Jam menunjukkan pukul 7.40 malam. Seusai menunaikan solat Maghrib di bilik surau pejabat, Adriani melangkah perlahan kembali ke mejanya. Suasana pejabat sudah lama sunyi sejak jam 6 petang tadi, hanya tinggal dia yang masih setia di situ demi menyiapkan fail penting yang perlu dihantar esok pagi. Satu persatu barang di atas meja dikemas ke dalam beg galas. Kemudian dia menyarung headphone ke kepala. Lagu kegemaran arwah ibunya berkumandang lembut di telinga, Purnama Rindu nyanyian Dato Siti Nurhaliza. Entah mengapa, lagu itu membawa rasa yang sukar dijelaskan, seakan ada kekosongan yang sedang menjerit dalam diam.
Langkahnya diatur menuju ke tempat parkir kereta. Bunyi tapak kasut bertemu lantai seakan bergema di lorong pejalan kaki yang lengang. Tanpa disedari, sejak keluar dari bangunan itu, seorang lelaki bertopi sudah mengekori jejaknya dari belakang dalam diam.
Ketika tangan Adriani hampir mencapai pemegang pintu kereta, tiba-tiba satu bayang gelap menyergah dari arah belakang. Belum sempat dia menoleh, satu tubuh lelaki sudah merempuh lelaki bertopi itu dan menahannya kuat ke pintu kereta belakang. Adriani tergamam, tubuhnya kaku, kepala headphone ditolak ke leher saat matanya terpaku pada adegan di hadapan.
"Kau nak buat apa dengan isteri aku, hah?!" Bentak Edward lantang, suara seraknya menikam malam. Tangannya mencengkam kuat kolar lelaki bertopi itu yang kini jelas wajahnya Zul, rakan sepejabat mereka.
Adriani terkedu. Edward? Sejak bila dia muncul? Dan sejak bila pula dia menyebut dirinya sebagai suami kepada Adriani?
"Edward, lepaskan dia!" arah Adriani tegas dengan dahi berkerut. Suaranya menggeletar antara terkejut dan marah.
Namun Edward masih tidak berganjak. Pandangannya tajam menikam wajah lelaki di hadapannya, penuh curiga dan dendam yang tidak terjelaskan.
"Lelaki ni cuba buat sesuatu kat kau. Aku dah perasan dia dari tadi, sejak kau keluar dari bangunan lagi," ujar Edward, nadanya penuh amarah. Matanya masih tajam mengawasi Zul seolah tidak percaya.
Tatapan Adriani beralih tajam kepada Edward, nadanya tidak kalah berani.
"Lepaskan dia! Dia kawan kerja aku!" Nadanya keras, wajahnya memerah menahan marah, tangan pantas menolak bahu Edward agar menjauh dari Zul.
Edward mengerut dahi saat tubuhnya sedikit terdorong. Matanya merenung Adriani yang kini jelas menunjukkan keberpihakan bukan padanya, tapi pada lelaki yang cuba dilindunginya.
Zul mengusap lehernya yang jelas terasa sakit akibat cengkaman tadi, sebelum pandangan matanya beralih antara Edward dan Adriani yang kini sama-sama berdiri di hadapannya.
"Sorry Ash, aku nampak kau pakai headphone. Jadi aku nak sapa kau dekat-dekat. Puan Mariam cakap kau cari aku tadi," jelas Zul akhirnya, cuba menenangkan suasana yang makin tegang. Suaranya tenang, walaupun jelas ada sedikit getaran.
Adriani tersentak sedikit. Terbit rasa bersalah kerana terlalu cepat mempercayai tindakan Edward sebentar tadi. Nafasnya ditarik perlahan, cuba menyusun kata.
"Oh... aku nak bagi payung ni kat kau," ujar Adriani akhirnya, seraya menyelongkar beg galasnya. Payung berwarna hitam ditarik keluar dan diserahkan kepada Zul.
Zul mengambilnya dengan sedikit kekeliruan. Dahi berkerut.
"Eh? Payung aku?" soal Zul dengan nada hairan.
"Payung kau hilang hari tu… jadi aku beli yang baru. Sorry kalau payung tu penting. Lain kali aku cari sama…" balas Adriani, senyum kelat terlukis di wajahnya. Pandangannya sempat beralih kepada Edward, punca sebenar kehilangan payung itu.
Edward masih membatu di situ, wajahnya datar. Tiada kata keluar dari bibirnya. Matanya sekilas menyorot ke arah tempat lain, seperti tidak mahu mengaku salah.
"Tak apa, payung biasa je pun. Okey lah, aku balik dulu," ujar Zul perlahan namun tenang. Jelas dia tidak mahu memanjangkan isu.
"Sorry tau…" ujar Adriani sekali lagi apabila lelaki itu mula melangkah pergi.
"No hal. Bye." Zul sempat mengangkat tangan kecil sebelum membelakangi mereka.
"Bye…" balas Adriani perlahan, pandangan masih mengikut bayang tubuh itu yang makin menjauh.
Kini, hanya tinggal mereka berdua di situ. Kesunyian malam dan lampu jalan yang malap menyaksikan pertembungan dua jiwa yang belum selesai. Adriani memalingkan wajahnya perlahan ke arah Edward. Pandangannya kini berubah dari terkejut kepada persoalan. Untuk apa dia kembali? Setelah semua yang berlaku malam itu… mengapa dia masih berdiri di hadapannya hari ini?
Tatapan mereka bertaut tajam, seakan ada pertempuran batin yang tidak pernah menemui kesudahan. Masing-masing berdiri dalam medan yang sama, namun di antara mereka terbentang dinding yang tak terlihat dari luka, kekecewaan, dan dendam yang masih belum reda.
Edward mula mendekat, namun Adriani segera mengambil satu langkah ke belakang, meletakkan jarak antara mereka. Jarak yang baginya kini ibarat pelindung, benteng terakhir dari hati yang pernah remuk.
"This is your warning. Keep your distance." Suara Adriani datar namun tegas. Matanya mencerlung tajam ke arah lelaki itu, dan satu tangannya sudah menyelinap ke dalam beg galasnya. Dalam genggaman eratnya tersembunyi sebotol kecil penyembur mata, bukan sekadar senjata, tapi tanda amaran bahawa dia tidak akan membiarkan lelaki itu melangkaui garis sempadan lagi.
Edward hanya mengangkat kedua-dua tangan, seolah menunjukkan dia tidak berniat mencetuskan provokasi.
"Aku bukan datang untuk beri ancaman, kita dah capai kata sepakat, kan?" tuturnya tenang, malah kelihatan santai. Tubuhnya disandarkan ke pintu belakang kereta Adriani, kedua tangan bersilang di dada, dan matanya tidak lepas dari menatap Adriani, tatapan penuh maksud tersirat yang hanya mereka berdua tahu.
"Kau ni memang tak tahu malu, kan? Lepas apa yang jadi... kau selamba je datang jumpa aku," ujar Adriani, nadanya menahan amarah yang bergelora. Wajahnya tegang, riak jijik tak mampu disembunyikan lagi. Nafas ditarik dalam, cuba menahan segala kenangan yang ingin ditenggelamkan.
Edward mengangkat kening kanannya sedikit, seakan memperlekehkan perasaan wanita di hadapannya. Sudut bibirnya melengkung membentuk senyum sinis.
"Aku bukan bogel pun. Buat apa nak malu? Oh... mungkin sekali aku bogel depan kau, but I still look good, right?" ucapnya selamba, dengan wajah polos yang sengaja dibuat-buat.
Adriani mengetap bibir. Dahi berkerut, matanya tajam membalas pandangan lelaki itu yang seolah-olah sedang mempermainkannya.
"Shut up!" bentaknya lantang, tidak mampu menahan lagi rasa meluap di dada.
"What are you doing here?" sambung Adriani, ingin mengakhiri pertemuan yang tidak diundang itu.
Edward hanya menjonjetkan kedua keningnya, senyuman mula merekah seperti lelaki yang baru selesai mengenakan permainan psikologi pada mangsanya. Pandangan mata itu... tidak pernah berubah. Masih tajam, masih menyimpan rahsia, dan kini kelihatan penuh keyakinan.
"Aku dah bagitahu Tok Wan untuk teruskan plan asal," ujarnya sambil mengukir senyuman yang seakan menunggu respon manis daripada Adriani.
Namun raut wajah wanita itu tidak berganjak datar, tidak berperasaan, dan jelas sekali tidak peduli. Seolah-olah apa yang dikatakan lelaki itu langsung tidak memberi sebarang erti buatnya.
"Plan paksa engkau tu!" balas Adriani sinis, nadanya dingin dan berbaur kecewa. Riak wajahnya serius, matanya tidak lagi memandang dengan rasa.
Edward hanya menggumam ringan, "Hmm," membalas dengan senyuman yang tidak lekang dari wajah, seakan-akan ucapan sinis itu langsung tidak menyakitkannya.
Kemudian, dengan nada yang sedikit teruja, dia berkata,
"Malam ni aku nak ajak kau dinner… sekali dengan Tok Wan dan dua budak kecil tu." Sengaja dia menyebut dua sepupunya itu, berharap ia mampu mencairkan hati Adriani yang kian membeku.
Namun, Adriani hanya membalas tanpa nada, datar dan tidak terkesan,
"Ain’t got time."
Dan saat itu juga, udara malam yang menghembus lembut terasa dingin menyusup ke tulang, menyaksikan sepasang insan yang kini berdiri saling membenci, tetapi masih terikat oleh sesuatu yang belum terlerai.
Edward tersentak. Kata-kata Adriani tadi seolah-olah satu titik noktah dingin, tajam, dan tidak memberi ruang untuk dibalas. Sejenak dia terdiam sebelum kembali bersuara, kali ini nadanya berubah sedikit merayu, cuba meraih simpati daripada wanita yang jelas enggan memberi sebarang peluang.
"Janganlah cakap macam tu. Saya dah bagi tahu budak dua orang tu… akak cantik mereka ni bakal isteri saya," ujar Edward sambil cuba memaniskan wajahnya, berlagak seolah tiada apa yang berlaku. Namun riak wajah Adriani hanya membalas dengan bebola mata yang naik ke atas. Meluat. Rasa menyampah yang tidak dipendam, malah ditunjukkan secara terang-terangan.
"Sekali lah kita sembang pasal tarikh wedding, pelamin kita, dan tema wedding yang kita nak buat…" sambung Edward lagi, nadanya seakan-akan mengajak berbicara tentang sesuatu yang indah dan dinanti-nantikan. Namun riak datar Adriani tidak mengubah sedikit pun, suasana hambar dan kaku seperti es.
Tatkala Edward masih larut dalam lakonan 'ceria'nya, Adriani bersuara, nadanya kini berubah dingin. Suasana yang tadinya cuba dihiasi warna manis bertukar kembali menjadi kelam dan tegang.
"Kau dengar sini. Aku nak ingatkan," ujar Adriani, nadanya mendatar namun cukup tegas untuk mengunci senyuman di bibir Edward.
"Aku tak kesah apa kau nak buat… kau nak nikah sekarang pun, just do it." Sambungnya lagi dengan nada putus. Kata-kata itu membuatkan Edward mengangkat sedikit kening, seolah tertarik dengan respon yang tidak dijangka itu.
Namun, Adriani belum habis.
"Kau buat apa yang kau nak buat. Tapi ni syarat aku, no pelamin, no kamera dan aku takkan benarkan sesiapa tahu aku isteri kau melainkan keluarga kau. Nikah hanya di masjid. Itu saja."
Putusnya sekali lagi, dan kali ini senyuman lebar mula terbentuk di bibir Edward. Ada sesuatu dalam ucapannya yang membuatkan lelaki itu kelihatan puas. Senyuman itu bukan senyuman bahagia, tapi lebih kepada seorang pemain yang akhirnya dapat menggerakkan buah catur dengan sempurna.
"Wow… perkahwinan yang saya impikan juga. Saya cuma nak hargai awak untuk buat lebih baik. Tak sangka kita punya fikiran yang sama. I chose the right person to be by my side." ujar Edward dengan sengih yang menjengkelkan sebelum menyelak rambut depannya ke belakang. Saat itu, wajahnya kembali berubah, meninggalkan lakonan lelaki manis, dan kembali pada watak asalnya. Penuh agenda. Licik dan manipulatif.
Adriani hanya membuang pandang ke arah lain. Wajahnya kosong.
"Whatever," balasnya sepatah sebelum memusing tubuh dan melangkah menuju ke keretanya. Tangannya mencapai pemegang pintu dan membuka perlahan.
Saat Adriani melabuhkan duduk di tempat pemandu, sebelum sempat dia menutup pintu, Edward menahan daun pintu itu dengan tangannya. Adriani mendongak, matanya bertemu dengan sosok tinggi itu yang kini membongkok sedikit, mendekat.
"Minggu depan kita kahwin," bisik Edward perlahan, namun cukup jelas untuk didengar Adriani.
Tiada riak terkejut di wajah Adriani. Tidak terkesan, seakan keputusan itu langsung tidak menggugah jiwanya.
"Buatlah apa kau suka. Dan ingat apa yang kau cakap sebelum ni, untuk tidak memaksa aku buat sesuatu yang aku tak hingin." balas Adriani dingin sebelum mengenakan tali pinggang keledarnya. Isyarat jelas agar lelaki itu segera beredar dari situ.
"Promise." balas Edward perlahan, nadanya serius sebelum akhirnya menutup pintu kereta Adriani.
Enjin dihidupkan. Kereta itu meluncur pergi, meninggalkan Edward yang masih berdiri di tempat parkir, memerhati ekor kenderaan itu menghilang dari pandangan.
Senyuman tipis kembali terukir di bibir lelaki itu.
"It’s only fun when the player knows the rules… and how to bend them." bisiknya perlahan dengan cebikan sinis, seolah-olah dia tahu perlawanan ini baru sahaja bermula. Dan dia… sudah bersedia dengan strategi seterusnya.
Adriani mungkin bukan wanita biasa. Tapi itu tidak pernah jadi penghalang, kerana bagi Edward, semakin mencabar permainannya, semakin nikmat kemenangan yang diidamkan.
Share this novel