Adriani mematikan enjin kereta setelah meletakkannya di kawasan parkir yang disediakan. Dia bersandar sejenak, menarik nafas panjang. Perjalanan yang diikut dari aplikasi peta di telefon tadi rupa-rupanya membawa dia ke sebuah taman tema lokasi yang dihantar Zayyan sejak semalam. Dan kini dia mengeluh berat. Baru saja selesai mengurus pelancaran drama baharu pagi tadi, kini Zayyan pula melancarkan emosinya.
Sebuah bentuk pelancaran yang lebih melelahkan dari kerja sebenar.
Zayyan berdiri tegak di sisi pagar masuk taman tema itu. Wajahnya dilitupi pelitup muka, separuh tenggelam di bawah hud jaket tebal berona kelabu gelap yang membaluti tubuh tingginya. Jaket itu tampak sedikit longgar, namun cukup untuk melindunginya daripada tiupan angin petang yang semakin menggigit. Tangan disorok ke dalam poket, bahunya menyilang beg sandang hitam. Dari celah kain seluar jogger yang longgar dan kelihatan selesa itu, pantulan sinar biru dari langit petang memancar samar-samar. Rambutnya sedikit kusut, seolah baru bangun tidur atau mungkin memang begitu gayanya.
Tenang, tapi jelas matanya tertancap tajam ke arah Adriani yang sedang berlari anak ke arahnya, sedikit tercungap.
Adriani melirik jam di pergelangan tangan lima petang. Sedang dia tahu sepatutnya dia tiba sejam lebih awal. Letihnya masih belum surut, namun tatkala matanya bertembung dengan pandangan lelaki itu, dia menarik sedikit nafas panjang.
Zayyan sempat memerhati wanita itu dengan tenang. Adriani mengenakan kemeja longgar rona krim yang diselak sedikit lengan hingga menampakkan jam di pergelangan yang dibalut dengan shockhand. Seluar kargo berwarna tanah melengkapkan gaya kasualnya. Sebuah beg silang besar tergantung di bahunya, tampak berat dan sarat dengan barang. Hijab polos yang terikat kemas dalam tona lembut, tiada sebarang perincian, namun masih menyerlah dalam cara yang tenang dan tidak memaksa.
Ringkas. Tapi itulah Adriani.
"Kau kenapa tak bagi tahu nak ajak datang sini?" soalnya dengan nada malas, tanpa sebarang senyuman.
Zayyan sengih di sebalik pelitup muka. "Aku dah send location, kan? Takkan tak tengok arah tujuan kau."
"Tak sangka tempat tu taman tema," balas Adriani, sinis. "Aku ingat kau nak ajak minum je, tak sangka sampai nak naik roller coaster bagai." Matanya dibuang ke arah roller coaster yang sedang meluncur laju, berpusing-pusing di atas landasan seperti tak kenal takut.
Zayyan tersenyum dalam diam. Dia sendiri tak sangka wanita di hadapannya sanggup datang menemuinya, selepas pertemuan mereka yang terlalu singkat di Korea beberapa minggu lalu. I miss her.
Zayyan tarik nafas. "Aku dah tunggu kau sejam lebih tau…" tambahnya, nada merajuk sambil mengembungkan pipi seperti kanak-kanak yang baru kehilangan gula-gula.
Cuba menarik perhatian wanita itu atau mungkin sekadar reaksinya. Zayyan sedar, banyak yang tak berubah dari wanita yang pernah dikenalinya dulu. Dan kini, setelah beberapa tahun menghilang tanpa jejak, wanita itu kembali berdiri di sisinya… seakan membawa sinar baru antara mereka.
"Aku singgah solat Asar," jawab Adriani tanpa menoleh. "Kau dah solat?"
Zayyan terpinga-pinga seketika. Ayat yang sepatutnya menarik perhatian wanita itu, tiba-tiba disambut dengan soalan lain pula. Tak sangka ucapan itu yang dipersoalkan. Dia sedikit terkesima. Satu hal yang dia tahu, Adriani bukannya tak peka dia cuma jenis selamba. ‘Lantak engkau lah!’
"Dah, boss. Aku ingat lagi pesanan kau tu," balas Zayyan sambil mengangkat dua jari buat gaya ‘sumpah ingat’.
"Pesanan apa?" Adriani balas selamba. "Itu kan kewajipan, tanggungjawab. Jangan sebab diingatkan baru nak tunduk."
Zayyan terkebil. Kata-kata itu jatuh tepat ke dalam dada sedikit menikam, sedikit menyedarkan. Tapi dia tak marah. Kerana dari awal dia tahu, Adriani bukan wanita yang akan melayan emosi dengan gula-gula manis.
Adriani sudah pun berjalan ke hadapan, meninggalkan lelaki itu yang masih tercegat seperti tersedak sudu dalam tekak. Tanpa sempat membalas apa-apa, Zayyan segera berlari anak mengejar langkahnya yang tetap teguh ke hadapan seperti biasa.
Permainan pertama bermula di hadapan sebuah rumah hantu bertema kereta api usang. Bangunannya berkarat, kusam, dan menyeramkan dengan papan tanda berlampu malap bertulis 'Train of Shadows'. Asap nipis disemburkan dari bawah gerabak utama yang statik di laluan, mencipta ilusi kabus menyelimuti laluan masuk. Dari luar sudah kedengaran jeritan kecil dan bunyi loceng tua berdenting panjang cukup untuk buat sesiapa pun berfikir dua kali.
Zayyan sudah pun menukar sejumlah wang kepada token berbentuk syiling khas yang perlu digunakan untuk semua permainan dalam taman tema itu. Beberapa keping coin tergenggam kemas dalam tangannya ketika dia berjalan ke kaunter luar rumah hantu untuk membuat bayaran.
Namun, sepasang mata lelaki itu sempat menjeling ke arah Adriani yang masih berdiri tercegat beberapa meter dari pintu masuk. Tubuhnya kaku, kaki langsung tak melangkah walau seinci. Reaksinya jelas tak selesa.
"Hoi! Kau kenapa?" panggil Zayyan, suara sedikit kuat menyaingi riuh di sekeliling. Dia kemudian melangkah mendekat, senyum senget bermain di wajah seakan-akan sedang menahan ketawa.
"Jom lah. Asal tercegat lagi tu? Baca doa makan ke sebelum masuk?" usik Zayyan sambil tergelak kecil, matanya mencuri pandang mimik wajah Adriani yang berubah hambar.
Usikan itu hanya dibalas dengan satu jelingan tajam dari Adriani cukup untuk buat siapa pun senyap. Tapi bukan Zayyan.
"Kalau kau nak sangat masuk… kau pergi soranglah," balas Adriani dingin, menyilang tangan ke dada. Nada suaranya tak marah, cuma penuh enggan. Dia berdiri tegas dengan keputusannya.
Zayyan pandang wajah itu sejenak. Perlahan dia ubah nada, kini lebih lembut. "Kenapa ni?" tanyanya, nada bertukar tenang dan memujuk. "Kan aku ada. Aku tumbuk je hantu-hantu tu kalau dia takutkan kau," tambahnya sambil tersengih, cuba menceriakan suasana.
Namun, mata Adriani melirik ke arah pintu keluar belakang rumah hantu itu. Sekelompok pengunjung baru sahaja melangkah keluar sambil tergelak, tapi yang menarik perhatian Adriani ialah gelagat ‘hantu’ yang keluar mengejar mereka siap pegang lengan, menakut-nakutkan, malah ada yang menyentuh tubuh. Wajah Adriani mula berubah. Tak suka.
Zayyan perasan perubahan halus itu. Tanpa banyak bicara, dia terus melepaskan jaket tebal yang membalut tubuhnya. Dengan selamba, dilemparkan ke arah wajah Adriani. Wanita itu terpinga-pinga menyambut, hampir tak sempat tangkap.
Kini hanya t-shirt putih tersisa di tubuh Zayyan, melekap pada badan tingginya. Dia senyum sambil bersuara perlahan, "Pakailah. Kalau dorang datang dekat, aku pula yang jadi hantu."
Adriani mencebik kecil. "Macam kuat sangat," gumamnya sinis, tapi tangan tetap menyarung jaket itu ke tubuhnya. Panas dan nyaman, baunya masih segar bau lelaki itu.
Tanpa banyak bicara lagi, mereka berdua melangkah masuk ke ruang gelap itu.
Bahagian dalam rumah hantu berkonsepkan gerabak kereta api lama remang, gelap dan sesak dengan prop usang. Setiap ruang dipenuhi hiasan suram: patung gantung, bangku berkarat, mayat palsu, dan lampu yang berkelip seperti hampir padam. Asap nipis terapung perlahan dari bawah lantai, dan suasana dipenuhi bunyi rel berkeriut dan jeritan tiruan yang samar-samar.
Cabaran di dalamnya mudah cari tiga kunci tersembunyi untuk menebus hadiah di hujung laluan. Tapi hakikatnya, jalan ke sana bukan sekadar teka-teki. Ia satu cabaran mental pada gelap, pada jerit, pada bayang manusia yang melintas tiba-tiba di celah tirai koyak.
Dan di tengah semua itu, Zayyan dan Adriani melangkah bersama, dengan jarak yang tak terlalu rapat tapi cukup dekat untuk rasa... dijaga.
Lorong-lorong gelap di dalam rumah hantu itu diterangi hanya dengan cahaya samar-samar, berkelip sesekali seolah-olah menyambut kehadiran mereka dengan suasana murung dan menyeramkan. Bunyi rantai diseret, suara berbisik dari corong tersembunyi, dan deruan angin buatan menambahkan kesan seram yang sengaja dicipta. Namun, langkah Adriani dan Zayyan tetap tenang, tak tergugat sedikit pun oleh kesan khas di sekeliling.
Zayyan sempat menjeling Adriani di sisi wanita itu bersilang tangan di dada, wajahnya kekal datar, tiada tanda gentar atau panik. Zayyan mencebik sinis. Memang patutlah. Sifat wanita itu sememangnya tak pernah goyah oleh perkara remeh seperti ini. Kalau mereka berdua dicipta tanpa rasa takut pun, memang kena betullah.
Dengan selamba, mereka memasuki rumah hantu itu tanpa jeritan, tanpa ragu. Hanya bunyi tapak kasut menghentak lantai kayu yang bergema dalam ruang sempit itu.
Ketika melalui satu bahagian dinding dipenuhi tengkorak palsu, Adriani sempat menarik salah satu tangan tengkorak yang tergantung, sebelum meletakkannya di bahu Zayyan. Lelaki itu terkejut sedikit, lalu tertawa perlahan, kemudian tanpa banyak cakap, menyambar topeng tengkorak yang tergantung di sisi dan menyarungkannya ke wajah. Situasi yang sepatutnya menakutkan bertukar jadi jenaka di antara mereka.
Zayyan melontar pandang ke arah rak buku usang di hujung dinding. Pandangannya tertancap pada sebuah kotak kecil yang sedikit tersembunyi di celah rak. "Nah," bisiknya sambil mencapai kotak itu. Di dalamnya, tergenggam satu kunci perak kecil. Adriani mengangkat kening dan tersengih, memberi pujian tanpa suara atas ketajaman mata lelaki itu.
Mereka meneruskan perjalanan keluar dari bilik itu menuju lorong seterusnya. Tiba-tiba, sosok hantu tak berkepala meluru ke arah mereka dari sisi kiri lorong. Namun Adriani dan Zayyan tidak langsung terkejut hanya memandang kosong. Wajah mereka kekal datar, seolah-olah hantu itu hanya pelayan kafe yang silap ambil pesanan.
Makhluk itu terpaku, terkebil-kebil melihat reaksi dingin mereka. Zayyan pula hanya menolak sedikit tubuh ‘hantu’ itu ke sisi sambil berkata perlahan, "Tepi sikit, bro." Mereka berdua meneruskan perjalanan tanpa sebarang drama.
Setiap lorong yang mereka lalui, ada saja hantu yang datang melompat, berlari, dan menjerit. Tapi tiada satu pun yang mampu menggoyahkan fokus mereka dalam mencari kunci seterusnya.
Di satu simpang lorong, mereka bertembung dengan dua orang wanita yang kelihatan tercungap-cungap dan panik.
"Kami sesat... boleh kami ikut sama?" salah seorang dari mereka bersuara.
Zayyan dan Adriani hanya saling berpandangan. Adriani angguk kecil, membenarkan mereka ikut. Tapi tidak sampai beberapa langkah, kedua-dua wanita itu mula berpaut pada lengan Zayyan seolah-olah momen ketakutan itu lesen untuk berpegangan.
Adriani yang berjalan sedikit ke hadapan hanya melirik sepi. Matanya memerhati lelaki itu yang kini ‘dikerumuni’ seperti hero cerita dongeng. Wajahnya tak menunjukkan apa-apa, tapi nafasnya sedikit berat. Langkahnya laju, tanpa menoleh.
Tiga kunci sudah diperoleh. Misi tamat.
Mereka keluar dari rumah hantu dengan selamat. Dua wanita tadi sempat tunduk memberi ucapan terima kasih sambil senyum manis. Zayyan hanya membalas dengan anggukan kecil dan senyuman sebalik pelitup muka.
Adriani sudah pun menonong pergi, meninggalkan perbualan singkat itu tanpa kata. Langkahnya deras, tak menoleh.
Zayyan memandang belakang. Tangan pengurus permainan menyerahkan sebuah patung beruang besar berwarna krim coklat kepadanya hadiah kerana berjaya mendapatkan semua kunci dalam rumah hantu itu.
Tanpa berlengah, Zayyan berlari mengejar langkah Adriani yang semakin jauh di hadapan, patung besar dipeluk kemas di dada.
"Adriani! Hoi, tunggu lah!" panggilnya lantang, tercungap-cungap setelah berjaya memintas beberapa orang pengunjung lain.
Adriani menoleh perlahan, memandang lelaki itu yang sedang berlari ke arahnya. Tatapannya redup, penuh senyap.
"Laju nau kau jalan," ujar Zayyan, nafas masih belum stabil sambil tangannya menekan dada. "Ni ha… patung untuk kau." Dia sengih, menghulurkan patung besar itu ke arah wanita itu.
Adriani tidak menyambutnya. Sebaliknya, dia menanggalkan jaket yang dipakai jaket milik Zayyan lalu melemparkannya ke arah kepala patung yang masih berada dalam pelukan lelaki itu.
"Kenapa tak bagi kat gadis-gadis tadi? Kau kan hero mereka. Bukan main lagi," ucap Adriani, nada suaranya penuh sinis sambil mengecilkan mata. Dia terus berjalan tanpa menunggu balasan.
Zayyan terkebil-kebil. Patung dalam pelukannya kini bertudung jaket. Dia diam sejenak, sebelum senyumnya muncul perlahan. "Haha... minah ni jealous ke?" gumamnya sendiri sambil mengangkat kening.
Zayyan menyarungkan jaketnya tadi ke tubuh patung, seolah-olah itu reaksi paling gentleman yang dia mampu beri, lalu segera menyusul langkah Adriani.
"Kau jealous ek?" usiknya, menyaingi langkah wanita itu.
"Kepala kau jealous," balas Adriani selamba, tanpa berpaling pun. Nada malas, acuh tak acuh tapi tak sepenuhnya menafikan.
Di tengah keramaian taman tema yang riuh dengan suara pengunjung, jeritan permainan dan muzik dari speaker tersembunyi, suara mereka tenggelam perlahan-lahan. Tapi langkah mereka tetap seiring dalam diam, dalam cara paling mereka kenal.
Dan dunia tetap berputar, tetap meriah, tetap bersinar... meskipun hati ada yang diam-diam mula terasa.
Share this novel