Semua mata kini tertumpu kepada Adriani dan Tasha Elvira. Ketegangan di ruang dewan makan rumah kebajikan itu memuncak, bak bara yang hanya menanti disiram minyak. Dalam kekalutan itu, Adriani sempat mengerling dua lagi pelakon wanita, mereka yang sering menghiasi layar TV dengan watak tambahan dalam drama popular. Wajah mereka jelas menunjukkan mereka tahu-tahu agenda sebenar di sebalik 'kerja amal' yang tampak suci ini. Dan itu sahaja sudah cukup membuatkan api amarah Adriani semakin membakar.
Di dalam dapur penyediaan makanan, Mawar masih tercegat, matanya kini tertancap pada beberapa kotak makanan tajaan dari syarikat Dapur Dingin. Jari jemarinya laju merakam gambar dan video, terutama pada bahagian label yang tertera tarikh luput-yang jelas telah tamat tempoh. Dia sendiri terpempan, bagaimana perkara sebesar ini boleh terlepas pandang? Atau sebenarnya sengaja diabaikan?
Tegangan di luar makin memuncak apabila Tasha tiba-tiba meluru ke arah Adriani, tangannya diangkat tinggi, cuba mencakar wajah wanita itu. Namun, Adriani dengan tenang mengelak, gerakan tubuhnya pantas dan tepat, sebelum tangannya menolak kuat muka Tasha dengan tapak tangan hingga artis itu jatuh tersembam ke lantai. Riuh kecil terdengar dari hadirin yang melihat kejadian itu. Dua orang staf produksi segera meluru mendapatkan Tasha, cuba menolong pelakon mereka bangun.
"Kau nak saman sebab aku halang kau suap paksa makanan basi tu ke mulut orang tua?" ujar Adriani dengan nada paling dingin, wajahnya langsung tak menunjukkan sekelumit pun rasa takut atau bersalah. Dia mencapai sebatang garpu di meja.
Tasha, yang masih terduduk dengan wajah cemas, mengangkat tangan, takut Adriani benar-benar akan mencederakannya. Namun Adriani langsung tidak menghampirinya. Sebaliknya dia melangkah tenang ke arah meja promosi makanan. Tangan Adriani mencapai salah satu pek makanan tajaan, kari ayam yang sudah basi. Dia berpatah balik ke arah Tasha yang kini masih terduduk dalam ketakutan.
"Ini cukup untuk buktikan... kau tak layak berdiri megah hanya sebab kau ada nama pentas," ujar Adriani perlahan namun setiap patah perkataan ibarat hunjaman tajam ke jantung Tasha.
Dengan garpu di tangan, Adriani mencucuk pek plastik itu kuat-kuat hingga pecah, menyebabkan kuah kari ayam basi yang pekat dan berminyak menitis laju-tertuang tepat ke atas kepala Tasha. Bau hangit dan masam segera menusuk rongga hidung, menjadikan situasi itu lebih memalukan. Dua staf yang berada dekat cepat-cepat menjauh, cuba mengelak daripada terkena tempias kuah basi itu.
"Sekarang... kau dapat rasa sendiri macam mana rasanya bila dipaksa telan sesuatu yang menjijikkan." Suara Adriani perlahan namun penuh dengan amarah. Tatapan matanya tajam memanah wajah wanita itu.
Tasha berdiri dalam keadaan terhuyung-hayang, wajah dan rambutnya comot dengan cecair pekat kekuningan itu. Dengan tangisan yang tak mampu dibendung, dia berlalu keluar dari dewan makan, meninggalkan semua pandangan yang mula berubah dari hormat kepada jijik.
Satu demi satu kru produksi mula berkemas. Kamera diturunkan, backdrop ditarik semula. Program 'amal' yang kononnya mulia itu kini berubah menjadi drama sebenar yang tidak pernah mereka rancang.
Dari kejauhan, Encik Kamal memerhati suasana yang semakin kucar-kacir. Langkahnya terhenti seketika di tepi pintu dewan makan. Di sisi, Pengurus Besar Dapur Dingin berdiri dengan wajah berkerut, jelas tidak berpuas hati.
"Ada apa ni, Encik Kamal?" soal Pengurus itu dengan suara yang menuntut penjelasan. Matanya sempat meliar ke arah artis wanita yang berlari keluar sambil menangis, melintasi mereka.
Encik Kamal menelan liur, cuba menenangkan lelaki di sebelahnya sambil membetulkan letak kaca matanya. Langkahnya kemudian mula masuk ke dalam dewan, bersedia berhadapan dengan letupan seterusnya.
Encik Kamal melangkah pantas menghampiri Adriani. Keadaan di sekeliling masih kucar-kacir, namun wanita itu tampak tenang, malah terlalu tenang. Adriani sedang mencuci tangannya di singki kecil yang tersembunyi di penjuru tembok, air mengalir membasahi kulitnya yang pucat, sementara percikan kecil memantul ke serata tempat.
"Apa yang kau buat ni, Adriani?" suara Encik Kamal bergema tegas, sarat dengan kemarahan yang dipendam sejak tadi.
Adriani tidak terus menjawab. Sebaliknya dia mengangkat wajah, memandang lelaki itu dari pantulan cermin yang terpacak di dinding. Pandangannya tenang, tetapi tajam dan menghantar rasa dingin ke tulang belakang sesiapa yang menatap terlalu lama.
Perlahan-lahan, Adriani memusing tubuhnya menghadap lelaki itu. Tangannya masih basah, dan dengan gerakan santai dia melepaskan sisa air yang masih melekat sehingga beberapa titis memercik ke wajah Encik Kamal.
"Aku tahu kau yang uruskan kewangan di sini. Dan aku tahu, masalah-masalah mudah yang masuk... mungkin semuanya datang dari tangan-tangan kotor yang kau sambut dengan senang hati," tutur Adriani perlahan namun tajam, suaranya datar tanpa getar.
Tatapan matanya langsung menembus dada lelaki itu.
"Kalau bukan sebab kau suami kepada Puan Salmah, aku dah lama laporkan kerja kotor kau. Kau tahu tu, orang tua."
Riak wajah Encik Kamal berubah. Hatinya membuak dengan jengkel yang tak mampu disembunyikan lagi. Dia mengenali Adriani sejak kecil, mengenali keluarganya, namun kini budak yang dulunya hanya ikut ayahnya ke rumah kebajikan kini berdiri di hadapannya, berani menentang dan menyerangnya secara terang-terangan.
"Kau siapa?!" tengking Encik Kamal kasar. "Nak mengajar aku? Rumah kebajikan ni atas usaha aku! Kau tak ada hak nak masuk campur! Aku boleh halau kau bila-bila masa. Dan kau boleh berhenti hantar makanan ke sini! Tak ada siapa peduli!"
Adriani tersenyum sinis. Dia tahu permainan ini. Dia tahu kini segala urusan logistik dan barangan mula diletakkan di bawah pengurusan luar, bukannya terus di bawah kelolaan Puan Salmah. Itu bermakna, semua makanan dan barangan mudah diseludup masuk tanpa pemantauan, termasuk makanan basi yang sampai ke meja makan warga tua.
"Kau ingat kau boleh teruskan semua ni? Aku boleh laporkan kau atas penyalahgunaan kuasa. Kau fikir aku tak tahu..."
Belum sempat Adriani menghabiskan kata-katanya, Encik Kamal terus memotong.
"Habis tu, kau nak tengok komuniti ni tutup? Hanya sebab kau nak tengok aku jatuh?" suaranya tinggi dan menyeringai, matanya terbeliak seolah yakin dia di posisi yang tak tergoyahkan.
"Hoi, budak! Kau nak letak mana orang-orang tua ni? Kalau aku jatuh, semua ni akan hancur! Tak akan ada apa-apa yang tinggal. Aku tak peduli pun pasal mereka!" ujarnya lagi, dengan penuh rasa bangga yang menjijikkan.
Adriani mengetap bibir. Tangannya menggenggam erat, cuba menahan dirinya dari bertindak lebih. Nafasnya ditarik dalam-dalam, cuba menyejukkan bara yang sudah sampai ke ubun.
"Kau buat hal kau... aku buat hal aku. Tapi kalau kau betul-betul nak tempat ni terus hidup untuk mereka, tutup mata, tutup mulut. Orang tua kat sini hidup senang... atas suapan yang aku terima juga. Aku tak makan sorang, budak!" ujar Encik Kamal dengan nada jengkel dan wajah yang langsung tidak menunjukkan rasa bersalah.
Kakinya kemudian melangkah meninggalkan Adriani, menuju ke arah Pengurus Dapur Dingin yang masih menunggu dengan wajah penuh tanda tanya. Jelas, mereka akan melanjutkan hal ini di meja lain, pada hari yang berbeza. Kini, hanya yang tinggal ialah luka dan kecewa yang mencengkam jiwa.
Adriani berdiri membisu. Pandangannya kosong, hati terasa berat. Apakah aku benar-benar tak boleh buat apa-apa? Apakah ini harga yang perlu dibayar hanya untuk mempertahankan mereka yang tidak berdaya?
Mawar menghampiri perlahan. Tanpa kata, dia menepuk bahu Adriani lembut cuba memindahkan sedikit kekuatan, meskipun dia sendiri sedang menyerap segala kekejaman yang baru disaksikan.
Dari sudut ruang makan, beberapa penjaga mula membawa warga emas ke meja makan untuk menikmati sarapan pagi mereka. Wajah-wajah tua itu tampak biasa, tiada yang tahu apa yang sedang berlaku di belakang tabir.
Adriani menarik nafas, melangkah ke arah pembantu dapur yang sejak tadi hanya memerhati dari balik dinding. Dia mendekati wanita itu.
"Buang semua makanan tajaan tu. Kita guna makanan yang kami bawa sendiri pagi ni," arah Adriani tegas.
Pembantu dapur itu segera mengangguk, tidak mempersoal. Dia tahu arahan itu datang dari hati yang ikhlas, bukan dari kuasa palsu yang disaluti kepentingan.
Share this novel