BAB 42 | PAKSA ATAU RELA

Drama Series 1053

Adriani membuka perlahan pintu tandas setelah memastikan langkah kaki pembantu pekerja tadi makin menjauh dan akhirnya hilang dari pendengaran. Dia mengintai seketika ke luar ruang pebincangan kosong, sunyi, hanya tinggal gema renyai hujan yang membasahi luar butik. Dengan dada yang masih turun naik menahan gementar, Adriani mengatur langkah pantas, berlari kecil keluar dari butik.

Tangannya sempat mencapai payung lipat yang terletak tempat khas disitu, lalu dia membuka pintu utama butik dengan penuh waspada. Saat melangkah keluar, dia menoleh ke belakang seketika, nalurinya masih curiga, takut ada mata yang memerhati.

Namun langkahnya tiba-tiba terhenti.

Tubuhnya terlanggar seseorang yang sedang berjalan dari arah hadapan. Payung lipat di tangannya tercampak ke sisi, terlepas dari genggaman. Adriani tergamam, matanya membulat. Payung yang ringan itu ditiup angin dan terus melayang, berpusing di udara sebelum terseret entah ke mana. Namun hujan yang sepatutnya membasahinya tidak sempat menyentuh tubuh, kerana payung lain kini terbuka di atas kepalanya, menaunginya dari tirai hujan.

Dia mendongak, dan sepasang mata tua penuh makna menyambut pandangannya.

Haji Zainal.

Senyuman tipis lelaki itu menghiasi wajahnya yang tenang, seolah-olah sudah lama menjangkakan pertemuan ini akan berlaku.

Adriani tegak berdiri. Lidahnya kelu. Jantungnya berdegup laju tanpa arah. Payung yang tadi melayang entah ke mana. Masalahnya, itu pun dia cuma pinjam daripada orang. Tapi yang lebih besar kini ialah persoalan yang terpampang di hadapannya, bagaimana Haji Zainal boleh berada di sini? Adakah dia turut sama menjadi orang penting dalam urusan pemilihan baju pengantin ini? Apakah dia tahu segalanya? Atau… sememangnya ini adalah rancangan yang jauh lebih tersusun dari sangkaannya?

Wajah Adriani masih terkejut, matanya sukar lepas dari lelaki tua yang kelihatan begitu tenang di bawah hujan.

"Mari kita bersembang dalam kereta. Hujan ni," ujar Haji Zainal dengan nada lembut dan ajakan yang tidak memberi ruang untuk ditolak.

Tanpa membantah, Adriani hanya mengangguk kecil. Kakinya melangkah perlahan di sisi lelaki itu, berlindung di bawah payung besar yang dibawa. Suara rintik hujan di sekeliling mereka seakan menjadi latar kepada sebuah bab penting yang bakal terbuka.

Dalam hatinya, gelora makin membuak. Langkahnya terasa berat, benaknya penuh persoalan.

Bagaimana aku nak jelaskan semua ini?

Dia tahu… dia pernah berkata, "Saya sanggup lakukan apa saja." Tapi ‘apa saja’ yang dia maksudkan saat itu bukan ini. Bukan untuk merelakan diri menikahi cucu lelaki yang tidak pernah dia fikirkan sebagai pasangan. Bukan begini.

Ya Allah, doa kecilnya dalam hati. Kalau benar ini ujian-Mu, bantulah aku. Keluarkan aku dari ketegangan dan kecelaruan ini sebelum aku lemas dalamnya.

Langkah mereka terus bergema di bawah langit kelabu yang menyimpan terlalu banyak rahsia. Dan di sinilah permulaan sesuatu yang mungkin tak mampu diundur lagi.

Hujan masih lebat mencurah, membasahi bumi tanpa henti. Lebuh raya utama mula dipenuhi kenderaan yang bergerak perlahan dalam kesesakan biasa ibu kota. Namun, di antara semua kesibukan itu, ada sebuah ruang yang lebih sesak bukan kerana sempit fizikal, tapi penuh dengan beban perasaan yang membuku tanpa suara.

Di dalam perut kereta mewah yang kedap bunyi itu, Adriani duduk di sebelah Haji Zainal. Sunyi. Tidak ada lagu dipasang, tidak juga radio dihidupkan. Yang kedengaran cuma denting halus hujan yang tertahan oleh cermin dan tubuh kereta. Pembantu peribadi Haji Zainal hanya fokus pada pemanduan di hadapan, tidak terusik dengan ketegangan yang perlahan-lahan menyesakkan ruang di belakang.

Adriani meluruskan tubuh. Kusyen empuk berlapik pemanas di belakang sedikit menghangatkan tubuhnya, tapi tidak mampu meredakan dingin yang mula membalut hatinya. Fikirannya ligat bermain-main dengan ribuan andaian. Entah ke mana dirinya dibawa, entah apa yang bakal berlaku sebaik sahaja kenderaan ini berhenti. Dia tahu, ini bukan perjalanan kosong.

Bibirnya cuba digerakkan. Sekian lama dia menahan diri, tetapi kesunyian ini terlalu berat untuk terus dibiarkan. Dia menarik nafas perlahan.

"Eh… Haji Zainal…" ucapnya perlahan, nada suara seperti memohon keizinan untuk berbicara.

"Panggil Tok Wan saja, Adriani," balas Haji Zainal lembut, menyampuk dengan senyuman kecil yang tidak sampai ke mata.

Adriani tidak menoleh. Wajahnya tetap tertunduk, menekur lantai kereta. Ucapan yang ingin disambung… mati di kerongkong. Lenyap seiring keberanian yang tadi disangka cukup untuk bersuara. Nafasnya terasa berat. Dia kembali membisu, enggan menjelaskan apa-apa. Mungkin kerana dia tahu, tiada penjelasan yang akan dapat memahamkan siapa pun tentang kekeliruan yang menyesakkan dirinya ketika ini.

Dalam diam itu, Haji Zainal memerhati. Dia tahu anak muda di sebelahnya itu sedang bergelut dengan perasaan. Ini bukan Adriani yang sama seperti yang pernah dia kenal tenang, berani, dan jelas dengan pendirian. Kini, gadis itu tampak seperti kehilangan arah.

Haji Zainal menghela nafas perlahan. Mungkin… dia juga sedar, tindakannya terlalu mengejutkan. Terlalu mendadak.

"Adriani rasa… apa yang Tok Wan buat ni… melampau ke?" soal Haji Zainal akhirnya, suaranya tenang tetapi berat. "Tok Wan tahu semua ini berlaku secara tiba-tiba. Tapi… percayalah, niat Tok Wan baik. Tok Wan ikhlas mahu kamu jadi cucu menantu Tok Wan."

Adriani diam. Nafasnya perlahan, hampir tidak terdengar. Dia hanya mendengar, tidak membalas.

"Tok Wan jujur bila Tok Wan kata… Tok Wan rasa tenang tengok kamu. Rasa tenang dan yakin. Kalau Tok Wan ada cucu lelaki lain yang lebih baik dari Edward, Tok Wan akan beri kamu pilihan. Tapi… ini permintaan pertama Tok Wan daripada kamu. Pertama… dan mungkin terakhir."

Nada suara tua itu kini kedengaran lebih perlahan. Seakan rayuan. Seakan harapan yang terakhir.

Tubuh Adriani kelihatan sedikit bergerak. Dia menoleh perlahan, seolah ingin membalas kata-kata itu. Tapi sebaik terpandang riak wajah Haji Zainal yang penuh mengharap, dia kembali tunduk. Kata-kata yang hendak dilafazkan… tertelan semula. Dia masih belum mampu menjawab. Belum mampu menerima. Dan yang paling dia tahu, dia belum mampu redha.

"Adriani… apakah ini berat… untuk kamu kabulkan permintaan Tok Wan?" soal Haji Zainal perlahan, kali ini penuh harap. Suaranya lembut, seolah-olah bimbang jika pertanyaannya akan menghancurkan harapan yang digenggam erat.

Wajah tua itu jelas menyimpan harapan. Pandangan matanya yang redup merayu pengertian. Tapi… hati Adriani menolak. Dia tahu dia tak mampu.

Dia menelan liur yang terasa kelat, lalu perlahan menggeleng. Kali ini dia tekad. Walau suara belum mampu keluar, namun jawapan hatinya jelas. Dia tidak boleh. Bukan begini caranya.

Dalam diam, Haji Zainal mengerti. Nafasnya ditarik dalam, lalu dihembus perlahan. Masih dengan senyuman kecil… meskipun terasa perit.

Dan hujan di luar terus turun, membasuh kaca tingkap yang semakin kabur seperti pandangan hati Adriani yang masih mencari cahaya keluar dari kekeliruan ini.

Kereta masih meluncur tenang di tengah kesibukan jalan raya yang basah. Hujan belum berhenti. Langit masih kelabu. Suasana di dalam kereta pula diam, namun bukan kerana kekosongan, tetapi kerana perasaan yang terlalu sarat untuk diungkapkan dalam kata.

Adriani menarik nafas dalam. Dia tidak boleh terus berdiam. Dia tahu hatinya tidak mampu membohongi kebenaran yang sedang menekan. Maka dia tekad suara itu perlu dikeluarkan, meskipun berat, meskipun penuh risiko.

"Tapi… kenapa saya?" soalnya perlahan, suaranya nyaring namun bergetar menahan resah. "Saya bukan mempersoalkan permintaan Tok… Tok Wan. Apalagi, saya bukan sesiapa kalau dibandingkan dengan keluarga Tok Wan."

Dia mengerling, kemudian kembali menunduk. Tangan yang bertaut di riba semakin erat genggamannya.

"Saya selesa hidup begini… Kenal Tok Wan hanya sebagai insan yang hebat, yang telah banyak membantu saya dalam beberapa hal… Tapi…"

Kata-katanya mati seketika. Tekak terasa kering. Dia menelan liur yang terasa pahit, namun kekuatan itu masih ada dalam hatinya. Ia perlu disuarakan. Demi dirinya, demi masa depannya.

"Maafkan saya, Tok Wan… permintaan ini terlalu berat untuk saya sambut dengan hati yang redha."

Kali ini dia beranikan diri menoleh. Tatapan mata mereka bertemu. Adriani menatap wajah tua itu dengan jujur dan hormat, walau dalam dirinya bergelora rasa bersalah.

Haji Zainal mendengar dengan tenang. Wajahnya tetap lembut, meskipun pasrah jelas terlihat pada garis senyumnya. Dia tahu, ini adalah jawapan yang sejak tadi terpendam dalam diam Adriani.

Namun… dia tidak marah. Tidak kecewa dengan cara yang menyakitkan. Sebaliknya, dia cuba tersenyum walau senyuman itu sedikit kelat, ia tetap sarat kasih.

"Tok Wan faham," ujar Haji Zainal tenang, perlahan, seperti berbicara dengan dirinya sendiri. "Mungkin keputusan ini terlalu tergesa-gesa. Adriani berhak buat pilihan… mungkin ada yang lebih baik."

Dia menghela nafas, menatap ke luar jendela yang dipenuhi titisan hujan. "Maafkan Tok Wan…"

"Tak…" balas Adriani pantas, suaranya sedikit mendesak. "Saya yang patut minta maaf. Sebab kecewakan Tok Wan. Tok Wan berniat baik… tapi saya.." Dia tertahan seketika. "Saya tak mampu. Tolong… maafkan saya."

Adriani menunduk sedikit lagi. Mata sudah terasa panas. Dia tahu keputusan ini berat. Tapi dia juga tahu, dia tidak boleh menerima sesuatu yang hatinya sendiri enggan menyambut.

Kerana perkahwinan… bukan sekadar akad dan majlis. Ia sebuah perjalanan panjang. Dan perjalanan itu terlalu mahal untuk dimulakan tanpa rasa rela.

Jari-jemari Haji Zainal yang berurat keras itu sedikit menggenggam tongkatnya. Namun wajahnya tetap lembut, tetap tenang. Dia menggeleng kecil, kemudian berkata dengan suara yang sangat damai:

"Jangan cakap macam tu, Adriani. Allah pasti aturkan perjalanan hidup yang indah untuk kamu… Tok Wan yakin. Dan Tok Wan doakan… siapa pun insan yang Allah hantar pada kamu nanti, dia akan bahagiakan kamu dengan hati yang tulus."

Adriani mengangguk perlahan, senyuman tipis menghiasi wajah yang masih diselubungi rasa bersalah. Tapi ada kelegaan yang menjalar dalam hatinya, kerana akhirnya dia bersuara, akhirnya dia memilih untuk jujur terhadap diri sendiri.

Dari luar, cahaya lampu jalan mula menyuluh jalan pulang. Dan ketika kereta berhenti di hadapan sebuah pangsapuri, Adriani tahu… ini titik noktahnya.

Walaupun Haji Zainal sudah pasrah, dan dia sendiri yakin keputusan ini tepat, Adriani masih dihimpit rasa bersalah. Tapi dia juga percaya, masa akan menyembuhkan segalanya. Dan bila hari itu tiba, tiada siapa akan terus terluka kerana keputusan yang pernah dibuat dengan hati terbuka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience