Kakinya terus melangkah ke arah tandas yang disebutkan tadi, meskipun itu bukanlah tujuannya yang sebenar. Dia hanya ingin keluar dari ruang makan itu. Nafasnya masih terasa sesak dengan semua yang berlaku. Adriani tidak sedar, dari arah meja makan, sepasang mata sedang melirik tajam ke arahnya mata yang menyimpan bara, penuh api yang belum padam.
Kini, Adriani berdiri di hadapan vanity basin, memandang wajahnya di cermin besar yang terpasang kukuh di dinding marmar. Pantulan lampu lembut di siling menari di permukaan kulitnya yang tampak letih. Nafasnya dihela perlahan seolah mahu menenangkan gelora yang masih bersisa dalam dada Wajah itu kelihatan kosong, dia masih tergamam dengan segala yang terjadi. Bila masa dia membuat perjanjian untuk berkahwin? Bila pula dia pernah bersetuju, atau menunjukkan tanda-tanda ingin disatukan dengan Edward? Dia menggali memori satu persatu, namun tiada satu pun babak hidupnya yang membawa kepada kesimpulan ini. Semuanya kosong. Tiada skrip. Tiada tanda.
Serius lah, Haji Zainal buat semua ni untuk apa sebenarnya?
Dan Edward pula? Lelaki itu hanya diam, membiarkan dirinya dipersembahkan sebagai pasangan dalam perancangan gila ini. Kau nak ke aku kahwin dengan kau? Macam peminat terdesak yang cipta fanfiction sendiri dan aku jadi watak utama tanpa rela? Haha, siapa kata aku peminat dia pulak?!!
Tiba-tiba, satu suara bermain semula dalam kepalanya.
"Atuk… tolonglah. Saya sanggup buat apa saja… demi mereka…"
Adriani terdiam. Wajahnya di cermin kembali ditatap dengan pandangan kosong. Ayat itu, kata-kata yang dia ucapkan sendiri tempoh hari dengan penuh rasa hiba, ikhlas untuk menyelamatkan rumah kebajikan itu. Namun kini, ayat itu terasa seperti janji yang ditukar menjadi hukuman. Tangan laju menutup mulutnya sendiri. Apakah itu yang Haji Zainal pegang sebagai persetujuan mutlak untuk menyatukan dia dengan cucunya?
Ke.. kejakap?! Aku jem! Bukan itu yang aku maksudkan! Bukan sampai kahwin sekali! Takkanlah aku kena ‘bayar’ semua bantuan tu dengan hidup aku sendiri? Adriani… otak kau pergi mana masa kau cakap macam tu?!
Tubuhnya merosot perlahan, bersandar pada dinding tandas yang sejuk. Matanya membuntang, terkejut dengan kesedaran yang baru melanda. Lututnya terasa longlai.
Siapa yang perlu dipersalahkan untuk salah faham sebesar ini? Aku belum setuju... Aku tak hingin... Tolonglah... tolonglah Adriani sedar dari mimpi ni. Jerit batin itu semakin kuat. Hatinya berat, nafasnya sesak, dan jiwanya terasa ingin menangis sekuat-kuatnya dalam sepi yang hanya didengar dirinya sendiri.
Bunyi hentakan tumit tinggi menghentam marmar lantai mengejutkannya.
Langkah penuh angkuh milik Balqis kini mendekat, gelas kaca berisi jus delima mewah tergenggam kemas di tangannya, jus yang baru saja ‘dipinjam’ dari dulang pelayan sebentar tadi. Balqis berdiri di hadapan pintu tandas dengan senyuman sinis terukir di wajah. Dia mengangkat gelas itu perlahan sebelum memulas pemegang pintu dan menolak masuk.
Adriani tergamam. Wajah Balqis muncul di balik pintu yang dibukanya dan sebelum sempat dia bergerak, satu siraman lembap menyambar ke wajahnya. Jus mewah itu tumpah ke pipinya, menitis turun ke tudung kelabu satin dan blouse krim yang kini mula comot, lencun dengan kesan warna merah pekat yang berbau manis tajam.
Cawan kaca itu jatuh di tangan Balqis. Dentuman nyaring bergema dalam ruang tandas itu, kaca pecah berderai di lantai marmar. Balqis masih tersenyum puas, menikmati detik kecil kemenangan itu.
Adriani menoleh, tatapannya datar. Tiada gentar, tiada amarah hanya kekosongan yang memandang balik wajah wanita di depannya. Dia mampu membalas. Dia mampu menyentuh pipi Balqis dengan tamparan atau lebih. Namun dia memilih untuk tidak turun ke tahap wanita itu kerana dia tahu, Balqis hidup dalam dunia di mana semua kesalahan akan sentiasa dibaiki oleh orang lain untuknya.
"Kau memang layak dengan kekotoran, perempuan," ujar Balqis sinis. "Tapi aku masih baik, sebab aku cuma buang minuman mahal, bukan hinaan."
Ruang tandas itu sedikit tersembunyi dari penglihatan umum. Suasana tegang itu hanya milik mereka berdua dan pecahan kaca di lantai menjadi saksi kepada permusuhan yang baru bermula.
"Bomoh mana kau guna sampai semua orang tunduk dengan kau? Aku sanggup bayar dua kali ganda untuk bomoh tu!" herdik Balqis lagi, matanya menyala marah.
Namun Adriani masih tenang, hanya menyeka sisa jus di wajahnya menggunakan lengan baju. Tidak sedikit pun dia tergugat dengan tuduhan murahan itu.
"Oh… so now you’re deaf? I said I’m talking to you!" tengking Balqis, suaranya makin naik.
Adriani angkat wajah. Tatapannya mencerlung tajam, kali ini menusuk ke mata Balqis tanpa berselindung.
"Aku tak guna benda-benda sihir," balas Adriani datar. "Aku mengetuk pintu Tuhan. Bukan pintu neraka."
Balqis terdiam seketika, bibirnya ternganga mendengar ayat itu.
Adriani menambah, kali ini dengan senyum sinis yang menghiasi bibirnya. "Do I really have to spell it out for you? We fell in love."
Sindiran itu menikam. Dan Adriani tahu dia baru saja menambah satu babak baharu ke dalam skrip hidupnya yang tak dirancang.
Kau memang buat hal, Adriani. Ni epilog yang kau reka sendiri. Bentaknya dalam hati, walau secebis kepuasan mula terasa.
"Kau memang perempuan sial!" jerit Balqis, tangan kanannya terangkat tinggi, bersedia untuk menghayun tamparan ke wajah Adriani.
Namun, tangannya tiba-tiba terhenti di udara. Dipegang kuat oleh seseorang dari belakangnya.
Adriani tersentak.
Edward. Watak hero yang aku sendiri tak jemput pun datang menjelma. Cantik sangatlah ni, hidup aku macam betul-betul skrip drama. Aku dah agak, mesti ada babak macam ni. Siapa sangka skrip lusuh hidup aku… akhirnya dibaca orang, dan disentuh semula oleh tangan-tangan yang tak pernah aku jangka.
Edward. Berdiri tegak di belakang Balqis dengan wajah tegang, tangannya mencengkam lengan wanita itu tanpa simpati.
Ruang menjadi senyap.
Dan Adriani tahu episod ini belum tamat.
Balqis menatap Edward dengan mata berkaca-kaca. Pergelangan tangannya masih dalam genggaman lelaki itu erat, dingin, dan penuh amaran. Wajah Edward yang selalunya tenang, kini berubah tegang, urat di dahinya timbul jelas. Rambut yang tadi rapi disisir jari ke belakang, seolah-olah sedang menahan amarah yang sudah hampir hilang kawalan.
Tubuh Balqis ditolak ke dinding, membuatkan dia terkejut. Pergelangan tangannya dinaikkan tinggi ke atas kepala, manakala lutut Edward kini menghimpit ruang antara kakinya menahan langkah, mencipta jarak yang penuh dominasi.
Adriani terpaku di depan pintu tandas, matanya kini hanya memerhati dua sosok di hadapannya. Perbuatannya tidak disertakan sebarang reaksi, hanya pandangan datar yang menghantar rasa bercampur antara tidak setuju dan tidak percaya.
Edward mendekatkan wajahnya ke arah Balqis. Nada suaranya dingin, tajam, tidak berdetik sedikit pun rasa kasihan.
"Exactly what courage made you think you could play a role in my story?" Suara itu penuh dengan ancaman yang tersembunyi dalam kata.
Balqis menoleh ke sisi, enggan bertentang mata. Namun lelaki itu tidak berhenti di situ.
"Let me remind you one last time, if you dare write your little plotline across my path, I’ll devour you first."
Seketika kemudian, genggamannya dilepaskan. Balqis terlepas dari pegangan itu, dan seperti dinding emosi yang runtuh tiba-tiba, air matanya jatuh tak tertahan. Dia berlari keluar dari tandas itu, meninggalkan serpihan harga diri yang terhempas di lantai bersama kaca cawan yang masih berselerak.
Edward menghela nafas panjang. Dia menoleh, membuka jaket hitam yang tersarung di tubuh. Pandangannya kini beralih ke arah Adriani yang masih berdiri kaku. Wajah wanita itu masih ditandai dengan sisa percikan jus merah delima yang merosakkan tudung dan blaus krim yang sebelumnya tampak kemas.
Edward melangkah perlahan ke arah Adriani. Wanita itu tidak berganjak, hanya membalas renungan dingin itu dengan tatapan kosong. Biarpun dia tidak mendengar jelas kata-kata Edward kepada wanita tadi, bayangan tindakan kasarnya masih bermain di fikiran cukup untuk membuatkan Adriani mengundur setapak.
Tatapan mereka bertembung dingin dan datar, namun seolah saling menyoal dalam diam. Adriani kelihatan sedikit defensif, mula melangkah ke belakang apabila lelaki itu mendekat. Tanpa sepatah kata, lelaki itu tersenyum sinis sebelum menyarungkan jaketnya ke tubuh Adriani, seolah cuba menghalang langkah wanita itu.
Adriani terkedu, tangannya mengepal erat. Dia menatap Edward dengan tajam, seperti ingin menjerit agar lelaki itu berhenti bermain dengan keadaan.
"I fall in love with you... or your fall in love with me?" soalan Edward itu terbit dari bibirnya yang tersenyum sinis, memetik kembali ucapan Adriani kepada Balqis sebentar tadi.
Adriani menelan liur terasa kasar, seperti pasir yang menggaru tekaknya. Macam mana dia boleh dengar?! Itu cuma rekaan untuk balas Balqis!
Dia cuba untuk tidak menjawab, namun bibirnya dikemam erat dan Edward perasan.
"Jangan ketap bibir awak hanya untuk menahan hasrat yang terbuku," bisik Edward, nadanya rendah namun sarat tekanan. Adriani tunduk, berusaha mengelak tatapan lelaki itu yang semakin menghimpitnya ke sudut.
"Kau buat aku rasa nak paksa kau luahkan saja..." Edward memegang hujung jaket yang tersarung di tubuh Adriani, menariknya sedikit rapat. Kini, ruang di antara mereka hampir tiada.
Adriani yang merasakan Edward sudah melangkah melepasi garis batas, pantas menepis tangan lelaki itu dan melangkah ke belakang. Wajahnya kini penuh dengan ketegasan, matanya membalas pandangan Edward tanpa gentar.
"Ini mimpi buruk yang membuat aku lambat terjaga. Dengar sini, Encik Edward, kau terlalu jauh sampai ke situ."
Nada Adriani dingin, dan Edward... hanya tersengih kecil, menahan ketawa sinisnya. Bahunya direndahkan, seolah-olah langsung tidak terkesan dengan amaran wanita itu.
"Oh belum terbangun kah?" katanya dengan nada menyindir. "Apakah apple beracun itu membuatkan kau terbangun setelah prince datang?"
Adriani terkebil-kebil, tidak percaya dengan permainan kata lelaki itu. Seketika kemudian dia sedar, Edward kini mula menunjukkan siapa dia sebenarnya, satu per satu topengnya ditarik tanpa belas.
"Dengar sini cik adik manis," ujar Edward, nadanya kini mendatar namun menggerunkan. "Kau tak boleh lari setelah prince datang kejutkan kau dari tidur yang lena. Walaupun aku tak tertarik langsung, ini cuma arahan yang aku terpaksa telan, biarpun pahit."
Langkah Edward menghampiri Adriani semula.
"Sama ada kau nak atau tidak... aku watak lelaki utama dalam cerita kau. Kini." Sengih Edward
Edward menarik pergelangan tangan Adriani berlapik dengan lengan bajunya dan mula menarik wanita itu mengikut langkahnya yang panjang dan laju, meninggalkan ruang tandas yang kini penuh dengan kenangan pahit dan kata-kata yang menggoncang hati.
Share this novel