BAB 30 | HARAPAN YANG MASIH BERSISA

Drama Series 1053

Suasana bilik suite hotel itu sunyi. Hanya bunyi penghawa dingin dan desiran halus dari langsir yang tersentuh angin malam yang menemani ruang yang dulunya riuh dengan suara ceria Hazim.

Namun kini, tubuh kecil itu hanya terbujur diam di atas katil, tertidur dengan wajah sembam, masih berbekas garisan air mata yang belum sempat kering sepenuhnya. Matanya sedikit bengkak, dan lengan kecilnya memeluk patung beruang pemberian Adriani seolah-olah mencari pengganti dakapan seseorang yang dia rindukan. Hazim langsung tidak menjamah makanan malam itu, dan segala pujuk rayu dari Edward tadi hanya berlalu seperti angin, tidak meninggalkan sebarang kesan.

Edward bersandar lesu di atas sofa sambil menatal iPad di ribanya. Sekilas dia menjeling ke arah Haris yang duduk tidak jauh, tenang dan senyap dengan sebuah buku terbuka di tangan. Budak lelaki itu duduk bersila, wajahnya sedikit tenggelam di sebalik buku berjudul "Big Questions for Little People" karya Gemma Elwin Harris. Gaya dan sikapnya jauh dari tipikal budak berumur tujuh tahun. Ada sesuatu dalam tatapan dan bahasa tubuh Haris yang membuatkan Edward sedar sepupunya itu bukan kanak-kanak biasa.

Edward mengeluh kecil, tidak tahu kepada siapa harus dia lepaskan rasa bersalah yang menghimpit dadanya.

"Kenapa adik engkau tu?" soalnya dengan nada tidak puas hati. "Tak pernah buat hal macam ni. Selamba peramah pula dengan orang asing." Katanya sambil kembali menatap skrin, namun fikirannya nyata tidak berada di situ.

Haris tidak memberi sebarang respon, hanya terus membaca seolah-olah tidak terganggu. Edward memerhati dengan kening sedikit berkerut.

"Ingat lagi abang, Hazim tu memilih orangnys. Kalau tak dengan kau, Tok Wan, dan Mama korang je dia nak. Tapi tadi? Siap boleh landing dalam pelukan orang entah siapa." Keluh Edward, masih berharap Haris akan memberi reaksi.

"Haris, dengar tak abang tanya ni?" Nada suara Edward sedikit naik, menandakan dia mula hilang sabar.

Perlahan-lahan, Haris menurunkan buku dari wajahnya. Matanya menghala ke arah Edward, namun wajahnya kekal tenang tanpa emosi yang keterlaluan.

"Lepas abang tinggalkan kami... berapa minit baru perasan yang kami dah tak ada kat situ?" Soal Haris dengan nada datar, seolah-olah menegur dengan cara paling dewasa yang mampu dilakukan oleh seorang kanak-kanak.

Edward tidak terus menjawab. Haris menyambung, lebih perlahan, namun nada itu membawa sedikit kecewa yang ditahan.

"Kalau abang perasan cepat, mungkin sempat jumpa kat koridor tingkat hotel. Tapi masa tu Hazim tengah meragam, nak makan sangat. Saya pun... saya pun tak ingat lif mana yang kami masuk. Tahu-tahu, sampai dekat parkir atas hotel.

Nada Haris merendah. Kali ini, matanya menoleh dan menatap Edward dengan pandangan lebih jujur.

"Lepas keluar lif... Hazim lari. Mungkin sebab dia dengar bunyi bunga api meletup dari tingkat atas. Dia kejar bunyi tu. Tapi... dia hampir kena langgar." Suaranya mula perlahan. "Nasib baik kereta tu brek sempat. Kalau tak..."

Edward terkesima. Jantungnya berdetak laju. Rasa bersalah mula merayap lebih kuat dalam dada. Kalau Tok Wan tahu ni, mampus aku nak menjawab...

"Kenapa tak bagi tahu abang Yan awal-awal?" Edward bangkit dari duduknya. "Sepatutnya kita bawa Hazim pergi hospital, mana tahu ada luka.."

"Luka kecil je," potong Haris selamba, memintas tanpa sebarang riak panik. "Akak semalam dah ubatkan."

Edward diam, tercengang.

"Akak tu boleh je hantar kami dengan pengurus hotel," tambah Haris lagi, nadanya tenang, namun dalam. "Tapi dia pilih untuk stay. Walaupun dia tahu tu bukan tanggungjawab dia."

Haris kembali mengangkat bukunya, memulakan bacaan semula seolah-olah perbualan tadi sudah tamat. Edward terdiam, tak mampu berkata apa. Setiap butir ayat Haris tadi seperti menyisipkan cermin di hadapannya, cermin yang memantulkan semua kelemahannya sebagai abang, penjaga, dan manusia.

Matanya kini beralih ke arah pintu bilik yang masih tertutup. Di balik daun pintu itu, Hazim sedang mengurungkan diri, memeluk pilu dalam diam yang dia sendiri cipta. Edward menelan liur, rasa bersalah makin menyesakkan dada.

Dia tahu semua ini berpunca dari dirinya sendiri.

Selesai menikmati makan malam di ruang makan hotel, Adriani melangkah keluar dari lif bersama dua orang rakannya, Laila dan Mawar. Ketika pintu lif terbuka di tingkat bilik mereka, langkah mereka terhenti secara tiba-tiba.

Seorang budak kecil sedang duduk bersandar pada dinding di tepi panel butang lif. Tubuhnya memeluk lutut, wajahnya tersembunyi di celah-celah lengannya yang kecil. Nafasnya naik turun perlahan, dan bahunya sedikit terguncang seperti sedang menahan esak.

Adriani terdiam seketika, dahinya berkerut memerhati sosok itu.

Hazim? Hatinya berbisik, cuba meneka.

"Aku ingat toyol tadi..." gumam Laila perlahan, membuat Mawar menjegilkan mata sambil menepuk lengannya ringan.

"Apa cakap macam tu..." bisik Mawar, turut terkejut namun lebih berwaspada. Laila kerut dahi, dia terkujut kot.

Adriani segera melangkah ke hadapan, berlutut di hadapan budak itu. Tangannya terangkat perlahan menyentuh rambut Hazim yang kusut dan sedikit lembap, mungkin kerana peluh atau tangisannya.

"Hazim?" panggil Adriani lembut.

Budak itu mendongak perlahan. Matanya yang sembam mula bersinar sebaik mendengar suara yang dikenalinya. Tanpa sepatah kata, Hazim terus memeluk Adriani erat-erat, seolah-olah melepaskan segala rindu dan kekecewaan yang terkumpul sejak petang tadi.

Tubuh kecil itu menggigil sedikit dalam pelukan. Adriani terkedu. Pelukan itu bukan sahaja mengejutkannya, malah menambahkan rasa bersalah yang memang sedia bersarang dalam dirinya sejak gagal menunaikan janji kepada budak itu.

"Ash... siapa ni?" soal Mawar teragak-agak.

"Bila masa kau ada adik?" tambah Laila yang masih terpinga-pinga.

"Anak orang," balas Adriani sambil mengelus rambut Hazim. "Tiba-tiba je nak jadi adik angkat aku."

Laila dan Mawar saling berpandangan. Adriani kemudian mengangkat Hazim dan mendukung tubuh kecil itu ke dalam pelukannya. Wajah putih kemerahan itu tersembunyi di bahunya, seolah-olah tidak mahu dilepaskan lagi.

"Kau nak bawa ke mana budak ni?" tanya Mawar, masih keliru.

"Mana-mana lah... janji reda sikit rajuk dia ni," ujar Adriani sambil berdiri dan menekan semula butang lif.

"Korang nak ikut tak?" tanyanya sambil menoleh, namun kedua-dua kawannya hanya berdiri terpaku.

"Eh tak apalah. Aku ada kerja esok, nak kena submit pada bos awal pagi," kata Laila cepat-cepat, sambil menjeling ke arah Mawar yang sudah bersedia dengan alasan sendiri.

"Aku check out malam ni. Barang penggambaran pun aku kena hantar ke set baru kita," ujar Mawar sambil menepuk bahu Adriani perlahan. "Kau settle je lah dengan adik angkat kau tu."

Adriani senyum kecil dan mengangguk. "Jangan lupa datang awal sikit rumah aku esok," pesannya.

Mawar hanya mengangkat tangan sambil melambai dan berlalu pergi. Laila pula masih terpaku, seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku.

"Semoga bergaya. Jaga elok-elok anak orang tu, Ash," laung Laila dengan nada separuh bergurau, sebelum pintu lif tertutup membawa Adriani dan Hazim pergi dari pandangan mereka.

Laila berpaling ke arah Mawar yang sedang membuka pintu biliknya.

"Berani betul si Ash tu, bawa anak orang," katanya, dengan nada ingin mengorek cerita.

"Lah, budak tu yang datang sendiri. Tengok CCTV jeh sebagai bukti, kalau jadi apa-apa nanti." balas Mawar malas, sambil menatal mesej masuk di telefon bimbitnya.

"Entah-entah… skandal dia?" Laila menopong mulut dengan riak muka yang konon terkejut.

Mawar yang sedang menaip terus berhenti. Dia kerling tajam ke arah Laila, membuat gadis itu tersentak.

"Bodohlah kau ni. Kalau aku bagitahu Ash yang kau cakap macam tu, mampus hidup kau." Mawar mengerling geram sebelum menonong masuk ke dalam biliknya.

Laila tergelak kecil sambil mengejar dari belakang.

"Eh janganlah! Aku gurau je…" katanya, masih dengan senyuman bersalah.

Mawar buat tak endah dan menutup pintu bilik tanpa menoleh.

Laila tergaru kepala yang tidak gatal. Mampus aku kalau Mawar serius cakap dengan Ash. Walaupun Adriani jenis yang selamba dan cool, dia tahu satu perkara bila wanita itu betul-betul marah, satu dunia pun boleh rasa getarnya. Dan pernah sekali dia saksikan aura menakutkan itu… membuat orang yang terkena, terus taubat tak ulang silap yang sama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience