BAB 10 | KEJADIAN TUALA

Drama Series 1053

Daun pintu ditolak perlahan. Adriani melangkah masuk, tubuhnya dibalut letih selepas seharian bergelumang dengan skrip yang menuntut tumpuan tanpa henti. Derapan kasut ditanggalkan di muka pintu, dan langkahnya terhenti sebaik sahaja matanya menangkap sosok tubuh seseorang di ruang tamu. Cahaya petang yang masuk dari tingkap besar memantulkan sinar keemasan, menyimbah wajah seorang wanita yang sedang berdiri di sana tersenyum lebar dengan dua jari membentuk tanda peace yang comel dan ceria.

Namun, bukan senyuman itu yang membekukan langkah Adriani.

Apa yang membingungkan adalah kehadiran wanita itu di dalam rumahnya. Bagaimana dia boleh masuk? Siapa yang benarkan? Tapi wajah itu dikenali CikL. Mungkin kerana tidak mampu menghubungi Adriani, wanita itu bertindak drastik datang berjumpa secara berdepan.

Wanita itu berdiri megah dalam balutan blaus krim gading yang diperbuat daripada fabrik lembut. Rekaan blausnya penuh seni, dengan perincian renda halus dan sulaman crochet yang membingkai dada, mencipta ilusi keanggunan vintaj yang jarang ditemui. Skirt A-line yang senada warnanya pula menyapu betis dengan potongan pleats kemas, menampakkan gaya klasik yang sopan dan elegan.

Di pinggangnya, melingkar kemas tali pinggang lebar dengan buckle emas berbentuk persegi, menegaskan bentuk tubuhnya tanpa mengorbankan kesopanan. Tangannya dihiasi jam berangka kecil, bertali kulit krim nipis ringkas, namun mencerminkan kelas tersendiri.

Rambut panjangnya dibiarkan terurai bebas, bergelombang lembut seperti alunan ombak musim bunga. Beberapa helai meliar ke depan, membingkai wajah manis yang bersinar walau tanpa solekan tebal.

Adriani terpaku. Ruang sekeliling seakan senyap, deru dunia seperti terpadam buat seketika. Yang tinggal cuma degupan jantungnya sendiri, berlanggar dengan satu rasa yang sukar diterjemah.

"Welcome home! " ucap wanita itu riang, suaranya nyaring dan ceria, seolah menyambut putera pulang dari medan perang.

Adriani tahu, di sebalik senyuman manis itu tersembunyi desakan dan muslihat yang bakal menjelma. Dia mengenali CikL wanita yang tidak akan berhenti sehingga kehendaknya dipenuhi. Adriani pernah mengambil kerja FanTask untuknya sebelum ini, dan dia cukup maklum betapa wanita itu sukakan kesempurnaan. Kerana itulah Mawar diminta memujuknya semula.

"I miss you, " ujar CikL lembut, penuh perasaan.

Adriani hanya menjawab dengan jelingan tajam, sebelum membalas datar, "Ada apa?"

Langkahnya tenang, beg sandang dilepaskan ke atas meja kaca, dan tubuhnya dilabuhkan ke sofa.

"Say lah you miss me too... " rajuk CikL sambil mengembungkan pipi.

Melihat wajah Adriani yang kekal selamba, wanita itu mencebik sebelum duduk di sofa bertentangan. Kakinya disilang perlahan, seolah-olah memberi ruang untuk Adriani bersedia.

"Saya tahu awak dah tak ambil job ni, tapi awak tak boleh tolak saya dengan mudah, Cik Ash." Nada suaranya berubah sedikit dari manja kepada serius, disertakan senyuman penuh makna.

"Aku dah buat kerja aku untuk kau sebelum ni. Tak ada sebarang perjanjian bertulis pun yang aku kena kerja ikut paksaan," balas Adriani dengan nada yang tetap tenang, walau dalam hati, dia tahu dia sedang berdepan dengan wanita yang kekuasaannya bersandar pada wang dan pengaruh.

"Ten thousand. Cukup?" tawar CikL, menaikkan harga demi memastikan Adriani setuju.

"Aku malas. Kau carilah orang lain. Baliklah, aku belum solat Asar lagi ni," ujar Adriani lalu bangkit. Wajahnya tetap tidak menunjukkan minat terhadap tawaran itu.

"Three days saja. Ini permintaan terakhir aku. Lepas ni aku tak ganggu kau lagi. Tapi kau pun tahu kan, aku tak akan stop macam ni je..." Nada suara CikL berubah mendadak dari lembut menjadi dingin, namun masih berbalut senyuman.

Adriani mengerutkan dahi. Desakan wanita itu mula menimbulkan rasa jengkel dalam dirinya. Dia bukan menolak kerja, tapi bila dipaksa begini, dia tahu dia sedang diperalatkan cuma dengan imbuhan yang lebih mahal.

Tanpa menunggu kata putus, CikL mengeluarkan pasport dan kad penerbangan dari beg tangannya. Barang itu diletakkan kemas di atas meja kaca, di hadapan Adriani.

"Aku dah uruskan semuanya. Kita jumpa tiga minggu dari sekarang. Don’t be late." Senyuman manis masih terukir di bibirnya sebelum dia melangkah keluar dari rumah.

Pintu ditutup perlahan.

Adriani berdiri diam. Nafas ditarik dalam-dalam. Dalam hatinya, terbit rasa geram terhadap sikap manja wanita kaya itu. Pandangannya jatuh pada pasport dan kad penerbangan di atas meja kaca. Kertas yang kecil itu kini membawa beban besar beban keputusan yang belum dia putuskan.

Tanpa berkata apa-apa, Adriani berpaling dan melangkah masuk ke bilik. Dia perlukan ruang. Dia perlukan air untuk menyucikan penat dan tekanan yang mula mengheret fikirannya ke arah yang dia paling malas untuk hadap pekerjaan yang tidak pernah dia mahukan lagi, tetapi kini kembali menghantui.

Korea, Seoul.

Terletak di tengah jantung Gangnam, hotel itu berdiri megah menembusi langit petang yang mendung bak monumen masa depan yang diukir dari kaca hitam dan keluli berkilat. Struktur bangunannya tidak biasa. Ia bukan sekadar pencakar langit, tapi seni bina yang seperti dipotong halus dengan presisi pereka masa depan. Garisan cahaya jingga neon yang membaluti struktur sisi bangunan menciptakan siluet yang memukau seolah-olah ada arus tenaga mengalir perlahan sepanjang dindingnya.

Hotel bertaraf lima bintang itu bukan hanya gah dari luar. Dari lobi utama sahaja, tetamu disambut dengan aroma sandalwood mewah yang mengisi ruang udara, lampu gantung kristal rekaan Itali yang tergantung tinggi dari siling dua puluh kaki, serta lantai marmar putih bersalut emas halus dari Turki. Di setiap sudut, terdapat sentuhan minimalis moden tetapi dengan rasa eksklusif yang tidak memaksa untuk difahami.

Bangunannya terdiri daripada dua menara utama yang disambungkan oleh laluan kaca bertingkat salah satu ciri ikonik hotel ini. Laluan itu menjadi sky bridge yang menawarkan pemandangan kota Seoul dari ketinggian, khusus untuk tetamu VIP dan pemegang kad eksklusif. Menara pertama dikhususkan untuk bilik tetamu mewah dan suite eksekutif, manakala menara kedua menempatkan spa peribadi, lounge privasi, dan restoran berbintang Michelin.

Di tingkat tertinggi, penthouse suite hotel itu dikenali sebagai The Ember Horizon menjadi tempat penginapan legenda untuk selebriti antarabangsa, ketua-ketua syarikat konglomerat, dan kerabat diraja. Kaca satu arah memastikan privasi mutlak, manakala sistem automasi pintar dalam setiap ruang bilik memberikan pengalaman penginapan yang tidak dapat dilupakan.

Cik Liliane yang lebih mesra dipanggil CikL melangkah masuk ke lobi hotel mewah itu dengan gaya tenang dan teratur. Sebaik tiba di kaunter penyambut tetamu, dia meletakkan beg tangan kecilnya di atas permukaan marmar putih sebelum tersenyum tipis kepada staf yang menyambutnya.

"Good afternoon. I made a reservation a few weeks ago under the name Liliane, for two rooms. I believe today is my check-in date?"

Receptionist itu mengangguk ramah sebelum membalas.
"Yes, Ms. Liliane. Two deluxe rooms for three nights, correct?"

"That's right," balas CikL sambil mengeluarkan pasport dari dompet. Dia menghulurkannya tanpa banyak bicara, matanya sempat memerhati rekaan dalaman hotel moden dengan sentuhan tradisional Korea yang elegan.

"Could I please have both key cards? The other guest will be arriving later," katanya sambil meluruskan postur tubuh.

"Of course. Both rooms are on the 15th floor, side by side. You’ll also have access to our executive lounge and complimentary breakfast downstairs."

"Good. Make sure housekeeping doesn’t disturb unless requested," katanya tegas tetapi tetap profesional.

Petugas itu mengangguk dan menyerahkan dua kad bilik yang tersusun kemas dalam sarung elegan.
"Here are your keys, Ms. Latifah. Please let us know if you need anything during your stay."

CikL tersenyum kecil, mengangguk sekali sebelum melangkah menuju ke lif. Langkahnya tetap kemas wanita dengan urusan, tahu apa yang dia mahu.

Beberapa minit kemudian, Adriani melangkah masuk ke dalam hotel mewah itu auranya tenang, langkahnya yakin walaupun tubuh sudah terasa lelah. Satu tangannya masih menggenggam telefon, membalas mesej suara daripada pengurusnya berkenaan cuti yang dia ambil beberapa hari ke depan. Suaranya perlahan, hampir berbisik, agar tidak mengganggu suasana lobi yang eksklusif dan penuh etika bisnes.

Selesai urusan panggilan, Adriani terus menuju ke kaunter resepsionis. Di sebelahnya, berdiri seorang wanita berpakaian seragam pembersih hotel. Wajahnya keletihan, tapi tetap menyapa dengan mata yang sopan. Adriani hanya tunduk sedikit, bibirnya mengukir senyum tipis disebalik mask mukanya, tidak banyak bicara.

Ketika kad bilik diserahkan kepadanya, Adriani mengangguk kecil sebagai ucapan terima kasih sebelum berundur untuk berlalu. Namun, satu detik membuatnya menoleh entah kenapa, ada sesuatu yang terasa aneh di kaunter itu. Bukan jelas, bukan nyata. Hanya sekilas rasa... seolah-olah ada sesuatu yang tak sepatutnya berlaku. Tapi dia tidak mahu peduli. Itu bukan urusannya.

Yang lebih penting sekarang tubuhnya yang sudah merintih perlukan rehat. Selepas berjam-jam di dalam kapal terbang dari Malaysia ke Korea, fikirannya hanya ingin dilemaskan dalam tilam empuk bilik hotel yang menanti di tingkat atas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience