BAB 3 | BERMULA DISINI

Drama Series 1053

Banglo tiga tingkat itu berdiri angkuh di tengah-tengah lanskap tropika yang terhampar luas. Dikelilingi kehijauan alam dan pancaran mentari pagi yang lembut, ia tampak seolah-olah keluar terus dari halaman majalah senibina mewah antarabangsa. Struktur binaannya gah dinding batu granit kelabu lembut yang dipadankan dengan kaca hitam pekat, seolah melambangkan keperibadian tuannya yang tenang tapi penuh misteri.

Balkoni besar melingkari tingkat atas dengan pagar besi tempa bercorak ukiran klasik tempat yang sempurna untuk duduk menghirup kopi sambil merenung masa depan (atau mengenang masa silam, bergantung pada usia). Di bawahnya pula, ruang tamu mewah terbentang umpama pentas bangsawan. Langsir baldu keemasan terurai megah di sisi, memperlihatkan perabot baldu marun yang empuk, dan lampu gantung kristal di siling tinggi yang berkilau seakan-akan bersaing dengan cahaya matahari. Tangga utama bercabang dua turun ke laman, memisahkan taman zen yang dihiasi kolam koi beraneka warna merah, putih, oren, dan satu ekor yang kelihatan seolah-olah pemalu, sentiasa bersembunyi di bawah batu.

Laman hadapan pula seperti pintu masuk ke taman diraja rumput karpet terhampar rapi, pokok palma menjulang dengan megah, dan semak renek yang dipangkas kemas seperti rambut pelakon utama drama petang. Meja kayu eksotik dengan kerusi ukiran tangan diletak di satu sudut, sesuai benar untuk jamuan teh petang bersama menteri atau sekurang-kurangnya, isteri menteri.

Di ruang tamu utama, kelihatan seorang lelaki pertengahan usia duduk mengilas kaki di atas sofa jati, kaca mata tergantung di hidung, dan surat khabar terbentang luas di tangannya. Kopi masih berasap di meja sisi. Dalam zaman yang semua orang menghadap skrin, dia lebih senang membaca berita dari helaian fizikal katanya, “bau kertas tu lagi menyengat dari komen netizen.”

Datuk Fariz Raqeem Shah nama yang tidak asing dalam industri perfileman tanah air. Setiap arahan yang keluar dari mulutnya umpama ayat terakhir skrip. Tegas, tidak bertolak ansur, dan sentiasa menjanjikan naskhah berkualiti yang menggegar panggung. Dalam dunia perfileman, dia umpama jeneral berbusana hitam, mengetuai medan perang yang dipenuhi lampu, kamera dan drama luar skrip.

Bulan depan adalah malam besar Festival Filem Malaysia. Dia yakin, filem arahannya bakal membolot beberapa kategori utama. Mana tidaknya, namanya tak pernah tercicir dari pencalonan sejak sepuluh tahun lepas.

Tiba-tiba, langkah perlahan menuruni tangga menarik perhatiannya. Wajah berkerut tetapi penuh damai itu milik Haji Zainal Arifin Al-Hakimi, ayahandanya yang dihormati ramai. Dengan jubah kapas lembut dan kopiah putih, penampilannya sejuk mata memandang.

"Sunyi je? Budak-budak mana?" tegur Haji Zainal sambil melabuhkan duduk di sofa jati bertentangan anaknya.

"Menantu abah bawa budak-budak jalan. Minggu depan kan diorang nak balik Australia," balas Datuk Fariz sambil meletakkan surat khabar di riba, mencapai cawan kopi yang hampir sejuk.

"Ikhram dan Sarah tak ikut sekali ke?" soal Haji Zainal lagi. Matanya menjeling ke luar jendela, melihat pemandunya memberi isyarat bahawa kereta telah siap.

"Anak lelaki bongsu abah tu mana ada masa cuti-cuti. Adelia dengan mama dia jelah yang ikut. Lagipun, Ikhram tu kan... sibuk kalah menteri luar negara," ujar Datuk Fariz sambil mengangkat kening malas.

"Ni abah nak keluar ke?" pertanyaannya terluah perlahan, seiring pandangan yang terhenti pada gerak tangan ayahnya yang sedang merapikan jam di pergelangan."

Haji Zainal mengangguk perlahan. "Nak pergi tempat biasa. Kebelakangan ni... tempat tu rasa damai. Sejak ibu kamu dah pergi... abah rasa nak ada tempat mengadu. Tempat bercerita."

Datuk Fariz menarik nafas. "Abah tak berapa sihat. Duduklah rumah. Tempat tu pun ramai orang sakit, tak elok sangat."

"Duduk rumah pun tambah sakit, Fariz. Minggu depan pemeriksaan, manalah tahu kena tahan lagi... jadi abah nak ambil peluang jalan-jalan dulu." Ujar Haji Zainal tenang, sambil bangkit dari sofa.

Datuk Fariz hanya mampu geleng kepala. "Itulah abah, tak pernah nak dengar cakap saya."

Haji Zainal hanya tersenyum. "Kalau abah ikut semua cakap kamu, hidup ni dah macam mesyuarat Lembaga Pengarah." Jawabnya berseloroh, lalu ketawa kecil sebelum melangkah ke pintu.

Namun sebelum keluar, dia sempat menoleh. "Budak Yan tu bila nak balik? Entah-entah dah tak tahu jalan pulang..." gumamnya dengan keluhan yang terselit kecewa. Tapi langkahnya tetap tenang menuju kereta.

Datuk Fariz memandang ayahnya dari dalam, sorotan mata itu terhenti seketika pada soalan terakhir. Nama itu Yan masih membekas dalam ingatannya. Dan dalam hatinya, dia tahu… bukan ayah saja yang menunggu. Dia juga.

Langit petang mulai meredup, menandakan waktu penggambaran semakin menuju ke penghujung hari. Di set penggambaran luar, bunyi deruan angin dan kicauan burung kampung sesekali bersaing dengan arahan kru produksi yang masih sibuk menyusun peralatan untuk babak berikutnya. Di sudut rehat bawah kanopi putih, Adriani sedang duduk di kerusi lipat dengan skrip di tangan. Matanya meliar pada lembaran dialog yang bakal dirakam sebentar lagi. Gula-gula getah masih ligat dikunyah, dan sesekali dia mengeluh kecil bila mendapati dialog pelakon tidak selari dengan apa yang dia bayangkan semasa menulis.

Tiba-tiba, Laila salah seorang kru wanita yang memang dikenali suka bergosip sambil buat kerja muncul dari arah khemah kostum dengan ekspresi teruja yang sukar dibendung. Tangannya masih memegang sehelai jaket pelakon, tapi mulutnya sudah terlebih dahulu menjalankan tugas utama, menyebar cerita hangat di set.

"Aku dengar pengarah kita nak adaptasikan novel ‘Lelaki Kimchi Itu Suamiku’ sebagai drama bersiri," ujar Laila tanpa tapisan, lalu mencampakkan jaket ke atas meja dengan gaya dramatik, seolah-olah berita itu satu pendedahan eksklusif yang baru bocor dari bilik mesyuarat rahsia produksi.

Adriani yang sedang leka menanda skrip hanya mengangguk sekali tanpa mengangkat muka. Skrip lebih penting dari gosip, katanya dalam hati. Lagipun, dia dah dengar tajuk tu disebut-sebut sejak minggu lepas.

"Ini import Korea betul tau. Aku memang tak sabar nak jumpa artis ni," sambung Laila penuh semangat, duduk di tepi Adriani lalu membuka bekas makanan ringan, berkongsi cerita seolah-olah mereka sedang buat sesi live update di media sosial.

Kali ini Adriani berpaling perlahan, memandang Laila dengan satu kening terangkat. "Dia faham ke bahasa Melayu? Setahu aku cerita novel tu bukan pasal orang Korea pun. Dia just belajar kat sana saja kan?" soalnya malas, sambil jarinya menatal skrin telefon tak pasti sama ada betul-betul tengok mesej atau cuma cari alasan nak lari dari sembang Laila.

"Memang pun. Artis ni orang Malaysia, tapi jadi idol Korea. Kau tak kenal ke BoyLand?" Laila menyoal balik, ekspresinya seolah-olah baru tahu Adriani ni alien dari planet lain. Nada suaranya macam nak jatuh pengsan sebab rakan set kerjanya tak kenal kumpulan yang trending Top Ten di carta muzik Asia.

Adriani menggeleng kepala tanpa rasa bersalah. "Tak minat." jawabnya pendek, lalu menarik semula skrip dan kembali fokus. Tapi Laila tak mudah menyerah.

"Aku dengar salah seorang dari BoyLand tu yang akan jadi hero drama ni. Yang muka dia ada macam pelakon Thailand sikit tu…" Laila menambah lagi bahan api ke dalam ceritanya, mata bersinar-sinar macam nampak emas.

Adriani terus mengunyah gula-gula getahnya, lalu menjeling dengan riak mengejek. "Entah-entah dia just boleh cakap popo.. Siroyo~ " ucapnya sambil buat mimik muka pelat Korea, lengkap dengan gaya comel yang lebih menjengkelkan daripada menghiburkan.

Laila ternganga sekejap, sebelum ketawa terbahak. "Kau ni memang tak ada adab sikit bila bab Korea, eh. Jangan sampai nanti artis tu dengar kau kutuk dia macam tu, kang tak pasal masuk gosip page belakang majalah," balasnya sambil menampar lembut lengan Adriani.

"Lantaklah. Janji skrip aku jadi, pelakon tu pandai bawa watak. Tak kisahlah BoyLand ke BoyLong ke." jawab Adriani sambil bangun, menepuk seluar dan berjalan ke arah monitor pengarah.

Laila hanya menggeleng kecil, masih senyum-senyum sendiri. Dalam hati dia yakin kalau artis tu betul-betul muncul nanti, Adriani ni juga yang akan ternganga dulu. Tapi biasalah, penulis skrip… mulut ketat, hati lembut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience