Puan Mariam mengangkat kepala, menyambutnya dengan senyum ringkas. "Eh, Ash. Sibuk sikit. Tengah final check untuk barangan tajaan. Ada satu scene nanti kena pastikan pelakon pegang produk dengan betul. Kamera tak boleh silap angle," jelasnya sambil menunjukkan skrin telefon, gambar botol kopi yang sedang diuji pencahayaannya.
"Tajaan yang kopi botol tu ke?" soal Adriani sambil memandang skrin.
"Haa, yang tu lah. Dah berapa kali client ulang reminder ‘make sure label nampak clear’, ‘pastikan pelakon nampak macam betul-betul minum, bukan buat-buat’," ujar Puan Mariam, meniru nada client dengan gaya separuh kelakar.
Adriani tertawa kecil. "Biasalah tu. Benda free, tapi demand macam nak tayang kat pawagam."
Puan Mariam turut ketawa, menggeleng perlahan sebelum menyambung, "Tapi tadi ada satu call kelakar sikit. PA dari syarikat earbuds tu mesej saya, nak masuk satu babak juga. Katanya biar pelakon tunjuk 'lifestyle aktif sambil pakai earbuds’."
Adriani mengangkat kening. "Earbuds? Babak mana pula tu?"
"Ha! Tu lah aku cakap. Nanti dululah. Takkan tengah gaduh babak berat-emosi, tetiba pelakon pakai earbuds warna neon terang kan?" jawab Puan Mariam, separuh berbisik, seolah masih geli hati memikirkan permintaan itu.
Adriani tersengih. "Kalau masuk juga, memang viral. Tapi bukan sebab babak power… sebab netizen confuse siapa tengah promote, siapa tengah putus cinta."
"Betul!" Puan Mariam gelak kecil. "Aku rasa client-client sekarang semua nak babak macam iklan. Lupa ni drama bersiri, bukan slot komersial."
Adriani mengangguk sambil menjongketkan bahu. "Tak apa, nanti aku bantu selitkan ikut logik jalan cerita. Kita pun nak semua puas hati… walaupun kadang-kadang, logik tu kena lentur sikit."
Wajah Puan Mariam tersenyum puas, seolah mendapat sokongan yang dia perlukan untuk melunaskan satu lagi babak tajaan tanpa mencacatkan naratif utama. Sementara itu, ruang pejabat semakin dipenuhi dengan kehadiran staf yang mula mengambil tempat masing-masing.
Mendengar ucapan Adriani tadi, Puan Mariam hanya mengangguk, tanda bersetuju dengan pendekatan yang dicadangkan. Namun perhatian Adriani mula beralih ke sudut kecil di tepi rak berhampiran ruang kerja itu. Pandangannya menangkap sesuatu, paparan tubuh seseorang yang dicetak pada kertas keras bersaiz penuh, terselit di celah rak fail dan kotak simpanan prop.
Keningnya sedikit berkerut. Tanpa sedar, kakinya melangkah mendekat. Sebaik melihat lebih jelas, jantungnya berdenyut pelik. Edward?! getusnya dalam hati, mata tidak berkelip merenung standee lelaki itu yang sedang tersenyum bersahaja, seolah tidak berdosa mencuri perhatian dari sudut ruangan itu.
"Kenapa ada gambar dia ni, Puan Mariam?" soal Adriani perlahan, nadanya cuba diselindung agar tidak terlalu ketara emosinya yang sedang menggelegak tanda tanya.
Puan Mariam tersengih, sedikit teruja seperti kanak-kanak yang baru dapat barang idaman.
"Eh, awak tak kenal ke artis Korea tu? Saya minat sangat kat dia! Saya dapat standee ni pun dari kawan saya, kerja kat syarikat iklan kecantikan. Kalau guna gambar artis, cepat je laku produk tu."
Adriani mengerling ke arah gambar Edward yang terpacak dengan senyuman manis penuh strategi. "Macam tak kena." ucapnya sambil memusingkan sedikit badannya menjauhi standee itu.
"Eh kenapa pula? Setahu saya Encik Edward ni akan bekerjasama dengan syarikat kita hujung tahun ni untuk drama baru kan? Saya tahu awak orang pertama yang Encik Arman maklumkan," balas Puan Mariam sambil memandang Adriani dengan nada penuh makna.
Adriani mencemik, sinis. Dia malas melayan spekulasi yang tiada dalam senarai keutamaannya hari ini. "Zul mana? Dia tak masuk ke hari ni?" tukarnya topik, matanya sekilas menjeling jam di tangan.
"Biasa dorang dah ada kat lokasi set, jarang lah kru lelaki nak lepak pejabat dulu kalau dah ada penggambaran luar," jawab Puan Mariam, sambil menarik kerusinya untuk duduk.
"Oh macam tu… saya naik atas dululah," ujar Adriani sambil mengatur langkah meninggalkan ruang itu.
Namun belum sempat dia benar-benar keluar dari ruang tersebut, suara Puan Mariam menahannya.
"Ash! Malam ni awak join tak dinner?"
Langkah Adriani terhenti di hadapan pintu. Wajahnya tidak berpaling, namun nada suaranya datar menjawab, "Oh… yang sekali dengan pelakon 'Bukan Dia' tu ke?"
Dia sudah memasang niat sejak semalam untuk tidak hadir ke majlis makan malam itu. Bukan tidak mahu bersosial, tetapi hatinya terlalu penuh. Jadual kerja menyesakkan, fail-fail yang menunggu di dalam emailnya semakin menimbun. Segalanya kini berada di atas bahunya seorang, dan dia tahu… dia tidak punya ruang untuk berpura-pura ceria dalam majlis penuh lampu dan senyuman paksa.
"Iya… Cik Liana tu suka sangat dengan kau, ya. Korang kawan ke?" soal Puan Mariam sambil memerhati, sebelum melabuhkan punggung di kerusinya.
"Kawan sekolah. Tapi saya sibuk sikit. Mungkin tak datang kot," balas Adriani tenang, namun tegas. Belum sempat Puan Mariam membuka mulut untuk bertanya lanjut, Adriani sudah pun menghilang di balik pintu, langkahnya laju menonong pergi.
Bukan dia tidak punya ramai kawan. Kawan, ya sekadar kawan. Tetapi entah kenapa, bila disebut nama Liana, hatinya seakan terusik. Ada sesuatu yang tidak menyenangkan menyelinap perlahan-lahan ke dalam dirinya. Seperti ada memori yang sedang cuba dibangkitkan, memori yang selama ini terkubur di balik ubat-ubatan dan rawatan untuk kesihatan mentalnya. Memori yang dia sendiri tidak pasti… dia sanggup hadapi atau tidak.
Adriani berdiri di pantry dapur pejabat, mengadun kopi pekat kesukaannya sambil sesekali menguap kecil. Jam baru menunjukkan 11.20 pagi, namun tubuhnya seakan memberi isyarat agar dia rebah sebentar, walau sesaat pun jadilah. Namun hari ini bukan masa untuk mengalah. Masih banyak kerja yang perlu dibereskan.
Hari ini dia tidak turun ke set penggambaran memandangkan pembantu skripnya sudah berada di sana, menggantikan kehadirannya. Babak yang dirakam pun bukan babak berat, cuma adegan berbulan madu di pantai. Dialog ringan, ekspresi biasa, tidak memerlukan penekanan riak wajah yang terlalu dramatik. Dia sudah beri panduan awal kepada pembantunya, cukup jelas untuk difahami. Sementara itu, dia memilih untuk menyusun strategi dan mengurus kerja dalaman dari pejabat.
Selesai menyedia kopi, mug itu dibawa ke meja kerjanya. Dalam perjalanan, dia melintasi meja Kak Yati, Editor Skrip senior yang cukup dihormatinya. Tanpa sedar, langkahnya melambat, kemudian berhenti tepat di belakang kerusi wanita itu. Tangan Adriani membawa mug ke bibirnya, menghirup perlahan aroma kopi yang masih hangat. Matanya sesekali mencuri pandang ke arah skrin komputer Kak Yati yang dipenuhi dengan helaian skrip. Jari wanita itu pantas menari di atas papan kekunci menyunting, menyusun semula dialog dan memperbetulkan ejaan yang tersalah taip.
Kak Yati sudah menyedari kehadiran Adriani sejak dari tadi. Namun dia hanya membalas dengan senyuman tipis saat Adriani melemparkan senyum yang sama. Tenang dan profesional seperti biasa, wanita itu terus menyelak helaian skrip yang sudah dicetak di sebelahnya.
"Adriani, dalam babak ni mak dia meninggal. Tapi dalam episod lepas, mak dia sihat walafiat shopping tudung, sayang," tegur Kak Yati dengan suara lembut tapi tegas. Nada yang tidak menekan, namun cukup untuk menampar kesilapan yang dibuat.
Adriani tersengih kecil, malu sendiri. Kepala ligat cuba mencari alasan. "Saya tersalah letak nama tu, Kak," jawabnya perlahan. Dia sedar, itu bukan kebiasaannya. Jarang benar dia tersilap butiran seperti itu, namun dia juga tahu, Kak Yati tidak akan menegur tanpa sebab.
"Akak dah agak dah… ni mesti situasi si Sarah," balas Kak Yati bersahaja, seolah memahami kekeliruan yang berlaku. Walaupun dia tahu punca sebenar, dia tetap memilih untuk menyuarakan secara lembut, sekadar melepaskan beban teguran.
"Akak dah email draf skrip 'Lelaki Kimchi Itu Suamiku', episod 4 yang dah disemak. Bahagian klimaks tu, akak perkemas sedikit supaya emosi lebih kuat. Nanti Adriani tolong tengokkan ya," ujarnya lagi, masih tidak menoleh, fokus sepenuhnya pada skrin komputer di hadapannya. Tangan masih lincah menyunting, seolah-olah fikirannya telah lama menyatu dengan dunia skrip yang sedang ditulis.
Adriani hanya mengangguk perlahan, bibirnya membalas, "Oh… ya." Nada suaranya sedikit perlahan dari biasa. Hatinya tiba-tiba terasa disapa resah. 'Lelaki Kimchi Itu Suamiku'. Tajuk itu sahaja sudah cukup untuk mengingatkannya pada seseorang. Kenapa hari-hari semua orang asyik menyebut tentang mamat tu? Bukankah banyak lagi drama lain, banyak lagi pelakon yang sedang bekerjasama dengan syarikat mereka? Kenapa perlu lelaki itu juga yang muncul dalam setiap ruang?
Belum sempat dia melangkah pergi, suara Kak Yati kembali memanggil namanya, perlahan namun cukup untuk menghentikan langkahnya di tengah ruang pejabat yang makin sibuk itu.
"Adriani…" panggil Kak Yati, kali ini suaranya sedikit berbeza. Seakan ada sesuatu yang ingin dikatakan.
"Baru akak teringat. Minggu lepas ada seorang lelaki cari awak,” ujar Kak Yati tiba-tiba, memecah diam ketika langkah Adriani baru ingin meninggalkan mejanya. Suara itu menghentikan geraknya serta-merta.
Adriani berpaling, pandangan mereka kini saling bertaut. Dahi Adriani berkerut, menanti penjelasan lanjut.
"Dia kata… saudara dekat kamu. Katanya nak minta alamat rumah, nak beri buah tangan," sambung Kak Yati perlahan, seolah sedang menilai semula kejadian itu di dalam fikirannya.
"Saudara?" dahi Adriani semakin berkerut. Nada suaranya datar namun jelas menunjukkan kekeliruan. “Kak Yati jumpa dia kat mana?”
"Time akak nak balik kerja… jumpa dia kat bawah. Dia tunggu dekat tempat parkir motor. Akak cakap tak ada sesiapa nama Adriani kat pejabat ni," balas Kak Yati, bibirnya mencebik kecil. "Tengok gaya lelaki tu pun… macam mencurigakan."
Wajah Adriani masih belum berubah datar, namun matanya tidak mampu menipu. Ada resah yang mula menjalar, walau bibirnya cuba tersenyum tipis bagi mengekalkan suasana agar tidak terlalu tegang.
"Macam-macam manusia sekarang ni, bukan boleh percaya. Lagi-lagi awak kan tinggal sendiri…" ujar Kak Yati dengan nada bimbang. "Itu yang akak risau. Tak ada apa-apa berlaku, kan?"
Adriani menggeleng perlahan, menunduk sebentar sebelum mengangkat wajah dengan senyuman yang cuba kelihatan meyakinkan.
"Alhamdulillah. Semua okey je. Terima kasih, Kak Yati…"
Namun dalam hatinya, ada sesuatu yang terasa tak sedap. Perasaan itu tidak berakar, tapi tetap menghimpit kuat.
Kak Yati melepaskan keluhan kecil. "Iyalah… Adriani pun lepas ni selalu berwaspada, ya. Orang sekarang ni buat apa saja untuk senangkan diri sendiri. Kita ni… yang tak berdaya, selalu jadi mangsa."
Adriani hanya mengangguk. Kata-kata itu menggema lebih lama dari sepatutnya. Selepas mengucapkan terima kasih sekali lagi, dia meminta diri dan berlalu menuju ke mejanya. Langkahnya perlahan, seperti sedang mencerna kebarangkalian yang menyesakkan dada.
Setibanya di meja, Adriani duduk, meletakkan mug kopi di sisi. Tangannya tiba-tiba terasa bergetar, entah kerana kesan kafein atau berita yang baru didengar sebentar tadi. Dia menarik nafas perlahan, cuba mengatur denyut jantungnya sebelum membuka emel yang dihantar oleh Kak Yati.
Skrip Episod 4 – Lelaki Kimchi Itu Suami Aku (Semakan Penuh)
Hi Adriani,
Saya dah buat semakan penuh untuk episod 4, Lelaki Kimchi Itu Suami Aku. Bahagian pembukaan saya kekalkan, cuma di bahagian konflik antara watak Khayla dan Adraef saya tambah ketegangan sikit ikut apa yang kita bincang minggu lepas.
Boleh semak dan beri komen ya?
– Yati
Adriani menekan fail yang dilampirkan. Skrip terbuka di hadapannya, memaparkan lembaran demi lembaran dialog dan babak yang bakal membentuk episod penting dalam drama itu.
Namun hatinya masih terawang-awang.
Mungkin sebelum ini Nidia tidak tahu siapa yang akan melakonkan watak dalam adaptasi novel itu. Namun kini, setelah dipastikan Edward yang akan membawa watak lelaki utama, dia terpaksa juga mendalami jalan cerita serta menjiwai emosi kedua-dua watak yang bakal dilakonkan pelakon itu. Dia harus menjelma sebagai Khayla. Harus berhadapan dengan Adraef… lelaki yang wataknya ditulis berdasarkan seseorang yang tidak asing dalam hidupnya.
Tangannya kembali bergetar sedikit. Jari-jemarinya menyentuh touchpad komputer, tapi mindanya jauh menyelami kembali babak demi babak yang ditulisnya sendiri.
Mampukah aku hidup dalam dunia yang aku cipta… sedangkan dunia nyata pun tak mampu aku kawal?
Dia menarik nafas panjang, dan mula membaca. Jika ini takdir kerjanya, maka dia perlu mendalami watak sama ada dia bersedia… ataupun tidak.
Share this novel