BAB 16 | RIGHT PERSON WRONG TIME

Drama Series 1053

Adriani melangkah santai di atas lintasan pejalan kaki, dibalut kemeja biru kelabu yang longgar mengalun ditiup angin tengah hari. Seluar berpotongan lurus rona krim menambah kelembutan pada gayanya, serasi dengan beg silang kanvas berwarna gading yang terletak kemas di bahu. Tudung polos membingkai wajahnya, menyempurnakan penampilan santai namun bergaya, seolah-olah dia adalah watak utama yang sedang menelusuri bab baharu dalam novel hidupnya.

Hari itu, buat pertama kalinya sejak mereka tiba di kota asing ini, Adriani diberikan kebebasan oleh CikL untuk pergi ke mana-mana tempat sendiri, tanpa sebarang jadual atau batasan. Sebelum mereka kembali pulang ke Malaysia, inilah masanya untuk dia menyulam kenangan terakhir sendirian, mengikut jejak langkah hatinya sendiri. Dalam tenang pagi itu, setiap langkah terasa bermakna, seolah-olah dunia sedang membuka lembaran khas hanya untuknya.

Di satu sudut tersembunyi Gangnam, jauh dari hiruk-pikuk neon Apgujeong dan bunyi enjin kereta mewah, ada lorong kecil yang dinamakan Daerim-gil 42  lorong yang tak pernah masuk peta pelancong, tapi diingati oleh mereka yang pernah singgah dan diam sebentar dari dunia. Di penghujung lorong itu berdiri sebuah kedai buku lama bernama Munhwa Jib (문화집), yang bermaksud Rumah Budaya. Tiada papan tanda besar, hanya tulisan halus berdebu di tingkap kaca yang memantul bayang pohon gingko tua di hadapan kedai pohon yang gugurkan daunnya setiap musim luruh seperti helaian waktu yang jatuh perlahan. Di luar kedai, bangku kayu panjang menghadap jalan sempit, sering diduduki oleh pengunjung yang sekadar mahu duduk diam, atau membaca surat yang tak pernah sempat dikirim.

Adriani pernah melalui tempat ini beberapa bulan yang lalu, sewaktu dia datang ke Korea untuk menyiapkan projek skrip fantasy yang kini sudah pun selesai ditayangkan. Ketika itu, dia hanya melintasi kawasan ini secara tidak sengaja sekadar mahu mengenal rasa 'hilang arah' dalam bandar besar. Tapi peliknya, jalan ke tempat ini masih lekat dalam ingatan, seolah-olah Daerim-gil 42 telah menyimpan koordinatnya dalam lipatan memori.

Hari ini, dia kembali. Bukan kerana apa-apa yang besar. Cuma... dia mahu duduk. Diam. Dan jadi 'tiada siapa' untuk seketika.

Untuk mengelakkan rasa canggung duduk tanpa tujuan, Adriani masuk ke dalam Munhwa Jib sambil membimbit segelas coklat cheese yang dibelinya dari sebuah kafe di hujung lorong. Bau buku lama menyambut seperti pelukan senyap, dan dia melangkah perlahan-lahan melewati rak kayu yang tersusun rapi, dipenuhi jilid-jilid yang tampak seperti sudah melalui beberapa dekad. Tangannya berhenti pada satu buku yang mempunyai ilustrasi taman bunga di tepi tasik entah buku tentang apa, semuanya ditulis dalam Hangul yang dia sendiri tak pandai baca. Tapi Adriani mengambil juga. Kadang-kadang, sesuatu itu tak perlu difahami pun untuk dihargai.

Dia meletakkan minumannya di atas meja kaunter dan menghulurkan beberapa keping won kepada Mr. Baek, pemilik kedai yang masih sama pendiam seperti dahulu. Tiada kata, hanya anggukan kecil yang cukup untuk menandakan 'terima kasih'.

Ketika melangkah keluar untuk mengambil tempat duduk di bangku kayu luar, matanya sempat menangkap sosok lelaki bertopi dan bermask putih masuk ke dalam kedai. Adriani terkedip kecil dia sangka hari ini dia seorang saja pelanggan Mr. Baek.

Namun dia tidak peduli. Hari ini bukan tentang orang lain. Hari ini tentang diamnya dia sendiri.

Adriani mengambil tempat duduk di luar, meletakkan buku di atas meja, lalu mencapai minuman coklat cheesenya yang sudah mula berkondensasi di sisi cawan plastik. Dia menyedut perlahan, menikmati kesejukan krim dan manis yang mencair dalam mulutnya.

"Wah..." keluhan kecil yang hanya untuk dirinya.

Kakinya disilang dan digerak-gerakkan perlahan, menandakan betapa lega dan bebasnya tubuh itu hari ini. Buku di atas meja dibiarkan terbuka begitu saja bukan kerana tidak mahu membaca, tapi kerana dia tahu, tulisan Hangul itu bukan miliknya untuk dicerna.

Dia cuma mahu duduk. Menikmati tenang.
Dan diam-diam berharap dunia tak mencari dia buat seketika.

Adriani membuang pandang ke arah dua budak lelaki dan perempuan yang berjalan beriringan menyusuri lorong Daerim-gil 42. Mereka kelihatan seperti pulang dari sekolah, dengan beg sandang kecil dan tawa perlahan yang berpantul pada dinding bata. Adriani sempat melemparkan senyuman tipis. Budak-budak itu membalas dengan senyuman malu-malu sebelum berlari anak-anak ke hujung jalan. Mungkin mereka tinggal di kawasan perumahan lama yang tersembunyi di belakang bangunan-bangunan ini.

Dia menghela nafas perlahan. Sejak kecil, dia tak pernah ada teman sepermainan seperti itu. Hidupnya diisi dengan buku-buku bergambar, pensel warna, dan dinding rumah yang sunyi. Masa kanak-kanaknya bukan milik permainan, tapi milik imajinasi. Bila sudah dewasa pun, Adriani kekal sendiri bukan kerana dia tak mahu berteman, tapi kerana tiada siapa yang benar-benar tinggal lama.

Masa sekolah menengah? Tiada sahabat sejati, hanya kawan kelas yang kini entah ke mana mungkin sudah pun melupakan kewujudannya.
Dan semasa di kolej... wajah seorang lelaki terlintas di kepalanya. Seorang nerd yang tanpa sengaja menjadi teman seperjalanan dalam tugasan berkumpulan. Mereka tak pernah benar-benar berkawan, tapi lelaki itu selalu ada di perpustakaan, dengan buku-buku tebal dan cermin mata yang hampir jatuh dari hidungnya. Orang panggil dia noob, tapi dia adalah budak pandai yang senyap, seperti dirinya. Adriani terfikir entah bagaimana hidup lelaki itu sekarang. Masih membaca? Masih senyap?

Dia menarik nafas dalam. Pandangannya terarah ke langit biru, yang bersih tanpa awan. Ada damai yang datang dari atas, lebih jujur daripada apa-apa yang pernah diberi manusia.

"Sorry… itu minuman saya."

Sapaan garau itu datang dari sisi. Bahu Adriani terangkat kecil, terkejut seketika sebelum pantas berpaling. Suara itu memecah lamunan, seperti hujan pertama selepas kemarau panjang.

Lelaki bertopi dan bermask putih berdiri di sebelahnya, satu tangan menunjuk ke arah cawan coklat cheese yang kini ada di tangannya minuman yang tadi disangka miliknya sendiri.

Adriani terpaku. Mata mereka bertaut sejenak, walau hanya satu pasang mata yang kelihatan di balik topeng putih itu. Ada sesuatu pada nada suara lelaki itu...
Sesuatu yang membuatkan jantungnya tiba-tiba berdetak lebih perlahan, seolah-olah sedang bersedia menghadapi babak yang tak dijangka.

Mendengar suara garau lelaki itu mengaku bahawa minuman yang kini berada dalam genggamannya adalah miliknya, Adriani tersedak kecil tersentak seolah-olah baru tersedarkan bahawa dia telah menjadi pencuri tak sengaja. Dia cepat-cepat menepuk-nepuk dadanya yang terasa sempit, sambil menahan malu yang merangkak naik ke pipi.

Lelaki itu hanya sengihkan kepala, seakan tidak kisah. Matanya satu-satunya bahagian wajah yang kelihatan dari sebalik topeng putih itu sekadar menatap Adriani dengan renungan samar, entah geli hati atau... pelik.

Adriani mengangkat tangan, memberi isyarat maaf sambil mengerut dahi. "Sorry..." gumamnya perlahan.

Seolah memahami situasi, Mr. Baek muncul dari dalam kedai sambil membawa satu lagi minuman dalam cawan plastik yang rupanya tertinggal di atas kaunter pembayaran. Seperti biasa, tiada sepatah kata keluar dari bibir lelaki tua itu. Wajahnya kekal datar, seolah hidup ini sudah terlalu banyak drama untuk dilayan satu lagi kisah minuman tertukar. Beliau meletakkan minuman itu di atas meja di hadapan Adriani, sebelum masuk semula ke dalam kedai dengan langkah perlahan dan aura zen seorang lelaki yang sudah lama menyerah pada karenah manusia.

Adriani hampir merona merah. Malunya bukan kepalang. Boleh pula dia menyedut minuman orang tanpa segan silu dalam kepala pula rasa yakin betul itu miliknya. "Ingat aku sorang je tekak ada cita rasa coklat cheese di tengah-tengah bandar sunyi ni," desisnya perlahan sambil mengangkat muka, menyusun senyum malu yang dibuat-buat.

"So... sorry bro. Aku ingat coklat cheese aku tadi," ujar Adriani tergagap, menahan malu yang kini menimbun tinggi seperti gunung di dada.

Lelaki itu mengerut dahi sedikit, kemudian membuka topi di kepalanya tanpa berkata apa-apa. Dia menarik kerusi di hadapan Adriani dan duduk tanpa izin dengan gaya seseorang yang sangat mengenali tempatnya, atau... mengenali orang di depannya.

Adriani keliru. Dalam hati, dia dah mula bebel. Dah kenapa mamat ni? Kalau nak ganti rugi, aku boleh bayar. Tapi kenapa duduk macam kitorang kawan sejak azali?

"Jauhnya kau berjalan sampai sini?" soal lelaki itu tiba-tiba, nadanya santai tapi matanya seperti menyimpan makna. Mask masih menutup wajahnya, tapi mata itu... mata yang terasa terlalu mesra untuk orang asing.

Adriani membalas renungan itu dengan satu angkatan kening kanan. Serius. Dia siapa? Sejak bila aku ada kenalan kat Korea yang pandai cakap Melayu pula ni?

"Asal kau blur. Dah tak kenal aku?" Lelaki itu senyum, matanya mencerun sedikit hampir seperti tertawa.

"Kau siapa?" soal Adriani dengan nada datar. Langsung tak berminat nak buka sesi 'Jejak Kasih' yang tak diundang. Dalam kepalanya, masih berdengung malu sebab menyedut air orang.

"Zayyan Keal… tak kenal ke?" soalnya lagi, kali ini seperti menunggu pengenalan semula yang dramatik.

Belum sempat Zayyan menyambung, Adriani sudah mencelah.

"Oh.. BoyLand." balas Adriani bersahaja, jelas tidak peduli.

"Bukan sebagai BoyLand…" Zayyan membuka mask-nya perlahan. Wajahnya kini jelas kacak, licin, dan cukup berpotensi untuk digantung di iklan penjagaan kulit atau poster drama bersiri. Tapi Adriani masih dengan ekspresi datarnya, langsung tak terkesan. Dah biasa tengok filter TikTok imun.

"Hoi, ini aku lah. Kael! Kita sama kolej dulu. Asal buat muka tak guna macam tu?" Zayyan tergelak kecil, sambil melambai-lambai tangan di depan muka Adriani macam sedang cuci skrin telefon.

Adriani terdiam sebentar. Jem. Keal? Siapa Keal? Otaknya berpusing laju macam buffering YouTube dalam Wi-Fi lemah. Kemudian klik! Satu memori muncul.

"Noob ke?" Adriani terlopong kecil. Satu nama yang dulu sering disebut dalam bisik-bisik dan ejekan mesra masa kolej.

Zayyan mengangguk perlahan, wajahnya seolah-olah baru ditikam dengan perkataan yang telah lama cuba dikuburkan. "Nama aku Zayyan Keal lah, bukan Noob." Dia mencebik kecil, seakan trauma lama dibuka semula.

"Hoi! Hahaha. Macam mana kau boleh ada kat sini?" tanya Adriani, kali ini dengan nada lebih hidup. "Hoi, lama gila tak jumpa kau! Tengok-tengok dah jadi artis Korea pula!"

Zayyan mengangkat kening. "Hah, baru ingat. Kau dulu tak pernah panggil nama aku pun. Hoi sana, hoi sini. Aku ada nama lah sebenarnya!"

"Lantaklah. Macam mana kehidupan kau sekarang? Dah kahwin?" soal Adriani selamba, nada semberono seperti biasa dan soalan itu terus membuatkan Zayyan tersedak sendiri sampai terbatuk-batuk. Beberapa burung atas bumbung pun turut melompat kecil, terkejut.

"Eh, tanya pasal cuaca keh? Ini main selambah tanya status hidup pula." Zayyan akhirnya membalas sambil lap bibir.

Adriani tergelak perlahan. Dan untuk pertama kali hari itu, suasana di Daerim-gil 42 terasa lebih hangat daripada biasa. Seolah-olah, dari seteguk minuman yang tersalah ambil satu memori lama telah terhidup semula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience