku tak nak susahkan sesiapa. Itu cara aku… untuk terbiasa susah tanpa harus melibatkan sesiapa," balas Adriani, kini nadanya sedikit lebih tegas. Dia tak suka dilayan seperti mangsa, apatah lagi untuk dikasihani. Itu bukan caranya bertahan.
"Rasa kehilangan ibu bapa adalah luka yang tak pernah benar-benar sembuh. Walau masa dah berlalu bertahun-tahun, tetap ada ruang kosong dalam hati. Rindu yang tak pernah cukup terubat. Ada masa… bila terbau masakan kegemaran mereka, terdengar lagu kenangan, atau ternampak wajah seseorang yang mengingatkan... semua itu datang semula. Menikam diam-diam. Perit yang tak mampu diungkap penuh dengan kata," ujar Adriani lagi, kali ini ada senyuman sinis yang bermain di hujung bibirnya. Bukan sinis pada sesiapa, tetapi sinis pada ironi hidupnya sendiri.
Zayyan diam. Hanya mengangguk perlahan, duduk di sisi wanita itu menjadi pendengar setia kepada segala kepedihan yang selama ini tidak terluah.
"Yang tinggal hanya doa dan ingatan. Tapi kadang-kadang itu pun terasa tak cukup untuk pujuk rindu. Namun dalam kepedihan itu juga ada kekuatan... sebab kasih mereka tetap hidup dalam setiap langkah kita hari ini. Rasa sakit tu… bukti betapa dalamnya cinta yang pernah mereka beri," suara Adriani makin perlahan, dan senyumannya berubah menjadi lebih tenang. Lebih redha.
"Then let me be the one to hold you when you feel like falling. Biar aku jadi tempat kau bersandar bila dunia kau gelap. You don’t have to go through this life pretending you're fine. Not with me," ujar Zayyan penuh perasaan. Tatapannya tidak beralih dari wajah Adriani.
Adriani menghela nafas perlahan, sebelum membalas dengan bisikan lemah, "Aku penat..."
Zayyan diam seketika. Wajahnya lembut, suaranya rendah… namun penuh erti. "Then rest, Adriani. Just… rest. With me."
Adriani hanya mencebik senyum, namun senyum itu bukan lagi senyum kelat. Ada sesuatu yang lebih damai. Dia bangun perlahan, menoleh jam di pergelangan tangan.
"Dah masuk waktu Maghrib. Kita balik, esok aku masih ada kerja yang perlu disiapkan," ujarnya. Wajahnya kembali seperti biasa tenang, tidak menunjukkan sedikit pun ribut emosi yang baru sahaja reda tadi.
Zayyan terkedu. Sekelip mata Adriani kembali memakai topeng ketenangan. Adakah hidup yang mengajarnya untuk tidak berperikemanusiaan pada dirinya sendiri? Sehingga dia mampu menyorok luka dan kembali ‘normal’ seperti tiada apa-apa yang berlaku?
Zayyan hanya tersenyum kecil, namun dalam hatinya ada kekesalan yang tak terucap. Dia bangun juga, berdiri di sisi wanita itu.
"Always remind yourself that you are blessed in so many ways already," ucap Zayyan lembut.
Adriani berpaling, mengangguk perlahan sebelum membalas, "Allah’s plans are better than your dreams. Dan dalam setiap keadaan… just say Alhamdulillah."
Kata-kata itu menusuk. Menyedarkan Zayyan, bahawa apabila segala-galanya terasa seperti tidak dapat dikawal, sesungguhnya segalanya tetap di bawah kekuasaan Allah.
"Kalau kau perlukan apa-apa… aku ada untuk kau," ujar Zayyan lagi, senyum tipisnya penuh ikhlas.
Adriani hanya mengangguk diam, namun cukup untuk menyampaikan bahawa dia mendengar. Dia tahu. Dia sedar. Tapi buat masa ini… dia tetap memilih untuk berjalan sendiri.
Langkah mereka menyusuri malam. Di luar, dunia masih riuh dan bising dengan cerita mereka masing-masing. Tapi hanya mereka yang tahu... ada kisah yang lebih sunyi, lebih dalam, lebih perit kisah antara kehilangan, luka, dan kepercayaan kepada takdir Tuhan.
Sebab dalam hidup ini, kadangkala yang lebih penting daripada menjadi diri sendiri... adalah menjadi seperti apa yang Allah mahu.
Share this novel