BAB 45 | BUAH CATUR

Drama Series 1053

Azan Subuh berkumandang perlahan dari telefon bimbitnya, cukup sayup namun jelas membelah sepi pagi. Bunyi itu seperti seruan lembut yang perlahan-lahan mengangkat kelopak matanya yang berat, membuka dunia yang suram di hadapannya sedikit demi sedikit. Adriani masih terbaring tubuhnya terhampar kaku di tengah lantai kayu yang dingin, dikelilingi oleh easel dan kanvas yang berdiri bisu, memaparkan jejak emosinya yang paling dalam. Lukisan-lukisan itu bukan sekadar warna ia adalah jeritan hatinya yang tak bersuara, dibingkai oleh malam yang panjang dan terlalu berat.

Cahaya lampu dari balkoni menyelinap masuk melalui celahan langsir tingkap klasik, melukis corak samar di atas lantai yang dipenuhi tompok cat kering dan berus-berus berselerakan, seolah-olah ruang kelam itu menjadi saksi senyap kepada satu malam yang tidak biasa. Ruang tertutup yang selalunya menyesakkan dada, malam tadi seolah bertukar menjadi dakapan paling damai. Dia sendiri tidak pasti mengapa. Mungkin kerana kejadian malam itu… mungkin kerana segala yang dia pendam selama ini akhirnya pecah tanpa suara. Bilik yang selalu menolaknya pergi, malam tadi menerima kehadirannya tanpa syarat.

Dia tidak lena di atas sofa tempatnya, tidak juga di mana-mana penjuru yang kononnya selesa. Tapi di atas lantai yang keras, dalam pelukan bayang-bayang malam yang akhirnya berganti fajar. Di situ dia rebah, di situ dia terlelap. Lukisan-lukisan di sekelilingnya seolah memeluknya rapat pohon kabur, langit yang samar, bayang-bayang manusia yang tidak lengkap. Semuanya tentang dirinya, tentang luka yang tidak pernah mampu diluah dengan kata-kata.

Studio itu kini sunyi, tetapi tidak kosong. Ada nyawa yang bergema di setiap inci ruang, nyawa dari hatinya yang terbelah, yang disembunyikan terlalu lama. Dan entah mengapa, pagi ini dia tidak menyalahkan sesiapa pun atas apa yang hampir berlaku… meski maruahnya hampir tercela oleh lelaki tak guna itu. Namun, tiada setitis pun air mata yang gugur, bukan kerana dia kuat. Tapi kerana dia tahu, kelemahan ini bukan untuk ditangisi. Bukan kali ini.

Dia duduk perlahan, memeluk lututnya, merenung salah satu kanvas yang tergolek senget di tepinya. Lukisan itu separuh siap, bayangan seorang gadis yang berdiri sendirian, menghadap laut yang bergelora.

Perlahan-lahan, bibirnya menggerakkan suara yang hampir tersekat.

"Aku bukan tak sakit…" bisiknya pada diri sendiri. "Cuma... aku dah penat."

Dia sedar… apa pun yang dilakukan, takdir sentiasa punya cara memaksanya untuk kekal pada jalan yang telah ditulis sejak awal lagi. Dari seluruh manusia yang menghuni bumi ini, hanya dia yang dipertemukan dengan mereka, seolah hidup mereka ditulis untuk saling berkait. Walaupun hati tidak ingin, jalan itu tetap menyatukan mereka. Fikirannya masih hanyut, jiwanya masih dalam pencarian arah di tengah dilema yang menghempas dada.

Suara azan yang masih berkumandang seperti menyambut pengakuan hatinya. Di dalam ruang kecil itu, dalam sunyi yang berisi, Adriani tahu, dia belum pulih. Dia perlu bangkit. Bukan untuk meratap. Bukan juga untuk pasrah seolah-olah dia redha dengan tindakan lelaki itu malam tadi. Tapi untuk hari ini, cukup sekadar mampu berdiri.

"Kau nak aku sangat jadi isteri kau…" ucap Adriani perlahan, separuh menyindir dirinya sendiri. Bibirnya melukis senyuman sinis, walau hatinya semakin retak. "Aku tak boleh fikir apa-apa… melainkan rancangan membunuh dia secara diam," sambungnya datar sebelum bingkas bangun. Kakinya melangkah keluar dari studio, meninggalkan ruang yang semalam menjadi pelukan senyap luka-lukanya.

Dia terus ke biliknya, mengambil tuala untuk membersihkan diri. Langkahnya tampak yakin, tapi dalam hatinya masih berkecamuk. Sesudah bersiap dengan telekung, Adriani memandang seketika ke arah ruang tamu, tempat yang kebiasaannya menjadi lokasi dia menunaikan solat. Namun, malam semalam telah mencalar keselesaan itu. Otaknya terlalu bercelaru untuk kembali ke sana, jadi dia memilih untuk solat di bilik yang sudah lama tidak berpenghuni, bilik arwah orang tuanya.

Suis lampu dihidupkan. Ruang itu sepi, namun damai. Ada aroma kenangan yang masih tertinggal di setiap penjuru, seolah roh kedua orang tuanya masih memeluknya dari kejauhan.

Adriani membentangkan sejadah di tepi katil. Perlahan-lahan dia mengangkat takbir, memulakan solat sunat Subuh, kemudian diikuti dengan solat Subuh. Seusai memberi salam, dia tidak bangun. Hanya diam, duduk menatap sejadah. Wajahnya kosong, tapi ada sesuatu yang bergolak di balik tatapan itu. Bibirnya mula berzikir, suara yang perlahan tetapi sarat makna. Di wajahnya terukir satu kekecewaan yang tak mampu diluah, dan tidak pula disertai dengan protes. Tetapi satu hal yang jelas, dia tidak redha. Tidak akan pernah redha diperlakukan begitu.

Setelah memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah, Adriani terdiam lama. Seolah kini dia sedang berhadapan dengan Sang Pencipta secara langsung, ingin bertanya. Minta dijelaskan segala beban yang dipikulnya kini. Kenapa? Bagaimana? Sebab apa semua ini terjadi padaku? Soalan-soalan itu menari-nari dalam fikirannya. Dulu, dia menangis saat kehilangan orang tuanya secara tiba-tiba. Kini, dia diuji pula dengan kehadiran seorang lelaki yang tak pernah dia doakan pun dalam hidupnya.

Adriani menunduk. Biasanya, dia akan mengangkat kepala saat berdoa, tetapi hari ini, tubuhnya tunduk rendah seolah seluruh beban dunia berada di atas bahunya. Tangannya diangkat perlahan-lahan, suara yang keluar menyentak keheningan pagi.

"Ya Robb…" suaranya bergetar, bergema dalam ruang yang sunyi. Matanya mula berkata, walau mulutnya hanya mampu berbisik perlahan.

"Ya… Ya Robb, wahai Tuhanku…" suaranya naik sedikit, ada nada rayuan yang menggigil.

"Engkau yang bilang ‘mintalah, akan Ku beri’… maka aku minta, ya Allah… Wahai penenangku dalam kacauku, wahai penjagaku dalam sulitku… Aku adukan padamu urusan yang Engkau sudah tahu… Tiada padaku atasnya sabar atau ketabahan… Aku tak tahu apa yang harus aku katakan, ya Allah… tetapi Engkau tahu yang samar dan rahsia…" ucapnya, penuh pengharapan. Air mata akhirnya jatuh, membasahi pipinya. Tanpa ditahan, ia mengalir deras bersama setiap doa yang dibisikkan dari hati paling dalam.

Amin. Doa itu ditutup dengan linangan yang panjang, dan Adriani kembali merebahkan tubuhnya di atas sejadah. Diam. Terlalu diam, seakan dia menanti sesuatu yang tidak pasti. Hanya satu harapannya kini… agar ada pelukan halus dari langit yang turun, menyapa hatinya yang terlalu lara untuk menjerit lagi.

Setelah dihantar oleh pemandu Grab untuk mengambil semula keretanya yang diparkir semalaman di set penggambaran, Adriani masuk ke dalam kereta Myvi miliknya. Saat membuka pintu, matanya menangkap kesan calar di hujung bampar sebelah kiri. Dia mengetap bibir, mungkin ada yang sengaja melanggar, mungkin juga kerana keretanya yang dibiarkan lama di situ. Namun, dia tak mahu membuang masa. Enjin dihidupkan, dan kereta itu meluncur laju menuju ke pejabat produksinya.

Beberapa minit kemudian, Adriani berdiri di dalam perut lif yang sedang bergerak naik. Dia dalam perjalanan ke tingkat bahagian editor, mahu memulangkan payung Zul yang pernah dipinjamnya. Payung asal milik Zul sebenarnya telah hilang entah ke mana, ditiup angin tatkala itu. Jadi, dia menggantikan dengan yang baru.

Lif berbunyi lembut sebelum pintu terbuka. Adriani melangkah keluar dan melilau memandang ruang pejabat yang masih belum penuh dengan kehadiran staf. Jam di tangan menunjukkan pukul 8 pagi, agak awal untuk pekerja kreatif yang biasanya tiba sedikit lewat. Ruang itu bukan asing baginya. Di situlah juga tempat duduk Mawar, Pengarah seni yang juga sering menjadi tempat Adriani bertukar pandangan cerita. Tapi pagi itu, matanya tertangkap sosok seseorang yang lebih dikenali.

Puan Mariam, Penerbit Eksekutif mereka, sedang membongkok sedikit sambil mengambil gambar sebotol kopi menggunakan telefon pintarnya. Wanita itu kelihatan tekun, dan ekspresinya serius namun tidak tergesa-gesa. Sekelilingnya sunyi, hanya terdengar bunyi papan kekunci dan sedikit pergerakan kaki staf yang baru tiba.

"Sibuk nampak?" tegur Adriani, senyum nipis terukir di wajahnya ketika melangkah mendekati wanita itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience