Edward menyerahkan kad valet kepada petugas yang berdiri di luar restoran. Lelaki muda berbaju kemas itu segera bergegas menuju tempat letak kereta bagi mendapatkan Porsche 911 Carrera milik Edward. Di sisi, Adriani masih dalam genggaman tangan lelaki itu erat, seakan tiada niat untuk dilepaskan. Edward sempat mengerling sekilas ke arah wanita di sisinya, namun tidak menunjukkan sebarang tanda mahu melonggarkan genggaman tersebut.
Seorang pelayan menghampiri, menghulurkan beg tangan Adriani yang tertinggal di dalam restoran tadi. Adriani cuba menarik pergelangannya untuk mengambil beg itu, tetapi Edward lebih pantas. Dengan wajah bersahaja, dia menyambut beg tersebut lalu menyarungkannya ke bahunya sendiri, seolah itu perkara paling semula jadi baginya.
Dahi Adriani berkerut. Dia cuba kembali meronta, namun sebelum sempat mengadu, sepasang mata tajam menikam pandangannya tajam, serius, dan cukup untuk membuatkan Adriani menghentikan sebarang percubaan melepaskan diri.
"Kau diam-diam boleh?" ujar Edward, dingin dan tenang, nadanya penuh peringatan.
Adriani menelan liur yang terasa pahit. Pelayan tadi yang menyaksikan sikap Edward hanya terdiam, sedikit tersentak, lalu segera berlalu tanpa sepatah kata. Ada sesuatu dalam aura lelaki itu yang tidak enak untuk ditentang.
Tidak lama kemudian, Porsche hitam berkilat itu pun berhenti di hadapan mereka. Dengan langkah tenang namun penuh autoriti, Edward menarik Adriani untuk mengikutinya. Pintu kereta dibuka, dan dia menempatkan Adriani di tempat duduk penumpang. Jaket Adriani yang sedikit melurut ke bawah bahu ditariknya semula, menutup tubuh dengan rapi. Wanita itu sekadar diam, membetulkan posisi jaket sambil menjeling lelaki di sebelahnya.
"Nak pergi mana ni?" soal Adriani, matanya memandang Edward yang masih berdiri di hadapan pintu kereta, tidak berganjak.
Lelaki itu tidak segera menjawab. Sebaliknya, dia meletakkan beg tangan Adriani di atas riba wanita itu, sebelum membongkok sedikit ke dalam kereta. Adriani pantas menyandar ke belakang, mata membulat besar melihat tindakan Edward yang terlalu dekat. Tapi wajah Edward tetap tenang, datarnya membuatkan jantung Adriani berdebar tanpa sebab.
Tanpa sepatah kata, Edward menarik tali pinggang keledar lalu memasangkannya ke tubuh Adriani. Wanita itu terkedu. Kenapa mamat ni susah payah sangat nak buat semua benda untuk dia? Getusnya dalam hati, penuh tanda tanya.
"Aku hantar kau balik. Nanti aku cakaplah dengan yang lain, kau tak berapa sihat. Terlalu buruk untuk kau datang dalam keadaan macam ni," ujarnya sambil menatap wajah Adriani yang kini senyap dan bersandar rapat ke tempat duduk.
Tatapannya berubah sedikit masih datar, tapi kali ini ada sedikit redup dalam sinar matanya. Edward membetulkan posisi tubuhnya sebelum menyambung, lebih perlahan namun tegas.
"No one gets to embarrass my bride-to-be, not while I’m here."
Dia kemudian menutup pintu tanpa memberi peluang untuk Adriani membalas sepatah kata.
Adriani menahan nafas. Matanya membulat kecil. Bakal pengantin dia? Bila masa pula aku setuju nak jadi suri hidup mamat bertopeng-topeng ni? Tak hingin, ya!
Sepanjang perjalanan, suasana sunyi menenggelamkan segala persoalan. Kedua-duanya diam, melayan perasaan sendiri. Adriani tunduk, matanya sesekali mengintai ke luar jendela. Segalanya terlalu cepat. Terlalu pelik. Dia perlukan penjelasan jelas dan jujur. Tapi mulutnya terkunci, tidak ada keberanian untuk menyoal apa-apa.
Kepalanya serabut. Hatinya lemas. Semua yang terjadi terasa seperti badai yang datang tanpa amaran.
Dia pejam mata seketika. Mungkin lebih baik diam dari menambah luka. Sudahlah.
Akhirnya kereta Porsche itu berhenti di hadapan apartment Adriani. Wanita itu berkerut dahi, pandangannya meleret ke bangunan di depan sebelum berpaling ke arah lelaki di tempat pemandu. Eh, bila masa pula aku beritahu alamat rumah aku? fikirnya. Dadanya tiba-tiba berdebar.
Macam mana dia tahu? Atau dia tahu aku tak tahu yang dia tahu?
Persoalan itu menyelinap pantas dalam kepala, menambah rimas yang sedia bersarang dalam benaknya. Lelaki itu seolah-olah terlalu tenang, terlalu tenang untuk seseorang yang tiba-tiba 'melamar' seorang wanita asing menjadi isterinya. Bukan calang-calang juga, isteri kepada seorang selebriti terkenal negara!
Mana standard bro! Kau tak sedar ke siapa kau? Aku sedar. Sebab beza kita macam langit dengan bumi! hatinya menjerit sarkastik, sinis pada dirinya sendiri.
"Tak nak turun?" tegur suara Edward, memutuskan lamunan Adriani.
Adriani terkedu. Dia segera menoleh, matanya bertembung dengan pandangan datar lelaki itu. Edward menggenggam stereng, tetapi wajahnya kekal bersahaja. Tenang. Dingin. Seolah-olah tidak ada satu pun perasaan yang sedang bergelora di dalam dadanya, berlawanan penuh dengan apa yang Adriani rasa ketika ini.
Dia hanya diam, namun matanya tajam meneliti raut wajah lelaki itu. Kenapa aku jem tengok muka dia? Kenapa aku tak mampu nak cakap apa-apa? Hatinya bingung sendiri. Entah kenapa, semua kata yang disusun untuk bertanya, hilang dibawa resah.
"Dah puas terliur?" ujar Edward selamba, tapi nadanya cukup untuk menyentak. Seketika kemudian, wajahnya sedikit mendekat, membuatkan Adriani pantas menyandar ke belakang untuk menjauh. Jarak itu penting. Nafas pun terasa tersekat melihat lelaki itu sedekat itu.
"Turun sajalah. Tak payah bayar tambang," sambung Edward lagi, suaranya dingin bersulam selamba. Tangannya meraup rambut ke belakang, seolah cuba menahan sesuatu yang enggan terluah.
Adriani menelan liur. Semua kata yang tersusun dalam kepalanya seperti tersekat di kerongkong. Dia nak tanya. Tapi dia tak tahu macam mana. Mungkin... mungkin dia perlu diam. Biar masa yang cakap?
Namun akhirnya, mata yang sedari tadi mengelak kini kembali memfokus kepada lelaki itu. Dia tekad.
"Bagi tahu aku... ini cuma mimpi," ujar Adriani tegas, hampir terdesak. Tapi sebaik kata-kata itu terkeluar, dia sendiri menyesal. Eh? Itu je kau boleh cakap? Bodoh betul, Adriani! Bila otak nak berfungsi?! jeritnya dalam hati. Rasa nak menangis campur hempuk diri sendiri pun ada.
Edward hanya tersenyum nipis. Senyuman yang lebih kepada pengakhiran.
"Sweet dream," balasnya perlahan, cukup untuk menyimpul kekeliruan Adriani menjadi satu simpulan mati.
Adriani menarik nafas dalam. Dia sudah cukup penat. Tanpa membalas apa-apa lagi, dia membuka pintu dan turun dari kereta. Cukuplah. Lantaklah nak jadi apa pun lepas ni.
"Aku, Adriani Afsheen, tak akan kahwin dengan mamat tuala tu! Titik!" jeritnya dalam hati. Mampuslah, nak jadi apa pun! Sudah. Tamat.
Langkahnya laju, tidak sekali pun dia menoleh ke belakang. Jaket Edward masih tersarung di tubuhnya, tapi dia tidak peduli. Dia cuma mahu lari sejauh mungkin dari episod drama gila ini.
Dari dalam kereta, Edward menurunkan cermin tingkap, memerhati sosok wanita itu yang semakin menjauh berjalan tegak, dengan langkah keras kepala yang cukup dikenali. Bibirnya masih terkatup rapat, namun matanya tidak berkelip. Tatapan datar Edward pula jelas menunjukkan dia juga tidak mahu drama itu berpanjangan.
"Aku hanya... terpaksa. Aku pun ada standard sendirilah," gumamnya perlahan, sebelum memulas stereng dan memecut pergi dari kawasan apartment tersebut tanpa menoleh.
Share this novel