Adriani tunduk, memegang payung hitam yang masih lembap diberikan oleh Haji Zainal sebelum dia turun dari kereta tadi. Hujan masih belum reda, dan dari jauh, BMW yang membawa lelaki tua itu sudah pun meluncur pergi, meninggalkan Adriani berdiri kaku di hadapan pintu masuk apartmennya. Nafasnya tidak teratur, jantungnya pula masih berdegup kencang antara rasa bersalah dan kelegaan yang menyesakkan.
Namun dia tidak tahu… sepasang mata sedang memerhati dari jauh tempat parkir bangunan pangsapuri itu.
Di dalam kereta yang enjin masih hidup, Edward tidak berganjak. Pandangannya tertumpu pada sosok wanita yang baru turun dari BMW itu. Nafasnya berat. Geram. Hatinya mendidih. Dan sebaik sahaja Adriani menghilang ke dalam bangunan, dia matikan enjin dan terus melangkah keluar dari keretanya.
Langkahnya laju, seolah-olah tidak sabar menamatkan satu babak yang baginya terlalu banyak berpura-pura. Cukuplah.
Di tingkat kediaman, Adriani baru sahaja melangkah keluar dari lif. Payung hitam di tangannya sudah dilipat. Air hujan yang masih menitis dari hujung payung mencipta titisan halus di sepanjang lantai. Matanya terpandang satu kotak sederhana yang dibalut dengan kemas, diikat dengan reben satin berwarna kuning cair, dan label alamat tampak tertulis nama unit rumah jiran sebelah.
Adriani tunduk mengambil kotak tersebut, menggoncangnya perlahan. Belum sempat dia menduga isi, satu sambaran kilat memancar terang dari luar tingkap koridor menyentakkan dirinya. Dia tersentak, hampir menjatuhkan kotak, lalu dengan pantas menekan kod laluan pintu rumahnya sebelum masuk.
Tangannya menekan dada. Jantungnya berdetak deras. Petir tadi masih terngiang-ngiang di telinga. Kotak diletakkan di atas rak kabinet, kemudian dia mula membuka kasut, mahu dimasukkan ke dalam rak kasut kecil di sebelah.
Tetapi… satu ketukan tiba-tiba pada pintu membuat tubuhnya kaku.
Matanya terbeliak. Kotak tadi diambil pantas dan disumbat ke dalam kabinet kasut sebelum ditutup semula. Adriani menarik daun pintu yang belum tertutup rapat… dan langkahnya terhenti.
Matanya membulat.
"Edward?!"
Lelaki itu berdiri di depan pintu, dengan rambut yang basah mengalirkan titisan hujan ke dahi dan lehernya. Nafasnya turun naik, namun matanya tidak lepas dari menatap wajah Adriani. Dinginnya menikam.
Adriani pantas mahu menolak pintu, cuba menutupnya. Tapi tangan Edward lebih pantas menahan kuat dari luar, enggan mengalah. Adriani menggunakan tubuhnya sebagai penghadang, menahan dengan sekuat hati agar pintu tertutup.
"Kau buat apa kat sini?!" jerit Adriani dalam nada panik.
Namun tidak sempat dia bertindak lebih jauh, satu tolakan kuat dari Edward menembusi pertahanan rapuhnya. Tubuh Adriani terdorong ke belakang, jatuh terduduk di lantai.
Petir kembali menyambar. Cahaya terang memancar seketika dari belakang Edward, menampakkan wajah lelaki itu dengan lebih jelas dan menakutkan. Sosok tinggi itu berdiri di ambang pintu, diselubungi bayang gelap, wajahnya penuh dengan amarah yang ditahan-tahan.
Adriani memekup telinga, memejamkan mata. Tubuhnya menggigil, cuba menenangkan degupan jantung yang menggila. Apabila cahaya kilat hilang, dia mendongak perlahan.
Pintu kini tertutup… dan Edward berada di dalam rumahnya.
Bukan mimpi.
Dia menahan pada rak kabinet, perlahan berdiri. Mata mereka bertaut.
"Kau gila kah?!" pekik Adriani lantang, suara tinggi menenggelam dalam deru hujan di luar.
Edward hanya menyapu rambut depannya ke belakang, bibirnya mencemik sinis.
"Ini belum gila lagi…" jawabnya perlahan, bahaya tersembunyi dalam nadanya. "Kau tunggu… aku buat kau betul-betul gila kejap lagi."
Adriani menapak ke belakang, tubuhnya menggigil bukan kerana sejuk, tapi kerana rasa ancaman yang perlahan-lahan menyerap ke dalam nadi.
Lampu di rumah masih belum dipasang. Hanya cahaya samar dari balkoninya yang mencipta bayang suram di ruang tamu. Suasana itu cukup untuk membangkitkan rasa gentar dalam diri Adriani.
"Kau buat apa kat sini?!" pekiknya lagi, suara meninggi. "Aku dah jumpa Haji Zainal… aku dah tolak! Aku tak nak teruskan semua ni! Kau tak faham ke?! BERAMBUS!!"
Edward mendekat satu langkah. Senyum kecil terukir di bibirnya. Tapi senyuman itu bukan tanda tenang, ia tanda kemenangan yang belum selesai.
"Dah jumpa Tok Wan, ye?" ujarnya sambil ketawa kecil. "Kau ingat kau boleh lepas macam tu je?"
Suara Edward mengendur… tapi kata-katanya semakin tajam.
"Kau boleh lari… tapi kali ni, aku kejar sampai kau tak ada ruang nak sembunyi."
Dan Adriani sedar… lelaki ini datang bukan sekadar untuk mempersoal.
Dia datang… untuk menuntut.
Share this novel