BAB 9 | SIAPA MEREKA

Drama Series 1053

Pagi itu, seperti biasa, Adriani duduk di salah satu sudut kafe bangunan produksi, menghadap roti cheese yang masih hangat dan segelas teh ais yang berembun dingin. Suasana masih belum sibuk. Dia selesa begitu tenang dan jauh dari kesibukan kru produksi yang akan mula berkumpul sebentar lagi untuk sesi penggambaran di banglo yang telah disewa khas.

Tangannya rancak membelek skrip 'Bila Hati Berputik', naskhah yang kini berada di bawah tanggungjawabnya setelah penulis asal mengambil cuti bersalin. Beberapa dialog telah diubah, bukan sesuka hati, tapi demi memperkemas naratif dan memastikan kekuatan emosi setiap watak.

Sedang dia leka, suasana kafe yang tenang tiba-tiba diganggu bunyi ketukan tumit yang menghentak lantai seakan membawa badai. Seorang wanita dengan wajah ketat dan berkaca mata hitam meluru masuk langkahnya deras dan sarat emosi. Dia bukan orang asing.

Ashly.

Pelakon tambahan yang terkenal dengan sikapnya yang lebih besar daripada wataknya. Kaca mata hitam ditarik kasar ke atas kepala sebaik sahaja mata bertemu sosok Adriani yang sedang duduk bersahaja. Tanpa sebarang sapaan atau adab, Ashly menghampiri meja Adriani lalu menghempas skrip ke permukaan kayu itu.

"Aku tanya kau. Kau penulis baru yang pihak produksi sebut tu?" bentaknya lantang, penuh amarah.

Terkejut sedikit dengan nada biadab itu, Adriani mengangkat wajah. Dahinya berkerut, namun matanya tetap tenang.

"Ya, Cik Ashly. Ada apa pagi-pagi terjah orang macam nak sampaikan berita meletup sangat ni?" balasnya malas, mencuba menahan geram yang tiba-tiba menyelinap.
"Setahu saya, babak awak tak ada hari ni." sambungnya lagi, sebelum meletakkan skrip yang dibeleknya ke atas meja, lalu memandang wanita itu dengan wajah datar.

Ashly masih berdiri di sisi, wajahnya kian merah padam.

"Aku dah hafal skrip lama aku seminggu yang lepas! Kau siapa nak ubah semua tu?! Kau tahu tak betapa susahnya nak masukkan emosi dalam dialog? Sekarang kau tukar, aku kena mula dari awal!" tengkingnya garang.
"Kalau ada perubahan pun, kau patut direct bagi tahu aku! Kau ingat senang ke buat semua ni?!"

Adriani menyengih, menarik nafas lelah. Dalam hati dia menjerit Ingat dia sorang je nak senang? Kalau macam tu, tak payah jadi pelakon. Jadi penonton je lah. Mudah.

"For your information, aku dah e-mel kau dua kali. Kalau kau tak sedar, itu masalah kau. Be professional bila kerja sebagai pelakon. Where’s your manager? Makan gaji buta ke?" jawab Adriani, nadanya sinis tapi tenang, sebelum dia turut bangun berdiri.
"Aku tak ubah banyak pun. Cuma betulkan beberapa dialog bagi lebih kemas dan padat dengan point jalan cerita. Bukan skrip kau sorang je aku ubah. Watak utama pun setuju. Kau masih ada seminggu lebih sebelum penggambaran. Nak kecoh apa?" ujarnya lagi, kini berdiri tegak, merenung Ashly tepat ke wajah.

Namun Ashly seolah-olah menanti ruang untuk meledakkan emosi.

"Jangan nak pandai sangat. Tugas kau buat skrip untuk pelakon, bukan ubah sesuka hati! Pelakon macam aku ni, ada standard! Kau ingat kalau tak ada pelakon, jalan cerita kau boleh jalan ke?! Kau yang kena buat semua benda supaya pelakon boleh bawa watak dengan betul! Stupid!" jerit Ashly, kini bukan sahaja marah, tapi terasa tercabar seakan Adriani cuba menjatuhkan harga dirinya sebagai pelakon.

Adriani mencebik. Stupid? Kau tak kenal siapa aku lagi, ya?

"Kau ingat kalau tak ada skrip, kau boleh berlakon dengan dialog sendiri?! Kalau Cik rasa dialog yang saya ubah tu boleh rosakkan karakter Cik, mungkin masalahnya bukan pada skrip. Tapi pada pemahaman Cik terhadap watak tu sendiri." bentaknya, kali ini nadanya lebih tajam, kening terangkat marah.
"Aku boleh tentukan siapa pelakon yang sesuai untuk skrip aku. Kalau mentality kau masih macam ni, lebih baik kau pergi mampus dengan ego kau tu." ujar Adriani tanpa gentar, sebelum mengambil semula skrip dan minuman.

"Kau cakap apa?!!" Tengking Ashly dengan nada kasar yang dilontarkan oleh Adriani tatkala itu.

Adriani mengabaikan saja tengkingan wanita perasan Diva tu, langkah diatur untuk pergi. Tapi sebelum meninggalkan tempat itu, dia menoleh sekali lagi, suaranya datar tapi penuh sindiran terakhir.

"Kerja seni ni kerja sama. Tapi kalau kau nak semua ikut kepala kau, elok kau buat monolog sendiri atas pentas, sorang-sorang. Baru puas hati." Ujar Adriani dengan riak wajah dinginnya, dia bukan mudah tunduk pada pelakon gila, yang ingin dipenuhi segala kemahuannya.
"Saya tak ubah skrip untuk susahkan sesiapa. Saya ubah sebab saya tahu penonton perlukan cerita yang jelas dan kuat. Kalau itu pun susah Cik nak terima, mungkin Cik masih belum bersedia nak jadi pelakon sebenar." Sambung Adriani, melihat Ashly yang hanya mampu diam merendam jengkel, langkah diatur meninggalkan suasana tegang itu.

Ashly terdiam. Mata masih membara, tapi lidahnya terbelit. Adriani telah pun pergi, meninggalkan kafe itu dengan sisa amarah yang terpaksa ditelan sendiri oleh wanita yang masih berdiri kaku di sisi meja.

Penggambaran drama bersiri masih lagi berjalan lancar di sebuah rumah banglo mewah yang dijadikan set utama. Matahari petang menyimbah cahaya keemasan ke seluruh ruang, menambah keindahan suasana. Namun di sebalik ketenangan itu, Adriani Afsheen tetap fokus, berdiri tegak di salah satu ruang rumah sambil matanya tak lepas memerhati pelakon yang sedang membawa watak masing-masing. Riak wajahnya serius dan tak terganggu oleh hiruk-pikuk sekeliling. Semua tahu, apabila Adriani sudah mula bekerja, jangan sesekali cuba mengajaknya berbual. Dia berada dalam dunianya sendiri dunia skrip, karakter dan adegan yang sedang dibina.

Usai babak tersebut, pengarah memberi isyarat rehat seketika untuk menyiapkan set bagi babak seterusnya. Para pelakon beransur-ansur bersurai, mengambil tempat masing-masing, ada yang berbual, ada juga yang mencari makanan. Adriani pula kembali duduk di perkarangan beranda rumah, naskhah skrip masih di tangan. Dahinya berkerut-kerut, cuba menghadam baris-baris dialog untuk babak yang bakal dirakam sebentar lagi.

Dari kejauhan, Mawar rakan sekerjanya yang bertugas sebagai pengarah seni memerhati Adriani sejak tadi. Dia tahu benar perangai Adriani. Gadis itu bukan jenis yang suka diganggu ketika sedang bekerja. Namun naluri ingin tahu Mawar semakin membuak. Sejak pagi dia menahan diri, tapi kini waktu rehat inilah peluangnya.

Dengan berhati-hati, Mawar melangkah menghampiri. Tangannya memegang bungkusan makanan dan sebotol air. Tanpa banyak bicara, dia meletakkan makanan di hadapan Adriani lalu duduk bertentangan. Adriani hanya mengerling seketika, kemudian kembali menumpukan perhatian pada skrip di tangannya. Makanan yang baru disuap ke mulut pun masih belum habis dikunyah.

"Apa cerita tadi pagi?" soal Mawar dengan senyum nakal, cuba membuka bicara. "Katanya ada yang terpekik-terlolong kat kafe, pelakon tambahan pulak tu. Tak malu ke?"

Adriani mendengus perlahan, malas nak melayan. Sudah biasa dengan Mawar yang memang suka bergosip bila ada peluang. Tapi dia tetap menjawab, sekadar mencukupkan syarat.

"Apa yang kau nak tahu?" soalnya datar, tanpa sebarang ekspresi. Tubuhnya bersandar pada kerusi, masih mengunyah nasi yang belum sempat ditelan.

"Semualah. Yang pelakon last minit tu, bukan main berlagak. Macam dia heroin utama!" Mawar merungut sambil menghirup air.

Adriani sekadar mengangkat kening. "Dia bagus je. Sesuai dengan watak antagonis dalam drama tu. Kau tak payah jadi batu api sangat," balasnya selamba sambil menyuap lagi makanan ke dalam mulut. Namun tergopoh-gopoh benar, sampai tersekat nasi di kerongkong.

"Yelah, dia tu pun bukannya tahu yang kau yang cadangkan nama dia pada produser. Elok juga dia dapat job balik. Dah lama sendu, asyik buat live promote produk je sebelum ni." Mawar mengeluh perlahan. Dia hairan kenapa Adriani tak pernah kisah semua tu. Kalau orang lain, mesti dah riuh satu set.

"Tak penting pun dia tahu. Benda kecil je. Kau pergi buat kerja kau lah. Dah nak habis waktu ni. Kau tu art director, kerja kau dah siap?" suara Adriani mula tegas, dahinya sedikit berkerut.

Mawar memuncung, geram tapi tak mampu nak lawan logik. Memang begitulah Adriani keras hati dan sukar dibaca. Sejak mereka bekerja bersama, belum sekali pun dia nampak Adriani benar-benar marah atau menunjukkan emosi yang jelas.

"Aku tahulah..." balas Mawar perlahan, sebelum bangun dan mula melangkah pergi. Namun belum sempat dia jauh, sesuatu terlintas di benaknya.

Dia berhenti, memaling semula ke arah Adriani. "Eh, kau dah leave group FanTask ke?"

Adriani masih duduk, tak memandang pun Mawar. "Dah sebulan lebih aku leave. Kau baru perasan?" jawabnya sambil akhirnya bangun juga dari duduk.

"Hah? Aku baru perasan sebab CikL mention nama kau dalam group. Asal kau leave?" soal Mawar, kini berjalan seiring dengan Adriani ke arah ruang utama semula.

"Tak ada alasan besar. Sejak aku buat kerja tu, memang masyuk. Gaji besar. Tapi bila terlalu banyak permintaan mengarut, tempat bising, ramai orang, semua nak cepat... aku malas," luah Adriani tenang, tapi jelas jujur. Nada suaranya berat. Keletihan mental tak selalu nampak pada riak wajah, tapi terbit dalam cara dia menyebutnya.

"Memanglah, tapi tu lah kerja dia. Sehari RM1,000 kot. Berbaloi tu. Minggu depan aku ada job baru. CikL tu nak kau juga ambil kerja tu. Dia kata dia bayar kau lebih kali ni," Mawar cuba memujuk, tak mahu Adriani lepaskan peluang.

"Nantilah aku fikirkan," balas Adriani sambil terus melangkah, malas nak janji.

"Kau jangan nanti-nanti. Orang susah macam kita ni, nak senang kena buat kerja lebih sikit." Mawar tergelak kecil, cuba bergurau, walaupun tahu Adriani mungkin takkan membalas.

Namun walau wajah itu dingin dan suara tak beriak, Mawar tahu Adriani bukan sekadar keras hati. Dia menyimpan banyak rasa yang tak diucapkan, dan dunia kerja inilah satu-satunya tempat dia berikan seluruh dirinya tanpa kompromi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience