Enam tahun yang lalu.
Langkah Adriani bergema perlahan di sepanjang koridor bangunan kuliah yang masih lengang. Hanya dua tiga orang pelajar kelihatan duduk di kerusi panjang yang disediakan di tepi dinding, masing-masing tenggelam dalam dunia sendiri. Sebelum dia sempat melangkah masuk ke dalam lif, dia sempat menundukkan kepala sedikit sambil melemparkan senyum nipis kepada seorang mak cik pembersih yang sedang membersihkan lantai.
Jam di pergelangan tangannya menunjukkan pukul 7.30 pagi. Terlebih awal pula aku datang hari ni, getusnya dalam hati. Pintu kelas masih tertutup, sunyi tanpa sesiapa. Dia menjeling jam sekali lagi masih berbaki satu jam sebelum kelas bermula.
Tanpa berlengah, Adriani melangkah masuk ke dalam bilik kuliah yang kosong itu, terus menuju ke tempat paling belakang. Tiga kerusi banquet disusun rapat-rapat olehnya sempurna untuk dijadikan ‘katil’ sementara menunggu suasana kelas mula hidup. Telefon bimbit di tangan diangkat, dan dengan tenang dia memasang sebuah drama Cina untuk ditonton. C-drama dulu sementara tunggu budak-budak lain datang...
Suasana sepi mula berubah apabila dia menyedari seseorang masuk ke dalam kelas. Dari posisi berbaringnya, dia hanya dapat melihat sepasang kaki lelaki yang kini duduk di meja yang terhalang dari pandangan terusnya. Headphone yang tersangkut di telinga sengaja dilaraskan ke suara perlahan cukup untuk dia mendengar drama, tetapi masih dapat peka dengan keadaan sekeliling.
Pintu kembali terbuka. Kali ini, dua lelaki pula masuk. Adriani sekadar menjeling seketika, tapi tetap fokus menonton drama. Namun, perhatian kembali beralih apabila dia melihat dua lelaki itu mendekati lelaki yang pertama tadi.
"Hey noob, awal kau datang," kedengaran suara menyindir, milik Aiman yang bertopi.
"Kau buat apa awal sangat ni? Ada benda tak elok kau nak tengok diam-diam, eh?" sindir seorang lagi, Miro, sambil menyeringai.
Lelaki yang dikenali sebagai Zayyan itu hanya tunduk membisu. Adriani menghentikan tontonan, layar telefonnya menjadi gelap. Kini, dia lebih tertarik dengan drama sebenar yang sedang berlaku di hadapannya, pandangan datar menatap suasana disitu dengan kening sedikit terangkat, tertarik.
"Kenapa kau diam je? Hari ni ada assignment berkumpulan. Kau dengan kitaorang, tahu." ujar Aiman sambil meletakkan tangannya di bahu Zayyan.
"Hah, macam biasa. Kau tulis nama kitaorang, tapi semua kerja kau yang buat. Deal?" sambung Miro sambil menyeringai geli hati.
Zayyan tidak banyak cakap. Dia hanya mengangguk lemah. Dia tahu, jika enggan, mereka mungkin akan bertindak kasar. Adriani yang memerhati dari celahan meja hanya mengeluh kecil. Asal bodoh sangat budak ni? Senang sangat kena pijak. Pipi yang terasa gatal digaruk seketika seraya menatap fokus akan situasi yang tegang dihadapannya.
"Macam ni baru kami suka. Kalau kau free, nak lepak dengan kami tak?" nada mengusik keluar dari mulut Aiman, tangannya merayap ke tengkuk Zayyan.
"Tak… Aku ada kelas petang ni," balas Zayyan perlahan, terbata-bata.
Aiman mula berkerut dahi. Pelawaannya ditolak. Tangan kanannya naik tinggi sebelum menampar kepala Zayyan sekuat hati.
Pak!
Zayyan menekup telinga yang terasa berdengung kuat. Kepalanya ditundukkan lebih rendah. Dia tahu itu lah yang akan berlaku tiap kali kehendak mereka ditolak mentah-mentah.
"Sial lah budak ni!" geram Aiman sambil mencerlung tajam ke arah Zayyan.
Miro ketawa kecil. "Bila je dia nak ‘date’ dengan kau? Dah la kadang-kadang nangis. Kau bukan tak kenal parent dia… orang ternama, kan?" Miro, seperti biasa, hanya menambah bara pada api yang hampir marak.
"Dia tu anak haram! Mana ada parent dia kisah. Kalau mati pun, baik kena buang daripada kena tanam!" tambah Aiman dengan amarah, tangannya kembali menampar kepala Zayyan berulang kali.
Zayyan kekal diam, tidak sedikit pun melawan. Adriani yang melihat keadaan makin melampau, bangkit perlahan dari tempat baringnya. Headphone di kepala itu sengaja ditolak ke bawah, tergantung di leher.
Kemunculan tiba-tiba Adriani membuatkan dua lelaki itu terkejut. Kepala Adriani muncul di atas tempat duduk belakang, mata tajam menikam dua pembuli itu.
"Hoi gila! Kau buat apa sembunyi bawah tu, hah?" jerkah Aiman geram.
Adriani tidak membalas. Tatapannya hanya tenang dan dingin. Aiman mulai rimas. Dia tahu Adriani pelajar perempuan yang pendiam mungkin hari ini mereka boleh ‘main’ dengan perempuan pula.
"Sebab kau dah buat kitaorang terkejut… menari depan kami sekarang!" ujar Aiman dengan sinis, disambut tawa Miro. Adriani kerutkan dahi sebelum angkat sebelah kening, cukup untuk menyindir kehendak lelaki tak guna itu.
Zayyan yang masih menunduk, perlahan-lahan mengangkat kepala. Matanya membulat saat melihat Adriani. Itu… wanita yang tolong aku bulan lepas. Sejak kejadian itu, mereka beberapa kali bertentang mata, tapi Adriani sentiasa bersikap dingin seolah-olah tiada apa pernah berlaku.
"Asal kau tercegat kat situ? Nak aku gerakkan badan kau ke?" suara Miro kini kedengaran. Dia menghampiri Adriani.
Namun wanita itu tidak berganjak. Pandangannya tetap sama datar dan tajam. Adriani kenal sangat perangai dua ekor ni suka perlakukan orang lain macam sampah, hanya sebab tak menonjol depan khalayak.
"Miro, kau pergi la. Malu-malu pulak dia," ujar Aiman, menyuruh Miro mendekati Adriani.
Kepala Adriani terangkat sedikit saat Miro berdiri tidak jauh darinya. Senyuman sinis lelaki itu disambut kerlingan penuh jijik olehnya.
Zayyan semakin resah. Saat wajah Adriani mempamerkan riak menghina, Miro mula menghulurkan tangannya ke arahnya gerakan yang penuh amaran. Zayyan bangkit cuba menghentikan mereka, tetapi semuanya berlaku terlalu pantas.
Adriani pantas menarik hujung lengan baju Miro, memulas tangan lelaki itu ke belakang sebelum melepaskan tumbukan padu ke dadanya.
Gedebuk!
Tubuh Miro terdorong ke belakang, jatuh terduduk ke lantai. Dia mengerang sakit sambil memegang dadanya. Pandangannya tidak berkelip ke arah Adriani, yang tetap tenang berdiri seperti tiada apa berlaku. Senyum sinisnya, ditambah tatapan tajam, sudah cukup untuk menyampaikan satu hal dia bukan wanita picisan seperti sangkaan mereka
Aiman masih terkejut, belum sempat berfikir.
"Hoi, betina!" pekiknya sebelum menerpa ke arah Adriani dengan penumbuk diangkat tinggi.
Namun Adriani hanya mengelak ke belakang sedikit lalu melibas kaki kanannya kuat ke muka Aiman. Lelaki itu terpelanting jatuh ke atas kerusi di belakangnya. Miro yang baru bangkit mahu menyerang turut menerima nasib sama satu tendangan tepat membuatkan tubuhnya menghempap Aiman.
Adriani berdiri tegak, tatapan datar terpamer seolah cukup untuk buat mereka faham, tak perlu membalas lagi.
"Berambus lah, bodoh," ujar Adriani dingin. Kedua-dua lelaki itu segera bangkit dan berlari keluar dari kelas, tergopoh-gopoh.
Headphone ditarik kasar, dilempar ke meja. Awal pagi dah rasa macam kena sumpah. Dia mengeluh, tak puas hati. Zayyan masih kaku, berdiri membatu, matanya tidak lepas dari memandang wanita itu. Dia bukan kosong…
Adriani angkat kening kanan sekali, seolah bertanya Apa tengok-tengok? Zayyan tersentak, lalu cepat-cepat menggeleng.
Wanita itu berjalan mendekatinya. Dengan sebelah tangan menekan meja Zayyan, Adriani bersuara. "Sebab aku dah selamatkan kau, buang nama mereka. Masukkan aku dalam kumpulan kau."
Nada suaranya serius, gaya seperti lelaki cool yang cuba pikat gadis naif. Zayyan membalas tatapan yang terasa menikam ke matanya. Debaran itu datang tiba-tiba, dia rasakan tanpa mampu mengelak.
Zayyan mengetap bibir rapat, tak padan dengan pendek, tinggi wanita itu cuma paras dadanya, tapi aura? Macam kak long kawasan. Perlahan-lahan, Zayyan angguk.
Adriani tersenyum sinis. Adriani silang tangan di dada, senyum kemenangannya jelas terpancar.
"Tapi jangan risau… kita buat sama-sama kerja." Adriani menjongket kening sambil wajah selambanya meyakinkan lelaki itu bahawa dia bukan seseorang yang mengambil kesempatan di atas kesempitan.
"Baik, bos," balas Zayyan sambil tersenyum kecil.
Dan di situlah bermulanya sebuah kisah yang mereka tak pernah bayangkan akan menjadi panjang. Siapa sangka, si ‘kak long kawasan’ yang beku seperti bulan lalu, kini mampu tersenyum dan membina kesepakatan yang kelak akan memberi makna besar pada pertemuan itu.
Beberapa hari kemudian.
Kesibukan petang di jalan lebuh raya menyesakkan ruang udara dengan deretan hon dan enjin kenderaan yang tak henti-henti. Adriani menggenggam kemas minuman coklat cheese kegemarannya yang baru sahaja dibeli. Minuman itu cukup sempurna buat menutup lelah setelah berjam di kampus. Tangannya yang tadi ligat bermain telefon kini selesa disimpan di dalam kocek seluar. Langkahnya santai, menikmati deruan angin petang yang menyapa lembut.
Matanya yang liar memerhati sekeliling tiba-tiba tertancap pada satu sosok yang berdiri di hadapan lampu isyarat. Lelaki tinggi, membawa beg gitar di belakang, sedang menunggu untuk melintas ke seberang jalan. Adriani mengenalinya dalam sekali pandang. Tak sedar, senyum tipis meleret di hujung bibirnya.
Langkahnya semakin hampir.
"Hoi." sapanya dari belakang dengan nada santai.
Zayyan menoleh pantas. Wajahnya jelas keliru seketika ekspresi standard budak baru bangun tidur, walaupun matahari petang sudah tinggi.
"Eh, kau?" katanya, terkelip-kelip macam tak percaya. Dia kemudian melangkah ke sisi Adriani. "Buat apa kat sini?" tanyanya sambil matanya meliar ke arah lampu isyarat yang masih merah.
"Asal, jalan ni bapak kau punya ke?" selamba Adriani membalas.
Zayyan tergelak kecil, terkejut dengan ayat tak masuk simpul itu.
"Bukanlah… Maksud aku, kau buat apa kat sini? Bukan kelas kau tadi pagi je ke? Merayau ke apa?"
"Taklah. Aku beli minuman coklat cheese. Kat kafe ni je aku suka. Perfect kot," balas Adriani sambil mengangkat sedikit cawan plastiknya sebagai bukti, lalu sempat menjeling beg gitar Zayyan.
Taklah nerd sangat budak ni rupanya, bisik Adriani dalam hati. Selalu nampak pakai hoodie, gaya macam budak weaboo, dengan cermin mata tahap rabun power gila. Tapi bila kemas macam ni, boleh tahan jugak mamat ni. Nampak dia pakai kanta lekap jauh lagi elok.
"Oh, aku tak suka manis-manis." ujar Zayyan dengan senyum senget, gaya acah-acah sihat.
Adriani menjeling. "Oh? Siapa tanya?"
Zayyan tersedak angin. Pedih betul ayat tu. Baru nak bonding.
Lampu pejalan kaki bertukar hijau. Adriani terus melangkah menyeberang jalan, dan Zayyan tiada pilihan selain ikut dari belakang.
"Kau buat apa kat sini? Library tak ada dekat-dekat sini." tanya Adriani lagi. Dahi berkerut, macam wartawan siasatan.
"Aku ada kelas vokal." jawab Zayyan santai, tangan terselit dalam poket, bahu masih dibebani beg gitarnya. Dia menjalani vocal training intensif setiap hari sebagai sebahagian daripada latihan yang diterapkan oleh ibunya.
"Uish, nak jadi penyanyi ke? Tapi kenapa ambil multimedia?" Nada Adriani penuh teka-teki, seperti detektif mencari motif.
"Entah. Aku ambil yang aku minat je." balas Zayyan dengan senyuman anak manja.
Adriani pandang dia lama. "Faham… anak orang kaya."
Zayyan tergelak kecil. "Kaya parent aku. Aku anak dorang je."
Loya buruk betul. Adriani menjeling, minumannya kembali disedut sambil mereka menyusuri laluan kaki lima.
"Kelas kau kat mana?" tanya Adriani, memperlahankan langkah apabila sampai di simpang jalan.
"Tu, bangunan depan tu." Zayyan muncungkan mulut, gaya menunjuk yang sedikit comel tapi menyampah pada masa sama.
"Oh, good luck." Adriani angguk kecil sebelum membelok ke kiri untuk menuju ke perhentian bas.
Tiba-tiba, beg sandangnya ditarik perlahan. Langkah Adriani terhenti. Dia menoleh.
"Tak nak join?" Zayyan bertanya santai, senyumannya macam budak ajak kawan main game.
Adriani berkerut. "For what? Kang aku mengganggu kau je." Nada suara datar, acuh tak acuh.
"Jom lah, kau dengar aku nyanyi sebelum kelas mula."
Zayyan masih dengan wajahnya yang tenang, macam tengah buat audition untuk drama romantik. Adriani tarik nafas. Lama. Dia dapat rasa lelaki itu seakan nak tunjuk sesuatu. Mungkin suara dia? Mungkin bakat dia? Atau mungkin… sebab lain?
Lagipun, balik rumah pun bukannya ada apa nak dibuat.
"Erm… okay," angguk Adriani akhirnya, masih dengan wajah selambanya.
Zayyan senyum lebar, seolah-olah baru menang cabutan bertuah. Dia terus melangkah ke arah bangunan yang dimaksudkan, manakala Adriani mengikut di belakang, meneguk baki minuman yang tinggal.
"Kalau suara kau falsu, aku upload kat TikTok, kau siap," katanya selamba.
Zayyan tergelak. "Challenge accepted."
Share this novel