BAB 7 | SEPERTI DIA

Drama Series 1053

Melihat warga tua yang sedang menjamah makanan yang dibawanya tadi, Adriani tersenyum. Ada rasa puas dalam hati. Bukan kerana makanan itu habis dimakan, tetapi kerana dia tahu, sekurang-kurangnya hari ini, ada insan-insan yang merasa kenyang bukan hanya pada perut, tetapi juga pada hati.

Tanpa berlengah, Adriani bangkit, turut serta membantu penjaga rumah kebajikan mengagihkan baki makanan ke meja-meja penghuni yang lain. Tangannya ringan mengangkat dulang, menghulur piring, memastikan semua mendapat bahagian masing-masing.

Setelah yakin semuanya sudah selesai, Adriani meminta diri untuk bersiar-siar. Dia ingin menghirup udara segar dan menikmati ketenangan suasana yang sering dirinduinya. Langkahnya diatur perlahan menyusuri koridor yang mengelilingi bangunan utama. Dinding kayu yang berkilat bersih memantulkan cahaya matahari yang menembus masuk dari tingkap besar. Di tengah-tengah susunan bangunan itu terdapat sebuah ruang rehat terbuka, dengan kerusi santai dan bumbung tinggi berbingkai kaca.

Pandangan mata Adriani terhenti pada satu figura. Seorang lelaki tua berjubah putih, berkopia putih, duduk bersendirian di sebalik pintu kaca gelongsor. Wajahnya tenang, tubuhnya tegak seperti seorang yang pernah memimpin, namun kini menyepi dalam keheningan sendiri.

Adriani melangkah perlahan, lalu menyapa dengan suara lembut, "Assalamualaikum, atuk." Sebuah senyuman manis dihadiahkan bersama kata.

Lelaki tua itu mengangkat wajahnya, membalas sapaan dengan anggukan kecil dan senyuman tipis. Adriani meminta izin untuk duduk berhampiran.

"Atuk dah makan?" soalnya sopan.

"Dah," jawab lelaki tua itu ringkas, lalu menoleh memandang Adriani yang kini duduk tidak jauh dari sisi.

"Dengan siapa pergi sini? Biasa kalau buat makanan katering macam tu berapa kos?" soal lelaki tua itu, memperkenalkan dirinya sebagai Haji Zainal melalui nada dan caranya yang ramah.

Adriani agak terkejut sedikit dengan soalan itu bukan kerana pertanyaannya pelik, tetapi kerana ini pertama kali dia melihat wajah lelaki itu. Mungkin dia penghuni baharu, fikirnya. "Saya sorang saja. Makanan tu bukan katering, tapi sumbangan. Kalau ada kelapangan, saya akan hantar setiap hari Ahad. Menu pun saya tukar-tukar." balasnya sambil mengukir senyum.

"Oh, baru atuk tahu. Bagusnya ada anak muda macam kamu. Mak ayah kerja apa?" tanya Haji Zainal lagi, tertarik dengan sikap prihatin anak muda di hadapannya.

Adriani terkedu seketika. Soalan itu mencuit satu ruang yang masih berbalut luka. Namun dia tetap tenang, mengawal riak wajah.

"Abah dulu guru, mak suri rumah... kadang-kadang meniaga online jual cookie. Mak abah yang mulakan kerja amal ni. Saya tolong sambung je."

"Mak abah mana?" soal Haji Zainal, nada ingin tahunya tulus, berharap dapat mengenali pasangan yang melahirkan dan membesarkan Adriani.

"Mak… mak abah saya dah tak ada. Mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya," jawab Adriani perlahan. Suaranya bergetar halus, dan liurnya terasa payah ditelan.

Wajah Haji Zainal berubah simpati. "Maafkan atuk. Atuk tak tahu…"

"Tak apa. Saya okay saja." Adriani cuba senyum, walaupun ada riak duka yang tidak dapat disembunyikan sepenuhnya.

"Ini pertama kali saya nampak atuk kat sini." tukar Adriani topik, mahu meleraikan suasana pilu yang sempat menyapa.

