BAB 44 | PAKSA ATAU RELA

Drama Series 1053

Adriani sedar, langkahnya sudah terhenti. Ruang di belakangnya kini terhalang oleh sofa. Tidak ada lagi ruang untuk berundur dan langkah lelaki yang masih kemas bersarung kasut Oxford itu semakin menghampiri. Derap sepatunya membelah sunyi ruang tamu yang hanya diterangi cahaya malap dari arah balkon.

"Kalau kau tak percaya, kau boleh tanya Tok Wan kau sendiri!" suara Adriani meninggi. "Pergi baliklah! Jangan buat benda bodoh, Edward!" Bentaknya dalam nada cemas bercampur geram. Matanya mula berkaca. Debaran yang menyerang dadanya semakin menggila, seakan jantungnya memukul dinding rusuk dari dalam.

Edward menghentikan langkah beberapa tapak dari tempat wanita itu berdiri. Tinggi tubuhnya mendominasi ruang, dan tatkala dia menunduk memandang Adriani hanya pada paras dada, bibirnya terlukis senyum sinis. Seolah-olah dia sudah menang dalam satu pertempuran yang Adriani sendiri tidak tahu dia sedang lawan.

"Tapi kenapa aku rasa hambar, ya?" Suara Edward perlahan, sedikit sinis, namun ada sesuatu yang lebih dalam daripada sekadar gurauan. "Maksud aku... agak kecewa. Aku dah pilih baju sesuai untuk nikah kita nanti."

Adriani hanya diam, telinganya menangkap setiap patah bicara itu, walau hatinya mahu memekakkan semuanya.

Edward menyambung, "Kalau aku tak dengan kau, mungkin aku dah dipasangkan dengan perempuan gila tu, kan?" Suaranya mendekat. Kali ini satu langkah saja lagi, mereka bakal berlaga.

Adriani tegakkan tubuhnya, dada menegang menahan nafas. Wajahnya tegang, tetapi tangannya yang menggenggam belakang sofa menggeletar.

"Daripada dijodohkan dengan wanita obses, lebih baik aku pilih wanita yang mudah terjebak... macam kau." Nada Edward merendah, hampir berbisik, namun tajam menikam sebelum matanya melirik Adriani dari atas ke bawah tanpa segan.

Adriani menelan liur tawar. Tangannya kemas mencengkam sofa agar tubuhnya tidak tumbang bila lelaki itu semakin mendekat. Nafasnya turun naik.

"Kau ni bodoh ke apa?" Adriani akhirnya bersuara, tajam, lantang. "Aku dah susun jalan supaya kau tak terperangkap dalam perkahwinan yang kau sendiri rasa terpaksa, tapi kenapa sekarang kau ubah fikiran? Tak guna!"

Tegas ucapannya, namun Edward tetap tenang. Satu tangan lelaki itu diletakkan ke belakang sofa, menjebak Adriani dalam ruang sempit. Dan bila wanita itu cuba menyelit keluar dari celahan sisi, satu lagi tangan Edward pantas menghalang, menutup terus laluan.

"Bodoh?" Edward membalas datar. "Aku tak ubah fikiran, Adriani. Aku cuma pilih jalan selamat... untuk diri aku."

Tatapan mereka bertaut. Mata Edward tajam, penuh maksud. "Aku tak akan paksa kau buat sesuatu yang kau tak nak. Tapi mari sepakat, kita lakonkan skrip realiti hidup kita. Kau dan aku."

Adriani terperangah. Nafasnya ditahan. Lelaki ini benar-benar tak waras! Bila dia rasakan Edward sudah terlalu hampir, dia menolak dada lelaki itu dengan sekuat hatinya. Tubuh Edward terdorong ke belakang. Jarak di antara mereka kembali tercipta.

"Dengan kau?" Adriani mencebik, menggeleng kecil penuh sindiran. "Kenapa aku kena hancurkan hidup aku... hanya untuk sokong pendapat kau?" Tona sinisnya menikam. "Perkahwinan bukan permainan yang boleh kau prejudiskan sesuka hati, Edward!"

Tembakan kata-kata Adriani tidak dibalas segera. Edward cuma memandang, seakan menilai wanita itu dari sudut yang berbeza kini. Lalu dia menarik nafas pendek, seolah mencari keputusan paling gila dalam benaknya sebelum bersuara dalam nada yang cukup tenang untuk mencipta ketegangan lebih berat.

"Jadi... kau nak aku buat plan supaya kita kahwin paksa?"

Adriani terkedu. Nafasnya seolah diragut. Matanya terbeliak, bibirnya terbuka namun tak ada suara keluar. Dia tak sangka... lelaki ini yang kononnya bijak bermain peranan di depan kamera, di sanjung sebagai putera idaman oleh para peminat, sanggup menginjak maruah seorang wanita hanya untuk memenuhi naratifnya sendiri.

Wajahnya memucat. Tapi hatinya sedang terbakar.

Dan Edward... hanya menunggu apakah dia baru saja membuka pintu ke neraka, atau sebenarnya dia baru mencipta satu plot gilanya yang paling epik.

"Apa masalah kau...?" Suara Adriani bergetar, menggambarkan debaran yang menikam dadanya dalam-dalam. Dia cuba berdiri teguh namun getar suaranya tetap mengkhianati segalanya. Lelaki itu berdiri tidak jauh, dan dengan setiap langkah mendekat, Adriani terasa dunianya semakin mengecil.

"Kau pun tak sudi nak kahwin dengan aku, kan?!" bentaknya lagi kali ini lebih kuat, namun tetap dengan suara yang bergetar dan mata yang bergenang. Bibirnya menggigil, nafasnya berat, tapi dia masih mencuba untuk menahan diri dari terus rebah bukan di depan lelaki itu.

"Tapi kenapa sekarang... kenapa sekarang kau nampak macam orang terdesak sangat, Edward? Apa sebenarnya yang kau cuba cipta dari semua ni? Plot gila kau sendiri?" Suaranya merintih, marah yang berpaksikan luka. Air mata yang ditahan sejak tadi akhirnya mengalir setitis di pipi kanannya. Namun dengan pantas dia menyekanya kasar. Belum waktunya untuk dia tunduk. Belum!

Edward menarik nafas kecil. Matanya sempat menangkap gerakan jari Adriani yang mengelap air mata itu dan entah kenapa, untuk seketika... jantungnya terasa senyap. Wanita yang selama ini dilihatnya keras, kalis sindir, dan dingin... kini kelihatan rapuh namun tetap tabah. Keras dalam kelemahannya. Dan itu... cukup menggoncang prinsipnya.

"Terdesak?" Ujarnya tenang, tetapi nadanya tegas. Edward kini menyilangkan tangan ke dada, berdiri tegak dengan wajah serius menatap Adriani. "Dalam hal ni, cuma ada satu benda yang aku sanggup korbankan, walau itu nyawa aku sendiri. Iaitu... permintaan Tok Wan aku."

Adriani mendongak, tubuhnya masih kaku, mata tidak berkelip memandang lelaki itu. Nafasnya pendek-pendek, seolah sedang bersiap untuk satu hentakan emosi yang seterusnya.

"Aku tak minta kau suka aku. Aku tak minta pun kau rela." Edward meneruskan, nadanya makin dingin. "Just do it. Kau yang masuk dalam senarai calon menantu pilihan dia. Bukan aku yang pilih kau. Bukan aku yang mula semua ni. Tapi aku tahu, aku orang yang akan tanggung kesannya."

Dia sengih, senyuman sinis yang langsung tak menyamankan situasi. "Kalau perkara ni jadi dekat orang lain pun, aku akan buat benda yang sama. Jangan risau, aku takkan jatuhkan maruah kau. Kau nampak macam perempuan yang ada standard agama, jadi aku hormat. Tapi... aku pun ada batas sabar. Jadi dengar cakap aku... atau kau nak aku paksa? Pilih."

Nada suara itu kini sudah tidak bermain-main lagi. Ia adalah ultimatum. Kata putus seorang lelaki yang sudah hilang toleransi.

Adriani ketap giginya. Air matanya kering tiba-tiba, diganti amarah dan rasa tertindas yang menjulang ke ubun-ubun. Nafasnya turun naik menahan gemuruh dan amarah yang tak mampu diselindung lagi.

"Kau fikir aku akan tinggal diam saat kau buat keputusan sesuka hati demi ‘keselamatan’ kau sorang?!" Suaranya meninggi, bergema dalam ruang tamu yang sunyi. "Pergi mampuslah, Edward! Aku bukan peminat bodoh kau!!"

Wajahnya merah. Tangan yang menggenggam sofa di belakangnya semakin kuat. Tapi Edward... hanya tersengih.

Langkah Edward makin mendekat, tanpa ragu, penuh keyakinan seolah dia tahu dia telah menjatuhkan pagar terakhir pertahanan wanita itu.

Kau memang nak buat aku tunduk, nak aku tengok siapa kau sebenarnya. Monolog dalam hati Edward bergaung hebat, hampir mendorong tubuhnya untuk mara lebih jauh lebih dekat. Dia mahu wanita itu tahu dia bukan sekadar pelakon layar kaca. Dia lelaki yang tahu apa dia mahu. Dan tak gentar melangkah ke neraka untuknya.

Adriani sedar dia kini semakin terperangkap. Langkahnya ke belakang hanya sejengkal, sebelum tumitnya menyentuh hujung sofa panjang yang menjadi tempat tidurnya setiap malam. Langkahnya mati. Dan Edward kini berdiri satu langkah dari mencipta sejarah.

Tapi sejarah bagaimana? Perang... atau permulaan luka yang lebih dalam?

"Kau nak aku tunjuk sekarang?" ujar Edward, suara dinginnya menampar udara yang sepi. Tangannya terarah ke arah Adriani, seolah bersedia membuktikan sesuatu yang belum terungkap.

Tanpa berfikir panjang, Adriani melepaskan satu penumbuk padu ke arah wajah Edward. Namun lelaki itu lebih tangkas, seakan dapat membaca setiap isyarat tubuhnya. Belum sempat Adriani melepaskan serangan kedua, lengannya sudah dicengkam Edward erat, padat sebelum tubuhnya dipusingkan ke belakang. Tangan Adriani ditahan kuat ke belakang tubuhnya, seperti pesalah yang diserahkan kepada takdir. Lelaki itu menarik Adriani lebih rapat ke tubuhnya, belakangnya kini bersandar pada dada Edward yang tegang dan tidak berganjak.

"Jangan buang tenaga kau seperti ini," bisik Edward perlahan di telinga Adriani yang terlindung di sebalik tudung. Suara itu menghantar getar ngeri yang menyelinap hingga ke tulang belakang.

Belum sempat Adriani menyahut, kasut Louis Vuitton hitam berkilat milik Edward menghentak tanpa belas ke belakang lutut Adriani. Hentakan itu menyebabkan imbangan tubuh wanita itu terlerai serta-merta dia jatuh tersembam ke lantai, bersimpuh lemah di atas permaidani tebal. Suara jatuhnya bergema dalam ruang yang sunyi, bagaikan hanya kematian yang sedang memerhati.

"Ah!" Adriani mengaduh. Kesakitan itu terasa mencucuk hingga ke hati. Lututnya menghentak keras, dan kini dia melutut di hadapan sofa seperti pesalah menanti hukuman, dengan kedua-dua tangan masih dikunci di belakang oleh Edward yang berdiri tegak di belakangnya, sebelah kaki melangkah ke hadapan, mengawal posisi.

"Kau ada tenaga untuk ini, kan?" ujar Edward dengan nada menggoda, namun sarkastik menekan lebih kuat pergelangan tangan Adriani ke belakang badannya.

Adriani terkaku. Otaknya buntu. Nafasnya memburu. Dia kini benar-benar terperangkap, terjerat dalam maksud kata-kata Edward sebentar tadi. Tiada ruang untuk melarikan diri.

Tangan besar lelaki itu menyentuh pinggang Adriani dari luar pakaian, dan Adriani dapat merasakan sentuhan itu, perlahan tetapi membakar. Mulutnya terbuka sedikit, tubuhnya menggigil. Tidak... dia tidak pernah menjangka semuanya akan berakhir begini. Tidak begini yang dia bayangkan, bukan dengan maruahnya dihina sebegitu rupa. Air mata mula bergenang, menolak ketabahan yang sejak tadi cuba dipertahankan.

"Edward..." suara itu keluar perlahan, sarat pasrah. Namanya dipanggil seperti nafas terakhir harapan. Air mata yang cuba ditahan kini tumpah juga. Dia tidak mampu bertahan lagi. Hatinya koyak.

"Hmm?" gumam Edward perlahan, menyambut panggilan itu sebelum berhenti menahan tangannya untuk pergi lebih jauh. Seakan wujud sekelumit belas atau sekadar permainan baru dalam mindanya yang rumit.

Adriani diam. Air matanya jatuh tanpa suara. Dia membenamkan wajah ke atas sofa, nafasnya tidak lagi stabil. Dia tahu, semua usahanya sia-sia. Segala perjuangan dalam diam, segala jerit yang tidak bersuara, semua itu tidak bermakna lagi. Dia hanya mampu pasrah, dan pasrah itu terasa seperti pedang yang menyiat dirinya hidup-hidup.

Edward memerhatikan wanita itu yang kini terdiam, seakan mula menyedari bahawa tiada gunanya melawan. Dengan tenang, dia melepaskan tangan Adriani dan berdiri. Wanita itu masih terduduk, tubuhnya kaku, mukanya dibenamkan ke atas sofa dalam diam yang panjang.

"You surrender?" soalnya, separa sinis, separa puas. Dia menyengih sedikit, suara rendahnya mengiris perasaan.

"So this is what you should’ve done earlier. I must look ridiculous now, huh?" sambung Edward lagi, seolah-olah mengejek kelewatan Adriani menyerah. Namun saat melihat wanita itu terus diam tanpa membalas, tubuhnya masih seperti tadi, Edward memutuskan untuk beredar. Langkahnya meninggalkan ruang itu perlahan.

Dia sempat menoleh ke belakang. Adriani tidak bergerak masih duduk membatu di lantai, wajah tersembunyi di sofa.

"Don’t even think about running again. I won’t give you a second chance. Not even if you cry blood." ujar Edward dengan nada dingin, sebelum akhirnya membuka pintu dan melangkah keluar dari rumah yang semakin gelap dan menyesakkan itu.

Saat bunyi pintu tertutup rapat, Adriani mengangkat wajahnya. Air mata membasahi pipinya tanpa henti. Nafasnya pendek-pendek, seperti menahan dunia dari runtuh ke atasnya. Dia memeluk tubuhnya sendiri, cuba menenangkan debar yang menggila dalam dada. Namun segalanya terasa sia-sia. Ketakutan yang mencengkam tidak mahu pergi.

Dia tahu kehinaan itu terlalu dalam. Tangisannya tidak akan dihentikan oleh sesiapa. Tiada bahu untuk bersandar, tiada tangan untuk menyeka air mata yang berderai. Suaranya mungkin menjerit dalam hati, tapi tiada siapa akan mendengar.

Dalam sepi malam yang membeku, Adriani hanya mampu menggigil dan menangis, menyedari bahawa semua ini semua beban ini, diputuskan untuk ditanggungnya seorang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience