Adriani menolak pintu kaca 7-Eleven yang terbuka dua puluh empat jam itu. Dentingan kecil dari loceng pintu menyambut kedatangannya. Lelaki yang menjaga kaunter sekadar mengangkat kepala, memberi sapaan ringkas dengan anggukan kecil dan senyuman senyap.
Langkah Adriani tidak tergesa. Dia meninjau sekeliling sebelum mengambil tempat duduk yang disediakan di bahagian hadapan kedai menghadap terus ke arah hotel tempat mereka menginap. Di sebelahnya, Hazim turut duduk, tangan kecilnya diletakkan di atas meja, sambil matanya memerhati suasana malam yang sunyi tapi tenang.
"Hazim nak makan apa?" soal Adriani, membongkok sedikit supaya sejajar dengan paras mata si kecil itu.
Hazim mengangkat kepala perlahan-lahan. Pipi gebunya dikembungkan sedikit, ragu-ragu untuk menjawab.
"Abang Haris kata kalau malam tak boleh makan aiskrim… tapi boleh tak Hazim nak?" ujarnya, nada lembut, merayu perlahan.
Adriani menjongketkan kening, kata-kata itu membuatkan dia sedikit berfikir. Antara menurut kata si abang… atau memenuhi kehendak kecil hati yang kini duduk di hadapannya.
"Kalau sekali-sekala, tak apa," jawab Adriani akhirnya dengan nada meyakinkan, walaupun dalam hati dia sempat bersalah. Maaf abang Haris.
"Ada apa-apa lagi Hazim nak makan?" tanyanya lagi.
Hazim kelihatan sedikit lebih ceria selepas mendapat lampu hijau itu. "Nak susu honeydew… dengan kek," katanya penuh semangat.
Adriani senyum kecil. Mungkin ini perpisahan yang aku maksudkan… harap ada kemanisan yang tersisa dalam perpisahan ini, bisiknya dalam hati.
Tangannya sempat mengusap pipi gebu Hazim yang membuatnya geram. Sebelum melangkah pergi, dia menegur kecil, "Duduk elok-elok. Kerusi ni tinggi, bahaya."
Hazim mengangguk patuh.
Adriani berjalan ke rak makanan, mengambil semua pesanan Hazim susu honeydew melon, kek strawberi, dan aiskrim coklat. Matanya sempat menjeling ke bahagian sejuk, mengambil satu cawan plastik berisi ais dan kotak chocolate cheese untuk dirinya sendiri. Tak sama macam di kafe tempat aku selalu pergi, tapi tak salah cuba. Nanti boleh bandingkan.
Lelaki berkulit cerah di kaunter berdiri tenang. Dia mengangguk sopan saat Adriani meletakkan barang di hadapan kaunter.
"Nak plastik?" soalnya sambil tangannya bersedia mengambil satu dari bawah kaunter.
“Tak apa. Poket muat ni,” jawab Adriani selamba, sedikit berseloroh.
Lelaki itu tersengih. Adriani sempat mengerling wajahnya. Weh, lelaki kalau ada lesung pipit memang comel, detiknya. Tapi bila lelaki itu senyum-senyum malu sambil hulurkan plastik juga, Adriani hanya membiarkan, malas memanjangkan gurauan.
Dengan beg plastik di tangan, dia kembali ke tempat duduk Hazim. Dari jauh dia lihat kaki kecil budak itu yang tak mencecah lantai, berhayun perlahan. Adriani senyum kecil. Entah kenapa, ada rasa lapang yang sukar dijelaskan bila bersama Hazim.
Dia duduk di sisi Hazim, lalu mengeluarkan satu persatu makanan yang dibeli. Mata Hazim bersinar-sinar, bibirnya ternganga sedikit dalam keterujaan.
"Ni aiskrim, ni susu honeydew… ni kek strawberi. Oh, akak beli ni juga kudapan kalau tak cukup," ujar Adriani sambil keluarkan chocolate cheese untuk dirinya.
Hazim tidak menunggu lama, terus membuka aiskrim dan menyuap perlahan. Sekali-sekala menyedut susunya, kemudian beralih kepada kek, benar-benar menikmati malam seperti raja kecil yang dilayan sehabis baik.
Adriani sekadar memerhati, senyum nipis sambil mengusap kepala budak itu.
Tak lama kemudian, lelaki kaunter tadi datang menghantar cawan ais yang belum sempat dibawa tadi. Adriani menyambut cawan plastik yang berisi ais itu sambil sempat mengerling wajah lelaki itu, nampak seperti kata-katanya tadi masih bermain di kepala.
Dia tunduk sedikit sebelum beredar, wajahnya tampak malu-malu.
Manusia… kenapa boleh ada begitu banyak ekspresi hanya dengan satu kata? Tapi kenapa aku tak pernah ada itu… walaupun ketika berada dalam konflik besar sekalipun? bisik hati Adriani sambil memandang kosong ke arah lelaki itu melangkah pergi.
Hazim masih tekun menikmati makanannya. Adriani mengambil cawan chocolate cheese, dan ketika itu dia bersuara perlahan.
"Macam mana Hazim boleh sampai kat situ tadi?"
Hazim terdiam seketika, cuba memproses soalan Adriani tadi, sebelum mengangkat muka bibirnya sedikit comot. Adriani hanya mencebik sinis melihat wajahnya waktu itu. Kalau dia jenis tak berperikemanusiaan, dah lama aku culik budak ni buat adik angkat. Comel sangat.
"Hmm… Hazim lari senyap-senyap. Abang Yam sama Abang Haris kat dapur, mereka kata nak masakkan Hazim kek…"
Adriani diam seketika. Dia memang dah agak budak tu lari lagi. Pandangannya jatuh pada selipar Nike yang tersarung di kaki sebelah besar, sebelah kecil. Jelas sangat budak tu berlari dalam keadaan tergesa-gesa. Adriani menghela nafas panjang, lelah. Mesti mamat tu akan muncul cari budak ni tak lama lagi. Harap dia tahu macam mana nak pujuk budak tu supaya berhenti bertindak ikut suka hati.
Dia sandarkan dagu pada tangan yang disilang atas meja.
"Hazim nak tahu satu cerita?" soal Adriani dengan senyuman tipis, kini matanya sedikit redup.
Mata Hazim kembali bersinar, tertarik. Adriani keluarkan tisu basah dari beg, lalu perlahan-lahan mengelap bibir dan pipi Hazim yang comot.
"Akak nak cerita apa?" soal Hazim polos.
"Dulu masa akak umur dua belas tahun, akak jumpa seekor kucing dekat taman. Akak bawa balik, tapi mak tak bagi bela. Akak merajuk, menangis. Tapi mak tetap tak izinkan, walaupun akak berkeras."
Hazim diam, mulutnya mengunyah perlahan.
"Setiap kali akak keluar, akak curi-curi bawa ikan goreng untuk bagi kucing tu makan. Tapi bila mak dapat tahu, akak kena marah. Sampai satu hari, akak sedar... menangis dan berkeras bukan cara untuk dapatkan sesuatu."
Adriani senyum sayu, kenangan itu menggigit sedikit hati.
"Kadang-kadang… kita tak boleh langgar peraturan dan buat sesuka hati. Kalau Hazim jadi budak baik dan dengar cakap, semua orang akan percaya Hazim dah cukup besar untuk buat pilihan untuk dapatkan apa yang Hazim nak."
Hazim angguk perlahan. Bibirnya masih pada straw susu. Adriani senyum kecil, menepuk pelahan kepala Hazim sekali lagi.
Melihat Hazim yang kini sedikit tunduk, seakan menyesali kesalahan yang dilakukan, Adriani hanya mengukir senyum nipis. Dia tidak mahu budak itu terus merasa bersalah sepenuhnya dalam hal ini.
Sebelum sempat Adriani membuka mulut untuk menceriakan suasana, Hazim sudahpun mengangkat muka.
"Lepas ni, Hazim jadi good boy. Tak lari-lari dan tak nangis lagi. Akak janji akan jumpa Hazim lagi, kan?" Ujarnya dengan mata yang sedikit berkaca. Mungkin kini dia mula memikirkan perpisahan ini.
"Pertemuan dan perpisahan... semua tu Allah yang atur, Hazim. Kalau kita doa yang baik-baik, Allah pasti kabulkan," ujar Adriani lembut, dengan senyuman yang penuh makna.
Hazim mengetap bibir rapat, kepalanya diangguk berkali-kali, seolah menahan diri daripada rasa sebak yang mula menyesak dada. Adriani menghela nafas. Entah kenapa, dia juga merasakan perpisahan ini amat menyedihkan. Tangannya kembali mengusap kepala Hazim perlahan.
"Akak seronok sangat dapat jumpa Hazim dan abang Haris. Satu hari nanti, kita akan jumpa lagi, ya? Tapi ingat, dengan cara yang baik dan dapat izin." Ujarnya lagi.
Hazim memegang tangan Adriani dan menyandarkan pipinya ke situ, seakan ingin memeluk erat melalui sentuhan kecil itu. Adriani hanya tersenyum. Mungkin dia juga tidak mampu menafikan rasa hiba yang mengendap di dada.
Ketika dia melayan perasaan itu, ekor matanya menangkap satu sosok yang berdiri di luar kaca 7-Eleven tempat mereka duduk. Edward. Lelaki itu berdiri diam, dengan topi yang sedikit menunduk menutupi wajahnya. Kini dia mendongak, menatap Adriani dengan pandangan tajam dari sebalik kaca sebelum melangkah masuk. Mataku hanya mampu mengekori sosok itu yang perlahan-lahan masuk ke dalam 7-Eleven.
Adriani sempat mengerling Hazim yang masih larut dalam emosinya, seolah enggan melepaskan tangannya dari pipi kecil itu. Edward berdiri tegak tidak jauh dari situ, memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket jaket kulit hitam yang dipakainya. Topinya kini ditolak sedikit ke atas, mendedahkan sebahagian wajahnya yang tampak serius. Dia bersandar di meja, seolah sedang menonton babak melodrama antara si kecil dan seorang dewasa.
Adriani hanya diam dengan wajah yang mula kelat.
"Hazim… abang awak datang tu." ujar Adriani, cuba menarik Hazim kembali ke dunia nyata. Wajah kecil itu diangkat, matanya kini memandang ke arah Edward yang bersandar di meja bersebelahan mereka.
Hazim diam, membuang pandangan ke arah lain. Kedua-dua tangannya bersilang di dada, mungkin masih merajuk dan kesal dengan lelaki itu. Adriani sempat mengerling Edward yang menjeling tajam ke arahnya, seakan menyalahkan dia atas semua yang berlaku.
Engkau yang buat hal, aku juga yang kena pujuk. Dasar lelaki hipokrit. Detik hati Adriani.
Adriani berdiri, menyangkut beg ke bahu. Kepala Hazim diusap sekali lagi. Anak kecil itu mula menyedari, dia akan pergi.
Hazim mengetap bibir. Pipi tembamnya sedikit kembung dan telinganya kelihatan kemerahan.
"Akak pergi dulu ya… Hazim dan abang Haris jaga diri." ucap Adriani perlahan.
Hazim hanya mengangguk. Walaupun jelas dia ingin berkata sesuatu, mulutnya tetap terkunci. Dia hanya memerhati saat Adriani mula melangkah pergi. Kedua-dua tangan kecilnya digenggam erat di atas riba, cuba menahan sebak yang meronta mahu keluar.
Adriani tahu dia sedang diperhatikan. Tatapan Edward seakan tidak beranjak, menghantar langkahnya pergi tanpa sepatah kata. Adriani berlalu, tidak menoleh langsung. Kini Hazim dan Edward tinggal berdua di situ.
Hazim diam. Hanya menyedut kembali minuman dalam tangannya tanpa suara. Edward yang memerhati sedikit berkerut.
Aik… tak merajuk dah?
"Akak tu cakap apa dengan Hazim?" soal Edward, cuba menceriakan suasana yang mula tegang itu.
Hazim tidak terus menjawab. Dia hanya mengemas barang makanan yang masih belum dibuka, dimasukkan ke dalam plastik.
"Kalau Hazim dengar cakap dan tak nangis… boleh jumpa akak tu lagi," jawabnya perlahan, namun nada rajuknya masih ada.
"Kalau tak jumpa macam mana?" Edward cuba memprovok, menguji jika budak itu akan mengamuk kerana tak dapat jumpa ‘akak cantik’nya lagi. Bukan main sayang budak kecil ni kalau boleh, nak letak poster cari orang hilang bila minat tu tak muncul.
"Hazim cuba jadi budak baik… sebab budak baik, Allah kabulkan doanya." ujar Hazim sambil menatap Edward dengan pandangan jernih. Edward hanya mengangkat sebelah kening, sedikit kagum dengan kata-kata itu.
Edward sengih.
"Hmm. Good boy."
Dia kemudian duduk di tempat Adriani duduk tadi. Matanya sempat mengerling ke arah minuman coklat keju yang tinggal separuh, ada kesan lipstik pada strawnya. Tanpa fikir panjang, straw itu dibawa ke mulut, disedut sisa minuman kerana tekaknya mula terasa dahaga.
Namun, sebaik air itu mengalir membasahi tekak dia kerut dahi.
"Aku tak pernah faham kenapa orang terlalu gilakan rasa manis dalam minuman… bukankah akhirnya ia cuma buat kau rasa makin dahaga?" monolognya dalam hati, sebelum mengalihkan pandangan kepada Hazim yang sedang asyik menikmati pemandangan di luar cermin kaca tersebut.
Edward menghela nafas sebelum menghulurkan tangan agar disambut oleh Hazim. Tanpa menunggu lama, Hazim menyambut tangan itu, lalu mereka pun berlalu pergi dari kedai tersebut. Tangan kecil Hazim masih membimbit plastik makanan mungkin terakhir kali yang dihadiahkan oleh 'akak cantiknya' itu.
Share this novel