Dalam sebuah bilik mesyuarat berhawa dingin yang dilengkapi karpet tebal dan lampu gantung kristal yang menyala samar, suasana kelihatan tenang namun penuh ketegangan yang berselindung di balik diam. Dinding kayu berpanel elegan menambah rasa eksklusif ruang itu, manakala langsir baldu gelap menutup sepenuhnya jendela, seolah-olah mahu menyembunyikan setiap bab yang sedang berlangsung daripada dunia luar.
Di hujung meja panjang yang terletak di tengah ruang, Adriani duduk tegak bersama beberapa orang staf pengurusan artis dan wakil pihak hotel. Wajahnya kelihatan tenang, namun matanya tidak mampu menyembunyikan rasa janggal yang bermain dalam fikirannya. Dia tidak pernah berniat untuk memasuki bilik artis tersebut dia benar-benar hanya tersalah nombor. Namun, kesilapan kecil itu telah membawa kepada pertemuan yang tidak terduga, mencetuskan situasi yang kini menjadi isu besar.
"We would like to sincerely apologize for all the shortcomings on our part," ujar seorang pengurus hotel dengan nada menyesal. Lelaki itu bersilang tangan di hadapan dada, kepalanya sedikit tunduk, menunjukkan rasa kesal yang tulus. "The room should have been locked, but the instruction number provided to our staff was mistakenly switched."
Adriani mengangguk sedikit, sekadar memberi reaksi, namun pandangannya kini tertumpu kepada pengurus artis yang kelihatan kecewa dan gelisah, meskipun artis mereka yang terlibat masih belum tiba di bilik itu. Desas-desus menyatakan bahawa artis tersebut sangat kecewa dan terkejut atas eksiden, berharap pihak pengurusan tetap mahu menyelesaikan isu ini secara rasmi.
Adriani menundukkan kepala, cuba menenangkan debar yang kian rancak di dada. Dia masih sukar percaya bahawa hanya kerana satu langkah silap, dia kini berada dalam situasi yang menekan seperti ini. Kesalahan yang tampak kecil telah mengheretnya ke dalam sebuah pertemuan yang bukan sahaja memalukan, tetapi juga berpotensi menjejaskan reputasi pelbagai pihak.
Suasana dalam bilik itu kekal tegang namun terkawal. Perbincangan berlangsung di sekeliling meja besar itu, semua pihak berusaha menyelesaikan isu ini secara profesional. Tiada siapa mahu perkara ini bocor kepada media. Langsir tebal yang menghalang pandangan dari luar seolah-olah menjadi pelindung kepada kisah yang tidak tercatat dalam jadual rasmi satu bab yang tidak dirancang, namun pasti akan kekal dalam ingatan Adriani untuk waktu yang lama.
Tiba-tiba pintu dibuka, dan seorang lelaki melangkah masuk. Edward Raiyan. Segak dalam sut hitam tersarung kemas, rambutnya ditata rapi dan langkahnya penuh yakin atau lebih tepat, angkuh. Pandangan matanya tajam ketika menyorot ke arah Adriani yang membalas tatapan itu dengan wajah datar. Mujurlah mask masih tersarung pada wajah Adriani satu perlindungan tidak dijangka yang kini amat dihargai. Dia tidak perlu menampakkan siapa dirinya. Kerana ini, bukan salahnya.
Edward mengambil tempat tidak jauh darinya. Suasana menjadi lebih berat. Kemudian, lelaki itu mula berbicara dengan wakilnya dalam bahasa Korea bahasa yang Adriani tidak faham sepenuhnya. Dia memilih untuk diam.
"Huh! Suka hati kau lah nak kata apa. Tapi jangan kau fikir aku akan duduk diam kalau kau terus lempar tuduhan tak masuk akal tu," bisik hatinya, walau bibirnya tidak bergerak walau seinci.
Di luar, dunia terus berjalan seperti biasa. Namun di dalam bilik mesyuarat itu, satu kisah yang tidak tertulis sedang berlangsung antara kesilapan, ego, dan rahsia yang mungkin belum sampai ke penghujungnya.
Namun, ketika beberapa patah perkataan diulang-ulang dengan nada yang semakin keras, telinga Adriani berjaya menangkap satu frasa yang membuatkan dahi berkerut 'stalker'.
Dia mengangkat sedikit wajahnya, kening terangkat dan bibirnya tertarik ke atas membentuk satu senyuman sinis yang sukar dikawal. Makin dia berdiam diri, makin lantang suara lelaki itu penuh anggapan dan andaian sendiri.
Suasana dalam bilik mesyuarat mewah itu seakan membeku seketika apabila suara Adriani bergema lantang, memecah ketegangan yang semakin menyesakkan.
"Diam lah!" ucapnya, tajam dan tegas.
Kata-kata itu bagaikan panahan kilat, menyambar ruang yang tadinya dipenuhi suara-suara berbisik dalam bahasa yang tidak difahaminya. Serentak, semua mata memandang ke arahnya. Edward, yang sebelum itu gah melontarkan tuduhan dalam bahasa korea, kini terpaku. Dia satu-satunya yang benar-benar faham apa yang diucapkan oleh Adriani.
"Kau ingat aku hingin sangat keh nak jumpa mamat K-pop macam engkau ni?" Adriani bersuara lagi, sinis. "Kapital muka orang Melayu, petang-petang makan budu."
Nada suaranya selamba, tetapi setiap patah kata mengandungi sindiran tajam yang membuatkan wajah Edward berubah sedikit demi sedikit. Adriani bersilang tangan di dada, sengihnya tak ubah seperti seseorang yang sedang merendam jengkel, namun enggan menunjukkan kelemahan.
"Tak ada masa aku nak jadi sasaeng atau Miss Stalker hanya untuk sekeping gambar bogel kau!" sambungnya, nadanya datar namun menyengat.
Wajah Edward merona merah. Air mukanya jelas terkejut dan malu, terkenang saat Adriani terserempak dengannya dalam keadaan yang... kurang sepatutnya. Tubuh yang terdedah satu aib yang kini menjadi senjata di tangan wanita yang tidak dikenalnya tetapi telah menjadi duri di hatinya.
"Kau…" Edward mengetap bibir. Matanya mencerlung, namun kini Adriani berdiri teguh.
"Apa? Dalam hal ni, bukan aku yang silap, tau." Suara Adriani masih tenang tetapi sarat amarah yang ditahan. "Kau tak payah nak play victim sorang-sorang, mentang-mentang kau artis. Akhir hidup kau kubur juga, kan?"
Kata-katanya menikam. Dia menghela nafas dalam, cuba menahan rasa menyampah yang makin meluap. Lelaki itu Edward Raiyan terlalu suka mencipta naratif, seolah-olah dunia harus tunduk padanya.
"Shut your mouth!" tengking Edward dengan nada tinggi, mengejutkan beberapa wakil pengurusan dan kakitangan hotel yang masih belum memahami sepenuhnya konteks perbalahan itu.
Adriani tidak berganjak. Malah, wajahnya tetap tidak menunjukkan gentar. Dia mengangkat wajah, pandangannya tepat pada mata Edward.
"Huh! Bila aku diam tadi, banyak bunyi pula kau. Sekarang aku dah bersuara, kau gelabah?" Dia senyum sinis. "Apa bukti kau tuduh aku ‘stalker’ berkali-kali tadi?"
"Kau jangan cabar aku, perempuan!" bentak Edward, kini dengan suara dingin, mata tajamnya menikam terus ke arah Adriani.
"Memang aku cabar kau, jantan. Muka standard macam kau, berlambak je kat pasar, cuma belum masuk pasaran. Jadi jangan mendongak sangat." Ujar Adriani bersahaja. Sekelumit pun tiada rasa gentar dalam dirinya. Dia tak peduli siapa lelaki ini di mata dunia. Yang dia tahu, dia tak bersalah.
Edward ketawa kecil, namun lebih kepada tawa yang tidak dapat menyembunyikan amarahnya yang meledak.
"Wah, makin melebih engkau. I will sue you!"
"For what?" Adriani membalas dengan sengih. "Aku ke yang tarik tuala kau sampai bogel? Jangan nak salahkan orang lain... Dalam situasi ni, kau sendiri pelakunya. Gangguan seksual tu datang dari kau."
Beberapa orang di sekeliling tampak tidak selesa, namun Adriani meneruskan.
"Pihak hotel dah maklum. Mereka yang salah sebab bagi aku kad kedua untuk housekeeping bilik kau. Aku tahu kau artis. Kau boleh buat apa kau suka dengan peminat yang akan tetap angkat kau walaupun jelas kau salah. Tapi maklumat tak pernah menipu. Rekod tetap rekod, dan kebenaran tak boleh ditutup hanya sebab kau ada wajah komersial."
Edward hanya memandang, kemudian tersenyum sinis. Pandangannya tajam dan penuh makna.
"So what? Kau ada rekod, aku ada nama. Dalam dunia ni, orang tak peduli siapa betul. Mereka cuma tengok siapa yang lebih bersinar. Dan malangnya untuk kau, aku bukan sekadar bersinar… aku jadi matahari." Ucap Edward penuh angkuh. "Cuba jatuhkan aku… dan tengok siapa yang terbakar dulu."
Adriani ketawa kecil, sinis. Tangannya masih bersilang di dada, dan matanya langsung tidak gentar.
"Matahari, ya?" Dia mengangkat kening. "Baguslah. Sebab makin lama kau bersinar, makin ramai yang boleh nampak bayang gelap kau sendiri."
Tangan masih disilang ke dada, setiap langkahnya penuh tenang namun menikam. "Dan bila kau jatuh nanti, jangan risau... aku takkan tolong padamkan api. Aku cuma duduk, tengok, dan tulis skrip paling jujur yang orang tak berani siarkan."
Edward tidak berganjak di tempat duduknya. Malah, matanya terus membalas pandangan Adriani yang kini berdiri betul-betul di sisinya.
"Kau tak tahu... betapa mudahnya kebenaran dibungkus dan dibuang. Kau belum kenal dunia aku dunia yang dipenuhi orang taksub. Di dunia aku, satu senyuman cukup untuk padamkan seluruh kebenaran. Satu kenyataan media cukup untuk tukar mangsa jadi pemangsa," ujar Edward, suaranya tenang tetapi penuh peringatan.
Adriani hanya mencebik. Lantak engkau lah, hatinya berkata. Dia bukan jenis yang takut masuk ke dunia sesiapa, malah dia tahu cara buat dunia itu tunduk.
Tiba-tiba pintu dibuka. Seorang staf wanita masuk dalam keadaan tergesa-gesa. Dia adalah petugas yang memberikan kad akses pada Adriani. Nafasnya masih laju, namun suaranya jelas sewaktu berkata dalam bahasa Inggeris:
"We’ve checked the records. It’s true, someone pretending to be housekeeping requested your room’s access, Mr. Edward. But no official request was recorded from your room. And…" Dia menarik nafas. "We found several micro-cameras hidden in a cleaning trolley placed in the emergency stairwell. We believe someone planned to do something... unethical. But since Ms. Adriani received the card by mistake, the plan was disrupted."
Seisi bilik terdiam. Wajah-wajah yang tadinya tegang, kini bertukar cemas. Adriani menghela nafas lega buat pertama kali sejak semua ini bermula. Tiada kata-kata lain perlu diucapkan. Semuanya telah jelas.
Tanpa menunggu lebih lama, Adriani mengambil beg tangannya, dan melangkah keluar dari bilik mesyuarat mewah itu senyap, tanpa sesiapa cuba menahan.
Telefon bimbitnya masih berdering dari tadi nama 'CikL' tertera pada skrin. Tapi Adriani hanya menggenggamnya erat sambil meneruskan langkah di sepanjang koridor hotel, meninggalkan segala kekecohan dan bayangan matahari yang kononnya bersinar di belakangnya.
Share this novel