BAB 27 | ANAK SIAPA PULA NI?

Drama Series 1053

Hotel Grand Sutera. Suasana basement agak lengang, cuma beberapa buah kereta terparkir kemas di lot masing-masing. Adriani mematikan enjin Myvi putihnya perlahan, sebelum menoleh ke tempat duduk belakang. Dahinya sedikit berkerut. Ekor matanya menangkap sesuatu patung beruang coklat krim, yang masih elok bersarung jaket milik Zayyan. Lelaki itu yang meletakkannya tanpa sepatah kata, entah kenapa rasa itu masih melekat walau cuma barang kecil.

Adriani menghela nafas berat.
"Mana aku nak letak ‘natang’ ni…" gumamnya dalam hati, malas hendak berfikir lebih panjang. Dengan malas-malas sayang, dipeluk juga patung beruang itu sebelum dia keluar dari kereta.

Langkahnya baru beberapa tapak, tiba-tiba terdengar bunyi brek mengejut dari arah pintu masuk basement. Adriani tersentak. Serentak dia menoleh ke belakang, pandangannya melilau. Suasana agak samar dan sunyi, hanya bunyi enjin kereta mewah Mercedes-Benz hitam yang kini sedang berhenti di bahagian keluar masuk hotel. Sayup-sayup kedengaran suara tangisan budak kecil, tersekat-sekat tapi jelas cukup buat jantung Adriani rasa tak sedap.

Tanpa fikir panjang, Adriani berlari anak ke arah suara itu.

Langkahnya terhenti apabila terlihat dua orang budak lelaki, seorang sedang menangis teresak-esak dengan lutut berdarah, manakala seorang lagi yang mungkin abang kepada budak itu, sedang cuba memujuk dan menenangkan adiknya.

Adriani meletakkan patung beruang tadi di hadapan salah satu kereta berdekatan. Dia melutut dengan satu kaki ke hadapan , sebelah lutut mencecah lantai simen, sebelum menghulurkan tangan kepada budak yang sedang menangis itu.

"Adik… kenapa ni? Boleh berdiri?" Suaranya lembut, penuh bimbang.

Budak kecil itu teresak-esak sambil mengangguk, memaut bahu Adriani perlahan. Dengan bantuan si abang yang turut membantu. Setelah dipujuk dan dibantu Adriani tadi, budak itu tiba-tiba memeluknya erat, seolah-olah meminta untuk didukung. Adriani sedikit terduduk akibat pelukan yang mengejut itu. Abang kepada budak tersebut hanya mampu menepuk dahi melihat adiknya yang tiba-tiba jadi manja.

Adriani bangkit dan mendukung budak kecil itu ke dalam pelukannya. Tidak semena-mena, budak itu memeluknya erat seakan mahu melekat. Wajah budak itu dibenamkan pada bahunya sambil tangisan terus tersedu-sedu, tubuh kecilnya menggigil.

Abang budak itu menggeleng kecil, sedikit resah, tetapi akhirnya mengangkat patung beruang Adriani dan berjalan di sebelah mereka.

Namun ketenangan itu tidak lama.

"Hoi!! Kau tak reti nak jaga anak ke haa?!" Tiba-tiba satu suara garau membingit dari arah kereta mewah tadi.

Adriani terpaku. Lelaki berwajah garang menjengukkan kepalanya dari tingkap pemandu, berang tak bertempat. Di sebelahnya, seorang wanita yang duduk di tempat penumpang cuba menenangkannya.

Adriani mengerut dahi.
"Bila masa pula ni anak aku?" bisiknya dalam hati, tidak sempat untuk menjawab.

Dia hanya mendukung erat budak kecil itu, dan memilih untuk tidak melayan laungan lelaki tersebut. Langkahnya diteruskan. Budak kecil itu masih belum melepaskan pelukannya, seolah takut akan dilepaskan atau ditinggalkan.

Jeritan marah lelaki itu masih sayup-sayup kedengaran di belakang, tapi Adriani memekakkan telinga. Dia tahu bila perlu bersuara dan bila harus berdiam. Dan waktu ini diam lebih selamat.

Mereka bertiga kini berada di dalam perut lif yang sedang bergerak perlahan turun menuju ke aras bawah destinasi Adriani, dobi hotel. Harapannya, dia boleh tinggalkan sahaja dua budak itu di sana, setidak-tidaknya hingga ibu sebenar mereka datang menjemput. Namun ketika ekor matanya mengerling ke sisi, kelihatan si abang masih memeluk patung beruang miliknya erat dalam pelukan. Pandangan matanya kosong, tenang tanpa riak, seperti tak terusik dengan apa yang berlaku.

Adriani menarik nafas perlahan.

"Macam mana korang berdua boleh sampai kat parkir atas tu tadi?" soalnya sambil mendukung si adik yang langsung tak mahu melepaskan pelukan erat itu. Kepala kecil budak itu masih bersandar di bahunya, tangan pula melingkar pada leher Adriani seolah tak mahu berpisah walau seinci.

Si abang yang dikenali sebagai Haris mengangkat wajah, menatap Adriani sekilas dengan ekspresi datar. "Kami kena tinggal dengan abang kami yang tengah dating tadi."

Adriani hampir tersedak dengan jawapan bersahaja itu. Dahinya berkerut. Dating? Serius? Budak sekecil ini ditinggal sendirian semata-mata untuk urusan cinta?

"Ni akak hantar korang ke kaunter hotel, ya? Nanti tunggu mama korang datang ambil," ujar Adriani, berniat menyelesaikan urusan secepat mungkin. Penatnya hari ini bukan calang-calang. Terlalu banyak drama yang harus dihadam dalam satu hari.

Namun reaksi yang dia terima jauh dari jangkaan.

"Tak... tak nak. Nak makan," ujar budak lelaki kecil dalam dukungannya si Hazim dengan suara serak-serak manja. Dia mengangkat kepala, merenung wajah Adriani dengan muka sembab, pipinya kemerahan dan rambut hadapan sudah lepek dek peluh. Mata bulatnya berkaca seperti mahu menangis semula jika permintaan tidak ditunaikan.

Adriani terkaku seketika. Nak buat macam mana ni? Dia menoleh sekilas pada Haris, harapannya si abang akan menyokong cadangannya tadi. Tapi Haris langsung tak berkata apa-apa, hanya berdiri tenang dengan wajah polos, seolah bersetuju dengan adiknya.

"Korang tak nak balik ke? Tak takut dengan akak?" Adriani mencuba nasib. Kalau boleh dia tak mahu buat keputusan terburu-buru hanya kerana rayuan budak kecil.

Namun Hazim dengan selamba menjawab, "Akak kan baik. Jom lah, Hazim lapar…"

"Haris pun," sampuk Haris tiba-tiba, tenang dan datar seperti biasa.

Adriani menjeling tajam. "Kau macam tak lapar je, Haris…"

Budak itu tak menjawab, hanya memandang ke depan tanpa ekspresi, seolah kenyataan Adriani langsung tak memberi kesan. Dalam masa yang sama, Hazim kembali membenamkan wajah kecilnya ke bahu Adriani, menyandarkan seluruh tubuhnya seperti anak kucing yang tak mahu dilepaskan.

Adriani menghela nafas berat. Sumpah... satu hari hidup aku penuh drama. Tak ada langsung ‘cut scene’. Kasihankan lah aku sikit...

Lif berhenti. Bunyi ‘ding’ menandakan pintu terbuka, dan langkah mereka bertiga perlahan keluar dari bangunan hotel. Udara malam menyapa pipi dengan lembut, namun minda Adriani masih ligat berfikir, mencari jalan keluar untuk drama dua beradik ini.

Matanya melilau mencari restoran yang masih dibuka. Jam sudah menunjukkan angka sembilan malam. Harapnya masih ada kedai makan yang boleh selamatkan perut dua beradik ini. Haris tiba-tiba mengangkat tangan, menunjuk ke satu arah.

"Situ..." ujarnya perlahan.

Pandangan Adriani mengikuti arah tunjuk itu. Sebuah restoran kecil masih terbuka di lot bangunan sebelah hotel. Tanpa berlengah, dia terus mengatur langkah ke sana bersama dua ‘anak angkat’ mengejutnya malam ini.

Dan malam yang sepatutnya berakhir dengan lena... berubah menjadi episod baru yang tak dirancang langsung dalam hidup Adriani Afsheen.

Adriani kembali ke restoran setelah singgah sebentar di farmasi berdekatan untuk membeli plaster luka dan ubat sapu. Langkahnya sedikit perlahan, namun rasa lega mengalir melihat dua beradik itu duduk dengan tertib di meja makan seperti budak-budak baik. Hazim memegang seketul ayam goreng dengan kedua-dua tangannya, sementara Haris duduk tenang, menikmati hidangan Spaghetti Aglio Olio yang masih berasap.

Adriani melangkah menghampiri mereka dengan senyuman nipis, sebelum melutut perlahan di hadapan Hazim. "Nanti balik bersihkan diri, lepas tu letak ubat sapu dan plaster ni kat luka Hazim balik, ya?" ujarnya sambil membuka balutan plaster kartun yang baru dibeli. Tangannya berhati-hati menekap pelekat bercorak dinosaur itu ke lutut kecil Hazim.

"Akak letak yang ni supaya darah berhenti mengalir je, okey?" tambahnya lagi.

Hazim yang mulutnya penuh makanan hanya mengangguk-angguk laju, kaki kecilnya pula dihayun-hayun riang. Haris menjeling sepintas ke arah Adriani yang kelihatan cukup prihatin terhadap adiknya, namun dia tidak berkata apa-apa hanya meneruskan suapan, tenang dalam dunianya.

"Akak kerja doktor ke?" soal Hazim tiba-tiba, membuatkan kedua-duanya menoleh memandang Adriani dengan rasa ingin tahu yang sama.

"Sesiapa pun boleh buat semua tu. Tak perlu jadi doktor pun untuk tahu asas rawatan luka kecil," jawab Adriani sambil menyandarkan dagu pada tapak tangannya, memerhati gelagat dua budak itu bersilih ganti.

"Oh, macam tu…" gumam Hazim perlahan, sebelum mengerling Haris seolah memberi isyarat untuk menyambung sesuatu.

"Abang kami tak tahu semua tu," sambung Hazim. Matanya sempat bermain-main nakal.

"Bibik tolong tu." sampuk Haris pula serentak dengan Hazim, seakan mereka sudah berlatih untuk mengajuk abang mereka yang dimaksudkan.

Adriani tersengih kecil. Mulutnya mencemik manja sebelum menyeka sedikit sos yang melekat di hujung bibir Haris. Budak lelaki itu berkerut kecil, tetapi membiarkan saja kemudian menyambung kembali makanannya.

"Akak kerja apa sebenarnya?" soal Hazim pula, nampaknya mulut kecil itu memang tak reti diam. Dia seolah-olah menjadi jurucakap tidak rasmi untuk abangnya yang lebih banyak diam.

"Penulis skrip," jawab Adriani sambil menyeluk telefon bimbit dari kocek seluar. Dia membaca sekilas pesanan masuk daripada Zayyan.

"Kau dah sampai ke? Bila kau free lagi, aku nak ajak kau pergi tempat lain pula."

Adriani menjeling mesej itu dengan dahi sedikit berkerut. Penatnya pun belum surut, sekarang si mamat tu pula dah mula merancang aktiviti baru. Telefon itu diletakkan kembali dalam kocek. Belum masanya untuk dia fikirkan tentang 'jalan-jalan' lagi.

Hazim tiba-tiba menyengih, "Eh... boyfriend ek?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience