BAB 35 | BAKAL CUCU MENANTU

Drama Series 1053

Adriani melangkah keluar dari kereta BMW milik Haji Zainal dengan hati yang masih terikat oleh rasa ragu. Dia tidak menyangka pengawal peribadi lelaki itu sendiri yang datang menjemputnya sedangkan Haji Zainal akan menyusul kemudian menaiki kenderaan lain. Kini, kereta mewah itu sudah pun terparkir kemas di hadapan sebuah restoran eksklusif yang dihiasi papan nama 'Le Cendré', sebuah restoran yang tersergam dengan sentuhan seni bina Perancis, namun diusahakan oleh pemilik Muslim.

Berdiri di hadapan restoran megah itu, Adriani terasa kecil dengan dirinya sendiri. Dia menelan perasaan gementar yang tiba-tiba merayap dalam diam. Yusuf, pengawal peribadi Haji Zainal, telah pun menyerahkan kunci kereta kepada petugas valet yang menanti di pintu masuk. Tanpa berlengah, Yusuf mempersilakan Adriani mengikutinya ke ruang yang telah ditempah khas. Adriani menarik nafas panjang, cuba menenangkan debar yang mula menggetar di dada.

Langkahnya tenang, meskipun jiwanya sedikit kelam. Penampilannya tersusun rapi, seiring gaya santun yang digayakan. Sepersalinan serba krim membalut tubuhnya kemas blouse labuh berlengan kembang yang tampak elegan, dipadankan dengan skirt pleated yang beralun lembut setiap kali dia melangkah. Tudung satin berona kelabu lembut dilabuhkan menutupi dada, mencipta siluet yang terjaga dan sederhana. Di bahunya tergantung beg kecil warna senada, dan sepasang ankle boots hitam bertumit blok menghiasi kakinya, menyerlahkan kesopanan yang tidak pernah melupakan sisi anggun.

Matanya melilau ke sekeliling. Ruang dalaman restoran itu tampak mewah, dengan bilik-bilik eksklusif tersusun rapi dan ruang makan terbuka yang dihias mewah cukup untuk membuatkan biji matanya berbinar. Lampu-lampu kristal bergemerlapan menggantung di siling, memantulkan cahaya keemasan yang menambahkan suasana mewah dan berkelas. Langkah Adriani tetap, terus mengikut Yusuf yang membawa ke sebuah ruang yang lebih tertutup. Pintu berwarna merah menyambut di hadapan mereka, tampak eksklusif dan berautoriti. Yusuf membuka pintu tersebut sebelum mempersilakan Adriani masuk.

Namun tubuh Adriani tidak terus melangkah. Dia berdiri tegak seakan-akan terikat, nafasnya pendek-pendek, seperti ada sesuatu yang menghimpit dadanya. Debaran di dada kian menjadi, kaki terasa kaku di atas karpet merah mewah yang membentang hingga ke dalam ruang khas itu.

"Cik Adriani, silakan," ujar Yusuf lembut, namun Adriani hanya terpaku, pandangannya kosong dan samar.

Suasana menjadi senyap seketika, sebelum satu bunyi hentakan tumit tinggi memecah keheningan. Adriani dan Yusuf menoleh serentak.

Seorang wanita pertengahan tiga puluhan melangkah masuk bersama seorang wanita muda yang barangkali awal dua puluhan. Gaya mereka penuh anggun, aura yang dibawa tidak biasa. Pakaian yang disarung mereka jelas dari jenama mewah, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Setiap langkah wanita itu penuh keyakinan, penuh dengan gaya dan status.

Adriani menelan liur. Tekaknya terasa berpasir, dan jantungnya kini berdegup laju seolah-olah mahu melompat keluar dari dada. Tatapan tajam wanita itu menikam ke arahnya, jelas menyimpan satu penolakan yang dingin. Seperti wajah yang langsung tidak menyukai kewujudan Adriani di situ.

"Yusuf," suara wanita itu kedengaran dingin, sedikit bernada sinis. "Care to explain who she is?

Nada suara itu menikam terus ke jantung Adriani. Tanpa sedar, keningnya terjongket perlahan, seolah cuba mencari kepastian pada wajah wanita di hadapannya itu. Ya, dia kenal Datin Adelia Safwaan Zahra. Seorang penyanyi diva tanah air yang tidak pernah gagal tampil memukau di pentas, karismatik dan elegan dalam setiap gerak gaya. Namun kini, wajah yang selalu tersenyum manis di kaca televisyen itu tampak jauh berbeza dingin dan tajam, tidak menyambut kehadiran Adriani dengan sebarang keramahan. Sebalik senyuman yang pernah dipuja ramai, tersimpan aura angkuh yang membuat sesiapa saja terasa kerdil di sisi beliau.

Riak wajahnya jelas menunjukkan ketidakselesaan, seolah-olah kehadiran Adriani di ruang itu mencemar kemewahan yang dibina. Tatapan wanita muda di sebelahnya pula lebih tajam dari bilah pisau, seakan berkata banyak perkara tanpa perlu satu suara pun keluar dari bibirnya. Mata itu mencela, menelanjangi maruah dengan bahasa diam yang lebih kejam dari sindiran biasa.

Adriani menahan senyum kelat, cuba mempertahankan maruahnya yang mula tercalar dengan pandangan-pandangan tersebut. Dia ingin berdiri teguh, walau hatinya sudah bergetar hebat.

"Ini Cik Adriani Afsheen," tutur Yusuf, masih berdiri tegak meskipun nadanya sedikit tunduk, penuh hormat. "Diundang oleh Haji Zainal."

Satu senyuman nipis muncul di bibir Datin Adelia, sinis dan menyembunyikan seribu maksud. Pandangannya turun naik menilai Adriani dari hujung tudung hingga ke tumit.

"Oh? Interesting." Nada suara itu sarat dengan sindiran yang tidak berselindung. "He certainly has... peculiar taste."

Kening Adriani terangkat sedikit, dahi berkerut mendengar nada itu. Dia faham, meskipun kata-kata itu dalam bahasa Inggeris. Maksudnya jelas, menusuk tanpa belas. Adriani hanya hadir untuk memenuhi permintaan Haji Zainal. Jika kehadirannya tidak disenangi, dia tidak keberatan untuk pergi.

Aku tak hingin! getusnya dalam hati, penuh tegas.

"Yusuf, boleh beritahu wanita kecil ini, jika makan malam ini bukan untuk tetamu luar... dia perlu menunggu di ruang lain, bukan?" soal Datin Adelia sambil mula melangkah menghampiri mereka. Aromanya haruman mahal dari Dior menyergap masuk ke dalam hidung Adriani. Namun wangian itu tidak lagi semewah kesannya. Wajah Adriani tetap datar, mempamerkan rasa tidak senang yang kini mula berputik terhadap wanita itu.

"Maafkan saya, Datin. Cik Adriani ialah tetamu yang dialu-alukan makan malam bersama oleh Haji Zainal," ujar Yusuf tenang, namun tegas. Tubuhnya ditegakkan sebagai tanda hormat yang tidak mudah dipijak.

Mendengar penjelasan itu, mata Datin Adelia membulat. Wajahnya menunjukkan keterkejutan yang sukar disembunyikan. Tidak mungkin ini wanita yang dimaksudkan oleh bapa mertuanya. Tiada apa-apa pada penampilan Adriani yang layak, menurut penilaiannya yang sarat prejudis.

"Mama... jangan cakap ini perempuan yang U maksudkan untuk disatukan dengan abang Edward? Ew. No class," ucap wanita muda di sisinya, Balqis, yang dari tadi hanya memerhati, akhirnya bersuara. Suaranya seperti pisau, menghiris dengan halus tapi menyakitkan.

Adriani terpempan.

Disatukan dengan abang Edward?!
Matanya terkedip-kedip cuba memproses makna di sebalik kata-kata itu. Tiba-tiba, kaki yang tadi kaku kini seakan mahu melarikan diri. Siapa Edward? Bila masa aku setuju nak disatukan?!! Soalan demi soalan menghujani benaknya.

"Who are you, really?" soal Datin Adelia, kini nadanya semakin tinggi, mata mencerlung tajam ke arah Adriani yang masih membeku dalam kekalutan.

"Dia bakal cucu menantu, abah," sapa satu suara dari belakang, tenang tetapi jelas. Serentak suasana di situ menjadi senyap. Semua mata berpaling ke arah suara itu.

Sosok itu berdiri tegak dengan auranya yang tersendiri, memandang mereka yang masih berada di luar ruang makan. Di sisinya, berdiri seorang lelaki muda berketinggian sederhana, berwajah tenang namun sarat dengan misteri, Edward.

Langkah mereka berdua membawa mereka lebih dekat ke arah kumpulan itu. Pintu ruang makan khas terbuka luas di hadapan mereka, seolah-olah menjadi simbol kuasa yang kini kembali ke tangan Haji Zainal.

Wajah Haji Zainal tidak menyembunyikan ketegasan. Tatapannya menikam ke arah menantunya dan Balqis, memberi isyarat bahawa dia mengawal segalanya malam itu. Balqis sempat mengerling Edward, lelaki yang sentiasa tampak kacak di matanya setiap kali hadir. Namun seperti selalu, tatapan itu tidak pernah dibalas dengan kehangatan.

"Kenapa dia ada di sini?" Haji Zainal menatap ke arah Balqis, kemudian berpindah kepada Datin Adelia.

"Ini makan malam untuk keluarga sahaja. Orang asing... abah tak benarkan untuk turut serta." Nada suaranya tegas dan muktamad. Balqis menunduk, malu. Datin Adelia pula cuba memujuk, tetapi tidak berani membantah terang-terangan.

"Tapi abah... apa semua ni?" Datin Adelia bersuara akhirnya, nada suara berubah menjadi resah. Namun hanya tatapan dingin yang dibalas, membuatkan dia tertunduk tanpa sepatah jawapan lagi.

Langkah Haji Zainal membawa dia ke sisi Adriani. Senyuman lembut terukir pada wajahnya, memadamkan sebahagian dari kekacauan yang baru berlaku.

"Adriani, mari masuk," pelawanya tenang. Sebelum beliau melangkah masuk, dia sempat memberi isyarat kepada Edward untuk menjemput Adriani bersamanya.

Adriani yang masih terpaku hanya mengangguk perlahan. Tatapan matanya kini beralih ke arah Edward yang hanya berdiri tegak, membalas pandangannya tanpa sebarang ekspresi.

Penampilan lelaki itu serba hitam. Turtleneck membalut kemas lehernya, disarung di bawah jaket tebal berpotongan longgar. Seluar slack gelap yang disisip rapi bersama tali pinggang besi perak tampak serasi dengan sepasang Chelsea boots berkulit licin. Gaya kemas, maskulin dan penuh misteri.

Lelaki ni... bekas ahli Boyland?
Bagaimana dia boleh berada di sini? Adakah dia cucu yang dimaksudkan? Hah?! Aku datang majlis ini hanya untuk jadi cucu menantu? Dengan mamat ni?! Hatinya menjerit dalam diam. No!!! jerit batinnya sekuat mungkin. Namun wajahnya masih terpaku menatap Edward yang kini sudah berdiri tepat di hadapannya. Tapi diri Adriani... dah tak ada di situ lagi. Jiwanya melayang entah ke mana. Pergilah ke mana-mana pun, aku dah tak peduli...

"Apa yang kau tercegak tu? Nak aku dukung masuk?" bisik Edward, datar dan tidak berperasaan. Kini dalam benaknya, tergambar bagaimana Adriani dengan selamba mendukung sepupunya Hazim, ketika Adriani hanya tercegat, seolah-olah enggan berganjak.

Mata lelaki itu menikam ke dalam mata Adriani. Wajah lelaki itu langsung tidak menunjukkan sebarang keterkejutan, seolah-olah dia sudah lama tahu tentang rancangan yang sedang berjalan ini.

"Sayang, jom," ucap Edward lagi, kali ini lebih kuat, sengaja agar didengar oleh mereka disitu. Tanpa menunggu reaksi wajah blur Adriani yang macam baru roh masuk semula ke tubuh, tangannya mencapai hujung lengan baju Adriani, menarik perlahan seolah memaksanya melangkah bersamanya.

Adriani yang masih terpinga-pinga hanya menurut langkah lelaki itu, tingginya cuma paras dada Edward saja. Saat itu dia mula sedar… ini mungkin mimpi buruk yang datang nak jadi realiti. Tapi takkan betul? Bisiknya dalam hati. Hah… lupa cuci kaki lah tadi, kot.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience