BAB 40 | PERANGKAP TAKDIR

Drama Series 1053

Beberapa hari sebelum kejadian.

Edward menggalas beg besar dan sebuah bagasi yang diangkat keluar dari bonet kereta Porsche 911 Carrera miliknya. Mereka bertiga baru sahaja pulang dari penginapan di hotel. Cuaca agak terik, tetapi suasana di hadapan banglo keluarga itu kelihatan tenang.

Hazim berlari masuk sebaik kaki mencecah lantai marmar, matanya liar mencari kelibat Haji Zainal yang sejak tadi disebut-sebut di dalam kereta. Dari tadi riuh mulutnya bercerita tentang Tok Wan seolah-olah tak sabar mahu bertemu.

Haris pula, dengan wajah datarnya, tenang membawa patung besar pemberian ‘akak cantik’ hadiah untuk Hazim, sebagai usaha memujuk hati kecil yang sedang lara ketika itu. Langkahnya terus dihala ke anak tangga untuk menuju ke biliknya. Dia tidak menoleh langsung, hanya ingin memeluk ruang sunyinya sendiri setelah berhari-hari dipaksa menghadapi kerenah manusia yang pelbagai ragam. Tak padan dengan budak, sinis Edward dalam hati, namun tidak diluahkan.

"Hoi Hazim, jangan lari-lari! Tok Wan ada kat bilik bacaan tu!" tegur Edward lantang, kerutan di dahinya tidak tersembunyi melihat si adik sepupunya itu meluru ke sana sini.

Bagasi dan begnya telah diambil oleh pembantu rumah yang sedia membantu.

Edward menarik nafas panjang, lalu melabuhkan tubuh ke sofa di ruang tamu. Penat. Letih. Lelehan lelah seperti menyerap terus ke dalam kusyen yang menyambut tubuhnya. Matanya hampir terpejam seketika.

Haji Zainal yang menyedari kepulangan mereka apabila terdengar enjin Porsche memasuki perkarangan, melangkah turun dengan senyum yang tak pernah lekang setiap kali menyambut cucu-cucunya. Haris yang melihat kelibat datuknya, mendongak sejenak sebelum tunduk sedikit memberi hormat. Senyum penuh kasih meniti di bibir Haji Zainal, tangannya mengusap kepala Haris penuh pengertian. Dia tahu cucunya itu bukan jenis yang manja atau terlalu menunjukkan rasa, jadi dia membiarkan saja Haris terus melangkah masuk ke bilik.

Matanya kini tertumpu pada Hazim yang sudah berdiri menunggunya di tangga dengan tangan terbuka luas, jelas menagih pelukan. Senyum Haji Zainal melebar. Tanpa menunggu lama, dia merendahkan tubuh dan mendakap erat tubuh kecil itu sebelum mendukung Hazim di dalam pelukannya. Langkahnya diatur perlahan menuju ke ruang tamu, di mana Edward masih terdampar di atas sofa, lesu.

Haji Zainal duduk di sebelah, memangku Hazim di atas ribanya. Tangannya meraup rambut Hazim ke belakang dengan penuh kasih.

"Seronok bercuti?" soalnya lembut.

Edward, yang menyedari kehadiran datuknya, segera menegakkan badan. Duduk tegak, seakan menanti respon dari Hazim sambil memerhati gerak bibir sepupunya itu.

"Tak," jawab Hazim sepatah. Pandangannya sempat mengerling Edward sebelum menyembamkan muka ke dada Haji Zainal.

Edward terkesima. Sepatah kata budak tu cukup untuk buat darah naik ke kepala. Nak saja dia siku kepala Hazim, budak ni memang tak reti bersyukur. Dah beria-ia dia uruskan macam-macam dan tenaga nak penuhi segala permintaan sepanjang cuti tu.

"Amboi, buat aduan pula kau dengan Tok Wan, ya?" balas Edward sambil mengerling dengan wajah separa protes. Gayanya seperti hendak merajuk.

"Memang pun tak seronok. Abang Yan jahat dengan akak cantik Hazim…" rungut Hazim lagi, geram. Pipi tembamnya dikembungkan tanda protes sebelum dia melompat turun dari pangkuan Haji Zainal dan berlari menaiki anak tangga dengan langkah berat, macam menzahirkan rasa kecewa yang tertahan.

Edward terdiam, tergamam seketika. Patutlah dari hari itu, apa saja yang dia buat semua serba tak kena di mata Hazim. Rupa-rupanya budak tu masih berdendam pasal kejadian tempoh hari. Dia menghela nafas malas. Entahlah. Malas nak fikir.

Haji Zainal yang menyaksikan gelagat cucunya itu hanya tersenyum nipis. Pandangannya kemudian dialihkan kepada Edward, namun kali ini redup, mendalam, seolah-olah ada sesuatu yang ingin dibicarakan sejak sekian lama. Sebuah hasrat, atau mungkin satu pertanyaan yang tak pernah sempat diluahkan.

"Yan."

Suara Haji Zainal kedengaran tenang namun sarat makna. Panggilan itu membuatkan langkah Edward yang baru sahaja ingin beredar, terbantut. Kakinya seakan terpaku di tempat, lalu dia menoleh kembali memandang wajah datuknya yang kelihatan sedikit lebih serius daripada biasa.

"Ya, Tok Wan?" balas Edward, nadanya turut berubah. Entah mengapa, nalurinya terasa bahawa ini bukan sekadar perbualan ringan, seperti ada sesi serius yang bakal berlaku.

"Tok Wan ada benda nak cakap dengan kamu," ujar Haji Zainal sambil membetulkan duduknya. Nada suaranya berubah sedikit, menandakan sesuatu yang lebih berat bakal disampaikan.

Pembantu rumah yang muncul membawa dulang minuman segera meletakkan gelas di meja kopi sebelum beredar dengan senyap, menghormati suasana yang tiba-tiba menjadi lebih tenang dan berisi.

Edward mengalihkan tubuh, duduk semula dengan postur yang lebih bersedia. Wajahnya kembali serius, tumpuannya kini sepenuhnya pada Haji Zainal. Tetapi seperti biasa, dia cuba mengendurkan suasana dengan sedikit gurauan.

"Ada apa, Tok Wan? Nampak macam utusan menteri jah gayanya," ujar Edward, mengukir senyum kecil, namun tetap waspada dengan apa yang bakal keluar dari bibir tua itu.

Namun senyum itu tidak lama. Haji Zainal membalas dengan wajah serius yang tak berubah.

"Ini tentang masa depan kamu."

Kening Edward terjongket sedikit, cuba memahami maksud sebenar di sebalik kata-kata itu. Namun dia cepat menyambut dengan penjelasan sendiri.

"Yan tahu… Papa dah aturkan lakonan pertama saya hujung tahun ni. Buat masa ni, Yan ambil dulu iklan tajaan produk. Lagipun minggu depan Yan ada kelas lakonan… Tok Wan tak perlu risau sangatlah. Yan pun dah nekad nak tinggal terus kat Malaysia." Balas Edward yakin, seakan-akan itulah perkara utama yang dimaksudkan oleh datuknya.

Namun dari raut wajah Haji Zainal, jelas ucapan Edward tadi langsung tidak menyentuh apa yang dia benar-benar ingin sampaikan. Pandangan tua itu masih kekal tenang, tetapi sarat dengan maksud.

"Tok Wan maksudkan pasangan hidup," ujar Haji Zainal, nadanya sedikit lebih tegas.

Edward terkedu.

"Tok Wan nak jodohkan kamu dengan seseorang. Bagi Tok Wan, dia pilihan yang tepat."

Sunyi. Sejenak ruang tamu itu terasa terlalu luas untuk hanya dua jiwa yang kini sedang berhadapan dalam satu keputusan yang akan mengubah kehidupan. Edward menarik nafas perlahan, cuba menyembunyikan getar di dadanya yang mula berdetak laju.

Wajahnya cuba dikawal senyum tipis diukir, tetapi jauh di dalam, hatinya seakan menggelupur. Belum sempat dia memberi apa-apa alasan, bibirnya sudah mengeluarkan kata-kata yang bahkan dia sendiri tak pasti datang dari mana.

"Saya tak kesah, Tok Wan… Kalau itu yang terbaik, Yan ikut saja cakap Tok Wan."

Ayat itu meluncur keluar dalam kepayahan. Lidahnya terasa kelu, tetapi dia tetap menyusun kata. Jantungnya berdegup tidak sekata, menahan gelora yang cuba dinafikan.

Dalam kepalanya, pelbagai persoalan muncul. Siapa perempuan itu? Apa keistimewaannya hingga mampu meyakinkan Tok Wannya yang cukup ketat dalam soal jodoh dan pilihan hidup? Ini bukan perancangan biasa pasti ada sesuatu yang tersirat. Mungkin sejarah yang hanya diketahui oleh mereka yang lebih tua.

"Alhamdulillah…" ujar Haji Zainal dengan penuh kelegaan. Senyuman yang terukir di wajah tuanya tampak seperti beban besar telah diangkat dari bahunya.

Edward hanya mampu membalas dengan senyuman palsu. Walaupun bibirnya mengukir redha, hatinya sedang menjerit ingin menolak semua ini, ingin bertanya kenapa begitu drastik, ingin tahu siapa yang sedang mengubah rancangannya sendiri tanpa izin.

"Tok Wan tahu kamu akan setuju dengan senang hati," sambung Haji Zainal, masih dengan nada yang sama. "Walaupun hal ini Tok Wan dah bincang dengan papa dan mama kamu… mama kamu saja yang berkeras menentang. Tapi Tok Wan harap kamu pegang janji tu, Yan."

Edward mengangguk perlahan. "Yan janji, Tok Wan."

Sekali lagi, lidahnya berbicara bertentangan dengan isi hati. Senyum kelat yang dilontarkan menjadi topeng yang menyembunyikan gelodak di dalam dada. Dia tahu dia sudah terikat, bukan hanya dengan kata-kata, tetapi dengan harapan orang tua yang telah terlalu banyak berkorban untuknya. Dan kali ini, dia tahu… suaranya tidak akan menang.

????

Malam itu, hawa Kuala Lumpur bertiup sejuk dibasahi embun malam. Di sebalik hiruk-pikuk jalan yang tak pernah sunyi, Edward memandu tanpa arah yang terlalu pasti hanya mengikut gerak hati. Dia tahu Zayyan, sahabat lamanya, sudah beberapa hari kembali ke Malaysia, tapi langsung tiada tanda lelaki itu mahu mengatur perjumpaan. Edward sendiri, dalam tekanan emosi sejak keputusan mengejut Tok Wannya petang tadi, hanya ingin sedikit ruang untuk memujuk diri. Bertemu Zayyan malam ini bukan kerana ingin bertanya lebih-lebih, tapi mungkin… untuk mendengar tanpa perlu berkata banyak.

Mereka memilih Restoran Mamak sebagai tempat lepak. Bukan kedai mewah, tapi cukup ideal untuk orang seperti mereka yang perlukan ruang bebas dari sorotan kamera. Lagi pun, pelanggan di sini lebih sibuk dengan skrin bola dan nasi lemak bungkus daripada sibuk memerhati idol Korea yang duduk makan seperti manusia biasa.

Edward tiba sedikit lewat. Zayyan sudah lebih awal menunggu di meja. Lelaki itu nampak tenang, jaket hitam disangkut pada belakang kerusi dan wajahnya sedikit letih namun tetap segar dengan pesona yang biasa.

"Maaf lambat," ujar Edward sekadar menegur, meletakkan beg kertas di kerusi kosong di sebelah Zayyan. Mereka sudah pun memesan makanan sebelumnya melalui telefon.

Tidak lama kemudian, makanan yang dipesan tiba. Zayyan mengambil nasi goreng tomyam dengan sirap bandung, sementara Edward memesan kuey teow kantonis dan teh C special.

Mereka makan dalam senyap seketika.

Tiba-tiba Edward teringat sesuatu. Dia mengunyah perlahan, lalu menunjuk ke arah beg kertas di sisi kerusi Zayyan.

"Jaket kau," katanya ringkas.

Zayyan mengerutkan dahi, hairan. Dia menarik beg kertas itu lalu membukanya di atas riba. Riak wajahnya berubah. Dia kenal benar jaket itu, jaket yang seingatnya tidak pernah dia tinggalkan pada sesiapa melainkan seseorang itu.

"Eh… macam mana jaket aku boleh dengan kau?" Dia masih keliru. "Setahu aku, ini aku yang..."

Belum sempat habis ayat itu, Edward sudah memintas.

"Aku dah agak jaket tu milik kau. Kita beli sama, kan? Lagipun… bau perfume kau kuat lagi melekat. So, siapa perempuan tu?" Edward memasang senyum mengejek. "Kau tak cerita pun dah ada awek kat Malaysia."

Zayyan mengetap bibir, tak terus menjawab. Matanya kembali pada jaket itu.

"Tak... macam mana boleh jaket ni ada dengan kau?" soalnya, kini lebih serius.

Edward menyandar malas, lalu menyedut teh C specialnya sebelum bersuara perlahan, "Minah tu… crush cousin aku."

Zayyan makin berkerut. "Siapa? Dua budak kecil tu ke?"

"Hazim. Akak angkat dia yang bagi," jelas Edward sambil menyambung kunyahan.

"Hah? Macam mana boleh?" Zayyan terus menyambung soalan. Wajahnya jelas menunjukkan dia sedang cuba menyambungkan semua titik-titik cerita yang masih kabur.

"Pendek cerita… kami jumpa kat hotel masa bercuti hari tu. Ada satu insiden, minah tu lah yang selamatkan Hazim."

Zayyan mengangguk perlahan. "Hazim okey?"

"Luka kecil je. Tapi minah tu… memainkan peranan penting dalam hidup Hazim sekarang." Balas Edward, nadanya seakan enggan mengiktiraf jasa besar Adriani dalam insiden itu. Entah kenapa, mungkin kerana caranya yang terlalu mengejutkan atau mungkin kerana perasaan sendiri yang belum sempat dirungkaikan.

"Adriani, nama dia" sebut Zayyan datar. Matanya tidak lepas dari jaket di atas meja.

"Ohh... Siapa dia?" Edward angguk kecil. Baru dia sedar yang sahabatnya itu tidak suka wanita itu dipanggil ‘minah’.

"Kawan lama," jawab Zayyan ringkas, jelas tidak mahu membuka banyak cerita.

Edward senyum separa sinis. "Macam tak meyakinkan. Tapi tengok situasi sekarang… bertepuk sebelah tangan je, bro." Sengihnya. Sejak kenal Zayyan, tak pernah sekali pun dia bercerita pasal mana-mana perempuan. Memang confirm single dari azali. Baik, sopan kira barang rare jugalah.

Zayyan menjeling. "Eh mana ada. Kami dating haritu. Patung beruang yang aku sarungkan dengan jaket ni sepatutnya hadiah untuk dia. Suruh Hazim bagi balik patung tu pada Adriani."

Edward sudah pun ketawa kecil, mencebik.

"Jangan lambat sangat bro… kang disambar orang lain."

Zayyan hanya senyum senget.

"Siapa je nak sambar dia… artis terkenal macam aku ni pun dia buat ‘oh’ je masa tahu aku idol Korea."

Edward ketawa lebih kuat kali ini. "Uish. Power betul taste Adriani kau tu ya."

Dia geleng kepala sambil menepuk perlahan meja. "Macam mana ada perempuan tak suka lelaki kacak? Standard tinggi dia tu… tinggi dari kita lah agaknya."

Zayyan senyum tipis, tapi jauh di dalam, kenangan pertemuan pertamanya dengan Adriani di Seoul mula menyesak dada. Perempuan itu… bukan calang-calang.

Mungkin itu sebabnya dia tak pernah lupa wanita yang memberi cahaya saat hidupnya gelap. Adriani, cinta pertamanya… yang tak pernah sempat diucap pada dunia, apatah lagi pada pemilik hati itu sendiri

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience