BAB 20 | DIA PILIHAN

Drama Series 1053

Pesawat dari Incheon akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tatkala roda pesawat menyentuh landasan, dada yang sempit mula melonggar. Satu hela nafas panjang dilepaskan perlahan tanda kepulangan yang bukan sekadar fizikal, tetapi juga emosi yang bertaut antara tanah rindu dan jiwa yang pernah menjauh.

Langkah kaki disusun keluar dari perut pesawat, bagasi digalas seadanya, namun fikiran sudah terarah kepada dua sosok yang disebut-sebut dalam perjalanannya tadi. "Mama dan papa dah sampai awal," pesanan ringkas dari ibunya bergema kembali dalam benaknya.

Di sebalik kumpulan manusia yang riuh menanti, matanya tertancap pada pasangan suami isteri yang begitu dikenali ayah berdiri tenang dengan kemeja putih dan selendang kecil di tangan, manakala si ibu sudah melambai anggun, wajahnya penuh rasa tak sabar. Namun, sosok ketiga yang turut berdiri di sisi mereka membuat langkahnya sedikit teragak-agak. Wanita itu Balqis.

Bukanlah satu kejutan, namun kehadiran Balqis bukan juga sesuatu yang dinanti.

Dia terus melangkah menuju ke orang tuanya. Tanpa menghiraukan sesiapa di sekeliling, tangan si ibu digenggam erat, dikucup penuh rindu. Ayahnya menariknya ke dalam pelukan hangat pelukan seorang lelaki yang sudah terlalu lama menyimpan rindu pada anak lelakinya. Si ibu pula mengusap perlahan belakang tubuh anaknya, cuba memindahkan kasih yang tertahan selama ini. Di wajah mereka, jelas terbias air mata yang cuba disimpan. Rindu itu kini akhirnya terlerai.

Balqis hanya tersenyum nipis dari sisi, sekuntum jambangan bunga ros merah masih digenggam kemas dalam pelukannya. Namun senyumannya tidak mendapat sebarang balasan. Lelaki itu langsung tidak menoleh padanya. Pandangannya hanya milik dua insan yang melahirkannya kerana pada saat itu, dunia yang lain seolah tidak wujud.

Pelukan Datuk Fariz mula terlerai perlahan dari tubuh anak lelakinya. Edward hanya tersenyum nipis, namun cukup untuk memadamkan resah pada riak seorang ayah. Di sisi, ibunya masih mengelus rambutnya yang tersisir rapi hasil tajaan gaya rambut yang tidak disentuh angin langsung sejak dari Seoul lagi.

Pandangan Edward melilau, seolah mencari sesuatu. Atau lebih tepat, seseorang. Sosok yang telah menjadi alasan dia mengatur semula langkah kepulangan ini.

"Tok Wan mana, Papa?" soalnya tiba-tiba, senyum di bibir tidak selebar tadi.

"Tok Wan tak sihat. Ada je kat rumah," balas ibunya, Datin Adelia, lembut. Namun belum sempat pertanyaan itu reda dalam udara yang hening, wanita itu sudah menolak perlahan tubuh seorang gadis muda ke hadapan. "Ni, Balqis datang sekali. Tak nak sapa?"

Balqis berdiri tertunduk, wajahnya separuh malu, separuh berharap. Senyum nipis ditarik, menanti disambut. Tapi Edward tidak berganjak walau seinci. Pandangan dingin menghantar isyarat yang sama jelasnya seperti kata-kata tajam dia tidak pernah menanti atau mengharapkan kehadiran wanita itu di sini.

Datuk Fariz menggeleng kecil dari sisi, sudah masak benar dengan perangai isterinya. Usaha untuk menyatukan anak mereka dengan Balqis masih belum reda sejak hari pertama Edward pulang.

Balqis mengangkat sedikit jambangan bunga ros merah yang digenggam, cuba menyampaikan dengan sopan, namun Edward sekadar menjeling sebelum kembali menatap ibunya.

"Aku alergik," katanya datar, ringkas cukup untuk membuatkan hati yang mendengar terasa sedikit tercarik. Balqis menunduk, terasa udara sekitar semakin menghimpit.

"Yan dah minta Nizam bawakan kereta lain. Papa, Mama... saya balik dulu ya," sambung Edward, masih tidak memberi ruang pada sesiapa menjengah emosinya. Datuk Fariz hanya mengangguk, memahami benar sikap anaknya yang tidak suka dipaksa-paksa.

Datin Adelia kerut dahi. Wajahnya jelas tidak puas hati. "Mama baru nak ajak Balqis makan malam sekali dengan Edward," luahnya, suara lembut tapi nada kecewa jelas kedengaran.

Namun kata-katanya itu hanya disambut dengan jelingan tajam dari suaminya. "Sayang, anak kita baru sampai. Penat lagi tu. Esok-esok pun boleh, kan Balqis?" ujar Datuk Fariz, cuba meredakan suasana.

Balqis hanya mengangguk perlahan, senyum kelat menghiasi wajah. Bunga ros di tangan kini terasa berat bukan kerana jumlahnya, tapi kerana makna yang tak pernah bersambut.

"Mama, Papa, Yan balik dulu tau. Bye," ujar Edward apabila kelibat Nizam sudah kelihatan, berlari anak sambil menyambut beg bagasi dari tangannya. Lelaki itu langsung berlalu, tidak berpaling walau sekali.

Balqis terpinga-pinga, seakan kewujudannya tidak lebih dari angin yang menyapa kulit. Langkah Edward tidak pernah melengkung ke arahnya, apatah lagi untuk menyapa. Bunga ros yang masih di tangan kini digenggam lebih erat seolah cuba menyerap kekecewaan ke batang tangkainya.

Sebaik Edward menghilang dari pandangan, dan Balqis turut mengejar langkah anak lelaki mereka itu, Datuk Fariz menoleh ke arah isterinya. Suaranya kedengaran malas, "U ni pun satu… dah budak tak suka, kenapa suka sangat nak keneng-kenengkan mereka berdua?"

Datin Adelia membalas tatapan suaminya dengan renungan tajam, penuh rasa tidak puas hati. "Abang, anak kita tu dah besar. Kalau dia tak reti nak cari pilihan hidup dia, apa salahnya saya bantu? Lagipun Balqis tu bukan orang lain, anak sahabat baik abang juga!"

"Tapi U dah lupa ke sebab apa dia lari dari rumah dulu? Sebab U yang pandai-pandai aturkan pertunangan tanpa pengetahuan dia." Nada suara Datuk Fariz sedikit tegas, namun masih ada kelembutan yang mengendong setiap perkataan. "Ingat sayang, kita ada seorang anak je. Dan dia dah besar, biarlah dia tentukan sendiri hidup dia."

"Saya tak peduli. Balqis tetap pilihan saya untuk jadi menantu," tegas Datin Adelia dengan tangan digenggam erat, menahan geram yang mula membuak.

Datuk Fariz tersenyum sinis sambil membetulkan jaketnya. "Saya ingatkan U je ya, mungkin ingatan U dah tua sangat… tapi Abah, dia dah ada calon lain untuk si Yan kita tu."

Langkah kaki Datuk Fariz meninggalkan isterinya yang kini terpinga-pinga, cuba mencerna maksud sebenar dari kata-kata terakhir suaminya itu. Calon lain?

Dan itulah permulaan kepada teka-teki yang belum terjawab.

Langkah Edward terus melaju, tak sedikit pun menoleh ke belakang. Bayang tubuhnya yang tinggi melengkung di bawah sinaran lampu parkir bangunan KLIA yang redup. Malam menyapa dengan angin lembut, namun tubuh Balqis terasa makin menggigil bukan kerana cuaca, tetapi kerana penolakan yang makin nyata. Jambangan bunga yang digenggam tadi sudah dibuang ke dalam tong sampah. Tak berguna memeluk harapan, jika tiada hati yang sudi menyambutnya.

"Abang!" jerit Balqis perlahan, separuh menahan nafasnya yang tercungap-cungap. Langkahnya yang berlari anak mengejar tubuh lelaki itu akhirnya terhenti sebaik Edward berdiri, menoleh sedikit sebelum tubuhnya berbalik penuh ke arahnya.

"Kenapa tetap dingin dengan saya?" suara Balqis sedikit bergetar. "Balqis ada buat salah apa?"

Rambut yang berterbangan ditiup angin malam segera diselak ke tepi. Matanya memohon jawapan, namun wajah lelaki itu tidak menampakkan apa-apa rasa. Angin membawa bersamanya aroma wangi lelaki itu, namun tatapan matanya yang penuh keangkuhan membuatkan Balqis terasa seperti seorang wanita rendahan yang hanya dipandang sebelah mata.

Edward mengerling ke arah Nizam yang sudah selesai memasukkan bagasi ke dalam bonet. Dia mengangguk kecil, memberi isyarat agar lelaki itu masuk ke dalam kereta dan menunggu.

"Kau tahu kan aku tak suka kau?" Ucapan Edward seperti bilah yang tajam menyayat perasaan. Wajah Balqis terpaku, mata mula digenangi air, namun masih cuba bertahan.

"Kita cuma dua orang yang membesar dalam lingkungan yang sama," sambung Edward, nada tetap datar. "Tapi itu tak bermakna kita ditakdirkan bersama. Aku lelaki yang ada standard, Balqis. Aku pilih sendiri siapa yang layak hidup dengan aku."

Balqis menggenggam jemarinya erat, cuba menahan rasa yang mula membuak. Kata-kata itu... seakan menjatuhkan martabat dirinya, seolah tiada satu pun keistimewaan pada dirinya yang layak dipandang oleh lelaki itu.

"Dulu pun abang bercinta dengan peminat sendiri! Itu kira ada standard ke?!" Balqis bersuara, kali ini nada meninggi. Geram dan kecewa bersatu menjadi keberanian.

Edward hanya mencebik mendengar tuduhan itu. Dia membongkokkan tubuh sedikit, wajahnya kini sejajar dengan Balqis yang tercegat dengan mata berkaca.

"Itu cinta," ujar Edward, tenang namun tajam. "Bila dah cinta, standard jatuh nombor dua. Tapi sekarang dah lain. Kalau kau nak sangat aku, kena tahu satu benda, standard aku tinggi. Bukan sebab duit semata-mata. Rupa? Kau ada, tapi belum cukup buat aku tertarik. Aku suka wanita yang cerdik, bukan yang tahu mendesak. Dan yang paling penting, aku sendiri kena nak dia. Kau? Kau cuma ada satu, kau nak aku. Kira fail."

Sengih tipis menghiasi wajahnya. Dan saat itu, empangan air mata Balqis akhirnya pecah juga. Tubuhnya sedikit bergoncang menahan sebak.

"Abang… lelaki tak guna," ucapnya perlahan, esakan mula mengiringi kata-katanya. Bibirnya diketap rapat, berusaha menahan air mata yang tak mahu berhenti.

Edward tidak berganjak. Tatapannya dingin, tanpa belas, seolah-olah air mata itu langsung tidak layak mengubah apa-apa. Dan dari nada suaranya, jelas… dia sudah muak dengan semuanya.

"Kau betul-betul nak hidup dengan aku?" soalnya, kali ini nadanya lebih perlahan tetapi serius. "Aku lelaki tak guna, Balqis. Aku lain dari lelaki yang kau bayangkan. Kau tak cukup kuat nak hadap aku… apatah lagi nak hidup dengan aku."

Dia berdiri tegak semula, matanya memerhati wajah wanita yang pernah menjadi sebahagian dari memorinya satu ketika dulu.

"Baliklah," katanya akhirnya. “Bagi tahu mama aku… aku tak berminat main rumah pondok-pondok dengan kau.”

Tanpa menunggu reaksi Balqis, Edward terus melangkah masuk ke dalam perut kereta yang telah pun sedia menunggu. Enjin dihidupkan. Kereta hitam itu mula bergerak perlahan, meninggalkan Balqis yang kini terduduk sendu di tepi parkir.

Angin malam terus bertiup, namun kini ia hanya mengusap tubuh yang keseorangan dalam luka yang tak terucap. Air matanya menitis tanpa suara, menggambarkan betapa payahnya menundukkan ego seorang lelaki bernama Edward. Dahulu, budak lelaki yang dikenalinya begitu gentleman, tersenyum bersamanya berkongsi tawa, waktu, dan cerita.. Segalanya dilakukan bersama. Tapi hari ini, lelaki dewasa itu telah menghapuskan memori indah yang pernah mereka cipta bersama seolah-olah ia tak pernah wujud sama sekali. Tatapan itu seolah menyimpan sesuatu yang kelam. Mungkin inilah sisi lain dalam diri lelaki itu, yang akhirnya terdedah di depan matanya sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience