Adriani Afsheen menarik bagasi berodanya perlahan, roda-roda kecil bergesek lembut dengan karpet tebal yang membentang sepanjang koridor hotel. Lorong itu panjang tak berpenghujung, terbingkai sempurna oleh siling berlampu malap yang memberi sentuhan hangat, hampir seperti menyambut kepulangannya meskipun tempat ini bukan rumah.
Setiap inci dinding dihias kemas dengan ukiran klasik, halus, dan penuh karakter. Ada aura kemewahan yang tidak memaksa elegan dan tenang, seperti bisikan sejarah yang masih bergema meskipun hotel ini telah berdiri megah lebih dua dekad lamanya.
Namun dalam hati Adriani, hanya tiga perkara yang berlegar bilik, rehat, dan senyap. Itu sahaja.
Berjaket hijau gelap, dengan topeng muka menutupi hampir separuh wajah, Adriani tampil lowkey. Bukan sebab paranoid, tapi berjaga-jaga. Siapa tahu kalau tiba-tiba terserempak dengan bekas bos yang suka buat perangai pelik tag dia dalam IG Story tanpa sebab, walaupun dia dah lama berhenti kerja. Dah tiga bulan. Masih. Belum. Move on.
Langkahnya terhenti di hadapan pintu bilik bernombor F345 G. Kad bilik dalam genggamannya terlepas tiba-tiba, jatuh dan meluncur di atas lantai marmar, menghasilkan bunyi halus yang memecah keheningan koridor.
Dia menghela nafas pendek. Dengan satu gerakan malas, dia membongkok mengambil kad tersebut. Hujung tudungnya yang panjang meleret ke hadapan, menyentuh lantai sebelum dia tolak kembali ke atas bahu, seperti beban yang tidak perlu dibawa.
Satu malam sahaja, bisik hatinya. Satu malam, untuk lupakan semuanya.
Dia merenung pintu bilik.
"F345 G." Bibirnya menggumam perlahan nombor bilik tersebut, sekadar mengesahkan apa yang sudah dia tahu sejak dari kaunter pendaftaran tadi.
Kad bilik disisip ke atas pengimbas. Satu bunyi pendek bip! disusuli nyalaan lampu hijau. Bunyi yang kecil tapi terasa seperti satu bentuk kelegaan.
Dengan kaki kanan melangkah masuk, Adriani membaca pelindung kegemarannya suara dibisikkan perlahan, namun penuh yakin.
"أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ"
"Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan ciptaan-Nya."
Ayat yang dia hafal sejak kecil, diajarkan oleh ibu dan ayahnya setiap kali mereka bermalam di tempat asing atau mana-mana temoat yang bukan milik mereka. Sebuah doa yang jadi benteng, pelindung dari kejahatan makhluk, dari yang tidak dijangka.
Pintu terbuka perlahan, engselnya mengeluarkan bunyi halus seolah menyambut kedatangan seseorang yang telah lama dinanti. Suasana di dalam bilik itu menyambut dengan tenang sejuk dan mewah dalam diamnya, seperti pelukan pertama selepas perjalanan yang panjang.
Ruang utama terbentang luas, dihiasi gaya moden minimalis yang bersatu dengan elemen kemewahan yang tidak berlebihan. Dinding tinggi hingga ke siling kaca membuka pandangan terus ke langit senja, memperlihatkan matahari yang perlahan-lahan menyelinap di balik bukit pergunungan, malu-malu mewarnai awan dengan semburat jingga kemerahan yang menenangkan. Pemandangan luar bagaikan lukisan hidup indah, tenang, dan sempurna, seolah-olah satu screensaver ciptaan alam yang tidak pernah jemu ditatap.
Di kiri, dapur kecil tersusun rapi, lengkap dengan segala kelengkapan moden yang tersirat elegan dalam senyapnya. Di kanan, dua pintu lain membawa ke bilik tidur ruang peribadi yang belum tersingkap, menyimpan cerita dan rahsia yang belum terungkap.
Namun ruang tamu ini adalah nadi tempat ini dengan sofa empuk kelabu yang mengundang tubuh untuk tenggelam, karpet tebal yang memeluk kaki, dan lampu gantung kristal yang bergemerlapan bagai gugusan bintang yang turun menyapa dari langit malam. Sebuah dinding agate menjadi pusat tumpuan, menyimpan televisyen dan api kecil dari perapian yang menari-nari perlahan, memanaskan suasana walau hanya dari pandangan.
Dan di luar sana, pencakar langit berdiri megah, tidak jauh dari sini—hotel mewah yang kelihatan kecil dari ketinggian ini, seolah tunduk hormat kepada keindahan alam yang lebih abadi.
Di sinilah permulaan itu bermula. Sebuah ruang bukan sekadar tempat tinggal, tetapi tempat bertenang, mengingati, dan mungkin... jatuh cinta semula dengan hidup.
Adriani senyum kecil. Rezeki kerja part-time yang gila.
Bagasinya ditolak ke tepi dan dibiarkan di sudut ruang. Kakinya membawa dia ke tingkap kaca besar. Dia berdiri di situ beberapa saat, membiarkan matanya menjamah pemandangan bandar yang terbentang luas di luar. Kilauan cahaya kota berkelip bagaikan langit terbalik, dan buat seketika, dia rasa seolah-olah skrip dateline tak pernah wujud dalam hidupnya.
Namun nalurinya mula bergelora. Tanpa sebab yang jelas, tubuhnya berpaling. Ada satu rasa yang menolak fikirannya untuk memeriksa salah satu bilik utama.
Tangan Adriani perlahan menolak pemegang pintu. Tapi belum sempat daun pintu terbuka sepenuhnya, satu bunyi halus menyentak pendengarannya seperti seseorang sedang mencari sesuatu. Keningnya berkerut. Pintu ditolak sedikit lagi, cukup untuk dia menjenguk ke dalam.
Dan...
Dunia Adriani tiba-tiba seperti diseret keluar dari orbit.
Seorang lelaki berdiri di dalam bilik itu. Hanya bertuala putih terlilit di pinggang. Bahagian atas badannya terdedah, kulit masih basah dan berkilat, rambutnya juga basah, menutupi sedikit dahi dan mata yang sedang menunduk, sibuk menyelongkar meja sisi.
Jantung Adriani berhenti sejenak. Otaknya cuba mencerna.
"Ya Allah. Ada hantu bentuk badan gym ke sekarang?" dia meracau dalam hati.
Dia panik. Tapi tubuhnya tetap terpaku. Matanya tak berganjak walau sedikit.
Manusia. Lelaki. Tapi... kenapa lelaki ni dalam bilik aku?
"Kau siapa?!" soalnya akhirnya, suara terpantul antara panik, ngeri, dan keliru.
Lelaki itu berpaling. Dan buat pertama kali, mata mereka bertemu.
"I should ask you the same damn thing," balas lelaki itu. Suaranya garau, dengan aksen Inggeris yang pekat. "What the hell are you doing in my room, Miss Stalker?"
Adriani segera angkat tangan, tanda nak ‘pause’ dunia sekejap.
“Wait, wait bro, bro... kau siapa sebenarnya? Ini bilik F345G, bukan? Aku scan pakai kad aku sendiri kot!”
Dia segera menyeluk poket jaketnya dan mengeluarkan kad bilik, menghulurkan dari jauh.
Lelaki itu melangkah dua tapak ke depan. Adriani pula undur tiga langkah ke belakang.
"Jangan datang dekat. Aku ada spray sanitizer yang power okay," ugutnya spontan.
"You broke into my room and you're threatening me with Dettol?" Lelaki itu menjeling tajam.
Adriani bercekak pinggang.
"No lah. Kalau aku stalker, aku dah upload gambar kau atas katil sambil caption ‘ni bakal laki aku’ kat Instagram."
Tatapan lelaki itu makin tajam, seolah nak tembus ke dasar tengkoraknya. Tapi Adriani kekal berdiri, walaupun dalamannya dah penuh dengan letupan-letupan mini.
"Are you seriously doing this just to get close to me? Breaking into my room like some obsessed fan? Who sent you?"
Nada suara lelaki itu datar, tapi tajam seperti bilah yang sedang menghiris perlahan.
Adriani makin resah. Tangannya mula menyentuh pemegang pintu, langkahnya perlahan menjauhi lelaki misteri itu.
"Chill lah, encik retis. I don’t even know your name. I think you’re the one in the wrong room, bro."
Dalam hatinya, Adriani mendengus. Siapa je dia ni? Ingat aku ni fan girl tahap sanggup merangkak masuk bilik hotel orang demi selfie ke?
Tapi lelaki itu masih tidak berganjak. Riak wajahnya berubah, kini dahi mula berkerut dan nada suaranya meninggi.
“Kau nak lari mana? Aku akan pastikan orang macam kau ni masuk lokap!”
Adriani sudah pun sampai di depan pintu. Tangannya pada tombol. Tapi bila dengar perkataan "lokap", dia berpaling. Muka masih cool, tapi mata dah berapi.
"Hello, encik tuala... kau tuduh aku sesuka hati. Aku takde pun niat nak stalk kau. Aku masuk bilik pakai kad aku sendiri. Kalau sistem hotel ni silap, bukan salah aku. Nak tangkap aku masuk lokap sebab salah scan? Gila ke apa?"
Dia bersandar pada pintu sambil bercekak pinggang.
"Dan satu lagi... kalau aku stalker, aku dah ambil gambar badan kau tadi letak kat Twitter sambil caption 'free buffet, siapa nak join?' Tapi aku tak buat, sebab aku bukan fan kau. Aku pun tak kenal kau siapa."
Lelaki itu terdiam seketika. Mungkin terfikir balik logik Adriani. Tapi mulutnya tetap muncung lima inci. Ego artis, biasalah.
Adriani sempat menjeling jam tangan. Waktu sudah menghampiri tengah malam.
"Dah lah, aku penat," rungutnya separuh berbisik. Matanya masih tajam memerhati lelaki bertuala yang berdiri tak jauh. "Boleh tak kau sarung baju dulu sebelum kau buat report polis tu? Mata aku pun ada hak untuk hidup."
Nada suaranya bersahaja, tapi hatinya masih berdentum macam paluan kompang malam nikah.
Dia capai telefon bimbit dari atas meja sisi, jari bersedia menekan nombor kaunter hotel. Namun sebelum sempat dia berbuat apa-apa, bunyi deringan telefon bilik bergema, menyentak kedua-duanya.
Adriani dan lelaki misteri itu saling berpandangan. Dalam senyap, mata mereka berbicara.
"Ha... ni mesti hotel nak minta maaf salah bagi bilik," Adriani bersuara sambil tersengih puas. "Kan aku dah cakap, bro. You're in the wrong drama."
Namun belum sempat panggilan itu dijawab, satu bunyi klik pintu dari luar membuatkan Adriani tersentak. Pintu terbuka perlahan... dan tiga wajah muncul serentak.
Dan semuanya...
Nampak sangat familiar.
Mata Adriani membulat.
“Ke...kejap. Takkan... ini... Boyland?!”
Mulutnya separuh terbuka, tak mampu menutup keterkejutan. Suasana tiba-tiba jadi senyap seperti babak thriller saat pembunuh muncul dari belakang tirai. Tiga lelaki itu tergamam, berdiri di muka pintu dengan ekspresi antara terkejut, bingung dan… ingin tergelak.
Salah seorang dari mereka melangkah sedikit ke hadapan, dahinya berkerut. "Who are you?" tanyanya, suara tenang tapi penuh curiga, mata tak lepas dari wajah Adriani yang masih berdiri kaku macam patung muzium.
Adriani tak sempat menjawab.
Sebab saat itu juga, lelaki bertuala yang kini jelas salah seorang ahli Boyland, malah yang paling terkenal mula panik. Wajahnya berubah pucat, dan dia secara spontan bergerak hendak bersembunyi di belakang sofa.
Namun takdir tak menyebelahinya malam itu.
Tuala yang dipegang di pinggang... meleret.
Jatuh. Terlepas. Dengan jayanya.
Adriani senyap. Lima saat.
Mata terbeliak. Nafas tersekat. Otaknya? Shutdown sepenuhnya.
"Astaghfirullahalazim... Ya Allah... AKU NAMPAK—"
Dia terus jatuh melutut ke lantai sambil menekup mata, seperti budak tadika yang kantoi curi coklat cikgu.
"Kenapa hidup aku macam filem Korea?! Kenapa aku nampak semua ni?! Benda yang tak pernah aku mohon pun dalam doa!" ratapnya, suara bergetar antara trauma dan tak percaya.
“Saya datang sini nak kerja, bukan nak trauma,” sambungnya, hampir menangis.
Lelaki yang tadi hanya bertuala kini terlompat-lompat macam kucing kejar laser pointer, cuba mencari bantal, langsir, atau apa-apa sahaja yang boleh menyelamatkan maruahnya yang terbang tanpa visa.
Salah seorang ahli Boyland, yang berdiri paling kanan, terus melipat dua tubuhnya, ketawa sampai tak bersuara.
"Hyung, cover up! You've traumatized the poor girl!" jeritnya sambil ketawa tak terkawal.
Adriani masih di lantai, tangan tak berani angkat dari wajah.
“Tolong... tolonglah bagitahu ni semua mimpi. Tolong.”
Dalam kepalanya, satu soalan berulang-ulang macam kaset sangkut.
Macam mana aku nak explain ni kalau masuk Twitter nanti? Adriani Afsheen, scriptwriter, tertangkap dalam bilik Boyland? Dengan towel scene sekali?
Mampus. Memang mampus.
Share this novel