"Atuk datang jalan-jalan je. Jumpa kawan lama kat sini. Atuk tinggal tempat lain," balas Haji Zainal sambil tersenyum tipis. "Sebenarnya… atuk nak juga tinggal sini. Tapi anak atuk tak bagi." Dia tergelak kecil, dan Adriani turut tersenyum mendengar nada jenaka lembut itu.

"Entah kenapa… tempat ni terasa lebih damai dari tempat lain. Ada kawan, ada cerita. Sejak isteri atuk meninggal… ada kekosongan yang dalam," ujar Haji Zainal, nada suaranya sedikit perlahan seperti berbicara dengan diri sendiri.

Adriani mendengar, matanya redup. Dia tahu... orang tua selalunya lebih tenang bila dapat bercerita. Ia satu bentuk kelegaan dari segala yang terpendam.

"Nak tahu… begitulah rasanya kehilangan. Pada mulanya, semuanya tampak biasa. Terlalu banyak perkara berlaku sampai hati tak sempat merasa," sambung Haji Zainal, matanya melontar pandang ke langit biru yang terbentang luas di balik bumbung kaca.

Adriani diam. Setiap patah kata lelaki tua itu menyentuh sesuatu dalam hatinya.

"Tapi bila kita benar-benar perlukan dia… dan kita sedar, dia tak lagi ada di sisi untuk menemani… saat itulah, sakitnya mula terasa. Ia tak menjerit… cuma menikam perlahan. Dan diam-diam… menyakitkan," ujar Haji Zainal lagi.

Adriani tunduk. Riak wajahnya bertukar sendu. Selama ini dia cuba melupakan melalui kerja, melukis, memasak, menonton drama. Namun akhirnya dia sedar, kekosongan itu tetap datang tanpa diundang, dan tiada siapa pun mampu mengisinya.

"Setiap pinjaman Ilahi, akan dikembalikan jua, sama ada kita bersedia atau tidak,” ucap Haji Zainal, tenang. "Jadi kita yang hidup, kena teruskan hidup. Jangan meratap, kerana mereka juga berharap kita teruskan hidup dengan perjuangan mereka sebelum itu."

Adriani mengangguk perlahan, senyum tipis cuba diukir. Dia tahu, mak dan abahnya pasti mahu dia terus kuat. Dan kata-kata lelaki tua di hadapannya itu walaupun ringkas terasa seperti pelukan yang melegakan jiwa.

"Atuk yakin, mak abah kamu… mesti bangga," tambah Haji Zainal, matanya memandang Adriani dengan penuh penghargaan.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki berpakaian sut hitam berdiri tidak jauh dari mereka. Matanya memandang Haji Zainal, memberi isyarat halus.

"Atuk nak balik dulu. Insya-Allah, kalau ada rezeki… kita jumpa lagi. Siapa nama?" tanya Haji Zainal, bangkit perlahan.

"Panggil Adriani saja." Adriani turut berdiri, sedikit menunduk menghormati.

"Atuk balik dulu, Adriani. Jaga diri elok-elok ya." Senyuman lelaki tua itu masih sama tenang dan penuh hikmah.

Adriani hanya mengangguk sambil memandang sosok itu berlalu pergi. Dalam hatinya, dia berdoa agar dapat bertemu lagi.

Dalam perut kereta BMW hitam yang mewah, Haji Zainal duduk tenang memandang ke luar jendela. Bayangan Adriani masih bermain di fikirannya.

"Yusuf," panggilnya perlahan.

"Ya, tuan?" sahut pembantunya itu, tanpa menoleh.

"Saya rasa… Adriani tu sesuai dengan budak Yan tu." Ada senyuman kecil yang terbit di bibir tua itu.

"Budaknya elok. Orang tuanya dari keluarga baik-baik. Tolong saya… buat apa yang patut nanti," ucapnya perlahan, tetapi cukup tegas.

"Baik, tuan." Yusuf mengangguk sedikit, sambil terus memandu lurus di jalan tenang yang membelah kawasan hijau pinggir bandar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience